Menilai Konsepsi PRAM Melalui Karya-Karya

Menilai Konsepsi PRAM Melalui Karya-Karya

Jika diteliti setiap karya yang dihasilkan Pram itu turut menggambarkan sejarah dirinya sendiri, secara tidak langsung pembaca akan mengenali dengan lebih dekat diri pengarang kerana setiap karya yang dihasilkan telah membawa pengalaman sejarah hidup yang dilalui oleh beliau dan masyarakatnya. Keterlibatan Pram berdasarkan pengalaman-pengalaman di dalam tahanan penjara semasa pemerintahan orde lama dan orde baru telah menyebabkan Pram begitu selesa dalam menghasilkan karya yang bercorak sejarah dan konsepsi yang ingin dikemukakan kepada para pembaca. Tambahan pula, sikap Pram yang memperjuangkan isu-isu sosial dalam kehidupan sering diutarakan dalam setiap hasil kepengarangan beliau.

Hasil karya Pram tidak hanya untuk memaparkan isu –isu sosial pada zaman lampau yang berlaku di Indonesia semata-mata, tetapi juga bertujuan menagih simpati pembaca supaya dapat menyaksikan pengalaman yang dilalui supaya hal sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang. Pengalaman-pengalaman lampau Pram itu telah dicernakan ke dalam novelnya Bumi Manusia, Cerita Dari Jakarta, Keluarga Gerilya dan sebagainya. Oleh sebab itu, setiap karya yang dihasilkan oleh Pram terarah kepada penceritaan realiti kehidupan manusia yang berhubung kait dengan konsepsi Pram yang ingin diperjuangkan.

Begitu juga bentuk kepengarangan Pram yang jujur dan suka berterus terang telah menjadikan karya yang dihasilkannya membawa konsepsi yang ingin disampaikannya berbanding dengan bentuk kepengarangan pengarang-pengarang karya lain yang lebih terarah kepada penulisan yang bertujuan memberi hiburan semata-mata. Oleh sebab bentuk kepengarangan Pram demikian, Pram telah dianggap sebagai pengarang agung Indonesia yang luar biasa kerana karya-karya dihasilkan olehnya telah membawa pembaca berkenalan dengan dirinya.

Bentuk kepengarangan Pram yang bersifat jujur dan berperasaan juga telah menjadikan setiap karyanya bebas mengemukakan segala persoalan yang bermain dalam fikiran, perasaan dan pengalamannya. Bahkan Pram begitu berani menceritakan hubungan akrabnya dengan politik (Shohifullah, 2002: 93-106). Adakalanya seseorang pengarang akan berasa lega dan tidak terkongkong kerana segala keinginan yang terbuku di hatinya akan tercapai apabila diluahkan ke dalam bentuk karya.

Hal ini sememangnya berkaitan dengan diri Pram kerana sejak mula melibatkan diri dalam bidang penulisan kreatif pada tahun 1947 dan dikatakan bahawa beliau akan menulis apabila marah dan mendapat gangguan emosi (Andre Vltchek& Rossie Indira, 2006: 44-45). Kesannya, Pram telah menghasilkan banyak karya semasa berada dalam tahanan iaitu semasa sedang mengalami tekanan emosi. Oleh itu, hasil penulisannya menampakkan sikapnya yang berterus terang menyindir, mengkritik insan-insan tertentu atau pihak-pihak yang menyebabkan dirinya terkurung d seibalik tirai besi di Pulau Buru, Pulau Nusakambang dan Magelang.

Kejujuran Pram dalam menghasilkan karya-karya sepanjang hidupnya secara tidak langsung telah mengangkat dunia kepengarangannya tidak lagi terikat kepada penulisan yang stereotaip yang hanya menceritakan hal-hal manusia yang remeh-temeh malah, kebijaksanaan dan kekreatifan beliau dalam menghasilkan karya-karya yang mampu menyalurkan ideologi yang berasaskan semangat perjuangan yang begitu kental dan jitu.

Ideologi tersebut telah disalurkan dalam beberapa buah karya beliau, terutamanya novel Arus Balik (1995). Novel ini merupakan novel yang sarat dengan sejarah dan mengandungi ideologi perjuangan. Pram untuk mengangkat balik bangsa pribuminya yang begitu agung di mata penjajah dengan cara menjungkil balikkan sejarah lampau. Sehubungan itu, Pram juga telah menjelaskan kegemilangan Majapahit dan keruntuhan Majapahit disebabkan oleh kuasa penjajah.

Salah satu konsepsi yang terdapat dalam pegangan tersebut ialah dianiayai (penganiayaan). Jika meneliti beberapa karya-karya yang dihasilkan oleh Pram secara tidak langsung pembaca akan mengenali gagasan yang ingin dikemukakan oleh Pram kepada mereka. Hal ini kerana, soal-soal penganiayaan yang menggambarkan kezaliman, peperangan, kemiskinan dan kemelaratan hidup masyarakatnya telah menunjukkan peristiwa zaman lampau yang berlaku di Indonesia dan bertujuan menagih simpati para pembaca supaya dapat menyaksikan pengalaman penganiayaan tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial