Jali

Jali

Papan lantai terbuka dengan tiba-tiba, membuat tubuh terkejut dan bermandi peluh sejuk. Dia cuba melonggarkan tali yang mengikat kedua tangannya. Urat leher dirasai mulai putus. Semakin kuat dia meronta, semakin pantas urat-urat putus. Kain hitam yang menutupi muka mencepatkan lagi sekatan udara.

Jasadnya dirasai menjadi ringan dan melayang tinggi bagaikan seekor burung. Dia berhenti seketika, menoleh dan merenung tubuh yang kaku tergantung. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Sungguh sekali dia tidak menyangka dia masih boleh bernafas walaupun sudah menjadi Roh.

Awan putih bertukar menjadi gelap, diikuti tiupan angin kencang. Petir membelah langit. Guruh berdentum kuat. Juraian air mencurah lebat. Berasap dan panas. Jali menjadi panik, tidak tahu di mana dia hendak berlindung. Seluas pandangan mata hanya asap dan api membara. Jali menjerit terkena panahan petir berapi dan terus jatuh laju ke bawah.

*********

(13 Feb 2009, Jumaat)

Jali terjaga. Badannya terasa panas. Dilonggarkan ikatan tali leher yang berwarna kuning. Tali leher yang dibelikan oleh seseorang yang amat disayangi, sebagai hadiah hari lahir yang ke-40. Udara di dalam pejabat berbahang. Dia mencapai botol plastik berwarna hitam yang berada di sebelah timbunan fail dan terus meneguk air, membasahi tekak yang kering. Alat pendingin hawa pasti sudah lama ditutup. Memang biasa alat hawa dingin ditutup tepat pukul 8 malam dan akan hanya dibuka pada pukul 8 pagi.

Jali menyandar di kerusi empuk, memandang ke ruang pejabat utama yang sudah gelap-gelita, melalui panel kaca. Kesemua pekerja sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Rasanya, hanya dia saorang saja yang masih di pejabat. Dilihat jam tangan berjenama Patek Philip. Sudah sebelas malam. Lampu di telefon bimbit berkelap-kelip, tidak berhenti. Dicapai dan diteliti. Sepuluh panggilan yang tidak dijawab dan seratus mesej yang menanti untuk dibaca. Sari, hatinya berbisik. Dengan penuh keluhan, telefon bimbit diletak kembali di atas meja. Jali merenung gambar yang terlekat di hujung skrin komputer riba. Gambar anak kesayangannya, Sari. Ini saja waris yang tinggal selepas isterinya Imah, menjadi arwah akibat satu kemalangan, setahun yang lalu.

Sehelai kertas cetak biru, terbentang lebar di hadapannya, menunjukkan sebuah lakaran bangunan komersial, 40 tingkat yang akan dipersembahkan pada keesokan hari di hadapan pihak penganjur. Jali berjanji akan mereka sebuah bangunan yang bukan saja mesra alam tetapi yang paling canggih dengan segala automasi yang dapat otaknya fikirkan. Keyakinannya sangat tinggi. Syarikat Tambi Development Pte Ltd pasti mendapat kontrak yang bernilai seratus juta dolar. Pasti semua pekerja yang terlibat dalam projek ini, mendapat bonus yang kasar. Sebuah senyuman terukir di bibir ketika membayangkan permohonan bercuti sebulan diluluskan. Sari akan dibawa mengelilingi dunia. Akan digunakan peluang ini sepenuhnya untuk mengeratkan kemesraan antara anak dan bapa yang selama ini telah diabaikan.

Setelah mencatat sepatah dua di buku nota kecil, Jali mengemas kesemua dokumen-dokumen penting dan dimasukkan ke dalam beg bimbit berkulit buaya. Awal pagi, dia harus berjumpa Encik Tambi sebelum ke tempat penganjur. Tidak boleh lambat. Encik Tambi tidak suka orang yang datang lambat dan mungkir janji.

Sewaktu mengemas, entah mengapa perasan tidak sedap hati menyelubungi dirinya. Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Kesunyian yang dirasai semasa berjalan menuju ke bangunan meletak kereta, amat menggerunkan. Bulu tengkuknya meremang. Dipercepatkan langkah ke kereta Mercedes merah yang diparkir di satu sudut. Nasib baik hanya di tingkat dua.

Jali mencocokkan anak kunci ke lubang kunci di pintu kereta. Tidak masuk. Seperti salah kunci. Diperiksa untuk kepastian. Ini kunci kereta yang betul. Salah kereta? Jali berjalan ke hadapan kereta untuk melihat plat nombor kereta. Ini sememangnya keretanya. Dia kembali mencuba dengan berbekalkan selawat panjang di dalam hati. Akhirnya dia berjaya. Sepantas kilat, dia mencampak begnya di kerusi penumpang bahagian belakang dan terus duduk di tempat pemandu. Tanpa berlengah, dihidupkan enjin dan kereta meluncur laju, meninggalkan bangunan yang sunyi sepi.

Aaa….bang…. Ja…liii

Cuping telinga kiri Jali bergerak-gerak. Seluruh badan seram sejuk. Suara itu manja, sayup dan menyeramkan. Suara yang amat dia kenal. Tidak mungkin!

Namun Jali tetap sedaya upaya fokus memandu di jalan raya yang anehnya, turut sunyi, tidak seperti malam-malam yang biasa. Walaupun sudah hampir tengah malam, suasana jalan raya di Kota Singa tetap sibuk, bermandi cahaya lampu LD di sepanjang jalan, terang benderang. Tapi malam ini berbeza. Lampu LD bercahaya malap. Tidak ada satu kenderaan pun yang melalui jalan ini. Dia berasa seperti berada di dalam Twilight Zone.

Aaaaabanggg Jali. Abang mungkir janji. Abang kata hendak jemput Imaahh. Tapi Abang tak datang. Abang suruh Imaah naik teksi. Abang jahat…kalau tidak Imah dan anak kita tidak akan mati! HAAAAAA.. HAAAAAA….!

Jali menekan brek kereta secara mendadak. Matanya melilau sekeliling. Tidak ada apa-apa. Mungkin kerana keletihan, jiwanya diganggu khayalan. Jali harus cepat pulang. Keretanya dipandu perlahan-lahan dan berhati-hati. Selang beberapa saat, Jali memusing stereng kereta, menyebabkan keretanya menghala ke arah kiri secara tiba-tiba, seperti mengelakkan sesuatu. Keretanya terus meluncur ke hadapan, tidak dapat dikawal, lalu merempuh pokok besar di tepi jalan. Kepala Jali terhantuk ke tepi besi pintu kereta dan pengsan.

*********

(14 Feb 2009, Sabtu)

Bahunya ditepuk kuat.

“Awak ok?”

Jali membuka mata, terpinga-pinga. Encik Tambi merenung tajam. Dilihat ke jam tangan Patek Philip. Pukul sembilan pagi. Dilihat wajahnya di cermin memanjang yang terlekat di satu sudut dinding bilik mesyuarat. Diraba dahinya. Tidak ada benjol. Jali bingung seketika. Bukankah semalam……? Bagaimana dia berada di sini pagi ini?

“Awak ok?” Encik Tambi mengulangi soalan.

Jali membetulkan rambut dan tali leher yang berwarna biru muda. “Saya ok, Encik Tambi. Hanya penat sikit.”

“Lepas penyampaian nanti, awak boleh balik rehat”

“Terima kasih Encik Tambi. Mari kita pergi jumpa mereka.”

“Baiklah. Saya yakin, kali ini kita pasti berjaya mengatasi persaingan kita.”

“Saya juga berasa yakin, Encik Tambi.”

Langkah Encik Tambi terhenti di hadapan hujung meja kayu jati besar yang berbentuk bujur. Kedua-dua matanya terbeliak. Bibirnya tergetar-getar. Jari telunjuknya menggigil menunjuk ke satu arah. Para hadirin turut memandang ke arah yang dia tunjukkan. Mereka berbisik-bisik.

“Si… sii… siapa punya?”

“Yang ini? Yang ini lakaran bangunan rekaan Unique Development and Construction Pte Ltd. Kenapa?” salah seorang penganjur bersuara.

“JAAAA…LIIIIII!”

Jali turut terkejut. Jeritan Encik Tambi membuat Jali bertindak pantas menarik lengan pengetuanya keluar dari bilik mesyuarat. Jali dapat merasakan bahang belerang akan meletup, melihatkan wajah ketuanya merah padam bagaikan singa lapar. Jali harus membawa Encik Tambi jauh ke satu sudut yang sunyi sambil berfikir cara terbaik untuk menenangkan keadaan.

“JAAA..!!!”

“Sabar Encik Tambi. Saya pun turut terkejut!”

“Awak berjanji bahawa rekaan awak asli dan menakjubkan! Tapi apa dah jadi? Awak tiru?!”

“Tak… rekaan saya sememangnya asli. Saya tidak tiru.”

“Kalau awak tidak tiru, macam mana Unique Development and Construction ada rekaan yang sama? Sudah! Saya tidak mahu mendengar apa-apa alasan daripada awak lagi. Saya beri awak tempoh masa seminggu lagi untuk buat rekaan yang baru. Buat yang unik dan jangan me… ni… ru!”

Jali tersandar di tembok. Bola matanya mengekori Encik Tambi yang berlalu pergi. Dia tidak mengerti. Siapa yang sanggup mengkhianati dirinya? Dia rasa penghidupannya menjadi huru-hara semenjak pemergian Imah. Semuanya serba tidak kena seperti kena satu sumpahan.

Imah, maafkan abang. Bukan abang mungkir janji. Sememangnya abang hendak menjemput Imah menghadiri satu acara makan malam. Tapi hari itu ada mesyuarat tergempar, terpaksa abang hadirkan diri. Abang sayang dan rindu pada Imah dan anak yang Imah kandungkan selama 7 bulan. Abang tidak sangka, teksi yang Imah naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya. Abang minta maaf Imah! Abang menyesal!

Jali mengesat air mata yang berlinangan. Diambil beg bimbit dan lakaran cetak biru yang jatuh berselerak semasa Encik Tambi menolak dia ke tembok. Fikirannya kusut. Dalam masa seminggu bagaimana harus dia siapkan lakaran rekaan bangun yang baru? Ini bererti, Jali harus bekerja lewat setiap malam atau kemungkinan besar berkhemah di pejabat.

Sekembali Jali berdiri, matanya terpandang sekumpulan lelaki berpakaian seragam baju kot hitam, bertali leher merah, berjalan santai di koridor blok bertentangan. Jali macam tidak percaya akan apa yang dia lihat. Salah seorang lelaki yang berjalan di tengah-tengah kumpulan, sangat dikenali. Entah kenapa hatinya berkata pasti lelaki itu dalang kesemua kejadian. Saya harus bersemuka. Kedua-dua kakinya secara automatik berlari pantas mencari jalan keluar.

Lorong di bangunan berpusing-pusing. Keadaan menjadi bertambah mengelirukan, seperti tidak ada jalan keluar. Dirasakan seperti berada di dalam sebuah taman permainan pagar sesat. Hampir setengah jam, barulah Jali jumpa sebuah pintu yang di bahagian atas tergantung sebuah papan tanda besar berwarna hijau dengan sebuah perkataan bertulisan putih “KELUAR”. Dia berlari sekuat hati tanpa menoleh kiri dan kanan.

GEDEBUK!

Sebiji bola sepak melantun laju dari arah kiri, menghentam kepala Jali, lalu jatuh tersungkur, pengsan.

*********

(13 Mar 2020, Jumaat)

Kelembutan permaidani membuat Jali mahu terus terlena tetapi kesakitan di bahu kanannya amat bisa, seperti dicucuk dengan satu benda yang tajam. Jali meraba bahunya. Di rasa cecair basah dan pekat. Serta-merta Jali bangkit berdiri. Dilihat ada darah di hujung jarinya.

“Dah sedar pun. Ingatkan tadi hendak kena simbah dengan air garam”

Jali berpusing ke belakang. Lelaki yang dikejar sudah berada di hadapan mata.

“Kenapa awak buat saya begini?”

“Aku buat kau? Bila masa? Kau yang punca segalanya!”

Jali cuba melangkah ke hadapan. Pandangannya berbintang-bintang. Dia meraba tembok dan bersandar, termengah-mengah. Lelaki tadi memegang kuat lengan kiri Jali dan memapah ke sofa. Dia menolak Jali sehingga jatuh terduduk. Pandangan Jali berpinar-pinar.

“Jali, kau tengok siapa di sana.”

Dalam pandangan yang kabur, Jali sedaya upaya cuba memberi tumpuan. Matanya terbeliak. Encik Tambi? Kenapa kelihatan terlalu tua? Beruban, duduk di kerusi roda, tidak bermaya. Bukankah tadi….?!! Pening! Segala yang dialami tadi amat memeningkan.

“En… en… cik Tam… bi kah itu? Ke… na… pa ja… di be… be… gini?” Jali berbicara gagap dan tergetar-getar.

“Kerana kau dan segala janji kau lebih 11 tahun yang lalu. Dia meletak penuh harapan dengan projek yang kau ketuai agar dapat membuat syarikatnya maju semula. Dia percaya dengan kepakaran kau. Dia sanggup membayar kau gaji yang lumayan. Tapi kenapa kau tipu dia? Mengapa?”

“11 tahun?! Aku tak faham. Bukankah baru tadi…..?”

Lelaki itu ketawa berdekah-dekah. “Sudah 11 tahun, Jali. 11 tahun bapak aku merana kerana engkau! Kau penipu! Mungkir janji!”

“Saya tidak tipu dan tidak mungkir janji! Saya rasa awak yang menganiayai bapak awak sendiri!! Mungkin awak yang tiru dan memberi salinan kepada syarikat musuh bapa awak!”

Lelaki tersebut ketawa berdekah-dekah dan menumbuk muka Jali.

“Kau ada bukti yang aku menganiayai bapak aku sendiri?” Lelaki itu ketawa lagi. “Baiklah. Sebelum kau menemui ajal kau, ada satu rahsia aku hendak beritahu. Ya, sememangnya aku yang curi dan membuat satu salinan! Bapak aku bodoh! Syarikat Tambi Development Pte Ltd sudah seperti hidup pun segan, mati tak mahu, tapi masih tidak setuju bergabung dengan Unique Development and Construction Pte Ltd. Kalau dia ikuti cadangan aku, pasti dia duduk atas angin sekarang!!!”

Jali meludah ke muka lelaki itu. Satu lagi penumbuk singgah ke muka Jali. Darah mengalir di tepi bibir. Dari sudut mata, Jali ternampak sesuatu berkilat di tangan lelaki itu. Lelaki itu menghunus pisau ke arah Encik Tambi. Encik Tambi cuba bersuara, tapi tidak ada sebarang bunyi yang keluar. Dengan sikit kekuatan tenaga yang ada pada dirinya, Jali bangun dan memeluk lelaki tersebut dari belakang. Lelaki tersebut meronta. Jali semakin lemah, tapi dia masih tidak mahu melepaskan pelukannya.

Aaaaaaaaaaaahhhhh……!

Encik Tambi menjerit dan kemudian senyap. Badannya menunduk ke hadapan. Sebilah pisau terpacak di dada. Darah mengalir keluar. Lelaki tadi dapat melepaskan diri dari pelukan Jali dan terus menghilang. Jali cuba membangunkan Encik Tambi. Bibir Encik Tambi bergerak-gerak tapi kata-katanya tidak jelas. Hanya kedengaran perkataan ‘Jali’.

“Itu dia pembunuh bapakku! Tangkap dan gantung dia!”

Jali panik. Beberapa pasang mata tertumpu kepadanya. Dilepaskan genggaman dari hujung pisau yang masih terpacak di dada Encik Tambi yang sudah tidak bernyawa. Terasa kakinya kaku, tidak boleh bergerak. Kenapa pada saat genting sebegini, tidak ada loncatan masa berlaku. Jali tahu apa yang harus dia lakukan.

Dalam keadaan terhuyung-hayang, Jali menghumbankan badan ke tembok, berharap agar dia jatuh pengsan, tapi menghampakan, hanya setakat jatuh ke permaidani lembut saja.

Jali diangkat dan diusung ke tali gantung. Kedua-dua tangannya diikat erat. Sehelai kain hitam disarung menutupi seluruh kepala dan mukanya. Jali mula merasa sesak nafas. Papan lantai terbuka dengan tiba-tiba…


TENTANG PENULIS:

Pasidah Bte Rahmat mula menulis pada awal tahun 1983 dengan cerpen berjudul “Salah Sangka” yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 20 Februari 1983. Cerpen bertajuk “Yang Sebenarnya…” turut disertakan dalam antologi cerpen, Terminal Terakhir. Dia salah seorang daripada 35 peserta peraduan menulis cerpen “Mencari Kristal” yang dianjurkan oleh BH dan NAC pada 2016. Beberapa cerpennya pernah disiarkan di Berita Harian dan Cukaria.com. Kini mula menulis sajak, syair dan sonian. Baru-baru ini cerpen Pasidah, “Bang Beca” terpilih di dalam antologi Gerimis Di Kota Pelangi, terbitan Asas50. Dua buah cerpennya juga disertakan dalam antologi Projek 50 – Khianat, terbitan Metromedia Solutions yang akan diterbitkan hujung tahun ini.


Anda juga minat mengarang cerita pendek? Ayuh, sertai Sayembara Cerpen NYALA! Dapatkan butir-butir lanjut di pautan ini => https://goo.gl/Ch4zMQ


 

Save

Save

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial