Kelibat Kedua

Kelibat Kedua

Qamal tidak pasti bilakah saat yang tepat bayang-bayangnya bercambah menjadi dua. Jika orang lain didampingi oleh satu bayang-bayang, Qamal memiliki dua bayang-bayang.

Bayang-bayang pertama adalah teman seumur hidup, yang mengekorinya sejak jasadnya bertemu dengan cahaya, yang mengikut setiap gerak laku sejak lahir dari rahim ibunda. Bayang-bayang kedua adalah kelibat yang lebih kecil dan kabur. Sering kali, ia berdiri lebih jauh daripada yang pertama.

Buat mereka yang tidak prihatin, kelibat kedua ini tampak seperti bayangan tunggul, tetapi buat Qamal yang meneliti kelibat bayang-bayangnya setiap hari, bayang-bayang kedua ini menyerupai bentuk tubuhnya, bukan pohon atau tunggul atau tiang.

Kalau Qamal memakai topi, ia juga bertopi. Kalau Qamal melompat-lompat, ia juga terkinja-kinja. Kalau Qamal menghisap rokok, ia juga menghembuskan kepulan asap seperti naga yang mendengus pada waktu malam.

Kadang kala, dua bayang-bayang ini bercantum menjadi satu. Namun, Qamal tetap merasakan kehadiran kelibat kedua yang aneh dan asing. “Ia tidak bercantum,” bisik hati kecilnya. “Ia bersembunyi.” Benar sekali, apabila Qamal mempercepatkan langkahnya, bayang-bayang kedua yang lebih perlahan gerakannya tertinggal di belakang, seolah-seolah terlambat setapak dua.

Pada malam yang mana Qamal menguji kelibat kedua ini, jiran-jiran yang sedang merokok di jendela terbuka atau yang termenung menanti dijemput lena, akan melihat seorang lelaki separuh umur berlari-lari mengelilingi sebatang tiang lampu di estet perumahan awam.

Mungkin juga mereka akan menggaru kepala bukan kerana turut melihat dua bayang-bayang yang mengekori lelaki itu, tetapi memerhatikan tingkah-lakunya seperti anjing mengejar ekor sendiri. Berpusing-pusing tanpa henti. Begitulah gelagat Qamal untuk beberapa malam yang sudah, mengacah-acah bayang-bayang sendiri demi menguji dan menjerat gerakan kelibat kedua.

“Fikiran kamu sahajalah, Mal!” kata Taufik. “Mana ada manusia yang mempunyai dua bayang-bayang?”

“Kau tak percayakan aku, Fik?” Qamal membeliakkan mata. “Tengok ni, aku berdiri di bawah lampu.”

Qamal bingkas menegak di bawah lampu stesen bas dan jarinya menuding-nuding ke arah bayang-bayang yang terbaring di lantai simen. Taufik tercegat di sebelahnya. Benar, bayang-bayang Qamal jauh lebih panjang daripada bayang-bayangnya sendiri.

“Hah, itu kan! Bayang-bayang aku ada dua, bercantum menjadi satu. Mereka bersusun, Fik, yang kecil bertenggek di atas yang besar. Tengok tu,” suaranya ghairah dengan harapan dapat meyakinkan teman karibnya itu.

“Mainan matalah, Mal! Mungkin engkau sudah menjadi hantu galah atau lebih dahsyat lagi, hantu Kuku Besi!” usik Taufik cuba meringankan keadaan sambil tertawa terbahak-bahak.

Hakikatnya, tidak ada orang yang mengambil peduli tentang keresahan dan kerisauan Qamal terhadap mainan bayang-bayangnya. Tidak isterinya. Tidak anak-anaknya. Dan kini, tidak juga temannya.

Qamal memang terkenal dengan fikiran-fikiran liar yang menjejak paranoia. Malah, semenjak zaman remaja dahulu, dia sering tenggelam dalam teori-teori konspirasi dunia, konsep iluminati dan hal-hal yang pelik-pelik. Qamal akan membuat bermacam-macam kajian, menonton video Youtube tentang konspirasi dunia berjam-jam dan memperdebatkan tentang buku dan filem yang menyentuh orde dunia baru dengan berjela-jela.

Tidak hairanlah bahawa Qamal memasuki dunia sains politik sehingga menjadi pensyarah walaupun kewibawaan dan kewarasannya sentiasa dipersoalkan. Tidak hairanlah Qamal berterusan menggali, menyelongkar dan mempersoalkan tindak-tanduk pemerintah, yang telah dia jolokkan dengan gelaran ‘Kuku Besi’. Tidak hairan jugalah hampir setiap tahun Qamal menerima surat saman sehingga beribu-ribu dolar habis digunakan untuk mempertahankan pendiriannya di muka pengadilan.

Rumahnya dijual, keretanya ditarik, barang kemas isterinya digadai dan insurans hayatnya pun terpaksa dikorbankan. Kini, Qamal menetap di sebuah rumah sewa dua bilik bersama isteri dan dua orang anaknya, berulang-alik kerja menaiki bas yang memakan lebih sejam kalau jalan raya tidak sesak, dan dia sentiasa berdoa tidak akan berdepan dengan penyakit-penyakit yang memudaratkan.

Seingat Qamal, perasaan aneh yang terawal menjentik hatinya berputik setelah dia menulis sebuah esei perbandingan ‘Kuku Besi’ dan Nineteen Eighty-Four yang disiarkan di sebuah jurnal sains politik yang ternama. Semasa mengamati esei itu, bulu romanya tiba-tiba berdiri. Bebola matanya menerawang ke siling dan tembok bilik pejabat, sebelum pandangannya menyapu lantai. Matanya cepat menangkap kelibat kecil yang seolah-olah melarikan diri dan bersembunyi daripada panahan mata Qamal.

Ketika berjalan ke arah stesen bas, Qamal merasakan ada sesuatu yang mengekorinya lalu dengan cepat menoleh ke belakang, dan nyata bayang-bayangnya yang kedua seolah-seolah terkejut dan menggulingkan diri di belakang sebatang tiang lampu. Dia merenung tajam, kelibat itu kelihatan seperti bentuk tubuhnya, seperti dirinya.

Mana mungkin bayang-bayang sendiri melarikan diri daripada Tuannya? Mana mungkin bayang-bayang sendiri bermain sembunyi-sembunyi dengan pemiliknya? Gilakah aku? Soalan yang terakhir itu menjadi belati yang berterusan mengasak mindanya untuk minggu-minggu mendatang.

Esei tentang ‘Kuku Besi’ mendapat sambutan luar biasa. Qamal ditawarkan kontrak penerbitan untuk memanjangkan esei tersebut menjadi sebuah buku non-fiksyen. Tulisannya yang kritis terhadap keadaan sosio-politik negara bakal menjadi suara penting di persada pengajian ilmu kemanusiaan.

“Berani kau cabar ‘Kuku Besi’?” tanya Taufik.

“Apa yang perlu aku takutkan? Setiap organisasi perlu ada pemeriksaan dan pengimbangan,” jawab Qamal.

“Kau tak fikir anak isteri, tak kasihankan mereka?” Taufik cuba menggali jawapan.

“Sebab aku kasihan dan sayangkan merekalah, aku berani. Aku lakukan ini semua demi masa depan mereka. Sampai bila kita harus begini?”

“Sudah, sudahlah tu, Mal. Engkau mempunyai keluarga dan jawatan yang baik. Tidak perlu terlalu kritis terhadap sistem. Sistem ini jugalah yang telah menggilap nama engkau,” nasihat Taufik.

“Tak boleh!” Qamal meninggikan suara. “ Setiap sistem yang ada kecacatan perlu ditegur dan diperbetulkan, selagi masih boleh diperbetulkan. Jikalau tidak, tempat ini akan menjadi…..”

“Oceania,” sambung Taufik ringkas.

Dalam sedetik, mereka berdua melayang ke zaman kampus, ketika duduk di kafe universiti, rancak membincangkan kebobrokan hidup di Oceania. Dunia dystopia rekaan George Orwell yang melukiskan keadaan hidup di bawah kediktatoran rejim politik, English Socialism atau Ingsoc. Setiap pemikiran yang melanggar ideal rejim digelar thoughtcrime atau jenayah pemikiran, dan akan dibanteras oleh Thought Police. Protagonis dalam novel itu ialah Winston Smith yang bekerja di Ministry of Truth.

“Bilakah saatnya sebuah pemerintah berubah menjadi Oceania? Setiap langkah, setiap kata, setiap gerak diperhati dan dilaporkan Thought Police?” Taufik membuka pertanyaan.

“Pabila manusia mula takut dengan bayang-bayang sendiri,” jawab Qamal. “Cukup makan, cukup pakai dan cukup selesa, tidak mahu sebarang kekacauan yang bakal menggugah status quo masyarakat, menggugat pangkat dan darjat dirinya.

“Pabila manusia sudah malas berfikir melebihi apa yang perlu kerana fikiran itu umpama batu yang memberatkan pundak. Tetapi tanpa batu itu, manusia akan terbang melayah tanpa pautan kepada realiti sebenar.

“Manusia sebegitu akan takut dengan pemikiran yang bebas dan liar, maka wujudlah thought police di Oceania yang mematikan sikap individualisme dengan paksaan.

“Dan negara menjadi kilang menghasilkan manusia yang sama cetak dan sama ragam, sama impian dan sama tujuan, tiada sifat keindividuan, tiada unsur kreativiti dan yang paling hina untuk spesies bergelar manusia, tiada kemampuan dan keberanian untuk berfikir.” Kata-kata Qamal di kampus pada petang itu bakal menjadi teras perbincangan esei yang melonjakkan namanya 20 tahun kemudian.

Selepas kampus, Taufik mendapat pekerjaan di Kementerian Sejarah, sementara Qamal meneruskan langkah dalam bidang akademik.

Kali ini, Qamal pula yang memanah soalan, separuh sindir dan separuh sinis, “Bilakah saatnya diri engkau menjadi tali barut Ingsoc? Jabatan engkau umpama Ministry of Truth, ahli silap mata yang merubah fakta sejarah untuk menyambungkan sebuah naratif. ”

“Mal, hidup biar selamat.” jawab Taufik separuh tersenyum. “Janganlah engkau cepat menebak, perkara kecil menjadi besar. Yang tidak ada, diada-adakan. Zaman kampus sarat dengan idealisme orang muda. Lebih asap daripada apinya. Lebih ngaum daripada gigitnya. Zaman dewasa kini adalah zaman kematangan, zaman menjaga periuk nasi, zaman menghadapi realiti kehidupan. Hidup biar selamat.”

Buku Qamal membandingkan tempatnya dengan Oceania, ‘Kuku Besi’ dengan Ingsoc dan dirinya dengan Winston Smith menggunakan suara yang lantang dan mempersoalkan setiap tindak-tanduk ‘Kuku Besi’ dan sistem pentadbiran yang berkuasa selama ini.

Apabila buku itu dilancarkan, sekali lagi Qamal berasa aneh setiap kali melintasi tiang lampu seakan-akan bayang-bayang sendiri memanggil-manggil dirinya. Kali ini, Qamal memusing ke belakang dan kelibat kedua tidak lari bersembunyi, tetapi terang-terang terpaku di belakang bayang-bayang pertama. Tidak berganjak, seolah-olah memaksa Qamal menerima kehadirannya.

“Siapa engkau? Kenapa engkau mengekori aku?”

Kelibat kedua tidak menjawab. Membisu seribu bahasa.

“Pergi! Jangan ikut aku! Pergi dari sisiku!”

Sepi berselanjaran. Qamal seperti orang gila terpekik-pekik kepada bayang-bayang sendiri.

“Mungkin engkau insan istimewa, Mal, perlu ada dua bayang-bayang.” pujuk Taufik lagi apabila Qamal mengadu nasibnya.

“Apa salah aku, Fik,” kata Qamal. “Tulisan aku hanya buah pemikiran, kata-kata yang terbentuk daripada renungan. Aku tidak melakukan rusuhan atau mengangkat senjata. Aku cuma melahirkan pemikiran.”

“Lalu, apa yang perlu engkau takutkan?” tenangkan Taufik. “Engkau sepatutnya lebih takut kepada malaikat maut yang merenung wajahkau 70 kali sehari, atau malaikat-malaikat Rokib dan Atid yang mencatat amalan dan dosa engkau. Hah, yang itu engkau perlu takut!”

Semakin laris buku Qamal, semakin kuat pengaruh Qamal, semakin jelas jugalah susuk kelibat kedua ini, sehingga menjadi sebesar bayang-bayang pertama. Bagi Qamal, bayang-bayang kedua ini umpama barah yang menular dan tidak alah kepada segala ancaman dan cemuhan.

Jika bayang-bayang pertama lebih setia sifatnya, mengikut tindak-tanduk Qamal tanpa membantah, Qamal agak ragu-ragu dengan kesetiaan kelibat kedua. Entah mana datangnya, entah bila perginya.

Kejayaan buku tentang ‘Kuku Besi’ mengharumkan nama Qamal sebagai pakar sains politik. Qamal diundang untuk memberikan syarahan di negara-negara jiran. Sudah lumrah dunia, jiran sebelah yang akan giat mencari dan mencungkil kekurangan tetangga. Qamal diraikan walaupun di negara sendiri dia diketepikan. Kain rentang yang besar memaparkan wajahnya menghiasi dewan gah, dan syarahannya berapi-api menentang “Kuku Besi”.

“Saya rasa terpenjara di bumi sendiri. Saya rasa hidup saya tidak bebas.” Kata-katanya berkobar-kobar dan sesekali matanya melirik ke lantai mencuri pandang kelibat kedua yang tegar di sisinya sebagai sang pemerhati.

Esoknya, dia mendapat notis saman daripada Kuku Besi. Bagaimanakah mereka tahu tentang isi syarahan Qamal? Siapakah yang memberitahu?

Kes mahkamahnya menjadi kes yang penting. Wartawan di tempat sendiri tidak mahu menemuramahnya tetapi wartawan-wartawan dari seberang berpusu-pusu inginkan pandangannya. Sekali lagi, bayang-bayang kedua setia mendampinginya, mencatat setiap ucapan, setiap lirik kata, setiap gerak langkah. Qamal melihat bayang-bayang kedua kini sudah ada bayang-bayang kamera dan alat rakaman suara.

Satu-persatu hidupnya mula terusik. Geran kajiannya ditamatkan, isterinya diberhentikan kerja dan permohonan biasiswa anak-anaknya ditolak. Rasa syak-wasangka yang terbit dalam diri Qamal semakin memuncak. Bayang-bayang kedua inilah punca segala kemusnahan hidupnya.

Malam itu, dia bertekad untuk membunuh kelibat kedua. Dia mengeluarkan pisau dan mengasahnya sehingga tajam sambil menyumpah, “Cukuplah setan, cukup, ini semua angkara engkau!”

Qamal mematikan semua lampu di rumahnya, dan memasang spotlight yang diacukan ke arah tembok. Qamal berdiri menghadap tembok, dan dua bayang-bayang tersergam di hadapannya.

Tanpa berkata apa-apa Qamal mengeluarkan pisau. Kelibat kedua mula bergoyang seolah-olah baru sedar apa yang akan berlaku, lalu cuba melarikan diri tetapi pintu bilik sudah dikunci rapi. Qamal menerkam ke arah pintu dan menusukkan pisau jauh ke dalam jantung bayang-bayangnya sendiri.

Bayang-bayang itu menggelepar dalam dakapannya, perlahan-lahan kelibat hitam itu bertukar warna dan rautnya mula menampakkan wajah yang sebenar.

“Taufik!” jerit Qamal.

“Engkau sebenarnya kelibat kedua? Engkau dekati aku untuk melaporkan tentang diriku? Engkau gunting dalam lipatan!” Kata-kata Qamal tidak disambut kerana Taufik sudah pun rebah buat selama-lamanya.

Qamal memilih untuk berdiam diri buat sementara waktu. Diamnya membawa kebaikan kerana kes mahkamah dijatuhkan oleh ‘Kuku Besi’ tanpa memberikan sebarang alasan.

Pagi itu, Qamal bergegas ke lapangan terbang. Ada simposium penting tentang hak asasi manusia yang akan disertainya.

Melangkah keluar dari rumahnya, dia berasa ringan, tidak ada kehadiran kelibat kedua yang memberatkan langkahnya. Sudah lumrah orang yang pernah menjadi buruan, dia berulang-kali berpaling menjeling bayang-bayangnya di lantai konkrit.

Langkah dan nafasnya tiba-tiba terhenti.

Jauh di belakang, satu batalion bayang-bayang hitam yang berbaring melintang di lantai bangkit berdiri satu-persatu. Serentak, mereka menerjah ke arah Qamal.

Qamal berlari sekuat hati.


TENTANG PENULIS:

Noridah Kamari ialah pemilik bersama Unggun Creative dan juga calon PhD dalam bidang sastera Melayu. Beliau pernah meraih Anugerah Penulis Harapan pada tahun 2013 dan karya-karyanya terakam dalam antologi-antologi di Singapura dan beberapa penerbitan serantau.


Anda juga minat mengarang cerita pendek? Ayuh, sertai Sayembara Cerpen NYALA! Dapatkan butir-butir lanjut di pautan ini => https://goo.gl/Ch4zMQ


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial