Duta Nestapa

Ali Baba dan 40 penyamun.

Ralat.

Ali Baba dan 40 tempayan.

Bezanya, kalau tempayan Ali Baba, isinya sama semuanya – penyamun. Penyamun yang mungkin beraneka bentuk dan rupa, berlainan riak wajah dan berlainan warna kulit, namun tetap sama – penyamun. Tapi tempayan-tempayan yang dibawanya pada hari itu semuanya berlainan pula kandungannya. Zahirnya tampak serupa, namun isinya sangat berbeza. Penyamun tetap penyamun, tapi bukan di dalam; sebaliknya di luar.

Rasyasya tidak mempedulikan ratusan mata yang sejak tadi mengekori setiap gerak langkahnya. Sesekali dia menoleh juga. Sesekali dicampakkan juga sekuntum dua senyuman mesra. Sekadar untuk memecahkan ketegangan. Sesekali dapat juga balasan berbentuk senyuman-senyuman hambar yang tiba-tiba merekah dek rasa disergah dan dipaksa. Namun, yang lebih banyak diterima hanyalah kerut yang berkedut-kedut di antara dua kening. Ada yang terlalu dalam, mencerminkan sedalam mana kemusykilan yang sudah mula terbentuk dalam akal dan fikiran. Di dewan persidangan itu, keramahan mungkin terlalu mahal. Harga untuk beramah-tamah apatah lagi untuk menyapa mungkin di luar kemampuan manusia-manusia ini. Tidak mengapalah. Kedatangannya pun bukanlah atas rangka lawatan muhibah. Agendanya pun bukanlah untuk menebar jaringan persaudaraan. Sudah cukuplah agenda yang ditempayankannya pada hari itu. Tidak perlulah ditambah-tambah lagi.

Namun, dia tetap terasa rimas, lebih-lebih lagi apabila dewan persidangan itu tiba-tiba terasa seperti sebuah panggung wayang bisu. Yang menggerunkan, dialah satu-satunya pelakon dalam filem itu. Dialah satu-satunya pendukung ceritanya manakala yang lain hanyalah penonton yang penasaran; yang tidak berkelip biji mata, menanti dan meneliti lembar demi lembar kisah yang bakal didedahkan satu per satu. Semua pandangan tertancap ke arahnya, baik yang terang-terangan ataupun yang secara mencuri-curi.

“Salam.”

Tiba-tiba timbul sapaan pertama. Ada getaran yang berekor di hujung suara itu; suara yang terpantul keluar antara mahu dengan tidak; antara berani dengan takut; antara yakin dengan tidak pasti. Sedikit pun si empunya suara itu tidak menyangka salam yang dihulurkannya itu diam-diam menjadi kunci yang melepaskan Rasyasya daripada cengkaman keresahan yang mencerut dirinya sejak kali pertama menjejakkan kaki ke dalam dewan persidangan itu.

“Salam,” jawab Rasyasya ringkas.

Tangan yang terhulur disambutnya dengan penuh mesra, digenggamnya erat dan digoncangnya dengan riang beberapa kali. Senyuman di bibir masing-masing semakin melebar. Namun, hanya mata-mata mereka yang terus berbicara, bertanya khabar, berbalas salam ukhwah. Mungkin kata-kata terlalu mahal untuk ditabur begitu saja.

“Saya Tulatula, wakil dari Mobidiki.”

“Saya Rasyasya, wakil Vulandatu.”

“Vulandatu? Oh, tuan rupanya Rasyasya Vulandatu! Saya sering mendengar tentang Tuan. Malangnya tidak pernah berpeluang untuk bertemu.”

Pernyataan Tulatula membuat Rasyasya terasa tidak senang hati. Apakah yang telah dia dengar tentangnya? Apakah cerita-cerita tentang dirinya, si wakil Vulandatu itu, yang diperkatakan orang sehingga sempat pula dijejeh sampai ke telinga si wakil Mobidiki itu?

Di persimpangan antara kemusykilan dan keinginan untuk tahu, Rasyasya cuma mampu mengangguk-anggukkan kepalanya. Hakikat bahawa ada orang yang memendam keinginan untuk bertemu dengannya baginya cukup melucukan dan menggeletek perasaan. Manakan mampu bertemu sebelum ini kerana dia sendiri memang jarang tampil menghadirkan diri dalam persidangan-persidangan dan pertemuan-pertemuan rasmi seumpama itu. Skop tugasnya terlalu luas. Masanya terlalu terbatas. Dari Wakil Vulandatu ke Penolong Wakil Vulandatu… ke setiausaha Wakil Vulandatu… ke bendahari Wakil Vulandatu… ke pegawai pentadbiran Wakil Vulandatu… ke pemandu peribadi Wakil Vulandatu. Dia seorang yang sandang semuanya. Berat. Namun tetap disanggupinya.

Cuma kali ini dia rasa terpanggil untuk turut serta. Cukup terpanggil. Dia rasa dia sudah bersedia untuk menjalankan tugas yang seterusnya.

Apabila cukup tempayan yang ke-40 dibawa masuk ke dalam dewan, Rasyasya pun melangkah masuk ke perut dewan menuju ke tempat duduknya. Entah kenapa terasa segan pula apabila setiap langkah diteliti dan diekori oleh bola-bola mata yang pelbagai bentuk dan rupa; yang bulat, yang bundar, yang sepet, yang cengkung, yang rabun, mahupun yang buta.

“Tempayan-tempayan itu…”

“Tempayan Ali Baba!” seloroh Rasyasya.

Senyuman si penyapa tiba-tiba menjadi tawar. Tulatula tidak menyangka akan menerima jawapan murahan seperti yang biasa didengarinya di tengah-tengah khalayak kebanyakan. Tidak beralas. Namun, dia pelik. Bunyinya ikhlas dan tiada sebarang salut kepura-puraan.

“Macam-macam khazanah ada di dalam!” Tiba-tiba Rasyasya melontarkan satu lagi gurauan untuk cuba menyelamatkan keadaan.

Jawapan seloroh yang sengaja dipasak dengan jurus mengelak itu membuat Tulatula terdiam. Mungkin belum tiba masanya untuk dia mencungkil rahsia 40 biji tempayan itu. Rasanya dalam persidangan nanti tentulah misteri tempayan-tempayan itu akan terdedah juga. Kalau tidak ada berada masakan tempua bersarang rendah, sangkanya. Kalau bukan untuk dimuntahkan segala isinya, takkanlah dibawa jauh-jauh kesemua 40 tempayan itu. Pembesar-pembesar lain semuanya datang berlenggang. Paling tidak pun cuma berteman fail yang terkepit di bawah ketiak, atau dengan alat-alat komunikasi yang terkini dan tercanggih. Cuma Rasyasya seorang yang datang membawa titipan yang luarbiasa.

Tulatula menjungkitkan semula senyuman di bibirnya.

Tepat jam dua petang, persidangan dimulakan. Kesemua wakil dari benua ketujuh itu mengambil tempat masing-masing.

“Yang saya muliakan, Tuan Pengerusi, dan tuan-tuan duta sekalian,” mula Rasyasya, apabila tiba gilirannya untuk berhujah.

“Ya, Rasyasya dan 40 penyamun! Silakan…” usik Tuan Pengerusi.

Hampir seluruh dewan persidangan ikut tertawa. Serentak. Semangat kesatuan tampak terserlah. Kewibawaan dan aura kepimpinan Tuan Pengerusi tampak ketara.

“Ooops! Maaf. Tuan Rasyasya dan 40 tempayannya. Silakan, Tuan…”

Seraya Tuan Pengerusi mengangkatkan tangan kanannya, seluruh dewan kembali senyap. Terlalu senyap sehingga rasanya jika muncul seekor nyamuk terbang lalu di dewan itu pasti akan terdengar dengungan kibas sayapnya.

Kerenah dan keletah wakil-wakil daerah di seisi dewan itu menambat perhatiannya. Tercuit sedikit rasa nakal di hatinya. Rasyasya terdorong untuk cuba meniru gaya Si Tuan Pengerusi. Diangkatkan tangan kanannya, persis seperti yang dilakukan Tuan Pengerusi sebentar tadi. Namun, tiada sebarang respons daripada wakil-wakil yang lain. Perlahan-lahan dipusingkan pula badannya 360 darjah. Pandangannya menyapu seluruh dewan. Dipastikannya semua orang di dalam dewan itu dapat melihat tangannya yang masih diangkat seperti Tuan Pengerusi tadi. Namun, masih tidak ada sebarang tindak balas kecuali riak-riak wajah yang kelihatan bertambah pelik dengan gelagatnya.

“Ada apa, Tuan Rasyasya?” sapa Tuan Pengerusi.

“Ternyata tangan saya tidak sehebat tangan Tuan Pengerusi,” jawab Rasyasya. “Tidak ada sakralnya. Tidak ada kuasa magisnya,” tambah Rasyasya lagi.

Berderai tawa Tuan Pengerusi melihat si anak punai ingin mengukur paruh dengan geroda dari kayangan.

Dewan mula dipenuhi dengan sosek-sosek para hadirin yang rata-rata cuba mempersoal hak Rasyasya bersikap biadab dengan melontarkan sindiran yang sebegitu terhadap Tuan Pengerusi. Sedikit demi sedikit bisik-bisik dan sosek-sosek hilang kawalan sehingga keadaan menjadi lebih bergemuruh.

Tuan Pengerusi mengangkat tangannya sekali lagi. Dewan kembali sepi.

Rasyasya tersengih sendiri. Keningnya terjungkit-jungkit riang kerana hipotesisnya terbukti benar. Tuan Pengerusi ternyata hebat. Para hadirin ternyata jinak.

“Tuan Pengerusi, dan tuan-tuan sekalian, saya Rasyasya, wakil dari Vulandatu. Bagi yang tidak atau belum mengenali Vulandatu, Vulandatu sebenarnya sebuah kawasan…”

Tangan kanan Tuan Pengerusi diangkat lagi, kali ini mematikan pula mukadimah Rasyasya.

“40 tempayan itu, Tuan Rasyasya. Terus saja ke 40 tempayan itu,” arah Tuan Pengerusi.

Arahan itu membuat Rasyasya terkilan. Baginya, dewan perlu mendengar tentang Vulandatu. Mereka perlu kenal Vulandatu. Mereka perlu tahu akan kewujudan Vulandatu. Tak kenal maka tak cinta, fikirnya. Tak kenal maka tak peka. Tak kenal maka tak peduli. Jika tak kenal, maka tak wujudlah Vulandatu bagi mereka. Sudah terlalu lama nama Vulandatu dipinggirkan oleh bibir-bibir mereka, dikikis dari hati-hati mereka.

“40 tempayan itu, Tuan Rasyasya?” desak Tuan Pengerusi.

“Kematian. Penderitaan. Penyiksaan. Pencabulan. Pembunuhan. Pemerkosaan.”

Tangan kanan Tuan Pengerusi diangkat lagi. Kali ini lebih tinggi.

“Tuan Rasyasya. Saya harap Tuan Rasyasya faham, Tuan tidak akan ada masa untuk berucap tentang keempat-empat puluh tempayan Tuan itu satu demi satu ya. Tuan hanya punya lima minit sahaja. Kita bersidang bukan untuk mendengar cerita Ali Baba dan 40 tempayan sahaja. Ini bukan dongeng seribu satu malam. Ini bukan persidangan sastera dan kita bukan angkatan penglipur lara yang datang untuk mendengar cerita-cerita rakyat! Terus ke perkara pokoknya sahaja!”

“Pokoknya kematian, penderitaan, penyiksaan, pencabulan, pembunuhan, pemerkosaan dan macam-macam lagi, Tuan Pengerusi, hari ini menjadi menu harian kami di Vulandatu. Setiap hari, setiap jam, setiap waktu, ada sahaja yang hilang nyawa, hilang kehormatan, hilang harga diri, hilang tempat bergantung, hilang punca, hilang kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Di Vulandatu, harga nyawa sudah jadi terlalu murah.”

Rasyasya jeda seketika. Dilihatnya keadaan sekeliling. Dipandangnya Tuan Pengerusi. Tangan kanannya masih di atas meja. Hujah-hujahnya masih boleh diteruskan.

“40 tempayan dari Vulandatu. Inilah ikhtiar penghabisan kami demi kelangsungan hidup kami. Di Vulandatu, bukan sahaja para penduduknya, malah bumi yang kami pijak juga sudah habis muflis. Jika dahulu Vulandatu kaya dengan logam, minyak, emas, kayu balak, batu permata… kini ia sudah tidak punya apa-apa. Semuanya sudah digali, ditebang, disodok, disondol, diragut daripada kami. Semuanya sudah bertukar tangan. Ada tanah, tanah dicagar. Tinggal bukit, bukit pun ditarah. Tinggal batu, batu pun dijarah. Tinggal air, air pun diperah, sehingga habis kering kolam, tasik dan sungai air tawar yang menjadi sumber kehidupan penduduk. Malah, segala jenis pokok yang berdaun dan berbuah pun sudah botak semuanya. Yang tinggal hanya padang jarak padang terkukur.”

“Di Vulandatu tidak ada teknologi?” sindir wakil dari Alawina sambil melambai-lambaikan tablet komputer dari mejanya. Imej yang sama terpapar di layar-layar skrin gergasi di sekeliling dewan. “Kenapa tidak dipaparkan saja melalui maya secara langsung? Atau dirakam untuk ditayangkan. Mengapa perlu dipikul tempayan-tempayan ini semua?”

“Ada, Tuan. Tapi di tablet komputer Tuan juga ada butang ‘delete’, bukan? Butang ‘hapus’? Buang? Sisih? Ada ikon ‘bakul sampah’? Teknologi itu ciptaan manusia, tuan-tuan, manusia-manusia bijak. Namun, ada satu golongan lagi yang lebih bijak, tuan-tuan. Yang bijak memutarbelitkan manusia-manusia bijak tadi. Mereka ini mungkin tidak bijak dalam bidang teknologi, tetapi sangat bijak dan licik dalam memanipulasikannya. Teknologi boleh dikawal, tuan-tuan. Pancaran keluar boleh dipintas. Laluan maya boleh disekat. Bukan susah untuk mencerut tekak teknologi agar hilang kemampuannya untuk bersuara, atau untuk memutarbelitkan kebenaran yang perit menjadi satu tayangan yang muluk. Buang yang keruh, tayang yang jernih. Saya yakin tuan-tuan semua faham. Mungkin ramai yang pernah mencubanya sendiri.” Sinis senyuman Rasyasya.

Dewan kembali sepi, terkedu apabila disuguhkan dengan kenyataan yang bagi mereka tidak wajar diutarakan di meja persidangan itu.

“Pernah tuan-tuan mendengar tentang Vulandatu?” tanya Rasyasya.

“Tentu saja! Sedangkan hal di bulan dan bintang pun kami mampu pantau, inikan pula Vulandatu!” teriak seorang wakil dari Sandinina.

“Pastinya yang muluk-muluk,” pintas Rasyasya. “Pastinya yang sedap didengar. Pastinya yang indah khabar dari rupa. Pernah tuan-tuan dengar kisah anak-anak lima enam tahun dilepaskan di dalam hutan untuk dibuat main buru-buruan. Tentulah kesemuanya habis bergelimpangan dibedil peluru-peluru. Pernah tuan-tuan dengar tentang pemukiman yang dibakar rentung hanya kerana salah sebuah tingkapnya sudah tidak berkaca lagi?”

Wakil-wakil yang lain hanya tertunduk diam. Diam menatap pena di hujung jari. Diam menatap lantai dewan. Diam menatap jarum waktu di pergelangan tangan yang seakan-akan tidak mahu bergerak-gerak lagi. Tidak ada sepasang biji mata pun yang memandang ke arah Rasyaya. Untuk mengangkat muka, apatah lagi bertentang mata dengan Rasyasya, tidak ada yang sanggupi. Kecuali Tuan Pengerusi. Namun bebola matanya yang semakin mencerlang garang sedikit pun tidak membuat Rasyasya ingin berhenti.

“Biarlah tempayan-tempayan ini yang berbicara. Teknologi tidak mampu memintas dan mengubah kandungan ceritanya. Biarlah mata kepala tuan-tuan sendiri yang menjadi saksi.”

“Saya rasa sudah masanya Tuan duduk semula. Masa Tuan sudah tamat,” bisik Tulatula. “Sekarang giliran wakil yang lain pula,” lembut pujukan Tulatula.

Rasyasya hanya mengukirkan senyuman yang tipis buat rakan wakil yang mengisi tempat duduk di sebelahnya itu. Sekadar sebagai isyarat bahawa hujahnya belum selesai; tugasnya belum sudah. Malah, dia rasa seolah-olah baru sahaja bermula.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, demi kelangsungan maka saya bawakan tempayan-tempayan Vulandatu ini ke sini. Kami tidak berwang, maka untuk membeli, kami tidak mampu. Hanya dengan tempayan-tempayan inilah kami berharap untuk berdagang dan mendapatkan keperluan-keperluan dari daerah-daerah lain di benua ketujuh ini. Sekiranya ada antara tuan-tuan yang berhajat, silalah…”

Seraya itu Rasyasya memberikan isyarat agar tempayan yang pertama dibawa ke tengah dewan.

“Tuan Rasyasya…” bisik Tulatula. “Ini dewan persidangan. Bukan dewan perdagangan. Bukan pasar borong untuk kita berdagang.” Ada nada gusar yang tercalit pada kata-kata Tulatula itu. Namun, tidak dipedulikan langsung oleh Rasyasya.

“Tiga tahun yang lalu, kawasan permukiman di pesisir pantai timur Vulandatu dilanggar oleh penjarah-penjarah. Penjarah-penjarah dari benua kedua. Kawasan pemukiman seluas 50 hektar dicabul. Tumpah darah berlaku lagi. Warga kami tumpas. Puluhan ribu nyawa terkorban. Di layar skrin peranti mudah alih tuan-tuan bencana ini mungkin tidak terpapar. Kalau ada pun, mungkin sudah disaring. Mungkin sudah disunting. Mungkin bukan puluhan ribu yang dilaporkan. Mungkin seribu. Mungkin seratus. Mungkin sepuluh. Mungkin satu.”

Pedas sindiran Rasyasya. Pijar di kuping telinga wakil-wakil yang hadir. Rasyasya meninggalkan tempatnya lalu maju ke depan, menghampiri tempayan yang diletakkan di hadapan meja Tuan Pengerusi. Setiap langkahnya diekori oleh sekalian wakil di dalam dewan persidangan itu. Tuan Pengerusi memperbetul duduknya. Punggungnya diengsot ke hadapan sehingga ke hujung kusyen kerusinya. Dia juga sudah tidak sabar ingin melihat tutup tempayan itu diangkat.

“Darah yang mengalir di bumi Vulandatu pada hari yang bersejarah itu saya bawakan sebagai bahan bukti!” laung Rasyasya sambil melepaskan penutup tempayan itu.

Serta-merta seisi perut dewan menjadi kecoh. Semua wakil sibuk berbisik sesama sendiri. Timbul wajah-wajah jengkel yang mula mempersoal kewarasan akal Rasyasya. Apatah lagi Tuan Pengerusi. Kalau ada penembak upahan, mahu saja dikerahkan satu butir peluru ke kepala Rasyasya. Biar cepat selesai sesi merapunya. Agar persidangan tidak jadi berjela-jela dan tidak lalut dengan agenda-agenda liar.

Bau pekat darah yang cepat menerpa ke rongga hidung Tuan Pengerusi membuatkannya naik mual. Tangan kanannya diangkat dengan cepat lalu dikibaskan beberapa kali.

“Tutup mulut tempayan itu! Tutup dan bawa keluar sekarang! Kesemua empat puluh sekali! Bawa keluar kesemuanya! Sekarang!” jeritnya.

Para pengawal keselamatan dengan segera bergegas semula untuk membawa tempayan-tempayan itu keluar. 78 orang pengawal yang lain dikerahkan ke dalam dewan untuk membawa keluar baki 39 tempayan yang terletak di bahagian belakang dewan.

“Jadi? Kaumahu benua ketujuh menyerang benua kedua? Kau mahu seluruh benua ketujuh menuntut bela dan membalas dendam atas petaka di Vulandatu? Begitu? Kau dah gila?” Suara Tuan Pengerusi menggegar dewan.

“Kau mahu keenam-enam benua mengutuk dan melaknat kita?” jerkah wakil Sandinina pula.

“Mustahil keenam-enam benua akan bersekongkol menjatuhkan kita!”

“Benua mereka kuat! Kalau satu lawan satu saja kita dah tak mungkin akan terdaya, inikan pula kita satu menentang mereka berenam?”

“Lalu? Kita biarkan saja? Kita redakan saja? Cukup dengan mengirimkan kawat-kawat duka saja? Cukup dengan bersimpati saja? Cukupkah dengan luahan kutukan-kutukan rasmi ke atas penjarah-penjarah keparat saja? Lepas itu? Kita berpeluk tubuh semula? Begitu?”

“Tuan Rasyasya!” tegur wakil Alawina. “Hal ehwal dalam daerah bukan hak dewan ini untuk tentukan. Tuan Rasyasya sepatutnya sudah sedia maklum akan hal itu. Setiap daerah mempunyai pucuk pimpinan mereka yang tersendiri. Kita tidak boleh campur tangan hal ehwal dalam garis daerah. Itu persetujuan bersama semua ahli persekutuan ini. Tuan Rasyasya seharusnya sedar, bukan? Tengkarah ini, Vulandatu harus tangani sendiri.”

Begitu lantang suara wakil Alawina. Jenis yang bakal meraih puji-pujian Tuan Pengerusi. Rasyasya hanya menyimpulkan senyuman. Jengkel. Dia memang sudah menyangka hal itu akan dijadikan alasan.

Dalam keadaan yang terhimpit, semua akan melihat kehidupan seperti kain dalam sendiri. Kain dalam masing-masing, katanya, hanya yang empunya badanlah yang mampu membelek dan menyelak sendiri. Orang luar tidak patut sesekali mendekat. Apatah lagi menyentuh. Kalau tercarik terkoyak, pandai-pandai sendirilah menjahitnya. Kalau diminta memikul beban bersama, begitulah dalihnya. Namun, kalau saat meraih laba, semuanya tiba-tiba duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Tidur pun sanggup sebantal. Makan pun hendak sepinggan.

“Kalau begitu, apa gunanya persekutuan ini? Apa gunanya dilantik wakil-wakil benua? Apa gunanya wakil-wakil daerah? Bubarkan saja! Apa gunanya kedudukan-kedudukan kita? Mansuhkan saja! Apa gunanya jawatan-jawatan kita? Lucutkan saja!” laung Rasyasya tegas.

Belum pernah terjadi dalam sejarah kedaulatan dewan persidangan itu, ada mana-mana wakil yang berani menghina dan mengangkat suara mencabar kewibawaan Tuan Pengerusi. Kata-kata Tuan Pengerusi kata-kata nan sakral. Belum pernah ada sesiapa yang berani mempersoal, apatah lagi menidakkan. Belum pernah.

“Tuan Rasyasya!” teriak Tuan Pengerusi.

“Kepedulian! Keberanian! Kebertanggungjawaban! Itu saja yang saya pinta. Saya tidak minta darah dibayar dengan darah! Saya cuma minta setiap titik darah yang tumpah di bumi Vulandatu dipertanggungjawabkan! Jika persekutuan tidak berani melakukan sesuatu, buat apa kita bersekutu?”

“Sekarang darah 40 tempayan ni nak buat apa?” Tulatula memberanikan diri untuk bersuara semata-mata. Nada suaranya seakan-akan berbisik dengan harapan dapat meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

“Sejujurnya saya juga tidak tahu. Darah ini juga sudah tidak ada gunanya lagi buat kami. Saat tertumpah keluar daripada tubuh-tubuh pemilknya, hilanglah sudah fungsinya bagi mereka. Hilanglah sudah nilainya bagi kami. Sudah tidak ada sebarang gunanya lagi.”

“Lalu? Kenapa dibawa ke sini?” bentak Tuan Pengerusi.

“Ikhtiar terakhir kami, Tuan. Secupak darah Vulandatu bagi secupak beras. Atau gandum. Atau sebarang barang keperluan yang lain. Apa saja yang dapat membantu kami meneruskan kehidupan.”

“Nak diperdagangkan? Kami nak buat apa darah itu?” jerkah Tuan Pengerusi. Suaranya mencecah bumbung dewan.

“Terpulang, Tuan. Mungkin boleh dibumbui masakan. Atau disirami tanam-tanaman. Atau dibuat hiasan dalam balang-balang kristal lalu ditayangkan di para-para di rumah, di pejabat atau di muzium-muzium. Mungkin dapat dipamerkan seperti trofi. Lambang kejayaan, mungkin? Bagi yang sentiasa dahagakan darah kami, mungkin boleh dibuat koktel?” Sindiran Rasyasya semakin menjadi-jadi.

“Pengawal keselamatan! Iring wakil Vulandatu keluar! Dengan kesemua 40 tempayannya sekali.”

“Semua tempayan sudah dibawa keluar, Tuan Pengerusi. Tuan… Tempayan yang lain kosong, Tuan Pengerusi!”

“Kosong? Kesemuanya? Sudah diperiksa betul-betul?”

“Sudah, Tuan Pengerusi. Kesemua 39 kosong semuanya, Tuan.”

Kekecohan semakin memuncak. Kenapa perlu dibawa 40 biji tempayan jika yang berisi cuma sebiji? Kenapa perlu dibawa 40 kalau yang lebihan 39 semuanya tidak berisi? Wakil-wakil yang lain tertanya-tanya sama sendiri.

“Cenderamata dari Vulandatu, tuan-tuan. Teruslah berpeluk tubuh, nescaya pintu tuan-tuan pula yang akan diterjah penjarah-penjarah ini nanti. Pada saat itu, gunakanlah tempayan kami. Pada saat itu kenanglah kami.”

Dewan kembali sepi. Tiada yang berbalas bisik. Tiada yang berbalas kata. Tiada yang berbalas pandang.

“Ikhlas, tuan-tuan,” sambung Rasyasya, “daripada saya, Duta Nestapa.”


TENTANG PENULIS:

R. Azmann A. Rahman mula menulis sejak di bangku sekolah. Bermula dengan puisi, beliau kemudian meneroka penulisan seni kata apabila bergiat aktif dalam seni dikir barat pada akhir tahun 1980-an. Lagu Di Pinggiran Aidilfitri (1997) dan Aduhai Raja Sehari (lagu tema bagi drama televisyen Kisah Tok Kadi, 2016) adalah antara karya yang pernah dihasilkannya. Cerpen beliau, “Maafkan Anan”, telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Cerpen anjuran bersama Kelab Coretan Remaja Berita Harian dan Restoran A&W pada tahun 1993. “Maafkan Anan” juga telah dipentaskan oleh Teater Kami pada tahun 1994 dan 2009 dan turut dimuatkan dalam antologi Bingkisan pada tahun 1999. Cerpen-cerpennya juga disertakan dalam antologi cerpen, Tanjong Katong Airnya Biru dan antologi sains fiksyen terbitan Adiwarna, Tri.


Karya ini menerima hadiah sagu hati bagi Sayembara Cerpen Nyala (April 2018) yang bertemakan ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Penulis akan menerima hadiah wang tunai $50 SGD beserta dengan beg ‘tote’ eksklusif ini.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *