Ciri-Ciri Sastera Tradisional

Ciri-Ciri Sastera Tradisional

Kesusasteraan Melayu Tradisional atau Tradition literature adalah perintis kelahiran sastera moden dan mutakhir sehingga kini. Kesusasteraan Melayu tradisional secara umumnya terdiri dalam bentuk lisan dan bertulis (tidak bercetak) juga dikenali sebagai sastera kuno, klasik, lama, tua dan purba oleh segelintir pengkaji sastera telah mencetuskan beberapa kontroversi meskipun istilah-istilah tersebut merujuk kepada satu genre yang sama. Genre ini terbahagi kepada bentuk prosa dan puisi serta mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Terdapat beberapa sarjana yang meletakkan istilah kesusasteraan tradisional adalah lebih tepat dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu kerana kumpulan genre ini dihasilkan dalam budaya tulisan berbanding sastera lahir dalam tradisi lisan adalah jelas dilabelkan sebagai “sastera lisan” pada masa kini. Menurut penulisan Noriah Taslim (1993) kelahiran kesusasteraan Melayu tradisional menjadi semakin rancak selepas kemasukan Islam pada awal ke-15, hal ini dapat dikaitkan dengan sastera Melayu tradisional yang dihasilkan dalam kepelbagaian. Seumpamanya banyak karya-karya sedemikian yang lahir dalam bentuk manuskrip.

Melalui tradisi penulisan tersebut, kajian terhadap kesusasteraan Melayu tradisional semakin meluas kerana dapat melahirkan beberapa penemuan-penemuan baru yang pelbagai sifatnya.
Karya-karya tergolong dalam kesusasteraan tradisional yang sering mendapat perhatian para pengkaji seperti sastera hikayat, undang-undang, ketatanegaraan, adab, syair, seloka nazam, ruba’i, gurindam dan sebagainya. Dalam meletakkan karya-karya sastera tradisional Melayu terdapat beberapa ciri yang perlu dikenal pasti bagi menentukannya sebagai karya yang tergolong dalam korpus tersebut.

1. Salah satu ciri karya tradisional adalah milik kolektif iaitu milik bersama. Dalam konteks ini sastera tradisional lahir dalam kalangan masyarakat biasa atau bawahan yang berkhidmat di istana-istana di raja. Mereka ini dikenali sebagai pengarang, perawi, pujangga dan juru tulis . Mengikut siti Hawa Salleh (1997) sastera tradisional lahir dalam kalangan penulis istana kerana pada abad ke-15, kemasukan Islam ke Nusantara telah membawa budaya tulisan dan karya telah ditulis atau dikarang oleh penulis istana berkhidmat di istana.

Kemasukan Islam di Nusantara telah membawa era penulisan baru kepada perkembangan Ssejarah kesusasteraan Melayu kerana telah banyak karya-karya sastera Melayu tradisional ditulis dan disalin mengikut kepelbagaian tema, pengaruh dan sifatnya. Salah sebuah karya sastera Melayu tradisional yang amat turut diperbincangkan secara berulang-ulang kali oleh para sarjana sehingga kini seperti Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai dan sebagainya.

Karya-karya sebegini tiada diketahui penulis asalnya melainkan hanya beberapa karya sahaja yang ditulis tentang identiti penyalinnya sahaja. Hal ini bermakna kelahiran karya ini adalah tidak bersifat individual seperti mana karya-karya sastera moden. Bentuk penulisan karya-karya sastera tradisional sedemikian adalah bersesuaian dengan zaman kelahiran karya-karya seperti ini kerana penulisan yang dihasilkan mempunyai tujuan tertentu sama ada sebagai bahan satira, panduan, moral, salasilah keturunan dan sebagainya.

2. Sehubungan itu, keunikan karya-karya sastera tradisional juga dapat dikesan melalui penggunaan bahasa klasik. Bahasa klasik ini adalah merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam istana dan kisah penceritaannya juga difokuskan kepada alam realiti berbanding penceritaan dalam sastera rakyat lebih menjurus kepada unsur-unsur dongeng yang dilambak-lambakan. Dalam mengenal pasti bahasa istana atau klasik yang digunakan, pengarang akan menggunakan gaya bahasa seperti arkaik, kiasan, pemerian dan sebagainya.

3. Dalam penggunaan tema pula, lazimnya karya-karya sastera Melayu tradisional akan berpusatkan kepada jatuh bangun sesebuah kerajaan, salasilah keturunan dan hubungan diplomatik antara kerajaan. Contohnya dalam Hikayat Raja Pasai secara jelas menggambarkan kejatuhan Kerajaan Pasai akibat daripada corak pemerintahan tidak berlandaskan ajaran Islam.

4. Sastera Melayu tradisional juga turut mempunyai ciri seperti bersifat fungsional, dihasilkan sebelum 1800, tidak dibatasi oleh waktu, tarikh dan zaman dan mencerminkan sesuatu bangsa.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial