Gerai Jual Bayi

Gerai Jual Bayi

Ting-tong!

Zak meluru ke pintu, lagaknya seperti mantan ahli pecut yang dibebani berat badan yang sarat dengan muatan di bahagian perut.

Adoi! Tak sengaja pula terpijak sisa butiran Lego dan hampir-hampir menumbangkan pasu seramik kegemaran isterinya. Pasu itu bergegar, terhuyung-hayang sebentar, mengacah-acah untuk pecah, namun dapat jua diimbangkan semula. Benda alah Lego ini barangkali jerangkap samar yang dipasang anak saudaranya, Nana, yang kerap datang ke rumah untuk mengisi kekosongan hidup pasangan suami isteri itu. Baru sahaja berusia tiga tahun, namun kenakalannya menjangkaui usia.

Isterinya, Amira, masih lagi berdandan di meja solek. Kain pashmina dari Turki itu diselubungkan ke atas bahu, kemudian dililitkan lagi, dan lagi. Ke kanan, ke kiri. Pusing balik atas bahu. Dia masih tidak pasti. Namun, Amira tahu yang dia harus menyambut tamu yang sibuk berting-tong di muka pintu.

Tanpa menantikan isterinya, Zak terus sahaja menandatangani barangan yang dihantarkan pegawai syarikat Nile Enterprise itu. Sebuah keranjang anyaman rotan yang siap dengan reben merah jambu terikat di tangkainya. Comel. Lebih comel lagi: produk yang diisikan di dalam bakul besar itu.

“Yang, cepatlah sini! Anak kita dah sampai!”

“Eh-eh, Bang. Masya-Allah, cantiknya anak perempuan kita.”

“Hah? Anak perempuan? Bukankah kita tempah yang lelaki?”

“Apa pula lelaki! Hai, Bang, takkan anak sendiri pun tak kenal.”

Amira menjeling suaminya, tergeleng-geleng, lalu mendakap bayinya dekat dengan dada.

••••••••••

Sudah hampir sembilan kali kalendar dikoyakganti sejak Zak dan Amira membuat keputusan untuk menempah pesanan itu. Waktu itu mereka di dalam bilik konsultasi Dr Priya, menerima khabar buruk yang tidak diingini oleh mana-mana pasangan dalam pertengahan usia 40-an. Zak dan Amira sudahpun menjangkakan berita itu, mentelah lagi setelah beberapa kali dirundung kekecewaan dengan ujian kencing yang berkotak-kotak dibeli dari Mustafa Centre.

“Puan Amira…”

Jeda janggal berkeliaran di ruang udara sementara Dr Priya membelek-belek doket pesakitnya.

“Ujian darah Puan… tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kehamilan. Oleh kerana Puan sudahpun mencecah usia 45 tahun, kita tak boleh teruskan rawatan IVF Puan lagi. Saya benar-benar minta maaf. Ini polisi hospital kami.”

Amira menggengam tangan suaminya yang melekit. Mereka saling mengerling. Hampa tidak. Sugul pun tidak. Hanya sekumpulan kekeliruan yang berpusar-pusar di sekeliling kepala mereka. Apakah tidak berkesan langsung pil-pil dan suntikan hormon seharian yang nama mereka begitu payah disebut? Satu pun tidak mujarab? Sikit pun tidak?

“Err… Doktor, mungkin ada tak usaha lain yang boleh kami lakukan?” Zak bertanya.

Dr Priya, salah seorang pakar ginekologi tersohor di negara itu, memiringkan kepalanya. Beliau memerhatikan gerak badan pasangan suami isteri itu. Cara mereka menangani krisis. Cara mereka berdepan dengan langit esok yang mendung.

“Sejujurnya, ada… tapi… kosnya agak mahal. Lebih mahal daripada rawatan IVF.”

Zak dan Amira melunjurkan kepala mereka ke hadapan.

“Awak berdua pernah dengar tentang teknologi CRISPR?”

Amira menggeleng lemah sambil mencebikkan bibir. Mata Zak pula memantau poster-poster kesihatan di dinding bilik Dr Priya, cuba mencari sebarang maklumat yang mungkin dapat mencerahkan persoalan. Namun, entah kenapa akalnya menerawang jauh memikirkan sejenis jenama biskut rangup berperisa ayam, warna kotaknya hijau.

“CRISPR ini, Puan Amira, Encik Zak, sebenarnya satu alat baru untuk mengubahsuai baka seseorang. Awak cuba bayangkan gunting yang boleh memotong mana-mana elemen DNA yang rosak, kemudian merantaikan semula kesemuanya menjadi satu.”

Penjelasan Dr Priya tiba-tiba membundarkan mata Amira dan melongokan mulut Zak.

“Bagaimanapun, alat CRISPR ini masih lagi dalam fasa eksperimental, tapi sudah digunakan oleh makmal genom seluruh dunia, untuk menciptakan apa yang kita istilahkan… sebagai ‘bayi rekaan genetik’.”

“Wah, Doktor, ini berita baik buat kami, bukan?”

“Betul, Puan Amira… tapi hospital kami tidak menawarkan rawatan ini. Cuma makmal swasta sahaja. Di Singapura, ada satu syarikat yang kendalikan… namanya Nile Enterprise. Saya boleh rujuk awak berdua kepada mereka, tapi, kenalah bersiap sedia… harga rawatan ini boleh menjangkau setengah juta dolar,” Dr Priya menyambungkan huraian.

“Err… boleh pakai Medisave?”

“Tak boleh, Encik Zak. Rawatan ini belum diluluskan kementerian. Saya berani sarankan kepada awak sebab usia isteri awak semakin lanjut, dan mungkin inilah peluang terakhir untuk berzuriat.”

“Jadi, Doktor betul-betul yakin dengan kaedah bayi rekaan genetik ini?”

“Saya yakin, sebab prosesnya mudah. Dan, tak ada kesan sampingan untuk awak berdua. Hanya perlu pilih sifat-sifat yang awak mahukan untuk anak anda, kemudian boleh upah ibu surogat yang masih muda dan sihat untuk lahirkan bayi itu. Tak perlu pil kesuburan. Tak perlu suntikan hormon, tak perlu hamil pun.”

“Apa yang mereka perlukan daripada kami, Doktor?”

“Sampel darah anda berdua sahaja. Mereka akan uruskan segala-galanya.”

Sekali lagi, Zak dan Amira mengerling sesama sendiri dan seperti terjana kuasa telepati selepas berumahtangga selama 20 tahun, mereka angguk serentak dan setuju untuk mendapatkan rawatan baru ini.

Apa jua yang diperlukan, apa jua kos rawatan, mereka akan cuba laksanakan. Meskipun terpaksa menjual unit pangsapuri mereka di kawasan perdana. Biarlah hidup di rumah pangsa biasa sahaja. Biarlah tidak berpagar, tidak berkolam renang atau tidak bergimnasium. Apalah rumah yang mewah tanpa tangisan manja dan deraian ketawa anak-anak tercinta?

••••••••••

“Hah? Anak perempuan? Bukankah kita tempah yang lelaki?”

“Apa pula lelaki! Hai, Bang, takkan anak sendiri pun tak kenal.”

Dahi Zak berkerut. Dia yakin yang dia telah memilih pilihan ‘anak lelaki’ sewaktu mengisikan borang pesanan dalam talian.

Zak gegas menghidupkan komputer ribanya untuk memastikan yang dia tidak tersilap. Dia tercari-cari alamat sesawang makmal Nile Enterprise. Amira pula sibuk menggendong bayi perempuannya, bersiar-siar di sekitar kediaman barunya.

Laman utama makmal itu jelas menunjukkan tiga pakej yang tersedia. Para pelanggan senang memilih dengan beberapa ketikan tetikus sahaja. Ada pakej ‘Cergas’, ada pakej ‘Cerdas’ dan juga ada pakej ‘Hias’. Ketiga-tiga pakej ini dilahirkan oleh jabatan pemasaran untuk memenuhi permintaan pelanggan secara khusus.

Kalau pelanggan mahukan ketiga-tiga pakej digulungkan dalam satu, mereka boleh memilih pakej ‘Kamil’. Pakej ini diubahsuaikan supaya bayi dalam kandungan dianugerahkan ciri-ciri kesihatan, kepintaran dan kecantikan. Tentu sekali, pakej ini yang paling mahal.

Di bahagian bawah laman utama syarikat itu juga tertera pakej ala-carte. Pasangan yang ingin merasakan hidup sebagai ibu bapa boleh memilih sifat-sifat khas untuk anak mereka. Nak pilih warna mata, boleh. Nak tukar warna kulit, pun boleh. Malah, mereka juga boleh memilih untuk mengubah bentuk muka – panjangkan tulang, mancungkan hidung, tinggikan kaki dan sebagainya.

Jangan kata ciri-ciri fizikal sahaja, keperibadian mental pun boleh ditambahbaik. Bayar sahaja lebih, boleh ditingkatkan kemampuan intelek, boleh dinaikkan kebolehan linguistik, boleh jadi bahasawan, jadi budayawan, jadi usahawan, jadi sasterawan. Boleh buat apa sahaja di dalam dunia yang dijenterai dengan mekanisme duit dan kebendaan.

Oh ya, dan tentu sekali, para pelanggan boleh memilih jantina bayi mereka juga.

Itulah yang ingin dipastikan Zak, apakah dia memilih anak lelaki atau anak perempuan. Apakah dia sendiri yang tersilap, atau makmal itu yang tersalah hantar barangan.

Seingatnya, dia memang mahukan anak lelaki. Dia mahukan perturunkan ilmu memancing ikan kepadanya. Dia mahu mewariskan segala memorabilia kelab bolasepak kegemarannya. Dia mahu membawa anaknya pergi bersolat di pagi hari raya bersama-sama.

“Abang, oi, buat apa ketuk-ketuk komputer tu? Tak nak tengok anak kitakah?”

“Awak ada simpan borang pesanan yang kita hantar tak, Mira? Saya nak sahkan seperkara.”

“Apa kena abang ni? Pergilah tengok dalam e-mel saya. Carilah sendiri.”

••••••••••

“Mira! Mira, tengok ni borang kita… tengok, Mira!”

“Yalah, saya nampak. Apa yang saya perlu tengok?”

“Awak tak nampak, betul? Bayi ini bukan apa yang kita tempah. Kita minta mata cokelat keperang-perangan, tapi bila sampai macam biru laut. Warna kulit pun macam lain sikit. Minta sawo matang, tapi nampak macam putih beras. Macam anak Mat Saleh pula.”

Zak cuba meyakinkan isterinya bayi yang dihantar itu bukanlah milik mereka.

“Abang kurang siumankah? Dah 20 tahun kita cuba nak berzuriat. Sekarang dah terima anak yang comel, yang cantik ni, Abang nak risaukan pasal mata, kulit, yang tak sama dengan kita? Abang ingat bayi ini barang elektronik yang Abang beli dari Amazon, ya? Tak ada saya kisah, Bang!”

Zak terpaku. Dia sedar yang dia terlalu taasub dengan citra bayi yang baru dihantar ke rumahnya sehingga dia dibutakan sudut pandang yang lebih jauh lagi.

Zak tersandar di kerusi malas sambil menggerakkan ibu jarinya. Amira masih lagi mendakap bayi itu dengan erat, sambil mencium ubun-ubun yang baunya seakan-akan haruman attar. Bayi itu merenung kembali ke arah Amira. Tidak terkelip. Tidak merengek. Cantik sungguh anak ini, macam model bayi di pelekat tin susu. Terlalu sempurna, macam anak patung. Bezanya, anak patung tidak memiliki roh.

“Yang, Abang minta maaf. Abang tahu, kita dah lama berikhtiar. Abang tahu sakit dan perit yang Mira pernah lalui. Tapi, Abang yakin… bayi ini bukan anak kita secara genetik. Mungkin makmal itu tersilap? Mungkin bayi kita diserahkan kepada pasangan lain? Mana kita tahu?”

Amira tidak langsung memberikan sebarang respons. Zak bersambung, “Lagipun, kita memang minta anak lelaki, Abang dah semak borang kita, tapi yang datang – bayi perempuan. Macam ada yang tak kena.”

Amira masih bungkam. Dia tahu yang bayinya memang berbeza dengan apa yang mereka mula-mula tempah. Dia tahu, kerana dialah yang menukar pesanan tempahan itu. Dialah yang secara berahsia memilih bayi perempuan. Amira mahu memakaikan anaknya dengan perhiasan yang cantik-cantik belaka, seperti seorang puteri. Amira mahukan teman untuk berbicara curahan hati. Amira mahukan anak yang mampu menjaganya, saat diri semakin tua nanti.

Perlukah dia khabarkan semua itu kepada suaminya? Amira menggeluti fikiran rasional untuk berterus terang. Namun, kekuatan emosinya pula menang dalam gelanggang perasaan. Dia bertekad tidak akan mendedahkan rahsianya.

“Jadi, sekarang, Abang nak buat apa?”

“Entahlah, Mira… mungkin kita boleh telefon makmal itu, tanya boleh ke tidak pulangkan bayi ini. Cakap je, ada cacat cela. Mungkin diberikan pampasan, atau diganti balik dengan bayi yang baru. Kosnya bukan murah. Awak pun tahu.”

“Abang buatlah apa yang patut. Saya nak susukan anak kita ini dulu.”

••••••••••

Ting-tong!

Zak meluru ke pintu sekali lagi. Kali ini seperti mantan ahli gimnastik yang terjengket-jengket mengelak diri daripada terpijak periuk api. Sangkanya, tentu pegawai penghantaran daripada makmal Nile Enterprise datang untuk membetulkan kesilapan mereka. Namun, di muka pintu itu tercegat orang lain pula – Nana, anak saudaranya dan ibunya Lina, iaitu adik Zak sendiri. Mereka tidak sabar untuk mengunjungi ahli keluarga yang baru.

“Pak Long! Mak Long!”

Amira yang baru sahaja menyusukan anaknya keluar dari bilik dan menyambut mereka, “Nana! Mari masuk! Jom, kita tengok sepupu Nana, okey?”

“Yeay! Pe-pu-pu tu a-pa, Mak Long?”

Amira tergeletek dengan gelagat Nana, “Se-pu-pu, bukan pepupu… Sepupu tu macam adik Nana juga… Nana boleh main-main dengan adik, bila adik dah besar macam Nana.”

“Yeay! Nana nak main-main dengan adik!”

Mereka langsung membawa Nana berjumpa dengan bayi mereka di dalam bilik khas yang telah dicat dengan warna-warna riang dan ceria.

“Wah… adik pu-pu cantiknya… macam pa-tung Nana… nama dia Elsa! Nana nak panggil dia… Elsa… Elsa… Elsaaa!”

“Baiklah, kita panggil sepupu Nana ni, Elsa, okey? Nama dia sekarang, Elsa.”

Amira dapat mencuri-curi lihat senyuman Zak. Fikirnya, Zak tentu sudah terbuka gerbang hati untuk menerima bayi perempuan ini sebagai anaknya sendiri. Memang benar pun, anak ini anak mereka yang sah. Baik secara genetik, mahupun di sisi undang-undang negara.

Zak, Amira dan Lina keluar dari bilik kanak-kanak sebentar untuk berbual-bual di ruang tamu. Sementara itu, Nana bermain-main dengan sepupu barunya yang masih dibendung dalam keranjang rotan. Nana yang semakin petah berkata-kata cuba untuk menghiburkan hati Elsa, yang kelihatan separa minat dan separa keliru.

“Elsaaa… Elsaaa… nanti Elsa dah besar, kita pergi main buai-buai, okey… Elsaaa?”

Bayi perempuan itu menaikkan keningnya, membuka mulut seakan-akan mahu menguap dalam kebosanan, tetapi, dengan tiba-tiba mula bersuara.

“Na-ma ki-ta… bu-kan Elsa-lah… na-ma ki-ta, Maria.”


 

TENTANG PENULIS:

Farihan Bahron, penulis kumpulan cerpen, Kesumat Sang Avatar dan kumpulan puisi, Tukang Tunjuk Telunjuk, pernah meraih hadiah pertama Anugerah Pena Emas 2015 bagi kategori Cerpen dan Puisi. Karyanya, Bulan Jingga menerima hadiah ketiga dalam sayembara cerpen Mencari Kristal 2016. Farihan juga salah seorang peserta program penulisan puisi MASTERA 2017 di Bogor. Karya-karya barunya akan disertakan dalam antologi cerpen Tanjong Katong Airnya Biru pada penghujung tahun 2017.


 

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial