Malar Sinar Menyalakan Ilham 20 Penulis Singapura

Malar Sinar Menyalakan Ilham 20 Penulis Singapura

Majlis Pelancaran Lima Buku Sastera Pelbagai Genre

“Malar Sinar” telah berlangsung pada 16hb Mac 2019 di Wisma Geylang Serai dengan penuh kemeriahan. Acara yang dianjurkan oleh Unggun Creative ini adalah sebahagian daripada Pesta Buku Melayu Singapura, “Buana Buku Rimbun Ilmu”, yang buat julung-julung kalinya diusahakan oleh beberapa penerbit dan persatuan penulis setempat bersempena dengan gerakan #BuySingLit 2019.

Majlis pelancaran ini telah diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga & Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Buku-buku yang telah dilancarkan termasuk sebuah novel berjudul Tunjuk Langit oleh Jamal Ismail yang mengisahkan kehidupan sekawan warga emas di sebuah rumah tumpangan.

Dua buah buku sajak yang turut dilancarkan berjudul Rayuan Pada Hujan oleh Maarof Salleh dan Langkah Langkah Langka oleh Mohd Khair Mohd Yasin. Kedua-dua buku ini menampilkan rangkaian puisi yang menelusuri lekak-lekuk kehidupan dan rungkaian maknanya.

Lukah di Pergentingan pula ialah sebuah antologi cerpen yang menghimpunkan 16 karya daripada peraduan menulis ‘Nyala’ anjuran Unggun Creative. Tema-tema yang dikupas oleh para penulis dari pelbagai peringkatusia ini merangkumi cerita-cerita bersifat futuristik, mistik, kerohanian, kehilangan dan sejarah bangsa.

Mengasah Kalam: Jilid 1, yang ditulis oleh pemenang S.E.A. Write, penerima Pingat Budaya dan Anugerah Tun Seri Lanang, Suratman Markasan, menampilkan kumpulan esei kritikan yang membicarakan keadaan sastera di Singapura secara khusus dan meluas.

Sepertimana yang dibayangkan menerusi judul buku ini, sebahagian besar upaya yang harus dilaksanakan dengan lebih giat adalah ibarat mengasah kalam. Kesusasteraan Singapura ternyata masih perlu mengasah ketajaman genre kritikan yang pastinya dengan dukungan sisi lain yang lebih asas.

Profesor Madya Dr Mawar Shafei

Penerbitan kelima-lima buah buku ini disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan Singapura. Para peminat sastera boleh mendapatkan buku-buku ini dan juga buku-buku lain oleh para penerbit dan penulis Singapura dari lelaman UnggunCreative.com.

Unggun Creative ialah sebuah syarikat penerbitan yang diasaskan di Singapura sejak September 2016 oleh sepasang suami isteri, Encik Farihan Bahron dan Dr. Noridah Kamari, kedua-duanya merupakan penerima Anugerah Harapan daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura pada tahun 2017 dan 2013.

Sejauh ini, Unggun Creative telah menerbitkan 13 buah buku sastera untuk khalayak dewasa dan remaja. Buku-buku pertama mereka, Tukang Tunjuk Telunjuk, telah memenangi kategori puisi Melayu, manakala Kesumat Sang Avatar pula meraih hadiah kepujian dalam kategori fiksyen Melayu dalam majlis Hadiah Sastera Singapura pada tahun 2018.


Liputan lanjut tentang acara Malar Sinar ini boleh juga didapatkan dari lelaman Berita Harian Singapura melalui pautan di bawah ini:
https://www.beritaharian.sg/bahasa-budaya/menyemarak-cinta-sastera-melayu-di-pesta-buku


Kredit foto: R Azmann A Rahman

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial