Fungsi Cerita-Cerita Jenaka

Fungsi Cerita-Cerita Jenaka

Cerita Jenaka adalah antara cerita rakyat yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Cerita ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri sungguhpun kelahirannya daripada rakyat biasa. Cerita jenaka merupakan cerita yang disadur daripada pelbagai pengaruh asing yang telah disesuaikan dengan budaya masyarakat Melayu. Ia juga telah ditokok tambah dalam penceritaan apabila cerita ini disampaikan secara lisan.

Menurut Danandjaja (1984) “Cerita Jenaka” diperkenalkan oleh RO Winstedt dan A.J Sturrock dan amat digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat silam daripada peringkat umur kanak-kanak sehingga dewasa pada masa silam. Hal ini demikian kerana, dapat dikaitkan dengan definisi dan fungsi kelahiran cerita jenaka. Cerita Jenaka disebut sebagai Merry Tales, Jokes, Farsical, cerita komedi dan cerita Lawak. Bagi definisi umum, cerita jenaka juga disebut sebagai disebut cerita lucu yang mengandungi unsur humor dan dapat menimbulkan rasa geli hati.

Cerita Jenaka mempunyai beberapa fungsi tersendiri, antaranya adalah sebagai wahana hiburan. Cerita jenaka jelas menunjukkan unsur-unsur kelucuan yang dimiliki oleh watak-watak dan peristiwa-peristiwa yang wujud dalam cerita khususnya watak utama. Ini jelas terbukti watak utama seperti watak Pak Pandir, Si Luncai, Lebai Malang, Pak Kaduk, Pak Belalang dan sebagainya. Watak utama sebegini telah menimbulkan kegelian hati berdasarkan perwatakan mereka ditonjolkan bagi menggerakkan sesebuah cerita.

Buktinya dapat dilihat pada kelucuan yang ditimbulkan oleh watak Pak Pandir yang memaparkan kebodohannya kerana tidak tahu perkara logik dan tidak logik. Umpamanya, Pak Pandir telah memandikan anaknya dengan air panas sehingga anak mati kerana disuruh oleh Mak Adih, sedangkan pada dirinya berfikiran bahawa anaknya menangis disangkakan anaknya ketawa kerana seronok dapat mandi. Dalam pada itu juga, melalui cerita Si Luncai pula watak Si Luncai pula melalui kelucuannya adalah berdasarkan fizikalnya yang boleh mencuit hati pendengar ataupun pembaca. Si Luncai digambarkan sebagai seorang pemuda yang memiliki perut besar, punggungnya tonggek dan apabila berjalan akan menjemur badan mengakibatkan khalayak dan pembaca akan ketawa kerana kelucuan fizikal Si Luncai.

Sehubungan itu, cerita jenaka juga berfungsi sebagai alat memberi pengajaran kepada masyarakat silam dan kini. Hal ini demikian kerana, dalam cerita jenaka mengandungi mesej dan nilai-nilai pengajaran yang sesuai untuk dijadikan teladan untuk masyarakat, khususnya kepada masyarakat silam kerana mereka agar sukar untuk didik. Masyarakat silam yang lahir dalam kalangan masyarakat yang buta huruf kerana mereka belum lagi mendapat pendidikan yang formal seperti masyarakat kini.

Cerita jenaka dijadikan sebagai alat memberi pengajaran agak minda dan emosi mereka terdidik. Sungguhpun cerita jenaka ini diselitkan dengan unsur-unsur humor namun langsung tidak mengelamkan pengajaran yang disampaikan. Hal ini bermaksud cerita jenaka amat berfungsi sebagai memberi pengajaran walaupun di dalamnya terselit unsur-unsur humor yang dapat menggeletek masyarakat. Contohnya, dapat dilihat melalui cerita Pak Kaduk tidak sedar bahawa ayamnya sudah ditukar dengan ayam raja, disangkakan ayamnya telah menang dan dirinya sangat berasa gembira sehinggakan baju yang diperbuat daripada kertas telah terkoyak. Peristiwa ini telah menimbulkan kegelian hari namun, pengajaran yang ingin disampaikan jelas terbukti bahawa Pak Kaduk yang berfikiran cetek. Kebodohan Pak Kaduk membuatkan dirinya ditimpa nasib malang kerana tanah airnya telah tergadai kerana terlalu bertindak tanpa menggunakan fikiran yang waras.

Selain itu, fungsi cerita jenaka sebagai kritikan sosial masyarakat Melayu khususnya yang melibatkan golongan bawahan mahupun atasan. Kritikan sosial dalam cerita jenaka ini bererti tujuan kelahiran cerita jenaka bukan sahaja untuk berhibur malah untuk menegur, menyindir atau mengkritik masyarakat secara halus tanpa menimbulkan sebarang pertelingkahan dan pergaduhan. Masyarakat Melayu silam yang hidup secara kolektif amat menjaga hubungan antara satu sama lain.

Budaya Melayu amat terkenal dengan sopan santun, berbudi bahasa, lemah lembut dan beradab telah mendorong mereka melahirkan cerita jenaka sebagai untuk menegur atau menyindir secara halus tapi memberi kesan mendalam terhadap emosi dan fikiran. Begitu juga dengan sistem sosial masyarakat dahulu, kehidupan mereka dikuasai oleh golongan pemerintah. Maka untuk menjaga keharmonian antara rakyat dengan golongan raja, cerita jenaka adalah salah satu wahana untuk menegur golongan atasan untuk dijadikan teladan. Sebagai contoh yang jelas dapat dilihat dalam cerita jenaka “Lebai Malang” adalah di antara cerita jenaka berfungsi mengkritik golongan ulamak atau tokoh keagamaan mendapat tempat dan disanjung oleh masyarakat, namun ada segelintir golongan ini bersikap angkuh kerana arif dalam soal-soal agama.

Dalam cerita “Lebai Malang” kritikan ini adalah untuk memberi teladan kepada golongan ulamak termasuklah golongan atasan supaya tidak tamak dalam melakukan sesuatu amanah. Kisah Lebai Malang yang tamak untuk menghadiri kenduri kendera akhirnya telah merugikan dirinya sendiri. Begitu juga dengan cerita “ Si Luncai” adalah bertujuan mengkritik golongan pemerintah yang mudah terpedaya sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial