Meranggah Bahagia Di Tebing Hati

“Tidak! Papa tak setuju dengan rancangan engkau nak kahwin dengan perempuan Taiwan tu. Lepas habis kontrak kerja di sana, engkau balik ke Singapura!”

Azri terus tenang biar emosi insan di depannya bergelombang setinggi hampir 2 ribu kaki bak tsunami terbesar di dunia yang terjadi di Alaska dulu.

“Papa dah jumpa Jenny kan. Papa dah nampak cara-cara dia. Lemah lembut, hormat orang. Senang sesuaikan diri dengan kita. Mungkin kerana dia orang Asia bukan orang putih. Azri tak nampak ada masalah kalau Azri kahwin dengan dia.”

“Habis, boleh dia cakap bahasa kita?”

“Papa kan boleh cakap bahasa Inggeris. Apa masalahnya, pa! ”

“Itulah yang papa bimbang! Kalau kau kahwin dengan Jenny, bahasa Melayu kita akan mati.”

“Pa, orang sekarang cakap pasal IT, pasal teknologi, papa masih bercakap pasal bahasa.”

“Kau boleh jadi orang yang berjaya, orang ternama tapi kalau kau pinggirkan bahasa bangsa kau sendiri, kau akan jadi orang yang tak bermaruah! Apa guna pangkat dan wang, kalau kau hilang maruah diri.”

“Azri lupa yang papa ini guru bahasa.” Tajam sindiran Azri. “Baiklah, kalau papa nak macam tu juga, Azri akan suruh Jenny belajar bahasa Melayu.”

“Macam mana dengan kepercayaan dia?”

“Azri dah hantar dia belajar di Darul Arqam. Sebab itu Azri balik ke sini.”

“Kau ingat cukup dengan hantar dia ke kelas sahaja. Dari kecil dia membesar dengan nilai-nilai ugama Taoisme. Kau ingat dia boleh menerima ugama kita macam tu saja.”

“Papa sendiri pernah cakap, kalau Allah hendakkan sesuatu berlaku, ia akan berlaku. Tak ada yang mustahil.”

“Kau ingat Azri! Kau sekarang ini sengaja bina rumah di tepi pantai. Bila-bila masa saja rumah kau boleh dilambung ombak.”

Biarpun gadis Taiwan itu genit menawan, sedikit pun tidak duduk di hati papa Azri. Tanggapannya, perkahwinan dengan bangsa asing pasti mengarah pada keburukan. Namun Azri yakin dengan daya usahanya. Dia percaya dia mampu membina rumah yang tegar dan teguh. Rumah yang dapat bertahan dari pukulan ombak. Sebagai seorang jurutera, minda Azri sudah dicerna untuk mencari solusi bagi sebarang masalah teknikal. Displin pemikiran sebegitu dibawa ke kehidupan peribadinya. Setelah kian lama berbincang, sebenarnya lebih bertengkar dari berbincang, akhirnya Azri berjaya mendapat lesen menikahi Jenny. Lesen paksa!

Enam bulan selepas berumahtangga, syarikat kerja menghantar Jenny ke kursus luar negeri. Sebulan Azri terpaksa sendirian di rumah pangsapuri tiga bilik di tengah-tengah bandar Taipei itu. Terasa sangat kehilangan Jenny. Selang tiga empat hari, Azri akan menelefon untuk bertanya kabar. Selepas dua minggu, Azri mengambil keputusan untuk terbang ke Bangkok bagi melepaskan rindu. Namun Jenny menegah dengan berbagai alasan. Azri berasa pelik kerana lazimnya Jenny yang lebih merindui.

“Mungkin Jenny tidak mahu diganggu,” bisik hati Azri.

Satu sikap isterinya yang Azri faham benar, Jenny tidak suka mencampuradukkan hal kerja dengan peribadi. Tiga hari terakhir sebelum tamat kursus merupakan hari yang mendebarkan buat Azri. Perasaannya tidak ubah seperti dia baru bernikah dulu. Ghairah untuk menemui Jenny. Puas Azri teks untuk menyambut Jenny di lapangan terbang. Tapi tiada balasan. Apabila dia menelefon, bunyinya seakan talian terputus.

“Mungkin telefonnya rosak atau kena curi,” kekata hati Azri berterusan mengetuk mindanya.

Masuk malam kedua, masih belum ada berita Jenny. Kemudian masuk malam ketiga, barulah telefon Azri berdering. Suara menyuram sudah siap terpasang di hujung talian. Terbayang kereduman hati isterinya.

“Sayang, ke mana you pergi. I risau fikirkan pasal you. Bagaimana keadaan you?” Terburu-buru soalan keluar dari Azri yang sangat risau.

“Baik” Jawapan Jenny ringkas dan tenang.

“I tak dapat tidur, fikirkan keselamatan you. Jenny, I serik nak lepaskan you lagi.”

“Tak apa Azri, I takkan buat you susah-payah lagi.”

“Lain kali I akan fikir masak-masak sebelum I benarkan you pergi.”

“Azri, tak akan ada lain kali.”

“Baguslah kalau you takkan tinggalkan I lagi. You memang isteri yang baik, Jenny. You buat I semakin sayangkan you.

Baiklah, I jemput you sekarang di lapangan terbang.”

“Jangan Azri… Jangan….”

“Kenapa?”

“I tak berada di lapangan terbang.”

Azri tercengang. Berpuluh tanggapan negatif menyerbu ke benaknya. Resah menggunung.

“Azri, sebenarnya I… I tak pergi kursus. I bohongkan you.”

“Kenapa you buat macam tu?”

“Sebab I ambil keputusan untuk tinggalkan you selama-lamanya.”

Dalam sesaat, berpinar mata Azri. Kepalanya berputar. Dadanya sebak. Semput yang sudah lenyap bertahun lamanya cuba menampakkan kehadirannya.

“You dah bosan hidup cara Islam?”

“Tidak.”

“Kalau tidak, kenapa you nak tinggalkan I?”

“Sebabnya berpunca dari you.”

“Tolonglah Jenny, you jangan tambahkan bingung I.”

“You buat I bosan dengan hidup I sekarang. Setiap kali I bersolat di bilik, you tak ambil kisah. You tak berganjak, terus terpaku depan TV. Di Arqam, I diajar tentang halal haram. Tapi suami I makan saja ayam, daging di restoran. Pada hal di Taiwan ini ada daging halal dan restoran halal.”

Azri terpana sambil menggusar-gusar rambut ikal mayangnya.

“I ingat dulu sebelum kita bernikah, you rajin hantar I belajar di Darul Arqam. Melihat kesungguhan you, I mati-mati fikir yang you hormatkan ugama Islam. Rupa-rupanya I silap. You cuma nak dapatkan sijil saja.”

“Jenny, buat apa you bangkit hal-hal lama. Sekarang I sudah pun jadi suami you.”

“Hati I tak tenteram sejak kita nikah. Suami I mengingkari kepercayaannya. Dan yang lebih menyedihkan, dia mengingkari kata-katanya sendiri. Di mana I nak letakkan rasa hormat padanya.”

Panik menyelinap ke dalam diri Azri. Seakan tidak percaya apa yang dia baru didengar. Setahunya, dia sudah menjalankan peranan sebagai suami dengan baik. Dia memberikan kehidupan yang mewah. Sesen wang Jenny tidak dikecek. Setianya pada Jenny juga tidak berbelah bagi. Apa lagi yang Jenny mahukan. Tetapi sekarang hati Jenny terus beremuk-redam di hujung talian.

“Jenny, kalau I tak solat, itu kesalahan I. Itu urusan I dengan Tuhan. Kenapa mesti dia menjejas you. Pokoknya, I jaga kebajikan you sebaik-baiknya. Dan youlah satu-satunya cinta hati I. Apa lagi you mahu!”

“Begitukah pengertian you tentang bahagia untuk sebuah rumah tangga?”

Pipi Azri bagai ditampar. Sepanjang mereka bersama dari sebelum bernikah hingga sekarang, Azri sering berhujah tentang mengecap kebahagiaan. Dia menganjurkan itu dan ini bagi kebahagiaan rumahtangga mereka. Tetapi hari ini dia disoal tentang makna sebenar bahagia. Untuk pertama kalinya, Azri berasa kerdil menghadap isterinya. Perbualan itu berjeda seketika sehinggalah Jenny memecah keheningan.

“Azri, bahagia bukan bererti kita miliki semua yang kita cintai. Tetapi mencintai semua yang kita miliki. You memiliki ugama yang sempurna, ayah yang bertanggungjawab. Kededuanya adalah sumber kebahagiaan you. Tapi apa yang you dah lakukan untuk menyuburkan cinta you pada ugama dan orang tua you. ”

Kekata itu memerangkap emosi Azri lagi.

“Azri, I mahu mencintai kepercayaan yang you berikan pada I. Tapi I digagalkan.”

“Tolonglah Jenny jangan panjangkan pertengkaran ini. I tak mampu melihat perkahwinan kita gagal. I tak tahu macam mana nak berdepan dengan papa. Jenny, marilah balik ke pangkuan I.”

“Tidak! Selama enam I lakukan amalan yang diajar tapi sikit pun tak melekat kepercayaan dalam hati. I cuba juga sebab I nak prinsip hidup, tempat untuk berpaut. Tapi I terus dilambung ombak dan tenggelam sendirian. Pengalaman yang amat memedihkan, Azri.”

Kesedihannya tidak dapat dibendung lagi. Jenny menangis. “Sebenarnya, I kecewa dengan diri I sendiri. Kenapa I terlalu bodoh. Jika beginilah cara you melayan ugama you, kenapa I perlu tukar ugama. Azri, I tak boleh hidup berpura-puraan. Tak ada jalan lain, kita harus berpisah.”

“Sebagai suami, I berhak menegah!”

Jenny menghela nafas bengang.

“I tahu Azri, kuasa penceraian terletak di tangan suami. Selagi suami tak jatuhkan talak, si isteri tak boleh buat apa-apa. Jadi sekarang, you nak gunakan ugama you untuk menghukum I. Itukah saja peranan ugama you?”

Keras tamparan kata-kata Jenny. Ia membuat Azri mengubah fikiran sebagai menutup malu. “I bukan orang yang suka menyalahgunakan kuasa. Kalau hati you dah bulat, pergilah ikut dorongan hati you.”

Urat-urat halus merah timbul menyerbu pada bebola mata Azri yang putih itu. Gara-gara dia menahan air matanya dari meleleh. Ternyata rumah yang dibina di tepi pantai gagal berdaya tahan dari ombak yang terus-menerus memukul keras. Sejak hari itu, dia tidak mendengar berita Jenny lagi. Galau Azri dibuatnya. Bagaimana dia menghadapi kata-katanya yang diluahkan pada ayahnya dulu.

“Apa papa tak percaya Azri ke! Azri akan bimbing Jenny. Dia akan taat memeluk ugama kita. Jenny dan saya akan kekal bahagia.”

Kata-kata itu memakan jiwanya sekarang. Dia mesti merahsiakan penceraian itu. Insiden getir itu juga menggugat egonya sebagai lelaki. Azri pandai beralasan dan menyusun rancangan agar berita penceraiannya terus terbenam.

Sudah lapan tahun Jenny menyepi diri. Biarpun penceraian itu bersabit dari pegangan ugama Azri, ia tidak merubah dirinya. Azri tetap konyol dengan ugama yang diwarisi sejak kecil. Hari-hari diisikan dengan tuntutan dunia. Nikmat sihat dan rezeki melimpah yang diperolehi tidak pernah dikaitkan dengan Yang Esa. Baginya, semua itu datang atas daya usahanya. Saban hari dia melintasi depan pintu masjid Kaohsiung sewaktu keluar makan, tidak sedikit pun hatinya tercuit untuk melangkah masuk ke rumah Allah itu. Padahal pelancong berpusu-pusu menziarahi masjid bersejarah besar. Masjd yang dibina pejuang nasionalis Islam yang kalah di tangan komunis sewaktu Perang Saudara Cina dulu.

Tetapi satu hari, entah macam mana mata Azri terpandang ke ruang dalam masjid sewaktu melintasi depan masjid. Matanya tertancap pada kitab Quran yang terbuka lebar di atas rehal. Terletak betul-betul di tengah ruang masjid. Melihatkan kitab itu, fikiran Azri pantas jauh mengimbau.

“Azri, cepat tutup Quran tu! Tak baik biarkan Quran terbuka tapi tak dibaca!”

Pesanan ini sering berdenting di kupingnya semasa dia mengaji dulu. Pesanan itu menjadi amat sebati sehingga membentuk nilai diri. Imbauan itu mendorong Azri menanggalkan kasut dan bergegas masuk ke dalam masjid. Meliar matanya mencari insan yang berhajat dengan Quran itu. Tetapi ruang masjid itu sepi tanpa seorang insan pun. Hanya angin semilir meniup, menyelak halaman Quran itu selembar demi selembar. Azri berlutut di depan al Quran itu. Sedang hendak ditutupnya kitab itu, dia terpandang sepotong ayat yang biasa dibacanya semasa mengaji dulu.

“Shumma…‘afauna ankum… mim ba’di zalika … la’allakum tashkurun.”

Tergagap-gagap dia membaca ayat itu, sepotong demi sepotong. Kemudian benaknya mengimbau lagi pada kisah silam bersama ayahnya. “Pandai anak papa mengaji. Baru semalam alih, hari ini dah lancar.” Pujian begitu sering menghujaninya.

Dia sering menjadi contoh pada anak-anak ngaji yang lain. Perlahan-lahan, Azri memegang lembaran Quran itu dan cuba membaca ayat suci itu satu persatu. Huruf-huruf itu merangkak-rangkak di bibirnya sebiji demi sebiji. Sedang dia terkial-kial membaca, tetiba dirasanya ada tangan menetak keras bahu kirinya.

“Keluar…. Keluar…..”

Dia mengherdik dalam bahasa Pakistan. Walaupun Azri tidak faham bahasa asing itu tetapi aksi perbuatannya cukup memahamkannya.

“Hei, aku nampak kau masuk tadi. Kau tak ada wuduk, lepas tu kau pegang kitab suci ini! Kau memang tak tahu adab. Pergi… keluar dari masjid ini!!”

Lantang suara lelaki berusia sekitar awal 70-an itu, membentak-bentak Azri. Dalam masa yang sama, kedua tangannya menolak-nolak kasar tubuh Azri. Oleh kerana pukulannya bertubi-tubi, Azri kelam-kabut bangkit. Dalam haru-biru itu, Azri terpijak golongan tikar, hilang imbangan, lantas jatuh terkelepuk. Dahinya tersembam ke tapak batu tiang. Lebam. Namun pukulan berjalan terus sehinggalah Azri berada di luar masjid. Wajahnya terus membengis untuk memastikan Azri terus keluar meninggalkan masjid. Tidak pernah dia berasa sehina itu dalam hidupnya. Dihalau seperti anjing di dalam rumah Allah. Padahal dia adalah Ketua Jurutera yang dihormati. Terlalu banyak projek besar yang ditangani yang berakhir dengan kejayaan.

Malam itu, Azri asyik berkalih tidur. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, terbayang rupa orang tua Pakistan itu. Perasaannya bercampur-campur: marah, benci dan yang paling sukar dilupakan dia berasa terhina. Namanya sebagai jurutera tersohor di Taiwan diguris.

Keesokan paginya, Azri sudah berdiri di bawah apartmennya. Lengkap berpakaian seperti hendak ke tempat kerja. Tetapi langkahnya bukan ke lokasi pembinaan. Dia mengarah ke masjid Kaohsiung. Setibanya di masjid, Azri mencari-cari kelibat petugas masjid atau sesesiapa sahaja asalkan bukan orang tua semalam. Azri mahu membuat aduan. Orang tua itu telah mencederakannya. Dan konon perbuatan orang tua itu juga telah menjejas nama baik ugama Islam. Menghalau orang yang mahu beribadah. Azri mahu aduannya diberikan perhatian. Baru puas hatinya. Tetapi kini tiada orang masjid ditemui. Dari jauh, secara samar-samar dia nampak lelaki tua semalam itu terjongkok-jongkok, sedang menyapu lantai. Azri segera melindungi dirinya di balik tiang sepemeluk lengan. Dia menoleh ke bahagian kanan masjid. Pintu pejabat masjid terkuak.

Tanpa lengah, Azri bergegas ke pejabat. Seorang lelaki di lingkungan 60-an yang bersongkok haji, menyambut Azri dengan senyum penuh tenang. Kulitnya cerah dan matanya sepet, membayangkan asalnya dari negeri China. Nenek moyangnya di antara 20 ribu orang Islam yang lari ke Taiwan bersama Kuomintang. Pada masa itu nasionalis Kuomintang yang diketuai Cheng-Kai Shek dipaksa keluar dari negeri China selepas Jepun keluar.

“Assalamualaikum.”

Sudah kian lama Azri tidak mendengar sambutan sedemikian. Dia biasa bergulat dengan Good morning, Hello atau li-ho. Dia terpana sejenak sebelum membalasnya dengan nada suara yang rendah.

“Waalaikumsalam.”

“Boleh saya bantu awak, ya anak muda.” Kelembutan nada suaranya itu senada dengan air mukanya yang bening.

“Saya nak complain … errr… tentang pegawai di masjid ini.”

“Silakan, saya sedia mendengar. Tapi siapa yang awak maksudkan?”

Lelaki berair muka jernih itu mengangguk sambil cuba menelah rungutan yang akan Azri utarakan.

“Semalam, sekitar pukul 6.30 petang saya masuk ke dalam masjid ini. Tiba-tiba datang seorang tua menolak saya sampai jatuh. Tengok dahi saya sampai luka. Pada hal saya sedang membaca Quran. Lepas tu, saya diusir macam haiwan sedangkan saya tak lakukan sebarang kesalahan.”

Lelaki berwajah bening itu tersenyum tenang mendengar cerita Azri.

“Kalau awak kata, awak jumpa seorang tua pada 6.30 petang, sayalah orang tua yang kamu maksudkan.”

“Dia berkulit gelap. Nampak gaya, dia orang Pakistan.”

“Dia mungkin Jemaah. Tapi… biasanya pada pukul 6.30 petang macam tu, belum ada jemaah datang ke sini. Awak silap, rasanya.”

“Tak mungkin, tak mungkin. Baru tadi, saya nampak kelibat dia di belakang masjid.”

“Maaf anak muda, mungkin awak keletihan. Boleh saya berikan awak minuman.”

“Dia ada di sana! Saya nak cari dia sekarang. Biar dia bertanggungjawab dengan kecederaan ini.”

Tanpa menghiraukan kehadiran lelaki berwajah bening itu, Azri bergegas merayap ke setiap pojok masjid. Lama pencarian itu sehingga Azri menjadi letih. Lelaki berwajah damai itu mengekori sahaja ke mana Azri bergerak. Dua temannya yang baru mengetahui hal itu, turut menemaninya. Seorang wanita berjilbab warna kuning cair yang labuh sampai ke pinggang. Seorang lagi lelaki berkemeja lengan panjang warna kelabu dan berseluar hitam. Mereka berdua diam sahaja. Tetapi kebisuannya itu berperanan menghulur simpati pada lelaki berwajah bening yang kedamaiannya kini dicabar.

“Anak muda, sudah 20 tahun saya menjaga masjid ini. Saya tahu siapa yang keluar masuk masjid ini. Janganlah awak buang masa, mencari orang yang tak ada.”

“Tidak… tidak… Saya akan cari orang tua itu. Dia harus diajar! Perbuatannya menghalau orang beribadah di masjid ini, sudah mencemarkan ugama kita.”

“Alhamdullilah kalau saudara mempunyai ingatan sedemikian.” Melantun suara pegawai wanita yang berdiri di sebelah lelaki berwajah damai itu.

Azri tersentak mendengar suara yang biasa dengannya dulu. Suara yang pernah berbisik mesra di telinganya. Dia menoleh. Terpana! Wanita itu tidak lain dan tidak bukan adalah Jenny.

“Anak muda, kenalkan ini Puan Jannah, anggota jawatankuasa masjid ini. Dia orang kuat di masjid Kaohsiung. Yang sana tu, saudara Ibrahim Chen. ”

Azri cuba sembunyikan rasa tergamamnya. Sementara Jannah tenteram sahaja. Sedari tadi Jannah sudah cam akan Azri sewaktu dia kabut mencari orang tua. Untuk melindungi rahsia hubungan mereka, Azri memberi alasan untuk segera angkat kaki. Azri bersalaman dan bergegas keluar masjid.

Terlalu kacau fikiran Azri sehingga mendorong dia menaiki bot, menyusuri Sungai Ai. Mahu bermesra dengan air yang orang Taiwan percaya dapat memberikan ketenangan. Mendengar kocakan air dan melihat pengalirannya sememangnya menenangkan. Azri pernah lakukan apabila fikirannya berkecamuk selepas dia bercerai dulu. Tetapi ketenangan yang diperoleh dulu tidak muncul hari ini. Telefon bimbit yang sudah setengah jam berada di genggaman terus bernyala. Nama Jenny dan nombor telefonnya terang menyuluh ke mata Azri. Sudah setengah jam, Azri berdebat dalam benak. Haruskah dia menghubungi Jenny. 35 minit lagi berlalu tanpa apa-apa tindakan. Masuk ke 36 minit, akhirnya Azri menekan punat telefon.

Setelah seketika, talian dijawab.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Jenny, maaf kalau I mengganggu.”

“Tak ada apa yang Jannah harus maafkan.”

“You tinggalkan I sebab you bosan hidup cara Islam… tapi… tapi sekarang I tengok you mendekati ugama Islam, lebih mesra dari dulu. I tak faham.”

Jannah memintas, “Semua ini kerana mummy I. Dia mahu I terus berdamping dengan Islam.”

“Tapi mummy yang menegah keras perkahwinan kita dulu. Dia bantah keras bila you perlu tukar ugama!”

“Betul Azri. Tapi itu dulu. Selepas kita berkahwin, mummy dapat rasakan kemurniaan kasih sayang I terhadap dia. Mummy kata ugama yang I anuti itu telah mengubah I menjadi anak yang baik. Selepas bercerai, mummy tak benarkan I balik ke ugama I yang dulu. Dia kata, I marahkan Azri tapi jangan marahkan ugamanya. Ugama Islam tulus dan murni. Kenapa I harus korbankan kebaikan yang dah I perolehi kerana semata-mata I marahkan you.”

Siapa dapat menduga, dalam ombak yang bergelora tersisip jalur-jalur hikmah.

Hati Azri berdenting. “Aku ditemukan dengan Jenny melalui orang tua misteri itu. Siapa sangka, aku sekarang dapat semula cinta hati aku.”

“Jenny… maaf, maksud I Jannah, you buat I sedar betapa dhaifnya I. I mengabaikan ugama yang suci ini. I berjanji akan menjaga ugama I dan juga dengan sebaik-baiknya. I tak akan mengecewakan you, Jannah.”

Lidah Jannah terkelu. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Maaf Azri, kita tak boleh bersama lagi. I sudah bersuami.”

Mata Azri berpendar-pendar. Dengan sekilas dia mengimbau waktu semalam di mana Ibrahim Chen dilihatnya memandang Jannah dengan penuh kasih.

“Azri, I fikir pukulan ombak yang I alami dulu sudah cukup hebat. Rupa-rupanya ombak yang melanda Ibrahim lebih dahsyat. Bapanya adalah seorang paderi. Bayangkanlah tentangan yang kita alami. Tapi I sekadar lakukan saja apa yang I percaya dengan ikhlas. I tak pernah sua-suakan kepercayaan I. Dan Ibrahim mencari kebenaran itu sendiri. Setelah kita dapat apa yang dicari, kita sama-sama bina rumah. Apabila rumah itu akan punah, kita sama-sama perbaikinya. Alhamdullilah hingga kini rumah kita dapat bertahan dari pukulan ombak walau ia dibina di tepi pantai. Dan sekarang rumah itu menempatkan dua orang lagi insan, milik kita.”

“You sememangnya kuat, Jannah.”

“I cukup kenal you, Azri. You lebih berjiwa besar dari I. You dah tempuhi banyak cabaran yang hebat.”

Lama Azri berfikir sebelum dia menyambung ujaran Jannah.

“Masalahnya terletak pada diri I. I dah buat pilihan yang salah untuk mendapat kesenangan. Melihat you bahagia sekarang, I sedar yang I silap membuat pilihan. Jannah, I cemburu lihat apa yang you miliki sekarang.”

“You belum terlambat, Azri. I akan bantu you untuk menikmati kesejahteraan yang hakiki.”


TENTANG PENULIS:

Amanah Mustafi mula menceburkan diri dalam penulisan melalui skrip televisyen. Di Pesta Perdana, beliau menerima dua anugerah bagi Skrip Drama Terbaik dan anugerah Drama Khas Terbaik untuk Bubur Masjid Air Katira dan Buah Korma Air Zamzam. Dalam dunia persuratan, beliau menerima anugerah bagi Skrip TV Dilema, Kalimah Terakhir dan Terbelenggu, cerpen Nyaropot dan buku kanak-kanak Anak Ayam Bermain Dalam Hujan.


Karya ini menerima hadiah sagu hati bagi Sayembara Cerpen Nyala (April 2018) yang bertemakan ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Penulis akan menerima hadiah wang tunai $50 SGD beserta dengan beg ‘tote’ eksklusif ini.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *