Cinta Aotearoa

Sehari lagi. Mungkin dua. Selambat-lambatnya tiga. Sabarlah hati. Aku pasti dijumpai. Harus pasti. Aku mahu hidup. Belum bersedia menemui Malaikat Maut. Ya Tuhan, panjangkanlah umurku. Berkatilah waktuku. Kirimkanlah seseorang untuk menemui dan membantuku. Aku tidak mahu dimamah berenga di tengah-tengah kehijauan ladangku yang sedang mekar berbunga ungu lavender. Tidak mahu melumari bumi beralunan hijau yang menyuburi jiwaku yang pernah mati seketika dahulu. Aku mesti menghubungi Daniel. Dia harus tahu yang aku tidak pernah melupakannya. Bahawa kasihku padanya tidak pernah luput walau sedikit pun selama mana kita tidak bertemu.

Engsotlah sedikit ke kanan untuk mencapai telefon bimbit yang tercampak di tepi batu kolam itik itu. Arrggh! Sakit! Sakit! Bisa berdenyut! Semestinya patah kedua kakiku yang masih terjerat di bawah jentera pacu empat rodaku itu. Bagaimana jenteraku boleh terbalik dan menghempapku semalam? Cuai. Sungguh cuai. Tidakkah sepatutnya aku lebih tahu yang tanah berlecak boleh menggelecekkan jenteraku? Mengapa aku masih berdegil menjalankan kerja-kerja ladangku dalam keadaan basah berlecak setelah hujan seminggu? Kini, siapa yang akan menyelamatkan aku jika tidak Tuhan yang Maha Berkuasa? Sam! Sam! Di mana kau anjing gembala setiaku? Temanilah daku, kawanku. Jangan kau tinggalkan daku seorang diri di sini.

Ohhh, langit semakin merah buat kedua kalinya. Semakin berarak lalu awan putih nan panjang bersama langit merah itu. Aku pernah mencintai langit itu. Bumi di bawah naungannya pun aku hargai lebih daripada bumi tanah tumpah darahku. Bumi keluargaku. Tidak lagi! Aku mesti bangkit dari pembaringanku. Anakku Daniel mesti aku khabarkan. Aku tidak tahu berapa lama lagi nafas ini akan bertahan di dalam kerongkongku. Engsotlah sedikit ke kanan. Panjangkan capaimu. Kau boleh melakukannya! Demi Daniel! Demi hidup! Demi matahari dan bintang yang masih ingin kau tatap esok lusa!

Engsot. Capai. Engsot! Capai! Engsot!!

Gelap. Sakit di kakiku mula menjalar ke seluruh tubuhku. Menerobos kepalaku yang sudah mula naik pitam. Ketapan bibirku tidak dapat membendung bisa. Capaiku tak kesampaian. Hanya pasrah menemaniku. Kelopak mataku mula berat. Tompok-tompok hitam kian menari-nari di dalam kepalaku.

Hei, apa ini? Telefon bimbitku tiba-tiba berada di dalam genggamanku. Genggaman yang sudah mula longgar dengan pasrah. Aku terkebil-kebil membuka mata dengan perlahan-lahan. Sam, Sam kawanku. Kau datang menghulurkan telefon bimbitku dengan mulutmu. Tuhanku, kau kirimkan penyelamatku. Bateri telefonku hanya tinggal 40 peratus kekuatan. Tidak sempat membuat panggilan jauh. Sekadar menghantar pesanan. Tumpukan penglihatanmu. Ayuh, lembutkan jari-jemari mu. Tekanlah punat-punat itu dengan tekun. Daniel mesti aku hubungi sebelum Malaikat Maut menjemputku.

Anakku Daniel,

Ayah tidak pernah melupakanmu. Walau jauh di negeri orang, foto Daniel tetap tersisip di dalam dompet ayah yang ayah bawa ke mana-mana. Setiap hari, ayah menatap foto Daniel semasa berehat setelah menjalankan kerja-kerja ladang ayah di sini. Pada rumput hijau yang mengenyangkan kambing-kambing ayah, pada angin mendesir yang melentukkan bunga-bunga lavender ayah dan pada awan putih panjang yang meneduhkan tanah ayah – di setiap sudut itu ayah jelas melihat wajahmu dan merinduimu. Yang bercerai pahit hanya ayah dan ibumu. Kau tetap milikku walaupun ibumu melarang ayah berjumpa denganmu. Ahh, tinggalkanlah cerita ibumu. Ayah bekerja di sini mengumpul harta untukmu. Datanglah ke sini setelah ayah pergi kerana ayah akan pergi tidak lama lagi. Ayah tidak menitipkan harta untukmu melalui ibumu selama ini kerana tidak yakin akan sampai ke tanganmu. Janganlah Daniel berkecil hati dengan ayah. Yakinlah yang ayah sentiasa mengingati dan menyayangimu walaupun setengah dunia kita berjauhan. Setiap bulan ayah menulis surat kepadamu. Di situlah ayah mencurah isi hati ayah untukmu. Hanya surat-surat itu tidak pernah ayah kirimkan padamu kerana tidak yakin dapat dibaca olehmu. Kini, surat-surat itu ayah ketepikan dan simpan elok-elok di dalam laci di bawah katil ayah. Datanglah sini, ya Nak, selepas ayah pergi, untuk menuntut hakmu. Ayah berbuat semua ini hanya untukmu. Anakku. Jantung hatiku.

Di mana punat hantar? Ahh, rintik-rintik hujan sudah mula mengaburi mataku. Ini dia. Alhamdulillah. Semoga Daniel dapat membaca dan memahami isi hatiku. Hanya tinggal 10 peratus saja kekuatan bateri telefon bimbitku. Lima belas tahun terlalu panjang masa perpisahan antara aku dan Daniel yang ketika itu hanya berusia enam tahun. Aku mula menekan nombor hospital terdekat Waikato yang berbatu jauhnya dan memberi maklumat separuh jalan sebelum nyawa telefonku pupus begitu saja. Kini aku hanya mampu menunggu. Nyawaku di dalam tangan-Mu, ya Tuhan.

Rintik-rintik hujan semakin lebat. Mula bercampur dengan airmataku. Aku membuka mulut menadah dan merasakan kemanisan air yang telah dua hari tidakku jamah. Mungkin ini air yang terakhir membasahi tekakku. Hujan semakin rancak. Sejuk menggigil pula sehingga ke tulang. Adakah aku sedang dimandikan sebelum bertemu Penciptaku? Sam merehatkan kepalanya di perutku. Betapa setianya engkau Sam yang rela bermandi hujan bersamaku.

Hitam lagi. Terbayang wajah comel Daniel semasa aku menimangnya dua puluh tahun lalu. Senyum tawanya menyembunyikan retak-retak yang sudah mula menjalar membelah mahligaiku di waktu itu. Mahligai yang baru kubina selama tiga tahun. Memang cinta itu buta. Tuli juga. Bila aku bertemu Anisah berselingkuh dengan jantan lain di dalam kamarku, aku naik gila. Mencapai segalanya dalam jangkauan dan menghempas ke arah kedua-duanya. Tidakku nampak Daniel yang pada masa itu baru bertatih, dalam pandangan kabur kegilaanku. Akibatnya Daniel cedera kerana terkena balingan kerusiku pada jantan perosak rumahtanggaku itu. Daniel dimasukkan ke hospital selama seminggu dan aku dilaporkan kepada polis oleh Anisah. Berbulan aku meringkuk di penjara memikirkan keadaan anakku yang telah aku sakiti dengan tidak sengaja. Aku diminta cerai dan hak penjagaan Daniel diberikan kepada Anisah. Jahanam Anisah! Hatiku remuk-redam. Anisah telah menghalang aku menjenguk anakku. Memohon perintah perlindungan peribadi setiap kali aku cuba mendekati Daniel. Seperti aku yang jahat. Yang tidak berhati perut. Aku naik bosan! Hatiku pilu! Setiap kali aku hanya dapat mengintai Daniel dari jauh – bila Daniel kembali dari tadika dan bila Daniel bermain di taman permainan. Namun, gambaran itulah saat-saat terindah yang kucoret dalam memoriku tentang Daniel. Aku membawa diri ke negeri Maori, bekerja keras untuk menyatukan kepingan hatiku yang berderai. Juga demi membina masa depanku bersama Daniel.

Airmataku kini selebat hujan yang melencunkan tubuhku. Aku bersyukur dapat berhubung kembali dengan Daniel melalui telefon setelah Daniel semakin dewasa. Abangku dapat meyakinkan Daniel tentang ayahnya yang tidak dia ingati. Dua tahun aku berhubungan dengannya melalui telefon. Pada mulanya, Daniel teragak-agak berbual denganku tetapi lama-kelamaan aku mengesan kemesraan di dalam suaranya. Sehinggalah minggu lalu. Daniel membisu seribu bahasa. Sepuluh patah kataku – sepatah jawabnya di telefon. Perkara ini mesti angkara Anisah, ibunya. Tidak lama selepas itu panggilanku tidak dijawab lagi. Berpuluh pesanan telah kutinggalkan tanpa balasan. Aku mula kecewa seperti dulu. Ya, aku mula berputus asa. Ditinggal terkapai-kapai seperti pertama kali aku berpisah dengan anakku. Apakah kini Daniel akan membaca pesananku yang terakhir?

Ragu-ragu mula bermain di benakku.

Pilu di hatiku tiba-tiba memuncak, mengatasi sakit berbisa di kakiku. Aku lebih rela dijemput Maut kini bila menyedari yang cinta Aotearoaku telah mengelabui mata hatiku selama ini. Aku telah meninggalkan kehidupanku di Singapura dan mengharapkan dapat memulihkan hatiku yang luka di sini. Palsu! Palsu semata! Aku seharusnya berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mendapatkan Daniel setelah berpisah dengan Anisah. Anisah yang jahat, bukan aku. Terlalu mudah aku berputus asa dua puluh tahun yang lalu. Inikah balasannya, ya Tuhanku?

Berdenyut-denyut kini sakit di seluruh tubuhku. Serentak dengan pilu yang mencengkam jiwaku. Rasa berbisa dari hujung rambut hingga ke hujung kakiku. Kedinginan menyelimuti badanku. Hampir sangatkah Maut denganku? Di sebelah pembaringanku? Hanya menunggu memelukku untuk dibawa pergi? Ampunkanlah dosaku, ya Tuhanku, yang tiada duanya. Bersaksilah bahawa aku telah cuba menjalani hidupku dengan sebaik mungkin seperti sangkaanku.

Hitam lagi. Pekat kini. Tidak berdaya untukku membuka mata. Letih. Lontai. Dahaga. Aku kini bersama ibu yang telah lama pergi. Ibu menghulur tangannya padaku. Aku menyambutnya. Terima kasih ibu kerana memberiku kehidupan. Terima kasih.


TENTANG PENULIS:

Titi Murni Monir bertugas sebagai seorang guru Sejarah dan Pengajian Sosial selama 21 tahun. Beliau pernah menyertai Peraduan Mencari Kristal 2016 yang dianjurkan Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC). Empat buah cerpen beliau yang bertajuk ‘Mentari Malam’, ‘Sentuhan Almyra’, ‘Kelas 1986’ dan ‘Warkah Untuk Puteri’ diterbitkan di Berita Harian pada tahun 2017.


Karya ini menerima Hadiah Sagu Hati untuk Sayembara Cerpen Nyala bulan Mei 2018 yang bertemakan “Surat. Diari. Monolog.”


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *