7 Jenis Konflik Yang Menarik Pembaca Bagai Besi Semberani

7 Jenis Konflik Yang Menarik Pembaca Bagai Besi Semberani

KONFLIK. Begitu hodoh wajahnya. Lidahnya terjelir. Bibir pula senget sebelah. Giginya rongak. Mata bundar terbeliak. Suaranya berdentam-dentum bagai langit yang terbatuk-batuk, diselangselikan sumpah-seranah atau aliran pendapat yang tidak searus dengan sungai pemikiran masing-masing.

Adakalanya, picu konflik itu terpetik daripada perkara yang remeh-temeh lagi tetek-bengek, seperti secubit belacan, atau sepaket tisu. Atau kenyitan si dara yang tidak sengaja, lalu disalahtafsirkan oleh sang isteri kepada lelaki yang dikenyit itu. Maka, terburailah seribu satu tanda tanya, yang tidak mampu dinoktahkan dengan kata-kata hikmat, “Entah, manalah Abang tahu.”

Sebagai pembaca atau penonton, kita sering dilagakan dengan pertembungan konflik dalam struktur penceritaan. Ibarat besi semberani yang memerah segala kuasa kawalan diri untuk terus memusatkan perhatian kepada babak-babak selanjutnya.

Dalam perisian berikut, kita akan menyentuh tujuh jenis konflik yang sering dipaparkan dalam cerita fiksi. Atau, realiti. Ah, mungkin, kededuanya sama sahaja.

Pertama: Manusia Lawan Manusia

Tanpa was-was, konflik ini wajar menduduki aras teratas dalam carta ini. Wira menentang penjahat. Hero versus villain. Inilah konflik paling klasik. Contohnya, dalam novel A. Samad Said, kita ditemukan dengan watak titular, Salina yang memerangi jaluran hidup dengan kekasihnya sendiri, Abdul Fakar. Begitu juga dengan persona tali barut, Ma’mor, dalam cerpen Samseng, karya Hamzah Hussin, seorang kaki pukul yang ganas bergaduh dengan watak-watak lain.

Kedua: Manusia Lawan Diri Sendiri

Konflik sebegini juga sering dipantulkan dalam buku cerita dan layar perak. Dalam mana watak utama atau protagonis itu gigih menggulati pergaduhan dalaman dengan dirinya sendiri. Misalnya, dalam novel The Fight Club, tulisan Chuck Palahniuk, kita senang menjiwai perasaan berkecamuk si narator yang tidak bernama itu, bergomol dengan watak si ‘pembuat sabun’. (Spoiler alert!) Nyatanya, kededua personaliti itu berakar daripada watak yang sama.

Ketiga: Manusia Lawan Alam

Konflik manusia dengan alam semula jadi ini biasa dibentangkan oleh jiwa seorang penulis yang sebati dengan elemen flora dan fauna. Kita dikenalkan dengan watak Tukya dalam novel Seorang Tua Di Kaki Gunung, karya Azizi Haji Abdullah, yang bergelut dengan dunia kehutanan tropika. Kita juga rapat dengan kisah para nabi yang bertautan dengan konflik serupa, misalnya Nabi Yunus a.s. yang ditelan paus, dan kaum Nabi Nuh a.s. yang dilanda ribut taufan.

Keempat: Manusia Lawan Takdir

Jenis konflik sebegini lebih ketara dalam cerita-cerita bersifat mitologi, terutama sekali yang berunsurkan pertelingkahan antara manusia dengan dewa-dewi. Golongan dewata ini biasanya melambangkan pihak autoriti atau pemerintah. Dalam dunia perfileman Melayu pula, kita diingatkan dengan cerita Isi Neraka, yang mana watak Wira, (lakonan Salleh Kamil) mati ditelan bumi kerana keterlangsungannya menghina agama Islam yang dianuti ibunya.

Kelima: Manusia Lawan Paranormal

Unsur manusia menentang paranormal atau makhluk halus ini memang gemar dijadikan bahan pemangkin dalam karya yang bersifat popular. Contoh-contohnya mungkin terlalu banyak untuk dirumuskan di ruang yang sempit ini, namun perlu disebut beberapa filem ikonik seperti Orang Minyak, Pontianak Harum Sundal Malam dan Munafik. Dari Barat pula, kita sering dimomoki dengan cerita-cerita seperti Dracula, Exorcist dan Paranormal Activity.

Keenam: Manusia Lawan Masyarakat

Contoh manusia melawan masyarakat selalunya dipancarkan oleh perjuangan watak hero yang bangkit menentang rejim kuku besi. Berlatarbelakangkan kebobrokan atau sebaliknya (utopia). Ketegangan corak sebegini mudah dihayati daripada filem-filem untuk golongan dewasa muda seperti Hunger Games, Maze Runner dan trilogi Divergent. Novel Putera Gunung Tahan oleh Pak Sako juga boleh dilihat sebagai perjuangan anti-penjajah.

Ketujuh: Manusia Lawan Teknologi

Tema Manusia menentang Mesin ini semakin berleluasa dalam arus kemodenan hari ini. Acap kali dilukiskan dengan latar cyberpunk, yang berteraskan unsur “high tech, low life“, konflik ini boleh digarap daripada filem-filem seperti Blade Runner, siri Terminator dan Eagle Eye. Kesan daripada kecerdasan buatan sering diuar-uarkan sebagai musuh yang akan menggugah ketamadunan manusia. Kuasa teknologi dalam cerita-cerita ini sering dipaparkan sebagai entiti tanpa rohani.

Kita akur yang konflik melalaikan. Mengasyikkan. Namun, konflik juga menghiburkan. Justeru, seorang penulis yang mahir bertukang dengan 3K, iaitu, Konflik, Krisis dan Klimaks, mampu memancing para pembaca supaya terus tegar dan tidak melepaskan genggaman buku daripada tangan mereka.

Adakah konflik dalam cerita rekaan itu satu cerminan? Yang melantunkan bayang-bayang kehidupan seharian sehinggakan secara tidak langsung, kita disedut di bawah paras sedar untuk mentaati peleraiannya sampai ke muka surat terakhir?

Kebenarannya tersemat dalam diri anda.


 

TENTANG PENULIS:

Farihan Bahron gemar menerokai perhubungan antara manusia dengan teknologi selaku tema utama dalam cerita-ceritanya. Konflik melawan mesin ini juga diterapkan dalam kumpulan cerpen terbarunya, Kesumat Sang Avatar, yang boleh dibeli dalam talian di laman UnggunCreative.com.

 

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Farihan Bahron

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial