Hikayat Raja Muda Menurut Disiplin Sastera Rakyat

Hikayat Raja Muda Menurut Disiplin Sastera Rakyat

Mengikut Alan Dundes dalam The Study Of Folklore, sastera rakyat seperti mitos, legenda, peribahasa, lipur lara, teka-teki, mentera dan banyak lagi. Tegasnya, corak sastera rakyat terbahagi kepada dua iaitu sastera berbentuk naratif dan bukan naratif. Hikayat Raja Muda merupakan salah sebuah cerita lipur lara Melayu yang sangat terkenal sehingga ke hari ini. Perkataan lipur lara sendiri dapat dikatakan bahawa tujuan wujudnya cerita ini adalah sebagai hiburan, pengajaran dan mengangkat martabat golongan tertentu dalam masyarakat Melayu. Cerita-ceritanya yang indah-indah, ajaib dan kesudahnnya dengan kejayaan yang diselitkan dengan unsur-unsur jenaka membuatkan pendengar atau khalayak terhibur dan segala emosi dapat dileraikan setelah kemenangan dimiliki oleh wira.

Khalayak akan melupakan seketika kesengsaraan dan keperitan dalam kehidupan disebabkan oleh kemiskinan, pekerjaan, suasana liar, tekanan hidup dan serang ganas di sekitar mereka. Hikayat Raja Muda pada awal penceritaannya dilakarkan bahawa cerita ini adalah hak milik bersama iaitu kolektif. Bahasanya pula kaya dengan perbendaharaan kata dan keindahan bahasa yang memberi kepada cerita yang dilakarkan ini. Susan Langer dalam bukunya “Legend and Myth and Fairytale are not themselves literature, they are not art at all, but fantasies” as such, however they are natural materials of art”. Beliau melihat sastera sebagai satu simbolik atau perlambangan kepada jiwa dan perasaan manusia. Bagi beliau dogengan itu adalah bahan mentah untuk seni dan manusia dengan daya imajenasi dan fantasi dapat mencipta dogengan alam semesta. Dengan bahasa yang mudah, sastera adalah bahasa yang indah dan tinggi nilainya.

Mengikut disiplin sastera rakyat, Hikayat Raja Muda disampaikan dan disebarkan melalui lisan serta diperturunkan kepada generasi ke generasi yang lain. Hal ini bertujuan untuk terus menghidupkan cerita ini supaya menjadi warisan bangsa Melayu sehingga ke hari ini. Penyebaran cerita lipur lara Hikayat Raja Muda telah menunjukkan bahawa kelahirannya adalah dicipta oleh masyarakat bersifat kolektif yang mempunyai kewibawaan pada suatu masa dahulu. Secara jelasnya, kelahiran cerita lipur lara ini tidak bersifat individual sepertimana karya-karya yang lahir pada zaman kini, malahan masyarakat pada masa silam lebih mementing isi kandungan dan fungsinya.

Dagi temanya pula, sudah kelaziman setiap cerita lipur lara mengutarakan tema percintaan wira dan wirawati, kepahlawanan, peperangan dan perjuangan anak-anak raja yang berakhir dengan kejayaan. Dalam cerita Hikayat Raja Muda, pengarang memperlihatkan percintaan Raja Muda terhadap isteri-sterinya yang mana beliau terpaksa keluar dari istana, mengembara dan mengharungi pelbagai halangan rintangan dan menunjukkan sifat kepahlawanann dan kegagahan baginda. Akhirnya, baginda berjaya mendapatkan isteri-isteri baginda dan seterusnya membina kejayaan, memerintah dan hidup bahagia bersama keluarga. Dalam Hikayat Raja Muda, pengarang menggambarkan percintaan Raja Muda dengan isteri yang pertama iaitu Tuan Puteri Bidadari Segerba. Seterusnya, percintaannya dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri dengan membawa kebahagiaan dalam berumahtangga.

Dari aspek plotnya, perjalanan cerita lipur lara Hikayat Raja Muda sama dengan cerita lipur lara yang lain. Pengarang membahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum mengembara, semasa mengembara dan selepas pengembaraan. Biasanya sebelum pengembaraan dipaparkan kisah kelahiran wira dan kehidupannya di istana. Lazimnya dicoretkan wira adalah seorang yang tampan dan sentiasa dikasihi dan disayangi kedua ibu-bapanya, dayang-dayang dan rakyat jelata. Sepertimana dalam Hikayat Raja Muda, Raja Muda dikatakan sejak kecil lagi amat kacak dan pandai serta mudah mendapat ajaran dalam pengajian agama dan ilmu bermain senjata.

Pengarang juga mewujudkan sifat-safat yang luarbiasa Raja Muda yang terselah sejak kecil lagi. Dalam konteks ini, saat kelahiran Raja Muda digambarkan mendapat reaksi alam sekeliling. Misalnya angin bertiup kencang, hujan turun dengan lebat dan dikuti pula dengan kilat sambung menyambung seterusnya dilahirkan pula dengan sebilah parang puting. Dalam Hikayat Raja Muda, pencerita meletakkan peristiwa semasa pengembaraan adalah bahagian yang penting kerana dalam tradisi kesusasteraan Melayu, dalam sesebuah cerita lipur lara episod pengembaraan merupakan episod yang paling lama, malah ia merangkumi dua pertiga daripada keseluruhan isi cerita. Ia dimulai dengan sebab-sebab wira pergi mengembara kemudian diikuti dengan episod peperangan menentang musuh.

Jelasnya Hikayat Raja Muda memberi gambaran sebagai sebuah karya lipur lara yang sempurna mengikut tradisi sastera rakyat kerana susunan atur yang sistematik. Cerita ini menggunakan bahasa yang baik mengikut konteks zaman masyarakat yang melahirkannya.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial