Jenis-Jenis Cerita Binatang

Jenis-Jenis Cerita Binatang

Cerita binatang Melayu merupakan salah satu daripada cerita lisan yang disampaikan atau disebarkan daripada satu generasi kepada generasi lain. Cerita ini dipercayai lahir seusia dengan cerita asal-usul yang diwarisi daripada masyarakat sejak zaman purba semasa manusia hidup di gua-gua (Ismail Yusoff, 2008: 15). Sungguhpun cerita binatang Melayu sukar untuk menentukan tentang asal-usulnya, namun secara ringkasnya cerita ini menggunakan watak-watak binatang yang diberikan sifat dan sikap manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Semua sifat dan sikap manusia biasa telah dijelmakan dalam watak-watak binatang dalam cerita binatang. Seumpamanya, binatang diberi sifat bercakap, berfikir, menipu, berbincang, berkahwin, mempunyai emosi manakala dari sudut sikap pula, binatang ditonjolkan dengan sikap malas, rajin, berdikari, berkeyakinan, cemburu dan sebagainya. Terdapat juga watak manusia, hantu, gergasi dan jin yang dimunculkan sebagai watak sampingan dalam menggerakkan cerita binatang. Watak-watak yang lazimnya, digunakan dalam cerita binatang dalam masyarakat Melayu seperti binatang Pelanduk, Buaya, Gajah, Harimau, Anjing, Ular, Kura-kura, Musang, Helang, Ayam, Burung, Bangau, Kambing, Lembu dan Kerbau.

Kesemua watak binatang ini diberikan sifat yang tersendiri. Pelanduk adalah di antara watak yang digambarkan sebagai binatang cerdik, bijak menipu, licik dan selalu menjadi hakim dalam urusan pengadilan. Sungguhpun fizikal Sang Kancil atau pelanduk kecil tetapi dirinya selalu menang dalam menangani sebarang masalah sekiranya timbul pertelingkahan berlaku di hutan ataupun rimba. Berlainan pula dengan watak-watak binatang seperti Buaya, Gajah, Harimau, Anjing, Ular dan Musang yang digambarkan memiliki sifat yang ganas, garang dan pemangsa.

Watak dan perwatakan binatang sebegini dalam konteks bangsa Melayu menggambarkan sebuah kelemahan walaupun fizikalnya besar, gagah, berani tetapi hakikatnya sangat lemah dan daif. Oleh sebab itu, cerita binatang Melayu mengetengahkan kemenangan berada pada binatang yang fizikalnya kecil berbanding besar. Perkara ini dapat dikonotasi sebagai sebuah sindiran terhadap sesuatu perkara yang ingin disampaikan oleh masyarakat masa silam secara halus sama ada untuk memberi panduan, mendidik, menegur mahupun sebagai medium hiburan.

Terdapat beberapa jenis cerita binatang:

i Epos binatang
Epos binatang ialah sejenis cerita binatang yang bermotifkan kebijaksanaan untuk memperdayakan binatang yang lain. Cerita yang bercorak epos ini selalunya berbingkai-bingkai di sekeliling satu watak sahaja. Contohnya, terdapat rantaian cerita Sang Kancil berdasarkan episod-episod berbeza. Terdapat cerita Sang Kancil dengan Buaya, Sang Kancil dengan Lembu, Sang Kancil dengan Gergasi dan sebagainya. Watak Sang Kancil diselitkan dengan unsur-unsur kelucuan dan kecerdikan memperdayakan musuh-musuh yang lebih besar daripadanya.

ii Cerita Asal-usul
Cerita jenis ini mengenai penerangan asal-usul kejadian sesuatu sifat yang terdapat pada binatang sama ada menyentuh tentang fizikal mahupun emosi. Contohnya, mengapa Anjing bermusuh dengan Kucing, kenapa Beruang ekornya pendek, kenapa harimau berbelang dan sebagainya.

iii Cerita Sambut-bersambut
Cerita ini berupa rangkaian yang menerangkan sebab dan akibat sesuatu perkara. Cerita ini lazimnya mengandungi watak yang banyak dan mempunyai peranan tersendiri. Misalnya, cerita binatang yang bertajuk “Bangau Mengapa Engkau Kurus” merupakan cerita binatang yang bersambut bagi menerangkan sebab dan akibat. Penyampaian cerita diberikan dalam bentuk perulangan gaya bahasa yang melahirkan irama yang menarik ataupun dilagukan.

iv Cerita Fable
Cerita yang bercorak fable ini berfungsi mengangkat unsur teladan ataupun dinamakan juga sebagai cerita perumpamaan. Cerita sebegini berkepentingan dan mengandungi kritikan terhadap tingkah laku masyarakat. Contohnya, cerita “Arnab Yang Sombong”, “Merak Yang Bongkak”, “Bodoh Si Kelda” dan sebagainya.

Cerita binatang Melayu banyak memberi pengajaran kepada manusia yang mempunyai akal fikiran cuba menafsirkan makna tersirat melalui cerita-cerita itu. Melalui cerita binatang, manusia dapat menilai berdasarkan perlakuan-perlakuan yang diberikan kepada watak-watak binatang agar dapat dijadikan teladan dan keinsafan.

Sila kongsi dengan rakan-rakan:
error

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial