Iblis Sudah Mati

Iblis Sudah Mati

Dan mereka masih asyik lagi bercengkerama sesama sendiri. Bibir tersenyum lebar. Khayal separuh sedar. Tuak dalam genggaman, hanyut dalam pelukan, lemas bercumbuan. Bersultan di mata, beraja di kalbu. Langsung tidak sedar akan kemelut yang bakal meragut nikmat yang bersemayam pada maksyuknya. Atau mungkin mereka tidak peduli. Patah tumbuh hilang berganti.

Kerna di tengah-tengah lahar berahi, yang dikelilingi api menjulang tinggi, sekujur tubuh terkulai layu. Tiada kencang nafas yang berhembus seiring degupan nadi. Tiada menyelinap ke kuping telinga garau suara yang mendengus berulang kali. Kerna kali ini, Iblis sudah mati.

Dan masih tiada sesiapa yang perasan. Masing-masing sibuk menagih janji, bersenggama sesama sendiri. Hanya tika tiba-tiba semboyan berbunyi, barulah semuanya disentap kembali ke alam realiti. Dan pada ketika itu, lampu hidup serta-merta. Terang-benderang. Menelanjangkan mereka yang sebelum ini sememangnya telanjang; berselindung di sebalik gelap.

Perlahan-lahan mereka berdiri. Bingung pada mulanya. Kemudian bingung menjadi bingit. Bingit menjadi marah. Tiada sekelumit rasa malu dalam kebogelan itu. Yang makin meluap adalah marah. Marah nikmat dijarah. Marah aman menerjah.

“Siapa punya kerja ni?”

“Celaka!”

“Puaka!”

“Mengaku cepat?”

“Nanti! Nanti!” teriak Karau. “Aku tahu kenapa! Iblis! Iblis sudah mati!”

Senyap. Tiada siapa yang bersuara. Setiap mata kini tertumpu pada tubuh kaku yang duduk tertunduk di atas takhta. Ketika itu juga, kedengaran suara wanita yang mengisi segenap sudut ruang itu. Suaranya biasa-biasa saja; seperti yang kita biasa dengar apabila lif yang kita naiki sampai ke aras yang ingin kita tuju. Namun, perkara yang disampaikan suara itu yang menggerunkan. Cukup menakutkan sehingga mampu menembusi hati-hati batu yang sebelum ini mampu menangkis ayat-ayat kudus.

12 jam sehingga Neraka musnah.

Pengumuman ini tidak pernah didengari sebelum ini. Hatta, ketika ia diumumkan, ramailah yang bertempik dan menggigil ketakutan. Ada yang sudah mula berlari; bercempera entah ke mana. Ada pula yang jatuh terjelepok; dahi berkerut menimbangkan langkah seterusnya. Ada juga segelintir yang mahu bertaubat!

“Kenapa pula?”

“Ya! Kenapa perlu musnah?”

“Ini pasti satu helah untuk menjahanamkan kita! Celaka!”

Suasana kembali kecoh. Riuh. Semua menempelak dan berteriak serentak. Entah ada entah tidak sesiapa yang mendengar bentak hati mereka. Itu bukan menjadi isu pokok. Yang jelas, semua galak menyenggak.

“Ini bukan helah.”

Itu suara Hitam. Siapa tak kenal Hitam? Semua orang kenal Hitam. Hitam merupakan penghuni tertua yang ada di situ. Dia yang paling berpengalaman. Dia juga yang paling kejam. Tiada siapa yang berani berbalas kata dengan Hitam. Pernah sekali Hitam diajak berunding. Belum sempat Raum berkata apa-apa, dia sudah terbakar hidup-hidup, hanya dengan renungan Hitam sahaja. Dan api itu dibiarkan saja menjilat terus tubuh yang mengerang kesakitan. Maka sejak hari itu, timbullah istilah yang menjadi pegangan ramai – andai Hitam katanya, maka Hitamlah jadinya.

Kalau hendak dicungkil sejarah, hendak dijadikan ceritera, Hitamlah yang sepatutnya menjadi Iblis. Namun, memandangkan sayap kanannya pernah dipanah halilintar dalam satu adegan kejar-mengejar, luka yang tidak mampu pulih sepenuhnya itu telah membantutkan kemampuan dirinya. Maka Hitam hanya mampu melihat penggantian satu Iblis ke satu Iblis yang lain sepanjang hidupnya.

Kini, dalam kemelut ini, Hitam muncul; terapung-apung di udara, sebelum perlahan-lahan turun ke kawasan takhta. Suasana kembali sunyi, namun kerisauan yang mencengkam setiap satu di situ tidak dapat dibendung sepenuhnya.

Hitam melihat tubuh Iblis. Dengan satu sentuhan sahaja, berderai tubuh Iblis menjadi abu, lalu hilang lenyap dibawa angin yang bermohon lalu.

“Kita perlu Iblis. Perlu ada Iblis untuk mengepalai Neraka. Untuk memastikan anak Adam terus tergoda. Untuk memastikan kemungkaran berleluasa. Untuk terus mengedarkan dosa. Tanpa Iblis, apa gunanya kita? Mati Iblis, punah Neraka, jahanam kita!”

Yang di bawah sana hanya mampu mengangguk saja. Menerima hakikat keadaan semasa. Iblis perlu diganti. Iblis perlu dicari. Demi penakatan. Demi kemakmuran. Demi masa depan. Tapi siapa?

“Ya. Siapa? Siapa yang hendak? Siapa yang layak? Bukan ikut sesuka hati,” jelas Hitam.

“Kita perlu cari calon dengan cepat!” jelas Aboo.

“Siapa yang kau rasa layak?” tanya Hitam.

“Zarian?”

“Tak boleh. Dia ada gout.”

“Ghulam?”

“Rabun ayam.”

“Susahlah macam ni. Semua lelaki tak boleh. Pilih perempuan sudah!”

“Perempuan?”

“Kenapa tak boleh? Sekarang ni, ada yang lebih teruk daripada lelaki!” jelas Aboo.

“Jadi siapa?” soal Hitam sambil perlahan-lahan menghembus nafas. Mungkin sudah hilang sabar.

“Dandak?

“Bunting. Lima bulan.”

“Kendama?”

“Kendama kucing!”

“Haha! Tahu! Alah, janganlah serius sangat. Kita cuba..”

Pssshhhhttt..

Hitam menuding ke arah Aboo dan ketika itu juga Aboo bertukar menjadi abu. Yang lain hanya terdiam. Membantah tidak, membeliak mata jauh sekali. Siapa suruh jolok sarang tebuan.

“Biar aku yang ganti!”

Pandangan semua yang ada kini tertumpu pada Baal, seorang jejaka berbadan sasa. Baal juga dikenali ramai dengan barannya serta kekejamannya.

“Biar aku yang jadi Iblis.”

Hitam meneliti ketrampilan Baal. Nampak tubuh sasa. Nampak muka degil. Nampak hati bengis. Hitam pun memberi laluan untuk Baal duduk di takhta yang sedia ada. Semua yang ada mula berlonjak dan bersorak.

“Nanti dulu. Kau perlu buktikan yang kau mampu menggoda anak Adam agar mereka melakukan kejahatan. Tiga perkara kesemuanya. Kita ada kurang daripada 12 jam. Masa tidak menyebelahi kita,” jelas Hitam.

“Apa yang perlu aku lakukan?”

“Lihat lengan kiri kau.”

Baal melihat lengan kirinya. Ketika itu, lengan kirinya seolah-olah ditoreh sembilu yang mengukir kalimat bahasa rahsia. Baal mengetip giginya menahan sakit sambil merenung tajam muka Hitam. Apabila segalanya selesai, tiga arahan rasmi telah ditoreh di atas permukaan kulit lengan kirinya.

“Pergilah. Masa depan kita terletak pada kejayaan kau.”

Baal menghela nafas panjang lalu berlari keluar dari situ. Sambil berlari menuju ke dunia, Baal membaca lagi arahan yang ada di lengannya. Pertama sekali, dia perlu menghasut anak Adam untuk mencabut nyawa orang yang tidak berdosa. Baal tersenyum. Perkara enteng. Mudah sahaja. Dia hanya perlu membisik kalimat sakti, dan manusia yang imannya goyah bercampur nafsu tamak yang mahu menakluk dunia, akan tunduk melutut di hadapannya.

Baal sampai ke sebuah kawasan yang dirasanya sesuai. Di serata kawasan itu, terdapat rumah-rumah yang terbakar. Asap yang berkepul-kepul tidak mampu mengabur pemandangan suram itu. Mayat anak-anak kecil bergelimpangan. Tubuh-tubuh wanita yang bertudung berlonggok di satu sudut. Mayat-mayat lelaki dengan kesan tembak di kepala terbujur di sana sini.

Baal tersenyum yakin. Dia yakin dia akan berjaya. Dia hanya perlu menghasut kepala dang yang berkuasa di situ, dan nyawa-nyawa yang tidak berdosa akan berterbangan menuju ke syurga.

“Pedulikan mereka. Syahid membawa ke syurga. Yang penting aku berjaya. Kelak roh yang membunuh akan aku pasung di neraka,” bisik hati kecil Baal.

Di pinggir kawasan itu, Baal dapat mendengar suara-suara kasar yang menjerit memberi arahan. Dia menuju ke sana. Kelihatan sebarisan manusia yang diarah berdiri di depan sebuah lubang. Kelihatan seperti warga kampung yang ingin melarikan diri. Ada yang bertudung, ada yang bersongkok. Yang kanak-kanak pula sedang memeluk mainan masing-masing. Baal tersenyum. Misi pertama bakal berjaya.

Mata Baal melilau mencari ketua. Dia perlu menghasut agar orang-orang itu dibunuh. Lebih kejam, lebih baik.

Suuthoetko saat pait!

“Nanti dulu!!!!”

Dengan sekelip mata, tubuh badan mereka diranap-robek peluru-peluru yang menepati sasarannya. Setiap satu jatuh ke dalam lubang. Baal hampa. Apakah bisikannya tidak diperlukan lagi? Dan ketika Baal masih lagi termangu melihat keadaan itu, petrol yang bertong-tong disimbah di atas mereka. Sedetik kemudian, api meluap-luap membakar isi lubang itu. Bau daging manusia yang terbakar bukanlah sesuatu yang aneh bagi Baal. Namun langsung dia tidak menjangkakan dia akan menghidu bau sebegitu di dunia.

Apa pun, misi pertamanya gagal.

“Bodoh! Menyusahkan aku!” bentak Baal.

Masa tidak mengendahkan itu semua. Baal dengan cepat pergi menuju ke destinasi keduanya. Dia merenung lengan kiri itu sekali lagi. Dia perlu memastikan penyelewengan berlaku dalam infra-struktur kewangan yang berteraskan hukum agama.

Baal tiba di sebuah bilik mesyuarat. Kelihatan lima lelaki sedang bermusyawarah. Ada yang berjaket dan bertali leher, ada juga yang berkopiah.

“Makin lama, makin sukar tugas yang diberi,” keluh Baal.

Baal perlahan-lahan mengelilingi meja bundar itu.

“Jadi, adakah kita semua dalam persetujuan?”

“Saya setuju. Cuma, kita perlu berwaspada. Pegawai baru itu bukan jenis yang boleh bertolak-ansur.”

“Betul. Saya pernah bertegur sapa dengannya di dalam lif. Lurus bendul.”

“Baiklah, kalau begitu, saya sarankan, kita luluskan projek ini, kemudian kita jangan lakukan apa-apa dahulu. Mungkin hujung tahun depan, kita cuba dapatkan projek yang serupa. Boleh?”

“Eh, takkanlah tak boleh. Setiap satu dekat sejuta, nak bising apa lagi?”

Mereka ketawa serentak.

“Kau nak buat apa?”

“Aku nak pergi bercuti. Nak ajak keluarga semua pergi London.”

“London lagi?”

“Hahaha! Seronoklah ke sana!”

“Haha!”

“Hehe! Kau pula?”

“Pasang nombor dua.”

“Wah! Okay lagi. Kuota kita empat!”

“Haha!”

“Kah! Kah! Kah!”

Dan tawa-hilai yang semakin bergema menenggelamkan segala tanggungjawab asal untuk mendirikan pusat tahfiz yang canggih.

“Aku dah terlambat!” Baal menjerit. “Arrrrgh! Bosan!”

Baal mengamuk. Ditumbuknya meja mesyuarat itu lalu terpelanting meja itu ke satu sudut. Anggota-anggota mesyuarat itu tersentak lalu berdiri dan berlari ke satu sudut. Baal hanya memerhatikan mereka.

“Aku akan pastikan, selepas aku selesaikan tugas-tugas aku, aku akan jahanamkan kau semua!” bisik Baal sambil dia beredar dari situ.

Baal berlari secepat mungkin. Masa tidak menyebelahi dirinya dan tugasnya yang ketiga merupakan tugas yang paling sukar. Sejenak kemudian, Baal sudah berdiri di luar sebuah rumah kecil. Baal menghirup nafas penuh sebelum melangkah masuk ke dalam rumah itu. Tiba-tiba tangannya disentap. Baal menoleh ke belakang.

Hitam sedang menggenggam pergelangan tangannya.

“Kau dah terlambat.”

“Tapi aku belum pun cuba untuk menghasut dia. Aku masih ada masa. Aku nak cuba!”

“Syyyy… Dengar,” kata Hitam.

Baal diam lalu memejamkan matanya untuk mendengar perbualan di sebalik dinding rumah kecil itu.

“Ustaz buat apa ni?”

“Farah kata perut Farah sakit, bukan? Biar Ustaz tengok. Ustaz boleh baca-baca sikit, hilangkan sakit Farah tu.”

“Janganlah, Ustaz. Tak mahulah..”

“Syyy, dengar cakap Ustaz. Ustaz nak tolong Farah ni..”

“Ustaz, lepaskan Farah, Ustaz…”

Baal dan Hitam saling berpandangan.

“Kau dah terlambat.”

Baal tidak mampu melafazkan apa-apa. Kalau nak diikutkan, Baal tak lambat. Dia datang tepat pada masanya. Namun, bisikannya tidak lagi diperlukan. Godaannya tidak lagi didambakan sesiapa. Manusia boleh bergerak sendiri. Bergerak mengikut resa. Bertindak mengikut naluri.

Iblis benar-benar sudah mati.


TENTANG PENULIS:

Djohan A Rahman mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan dengan menghasilkan seni kata dikir barat bagi kumpulannya, Andika. Cerpen beliau, Salah Siapa memenangi Hadiah Persuratan pada tahun 2001. Djohan pernah menerima hadiah ketiga sewaktu Anugerah Pena Emas (2011) bagi kategori cerpen. Karyanya, Bantal Pak Akub terpilih sebagai finalis sayembara cerpen Mencari Kristal 2016. Djohan bakal menghasilkan dua buah buku pada hujung tahun 2017; kumpulan cerpen sulungnya, Tika Aksara Menari dan sebuah antologi cerpen bersama dengan tiga orang penulis lain yang bertajuk, Tanjong Katong Airnya Biru.


Save

Save

Save

Save

Save

Save

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial