Bisikan Dari Langit

Bisikan Dari Langit

Lelaki itu sibuk membaca dengan nada yang cukup khusyuk. Di tangannya senaskhah kitab kecil. Matanya, tangannya dan perjalanannya turut terikut dalam satu kekhusyukan saat mendengar ayat-ayat dari langit.

Orang-orang yang bergegas mengejar realiti tidak pedulikannya. Tidak juga yang mahu tahu. Mereka terlalu taasub pada masa yang telah menjadi lumba tetapi tidak lelaki itu! Lelaki itu masih patuh membaca.

“Dan Dia telah mengatakan bahawa Dia roh suci…”

Dia masih setia menghayati kata demi kata dari ayat-ayat langit. Menghadam secara lahiriah dan batiniah… Masa seakan berhenti sejenak seakan mengaguminya, pada kepatuhannya membaca kitab itu. Tiada secuil rasa malu terlukis dari raut wajahnya. Tiada. Sepertinya… yang terwujud hanya dia dan kitab itu. Sama-sama membaca, melerai makna pada setiap hembusan nafas berbicara tentang kalam yang tertulis, dari kitab ke hati dalam satu gerakan yang cukup harmonis. Sedang yang lain terus hanyut ke lautan dunia, lelaki itu pilih untuk karam ke dasar fahamannya.

********

Di luar, kegelapan perlahan-lahan menakluk alam menandakan malam pula bakal menguasai semua. Kicauan beburung dan teriakan manusia seakan turut tersipu diam, menghormati kerajaan malam yang kini mengambil-alih pemerintahan daripada sang siang. Rembulan, yang mengambang penuh begitu indah memperlihatkan cahayanya nan menawan kepada alam. Seakan terpanah kepada kecantikan rembulan, berkerdipanlah bintang-gemintang seakan memujinya.

Lelaki itu masih lagi dalam khusyuk membaca kitabnya. Matanya masih segar. Namun, mindanya semakin letih dan daya tumpuannya mula menurun. Lelah. Dalam beberapa minit, matanya juga turut ditawan kelelahan yang teramat. Tanpa disedari, dia terlena. Dan dendangan dengkur yang panjang mengikuti alunan sunyi malam itu.

Entah berapa lama, lelaki itu dibuai kelenaan apabila deria pendengarannya terusik pada sesuatu bunyi. Bukan bunyi. Ada suara halus, lembut menyapanya. Matanya bergerak-gerak, terganggu dek kehadiran suara itu. Telinganya mulai terjaga, semakin tajam menangkap suara itu di gendangan telinga.

“Hai manusia yang tertidur, bangunlah!” suara itu sayup-sayup masuk ke deria pendengarannya, mengejut setiap deria yang terlena agar terjaga.

“Aahhhh… siapakah itu? Apakah aku mengigau?” bibirnya berkumat-kamit tertanya-tanya.

Digosok matanya lalu membukanya. Dia memandang sekelilingnya. Sepi. Kosong. Tiada manusia bersamanya kerana memang dia bersendirian. Binatang? Ah, mustahil kerana di tempat ini hanya ada dia seorang diri sahaja. Cicakkah?

Dia menegakkan badannya. Diamati dan dicari suara yang mengejutnya. Sepi. Hanya sunyi yang membalas setiap pertanyaan lelaki itu. Lelaki itu menggaru kepalanya, semakin hairan. Dia melihat jam di tangannya. Jam itu mati. Tidak bergerak. Lelaki itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya, sejenak mengetawakan dirinya yang dungu itu.

“Mungkin aku salah dengar,” hatinya berbisik.

“Tidak! Engkau tidak salah dengar. Memang aku mengejutkan engkau bangun,” suara itu tiba-tiba menyerbu bersama angin ke wajah lelaki itu.

Terperanjat. Lelaki itu membeliakkan mata. Dicari suara itu lagi.

“Engkau tidak perlu mencariku. Cukup mendengarku,” suara itu bergumam seperti semilir petang yang damai.

Ketakutan mencengkam batin lelaki itu. Fikirannya mulai resah dan cemas.

“Gilakah aku? Tiada sesiapa di sini!” lelaki itu berkata dengan nada cemas bercampur gelisah yang amat sangat.

Tubuhnya menggigil walaupun dia terasa panas. Wajahnya pucat. Apatah lagi kesuraman malam di luar dan kegelapan biliknya melakarkan suasana gerun. Menakutkan. Suara itu tanpa belas memburu kewarasan lelaki itu. Mendera benteng batinnya. Menggugat setiap kesangsiannya. Akhirnya lelaki itu menyerah. Dan dibiarkan suara itu menguasainya.

********

Gadis itu sungguh cantik. Kulitnya putih bercahaya. Matanya bulat, besar. Bibirnya merah delima. Namun, dia kelihatan sungguh sugul. Entah kesedihan apa yang menyiksa batinnya.

“Itu. Kelarkan lehernya. Bebaskan dia dari kesengsaraan dunia,” suara itu berbisik ke telinga lelaki itu.

Kaget. Lelaki itu menggeleng-geleng kepalanya. Dia sedar itu salah! Mana mungkin Tuhan akan ampuninya kerana mengambil nyawa seseorang yang tidak berdosa.

“Engkau ragu? Engkau persoalkan kebenaran yang Dia berikan kepadamu?” suara itu bernada sedikit marah.

Lelaki itu mendekati gadis itu. Gadis itu terkejut melihat lelaki itu. Lelaki itu mengikuti setiap kata suara itu. Gadis itu ingin menjerit namun lidahnya terkunci. Matanya semakin besar. Takut.

Lelaki itu berkumat-kamit mengatakan sesuatu. Ditiup-tiup ke wajah gadis itu. Hembusan nafas dan kalimat-kalimat dari bibir lelaki itu membuat jiwa gadis itu tenang. Entah apa yang telah membuat gadis itu begitu akur kepada lelaki tersebut dengan mendadak.

Kasmaran. Matanya bersinar seakan melihat wajah Tuhan. Lalu dengan rela, dia serahkan lehernya kepada lelaki itu untuk dikelar. Senyuman memekar di bibir merah delimanya.

“Aku rela. Aku sanggup. O Tuhan, kuserahkan rangka ini kepada bumi. Dan aku milik-Mu. Ambillah nyawaku untuk menjadi penghuni di rumah-Mu. Temuilah aku kepada hakikat cinta-Mu.”

Lelaki itu memandang gadis itu tanpa secuit keraguan. Dia membelai pipinya lalu dikeluarkan sebilah badik.

Suara itu pun bertitah,”Sekarang!”

Tanpa bantah, dikelar leher jinjang itu. Gadis itu menggelepar beberapa minit. Ah, begitu tersiksa ketika sang nyawa berpisah daripada kekasihnya, si raga.

Alam terkapar. Antara gerun dan takjub, menyaksikan penyembelihan gadis itu. Cahaya dari wajah gadis itu beransur-ansur hilang. Matanya yang bernyala kini terpadam. Akhirnya segala terlepas. Terlepas dari kurungan sengsara.

“O Tuhan…” kalimah itu terlepas daripada mulut lelaki itu.

Lelaki itu berlari kencang seperti kuda binal yang lagi mengamuk. Matanya merah. Bahunya, hatinya terasa berat. Berat membawa beban sesal dan dosa. Ingin sahaja dia meragut nyawanya sendiri kerana tergamak melakukan perbuatan yang terkutuk itu.

“Pembunuh! Aku pembunuh! Pembunuh!” bertalu-talu dia mendera batinnya dengan kutukan paling sakit.

“Hahaha… Syabas! Untuk apa engkau merintih sedangkan engkau telah melepaskan gadis itu daripada penderitaan dunia. Gadis itu hanya pelacur! Pelacur! Engkau telah merdekakan dia! Engkau telah mengambil dosanya!” suara itu bergema lantang di dalam otak, urat-saraf darahnya dan setiap ruang dalam jiwanya.

Lelaki itu menutup telinganya sambil menjerit. Orang ramai yang ada di situ terpinga-pinga melihat aksi lelaki itu. Namun dibiarkan sahaja lelaki itu berkelakuan sedemikian. Mereka hanya memandang kebingungan lalu meneruskan urusan masing-masing.

********

Letih. Raganya terasa amat letih. Mindanya terasa berat. Namun lagi berat beban sesal yang ditanggung sepenuhnya oleh hati. Lelaki itu duduk tercangkung. Nafasnya tercungap-cungap. Paru-parunya turut terasa tersiksa dan sukar untuk menghirup udara malam itu.

Di lorong gelap serba kotor dan busuk, lelaki itu mencari sekilas kedamaian. Kini, dia tidak dapat pulang ke rumahnya, menuntut kehangatan rasa selamat, keselesaan yang sering dia ambil enteng, kerana dia sedar, polis pasti memburunya. Polis pasti sedang menantinya di celah-celah ceruk untuk menangkapnya lalu menghumbannya ke lubang neraka.

“Hahahaha… untuk apa kau-biarkan rasa takut menghukummu? Dunia ini hanya terbagi pada dua… hitam dan putih! Dan engkau kini putih-seputihnya. Apa yang engkau lakukan adalah kebajikan buat manusia dan alam. Manusia begitu jahil! Bodoh! Maka engkau hadir untuk selamatkan mereka daripada najis-najis nista yang dicipta mereka sendiri!” suara itu menyusup-nyusup dengan tangkas lalu seperti bayu mengitar sekeliling lelaki itu.

“Engkau hanya ilusi! Ilusi! Pergi! Engkau telah menjadikan aku seorang pembunuh! Pembunuh! Sudah tujuh orang yang tidak berdosa menjadi mangsamu!” teriak lelaki itu.

“Aku? Tidak! Engkau yang bunuh mereka. Aku hanya bisikkan, engkau diberi hak untuk membuat pilihan! Hahahahaha…” suara itu mendengus ke wajah lelaki itu.

“Tidak! Tidak! Tidak!” seperti seseorang yang hilang akal, lelaki itu menjerit pada kekosongan yang wujud di lorong gelap itu.

Mondok-mondok dan haiwan malam hanya diam menyaksikan gelagat lelaki itu.

“Mengapakah engkau letakkan beban itu di pundak jiwamu? Lepaskan! Bukankah aku sudah memberi peringatan, kekuasaan yang engkau ada harus engkau naungi dengan bijaksana. Lupakah engkau? Mengapakah engkau biarkan rasamu menguasaimu? Rasa itu lahir daripada nafs, nafsu! Bebaskan dirimu daripada rantai nafs seperti engkau bebaskan jiwa-jiwa yang malang itu!” suara itu begitu bijak memujuk lelaki itu.

Kata-kata suara itu membuat beban yang dipikul terasa ringan sedikit. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia biarkan udara pengap lorong itu masuk dan menjelajah setiap urat nadinya.

“Ya, dunia ini sudah terlalu nazak. Sudah tiba masanya, aku membasmi setiap jalan yang menuju kesesatan! Aku perlu lakarkan dunia baharu di mana kesengsaraan tiada tempat untuk membiak dan menular dengan pesat kerana… kerana aku akan bawa mereka ke tempat kebenaran! Ya, ke tempat kebenaran!” mata lelaki itu menyala dengan keazaman yang kuat.

”Benar! Engkau akan bawa mereka ke tempat kebenaran! Ke tempat kebenaran!” suara itu girang, menari-nari di atas ombak angin sambil berputar-putar keasyikan.

Para mondok, serangga dan haiwan malam yang berada di situ bertempiaran berlari tatkala mendengar kata-kata lelaki itu. Seakan makhluk itu faham dan terasa terancam. Ya, terancam. Kini tiada selamat. Tiada yang akan selamat.

********

Lelaki itu dengan wajah yang tenang berdiri di tengah-tengah kesibukan. Mulutnya masih berkumat-kamit membaca sesuatu. Ada masa, dia tersengih lalu tersenyum. Ada masa, dahinya berkerut dan matanya membesar.

Suara itu masih setia memberi bisikan demi bisikan. Ada waktu tertentu memberi arahan, ada kalanya diam dan turut membaca petikan-petikan yang dibaca oleh lelaki itu. Tanpa peduli akan wajah-wajah hairan yang lalu-lalang di situ. Tanpa rasa malu akan manusia-manusia yang kebingungan melihat aksi lelaki itu.

Tiba-tiba… lelaki itu melaung dengan kuat:

“Pada setongkat haq
mereka ingin membelah langit
abu-abu.
Agar yang turun wahyu
bah dari lukanya kesesatan
 
waktu.
 
…menolak bala tentera
yang menelan kereta kuda
firaun.
Biar tenggelam segala nista
yang berkurun-kurun hidup
di dada.
 
Maka bergempik-gempiklah
o para penyulam kata bijak
kiamat lama menanti
turunnya Sang Isa
 
tongkat ini menanti Musa
 
membelah langit.
membelah langit!”

Semua tergamam dan berhenti. Wajah-wajah mereka bertukar warna. Pucat. Takut. Rasa itu menerpa dengan mendadak ke dalam kalbu mereka tanpa sebab. Mungkin suara lantang lelaki itu yang mewujudkan suasana tersebut. Dengan sepasang mata terbeliak bersama dentuman guruh yang bertempik tanpa amaran, lelaki itu menjerit:

“Dan aku atas haq-Nya akan membasmi sekalian nista di muka bumi ini!”

Suara itu turut bertemasya dengan mengeluarkan bunyi berdesing nyaring. Dari suaranya, keluarlah puting-beliung yang dahsyat, berligar-ligar dengan asyik. Mencabut semua kenderaan, pokok-pokok dan apa sahaja yang menghalanginya.

Maka gegap gempitalah bumi yang sudah berkurun lama disalib kecurangan manusia. Menggelepar, bagaikan seekor ayam yang disembelih, saat nyawanya diragut al-maut dari raganya…

Lelaki itu melutut sambil meraung. Dibiarkan sahaja rahim bumi terbelah lalu menelannya. Raungannya. Hiba. Sehiba-hibanya tangisan seorang ibu yang kehilangan anaknya.

Dan saat… tubuhnya masuk ke dalam rahim bumi, suara itu turut membelah langit. Langit turut bergoncang. Hebat sekali goncangan langit. Semua yang menyaksikan turut melutut, ada tangan menadah ke langit, ada menggenggam dua tangan lalu letakkan ke dada. Wajah-wajah yang dahulunya menolak kebenaran kini mulai percaya. Ah… mereka terlanjur terlambat.

Suara-suara yang menggigil kemudian sayup-sayup berbisik, “O Tuhan, ampunkan kami!”

Dalam sesaat, semuanya terpadam. Semuanya lebur. Gelap.


TENTANG PENULIS:

Noor Aisya Buang menulis sajak, cerpen dan juga esei. Sajaknya pernah tersiar di akhbar Singapura, Malaysia dan juga Indonesia. Buku himpunan puisi Kastil Aisya memenangi kategori buku sajak di Anugerah Persuratan Singapura 2015 dan disenaraipendek dalam Hadiah Sastera Singapura 2016. Cerpennya ‘Labirin’ mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Pena Emas 2017. Kini, buku puisinya yang kedua Cahaya Dalam Sunyi sudah diterbitkan.


Anda juga minat mengarang cerita pendek? Ayuh, sertai Sayembara Cerpen NYALA! Dapatkan butir-butir lanjut di pautan ini => https://goo.gl/Ch4zMQ


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial