Baju

“Orang semua cakap Ayah jahat.”

oooOOOooo

“Jangan pergi, Bang.”

Aku merenung bebola matanya. Air yang bergenang hanya menanti masa untuk jatuh berjejeran di lereng pipi. Namun takungan sudah penuh. Terkelip pasti melimpah. Terketis pasti mencurah. Dan tangisan itu pasti. Tidak mampu berselindung lagi. Aku mengesat manik-manik pilu yang mengalir di pipinya.

“Ini kali yang terakhir. Tak ada lagi lepas hari ni,” aku memujuk.

“Dulu pun cakap begitu.”

“Kali ni betul.”

“Betul?”

“Betul.”

Rahayu masuk ke dalam bilik. Sejenak kemudian, dia keluar sambil mendukung Insyirah. Bayi itu sedang nyenyak tidur. Dagunya melentuk di bahu Rahayu. Rahayu menghampiri aku lalu dipalingkan Insyirah ke arah aku.

“Betul?”

Aku melihat wajah Rahayu. Dia benar-benar mengharap. Aku melihat Insyirah pula. Sarung tangan kecil berwarna merah jambu diikat dengan telaten. Lantas rambutnya yang halus dan jarang-jarang itu aku hidu. Wangi. Kepalanya aku kucup. Aku belai bahagian ubun-ubunnya yang masih lembut itu. Insyirah bergerak sedikit sebelum terus menyambung lena.

“Betul. Janji.”

Sepanjang aku berjalan di koridor itu, hati aku diheret rasa bersalah. Aku menoleh ke belakang. Rahayu masih berdiri di luar rumah. Dia melambai. Aku membalas. Dan dia masih lagi berdiri di situ saat aku menyelekoh ke lobi lif.

Hati aku berat. Seberat tanggungjawab yang sedang aku pikul. Aku berdiri di hadapan pintu lif. Keresahan yang mencengkam membuat laluan lif bergerak jauh lebih perlahan. Dua. Tiga. Empat. Lima. Semacam azab nak tunggu lif sampai ke tingkat sebelas. Biasalah. Blok rumah sewa di kawasan Whampoa. Semua blok lama. Lif dah tak rosak dah bagus.

Di dalam lif, fikiran aku menerawang lagi. Aku teringat kali pertama aku ternampak Rahayu. Dia sedang duduk seorang diri di perhentian bas. Sedang membaca buku. Buku apa yang sedang dibaca aku tak ingat, tapi dia kelihatan khusyuk benar. Langsung tak pedulikan tiga orang penyangak yang sedari tadi sedang memekak di bahagian hujung perhentian bas itu.

“Rul, kau tengok apa?”

“Tak ada.”

“Kau jangan nak buih aku. Kau cui budak madrasah, eh?”

Mereka pun bantai ketawa. Berdekah-dekah. Rosli sampai tergolek. Munir sampai mengetuk-ngetuk bangku. Aku aja yang diam. Sesekali aku mencuri pandang Rahayu yang masih taasub membaca. Tiba-tiba segalanya menjadi kabur. Bunyi ketawa pun tenggelam sama. Aku hanya nampak Rahayu. Tiada lain. Keadaan berubah seperti dalam video yang ditekan butang gerak perlahan. Aku dapat lihat bebola matanya bergerak mengengsot perlahan dari kiri ke kanan, mengamati untaian kata yang tersusun di lembaram itu yang bertaut untuk melahirkan makna.

Kemudian, perlahan-lahan alis kening yang seraut jatuh itu ternaik sedikit, matanya mengecil dan seutas senyuman terukir di bibirnya. Aku masih memerhati. Rahayu mengelip matanya sambil menyelak lembaran yang seterusnya. Dan ketika itu juga dia menoleh ke arah aku. Dia senyum, mengangguk sedikit lalu terus sambung membaca. Aku melihat ke belakang. Hanya seorang apek Cina yang berdiri di belakang aku. Yang dia hendak senyum kepada apek itu nak buat apa? Maknanya, dia senyum kepada aku. Dia. Senyum. Tuju kepada aku! Macam nak terburai isi perut aku. Bukan sekadar rama-rama yang menari tarian alam di dalam perut. Aku ingat ada tiga ekor kucing gila yang sedang bercekau di sepanjang usus aku.

“Sudah-sudahlah tu. Tak cukup ke dengan Suzy? Kalau kau dah tak minat dengan Suzy, kau kena bilang. Aku mesti sapu punya,” kata Rosli dengan nada separuh mengacah separuh bersungguh-sungguh.

Apabila bas bergerak, aku masih perhatikan dia dari tepi tingkap. Dia masih duduk sambil membaca buku, menikmati dunia sastera tanpa menghiraukan dunia sebenar berserta para penghuninya. Aku berharap dia akan mendongak dan melambai aku pergi dengan lirikan matanya. Hampa. Aku tewas, dikalahkan tarikan buku di genggamannya.

Esoknya, padawaktu yang sama, kurang lebih pukul 1 tengah hari, aku ke perhentian bas itu lagi. Mencuba nasib. Mana tahu dia muncul. Tapi aku hampa lagi. Berpeluh-peluh aku dibuatnya. Bingit meluap-luap. Aku pun pergi ke Tai Seng. Kebetulan ada beberapa budak yang nak keluar. Konon dah insaf. Dah serik. Dah tak nak salah campur. Itu semua bukan masalah aku. Kumpulan aku bukan kumpulan kucing kurap – bila-bila nak masuk, boleh berlenggang masuk. Bila-bila nak keluar, boleh berlari keluar. Sia-sia aku pegang kerusi kalau budak-budak boleh senang-senang aja keluar masuk. Ini bukan pasar malam. Ini tempat aku. Tempat ini aku jaga.

Sesampainya aku di sana, muka budak-budak tu aku tenung satu per satu. Memang mereka cari nahas. Salah hari. Aku teringat lagi keadaan aku macam budak bodoh menanti Rahayu yang tak kunjung tiba. Betul macam budak bodoh! Aku!

“Kenapa kau nak keluar?”

Alasan yang mereka beri biasa aku dengar. Bapa marah. Mak dapat tahu. Nak fokus pada pelajaran. Merepek. Mengarut. Dan seperti biasa, aku beri budak-budak macam ni dua pilihan.

“Kau nak lif ke nak rokok?”

Kalau lif, mereka akan masuk ke dalam lif bersama-sama dengan aku dan budak-budak aku, dan lif itu akan naik ke tingkat yang paling atas, kemudian turun semula. Dalam perjalanan itu, budak-budak yang aku letak di tengah-tengah itu akan dirembat, ditendang, ditumbuk, diterajang. Kalau aku tak puas, apabila sampai di tingkat satu, lif itu akan naik-turun sekali lagi. Teruk. Darah mesti terpercik. Kalau tak dari hidung, dari mulut. Cuma kalau ada yang pengsan, aku berhenti. Orang dah jatuh, kalau masih rembat, kira dah tak ada cara. Aku tak busuk macam tu. Lepas tu, kalau aku masih tak puas hati, dia kena beli tujuh hitam tujuh putih. Kita mabuk ramai-ramai. Lepas itu, barulah kira selesai. Tak ada simpan dendam. Kira dah bebas. Tapi kalau aku dapat tahu dia masuk kumpulan lain, aku akan melenting. Masa itu aku akan cari sampai depan rumah.

Itu kalau mereka pilih lif. Kalau mereka bengap dan pilih rokok pula, sebatang rokok akan dinyalakan. Selagi rokok itu belum habis, selagi itulah budak itu akan jadi bahan keroyok. Dah macam anjing. Kaki, siku, tangan, kayu, pernah juga botol; habis semuanya pernah menyinggah. Ini lagi teruk. Sebab kadang-kadang emosi tak terkawal. Apabila dah naik hantu, segalanya boleh lupa. Janganlah budak-budak ni pilih rokok hari ni. Dalam lif, boleh juga mereka elak-elak. Kalau rokok, dengan rasa bingit yang aku pendam, ada patah aja tengkuk budak-budak ni. Tapi kalau patah pun, apa aku peduli? Ada aku kisah? Budak-budak ni yang bersungguh-sungguh nak masuk. Bukan aku yang tarik. Bukan aku paksa. Berani buat, berani tanggung!

Apa pun, lusa aku cuba lagi. Tercongok di perhentian bas itu. Menanti tanpa henti. Mengharap dalam diam. Hampa. Bayangannya tak kunjung tiba. Tulat aku cuba lagi. Kali ini, aku dah tak mengharap sangat. Kalau tak mengharap, hampanya kurang terasa. Tapi itu sekadar mainan bibir. Lidah yang berkata, hati lain bicara. Hati ini masih meminta agar dia menjelma. Menjengahlah biarpun seketika. Biarpun sedetik cuma. Namun yang mampir masih hampa. Aku melihat diri aku. Mungkin ketrampilan ini terlalu menakutkan. Seluar jeans koyak di lutut. Baju singlet putih yang ketat. Atau bukan menakutkan, tapi memualkan?

Tubin, jam 1 tengah hari, aku cuba lagi. Kali ini, aku pinjam baju kurung Ayah. Alah, dia dalam jel, bukannya dia boleh pakai pun. Sebelum keluar rumah, aku sempat diri di depan cermin. Boleh tahan segak. Selalu aku pakai baju-baju gini waktu musim hari raya. Itu pun hari pertama. Dan itu pun setengah hari aja. Panas. Rimas. Tapi, hari itu, pukul satu tengah hari, aku berada di perhentian bas itu, baju Melayu lengkap milik ayah aku. Panas pun panaslah. Aku tetap kena cuba.

Mungkin berkat baju Melayu ayah aku kerana setelah jenuh berhari-hari aku mencuba, dia datang juga akhirnya. Akhirnya! Jantung aku berdegap-degup. Macam nak melompat keluar dari kurungan dada lalu menahan teksi untuk pulang ke rumah. Rasanya kalau ada orang yang perasan, mereka pasti boleh nampak bahagian dada baju Melayu aku itu sedang berdentam-dentum meloncat-loncat di sebalik tabiran kain.

“Hai,” aku menyapa.

“Assalamu’alaikum.”

“Oh,” aku balas sambil tersengih. “Maklekomsalam.”

“Wa’alaikum salaam.”

“Huh?”

Aku pelik. Ajak bergurau ke? Ni tengah main apa ni? Main sambut-sambut salam ke?

“Tadi awak jawab salam saya, macam kurang elok. Dia kena jawab betul-betul. Wa’alaikum salaam.”

“Oh, maaflah. Saya tak biasa.”

Mati. Terus mati. Otak aku mati. Dah berhari-hari aku rancang nak tanya itu ini. Nak guna ayat pemanis. Ayat-ayat mengayat yang boleh menambat hati. Aku nak tunjukkan kepadanya betapa aku ini seorang yang ceria. Yang seronok jika berdamping sama. Sebagaimana aku dapat cairkan hati Suzy, Dewi, Tina, Marianne, Asyikin, dan banyak lagi gadis lain yang pernah aku jadikan mangsa. Aku pasti aku akan berjaya. Namun, pada detik itu, keyakinan itu menghilang. Ayat-ayat gah itu semua telah melarikan diri. Ghaib entah ke mana.

Aku duduk di sebelahnya, mata merenung ke simen. Nak cakap apa ni?

“Awak nak pergi mana? Sempat ke?”

Aku tersentak. Dia pula yang ajak berbual.

“Saya tak faham.”

“Ni dah dekat satu suku. Awak nak solat Jumaat di mana?”

“Err, saya bukan nak pergi sembahyang Jumaat.”

“Oh, habis pakai baju Melayu ni?”

“Sebab cantik. Macam kemas gitu. Mana tahu, awak tengok, awak suka,” aku menjawab soalannya. Perlahan-lahan, idea mula merangkak masuk ke dalam benak yang sedari tadi lengang. Aku senyum sambil merenung matanya. Cairlah. Cairlah kau dalam renunganku.

“Kenapa awak tak pergi solat Jumaat?”

Aku yang nak dia terpesona, aku pula yang terkejut. Terkejut macam nampak kucing makan sardin pakai sudu. Aku melihat mukanya. Dia masih menanti jawapan.

“Saya tak tahu sembahyang.”

“Ohh…”

Tamat siaran. Aku pasti ayat aku itulah yang akan menggagalkan segala usaha, segala impian, segala hajat bersulam niat untuk aku berkenalan dengannya.

“Nak saya ajar?” tiba-tiba dia bersuara.

Ajakan itu ikhlas. Seikhlas senyumannya. Dan segala-galanya berubah selepas itu…

Aku dapat tahu dia gemar digelar Ayu, biarpun nama penuhnya Rahayu. Seorang anak tunggal, ibu bapanya mahu dia melanjutkan pelajarannya ke Universiti Al-Azhar. Pada waktu itu, aku mati-mati ingat sekolah itu terletak di kawasan Bedok. Betullah aku bengap tahap dewa.

Aku juga dapat tahu Rahayu selalunya akan menceritakan segala-gala yang berlaku kepada ibu dan bapanya. Dan dari situlah aku dapat tahu yang ibu dan bapa Rahayu tidak begitu senang dengan aku. Mereka restu, tapi mereka tak selesa dengan hubungan kami berdua. Mungkin kerana cara hidup aku. Mungkin kerana tangan aku yang penuh dengan tatu. Mungkin kerana aku sekadar bekerja sebagai pengirim ayam beku ke gerai-gerai makan. Mungkin kerana aku tidak tahu sembahyang. Atau mungkin kerana kesemuanya sekali. Tapi Rahayu tetap tidak mahu berputus asa.

Maka aku cuba berubah. Sejak berkenalan dengan Rahayu, perlahan-lahan aku cuba kurangkan pelibatan aku dalam kumpulan. Ah Guan perasan. Pernah dia tanya komitmen aku di depan orang lain. Aku tahu dia nak pegang kerusi aku. Tapi aku belum bersedia nak lepaskan hak aku begitu saja.

“Ah Guan, lu mau duduk sini ka? Lu mau lu cakap. Kita boleh try dua, tiga round. Kita tengok siapa diri lepas tu. Siapa kuat, ini kerusi dia punya.”

“Wa tak lari, bro. Lu cakap aja. Wa no hal.”

oooOOOooo

“Orang semua cakap Ayah bukan jenis orang baik.”

oooOOOooo

“Awak orang baik.”

Itulah jawapan Rahayu setiap kali aku bertanya kepadanya akan sebab dia masih terus berdamping dengan aku. Dia kata dia akan kekal setia bersama aku kerana dia tahu, jauh di lubuk hati aku, aku ini orang baik. Sebab itulah kalau aku pergi minum dengan kawan-kawan, aku akan cakap aku ada kerja tambahan. Kalau aku jumpa Nisa atau Candice atau Filzah atau Mimi, aku akan selalu matikan telefon. Aku nak jaga hati Rahayu. Aku tak mahu dia tersinggung dengan gaya hidup aku. Aku rasa Rahayu itu sesuai dijadikan isteri. Biasalah, dasar lelaki. Jahat macam mana sekali pun, pasti nak isteri yang pandai masak, pandai jaga suami, pandai jaga anak.

Tiga bulan selepas aku bernikah, aku dapat tahu Rahayu hamil. Dan ketika dia baru hamil 6 minggu, aku dijatuhkan hukuman penjara kerana merusuh. Tujuh bulan aku perlu meringkuk di dalam. Maka Rahayu perlu menjaga kandungannya sendirian, sekali gus menamatkan impiannya untuk ke Al-Azhar.

Setiap minggu Rahayu akan menziarahi aku. Apabila aku melihat dirinya yang dah sarat sangat, berjalan perlahan-lahan menghampiri aku, melihat akan kandungan itu, aku mula berasa kesal. Dia tak patut menerima semua ini.

“Lepas ni dah tak payah datang lagilah. Lagi sebulan setengah aja. Awak pun dah sarat sangat tu.”

“Itulah, kadang-kadang mengah juga.”

“Mak dengan Ayah ada cakap apa-apa?”

“Tak.”

“Langsung?”

“Sebenarnya, lepas Abang masuk, mereka dah tak hubungi kita lagi. Tak apalah. Tak lama lagi Abang dah nak keluar, Abang akan jaga kita elok-elok, kan?”

Aku terdiam. Buang emak, buang saudara. Aku hanya memerhatikan tangan Rahayu yang mengusap-usap tangan aku.

oooOOOooo

“Bang. Nak keluar tak?”

Aku tersedar. Aku melihat budak kecil yang menyapa aku itu. Lantas aku keluar dari lif dan pergi ke Tai Seng. Di sana, Jimmy sudah menanti.

“Rul. Wa ada benda mau cakap. Ini hal, wa selalu tanya satu kali saja. Lepas tu wa tak tanya lagi. Jadi lu mau ingat betul-betul apa lu mau jawab.”

Aku hanya melihat wajah Jimmy. Aku dengannya bukan baru kenal. Kita sama-sama naik. Kita sama-sama panas baran. Kita sama-sama tak ada keluarga lain. Cuma sekarang aku dah berkahwin. Dia masih berseronok sakan. Dan kerusi dia pegang lebih besar.

“Rul. Lu sudah kahwin. Sudah ada baby. Lu betul mahu sambung ini line?”

“Jimmy, gua pun ada ingat sudah mahu cuci tangan. Tapi gua paiseh sama lu. Dari dulu lu jaga gua betul-betul.”

“Ini macam lu fikir ada betul. Lu jangan takut. Nanti wa cakap sama orang atas. Kalau ada problem, wa angkat. Wa boleh try cham siong. Ini hari kira lu punya last. Lepas ini hari, lu pergi jaga lu punya family, ok?”

“Thank you, Jimmy. Gua tangkap paiseh sama lu. Ini semua itu Ah Guan punya celaka. Dia bikin tahi, sekarang kita mahu kasi bersih.”

“Itu Ah Guan, lu tak mau fikir. Itu bagi wa handle. Ini hari, kita cuci itu tempat kasi bersih. Jadi sampai mati dia orang ingat, jangan langgar kita punya budak.”

Cara pakai baju memang macam ni. Kalau sejuk, duduk rumah. Tapi aku rasa lega kerana Jimmy faham akan kedudukan aku. Aku dah ada keluarga. Aku dah ada anak. Bayi yang baru lahir. Jadi, kes hari ini kira kali terakhir aku kena jalankan tugas macam ni. Sebelum aku tinggalkan dunia ni, biarlah nama aku disebut-sebut oleh budak-budak baru. Biar mereka kenal siapa aku. Aku dapat kerusi bukan sebab aku kenal Jimmy, tapi atas apa yang aku lpernah buat. Aku semakin cekal. Kepalang mandi biar basah, kepalang retak biar punah.

Malam itu, kami tiba di kedai kopi itu. Nampak macam tak ramai orang. Baguslah juga. Senang sikit nak cuci. Batang besi, kayu, pisau dan parang sudah ada dalam genggaman. Aku yang mula-mula meluru. Ada keluarga yang sedang makan di situ bertemperian lari meninggalkan kedai kopi itu.

Tahu-tahu saja, budak-budak dia pula muncul. Entahlah dari ceruk mana. Ramai juga. Mereka pun berparang, berbesi, berkayu segala. Tiba-tiba, budak-budak sana semakin ramai. Pantulan cahaya dari parang pantas menebas angin, diselangi dengan percikan darah. Ada seorang budak mereka dah terjelepok depan aku. Aku terus aja melibas. Tapi, pada masa yang sama, aku tak perasan ada orang yang sudah berdiri di belakang aku.

oooOOOooo

“Ayah. Syirah tahu Ayah tak jahat. Dia orang yang cakap macam tu semua tak kenal Ayah. Dia orang tengok Ayah dari jauh, terus dia orang cakap Ayah jahat. Walaupun Syirah tak ingat apa-apa tentang Ayah, Ibu selalu cerita tentang Ayah. Macam mana Ayah suka cium pipi Syirah. Macam mana kalau Syirah tidur, Ayah selalu usap kepala Syirah. Benda-benda itu selalu Ibu kongsi dengan Syirah. Orang jahat mana buat semua ni? Sekarang Syirah dah makin besar. Syirah dah tak peduli apa orang nak cakap,” bisik anak gadis itu. “Ayah, Syirah hari-hari doa yang Ayah akan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Ayah pun janganlah risau. Syirah akan jaga Ibu baik-baik.”

“Insyirah. Dah?”

“Dah, Ibu.”

Hari semakin gelap. Waktu sudah berada di ambang senja. Kelihatan Rahayu dan anaknya sedang berjalan perlahan meninggalkan tapak persemadian suaminya.


TENTANG PENULIS:

Djohan Abdul Rahman gemar memancing dan mengembara. Djohan juga gemar akan warna biru, hitam, ungu dan jingga. Makanan kegemaran Djohan ialah ikan bakar dan Ceasar’s Salad add Salmon (di Coffee Bean – tempat lain tidak senikmat). Djohan juga gemar menonton wayang.


Karya ini menerima hadiah sagu hati bagi Sayembara Cerpen Nyala (April 2018) yang bertemakan ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Penulis akan menerima hadiah wang tunai $50 SGD beserta dengan beg ‘tote’ eksklusif ATAU kemeja-T peribahasa ini.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *