Keperluan Menjalankan Kajian Lapangan

Keperluan Menjalankan Kajian Lapangan

Keperluan menjalankan sebuah kajian lapangan dalam bidang sastera lisan, pemilihan genre amat dituntut dan dititik beratkan. Tuntutan ini bertujuan mengisi lohongan-lohongan dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional yang kian diabaikan oleh masyarakat, zaman dan persekitaran. Sastera lisan yang dilabelkan dalam pelbagai definisi oleh para sarjana tempatan dan Barat. Akhirnya, pada perumusan definisi sastera sedemikian berkaitan dengan seni budaya lisan atau verbal arts yang dihidupkan dari satu generasi lama kepada generasi seterusnya.

Walaupun sastera lisan lahir dalam pelbagai genre/persembahan yang meliputi bentuk naratif (cerita rakyat), nyanyian, perbilangan bahasa dan sebagainya (Mohd Khalid Taib, 1975: 5) tetapi kajian lapangan dalam sastera lisan telah mendorong para pengkaji untuk memilih kajian bagi meluaskan dan menyambung kajian ke arah lebih mendalam.

Adalah merugikan sekiranya tidak menjalankan kajian terhadap kebolehan informan-informan dalam menyampaikan dan memberi maklumat-maklumat kerana khazanah yang dimilikinya akan lenyap begitu sahaja sekerinya beliau berlalu dari dunia ini. Oleh itu, usaha kajian turun kelapangan seharusnya diteruskan agar dapat menyelamatkan sastera lisan di bumi Melayu supaya kekal sepanjang hayat.

Terdapat beberapa kaedah sebelum, semasa dan selepas ke lapangan yang perlu diikuti oleh para pengkaji supaya kajian mereka jalankan berjaya dan menyumbang kepada generasi akan datang.

Sebelum turun ke lapangan seharusnya para pengkaji perlu membuat persediaan terlebih dahulu supaya kajian akan berjalan lebih lancar. Pertama, para pengkaji perlu mengetahui terlebih dahulu tentang kajian yang ingin dijalankan. Pada masa yang sama, mereka seharusnya meneliti terlebih dahulu adakah kajian yang ingin dilakukan itu pernah dikaji mahupun sebaliknya. Oleh sebab itu, pengkaji perlu ke perpustakaan untuk mencari maklumat-maklumat awal tentang kajian, lokasi, masyarakat dan sebagainya. Dalam pada itu, pengkaji digalakkan menggunakan kaedah capaian internet supaya dapat meneliti kajian yang bakal dijalankan secara lebih meluas.

Sehubungan itu, pengkaji boleh memilih dalam melakukan sesebuah kajian sama ada ingin menjalankan temuramah secara terbuka mahupun tertutup. Hal ini bererti, pengkaji akan menentukan kajian untuk dijalankan di lokasi yang dipilih dengan menjalankan rakaman langsung dan rakaman khas. Rakaman langsung merupakan rakaman yang dijalankan ke atas informan di lokasi tersebut manakala rakaman khas pula, informan akan di bawa ke studio untuk diwawancara bagi menggelakkan sebarang gangguan. Kedua-dua kaedah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing mengikut keperluan para pengkaji untuk mendapatkan maklumat-maklumat kajian.

Semasa menjalankan kajian, terlebih dahulu pengkaji seharusnya mengambil maklumat tentang informan untuk melancarkan kajian kerana perkara seperti ini sering menjadi permasalahan dalam kajian. Terdapat sesetengah pengkaji terlupa untuk mencatat maklumat tentang informan, namun selepas tamat wawancara mereka terpaksa berpatah balik ke tempat kajian semata-mata untuk mendapat maklumat informan. Sekiranya sesebuah lokasi sangat jauh, maka hal ini akan mengganggu kelancaran untuk melakukan penulisan tentang kajian.

Begitu juga dengan maklumat informan seharusnya diteliti dengan sebaik-baiknya kerana sebelum ini terdapat beberapa masalah dalam memilih informan. Mengikut Mohd Taib Osman, dalam pemilihan informan untuk mendapatkan maklumat-maklumat kajian seharusnya diselidik latar budayanya, umur, pekerjaan dan sebagainya. Perkara-perkara sedemikian seharusnya diberi perhatian oleh para pengkaji, lebih-lebih lagi amat sukar untuk mendapatkan informan yang berumur dalam lingkungan 50-an ke atas dan mempunyai ilmu pengetahuan tentang sebarang kajian yang dijalankan ke atas dirinya.

Oleh sebab itu, para pengkaji perlu mengetahui serba sedikit panduan sebelum turun ke tempat kajian supaya semasa dan selepas kajian dijalankan tiada sebarang masalah yang dihadapai. Sama halnya juga dengan peralatan digunakan semasa menjalankan kajian termasuklah barangan peralatan untuk keperluan peribadi.

Peralatan seperti kamera, tape recoder, bateri, pen, pensil, kertas dan beberapa bahan-bahan lagi seharusnya dibawa dengan secukupnya supaya tidak mengganggu aktiviti semasa rakaman dijalankan. Bagi barang keperluan peribadi pula, seharusnya membawa bekalan makanan, ubat nyamuk, kasut dan beberapa ubat sebagai keperluan sekiranya berlaku kecemasan di lokasi kajian yang dilakukan. Lebih-lebih lagi lokasi kajian tersebut jauh di perdalaman.

Bagi menjayakan sesebuah kajian dilapangan seharusnya para pengkaji mengetahui serba sedikit tentang panduan dalam menjalankan kaedah kajian ke lapangan.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial