Nostradamusesque

“Kita perlu pindah.”

Perlahan saja suaranya. Namun cukup jelas untuk menghuru-harakan keadaan. Hampir serta-merta kalut menerpa. Tak cukup dengan menoleh kanan dan kiri, rasa gementar yang semakin memuncak itu diselang-seli pula dengan suara cemas orang ramai yang sedang berkerumun di situ. Tatkala keriuhan itu sampai pada kemuncaknya, Pak Karto mendongak. Serta-merta diam melanda. Kini semua mata tertumpu pada wajah yang berkopiah dan berjambang putih itu. Asap dupa yang naik dari perasap itu dibiarkan saja sebahagiannya menyelinap perlahan masuk ke lubang hidung. Yang selainnya mengengsot naik ke pangkal kepala.

Apabila pasti senyap, Pak Karto melihat semula geluk di hadapannya. Dicapainya tiga biji limau lelang. Keris besi Siam milik arwah datuknya itu memotong rencong setiap biji. Semuanya dimasukkan ke dalam geluk. Ditambah pula tepung beras secuit. Garam secubit, sabut kelapa sekelonet; semua diadun sama. Dicarik pucuk kunyit bolai lalu dicelup ke dalam air, lalu air dari daun itu direnjis-renjis. Tiga kali ke kiri. Tiga kali ke kanan. Siapa yang terkena tidak berani bersuara. Mengesat pun tidak. Dibiarkan saja titisan itu mengalir lesu dari dahi ke bucu hidung.

“Ancak dah lepaskan?” tanya Pak Karto.

“Sudah.”

“Tapi dia patah balik.”

Pak Karto mendongak. Yang lain semua menoleh. Budak kecil yang bersuara itu terus membatu. Hanya matanya yang liar melilau menepis tumpuan yang memanah kearahnya.

“Patah balik?”

“Ya, Tok. Tadi pagi saya nampak, ancak tu terapung ada di muara.”

“Air pasang?”

“Surut.”

Pak Karto menghela nafas panjang. Dia berdiri lalu bergerak ke ambang pintu. Orang ramai semua dengan cepat bergerak ke tepi untuk memberi laluan. Di kawasan amben, Pak Karto merenung ke arah laut.

“Kita kena pindah. Kita ada tiga hari. Tiga hari sebelum segalanya punah.”

Penduduk Tanjong Perlak saling berpandangan. Mereka tak tahu apa yang perlu dilakukan. Kalau diikutkan hati, tiada apa yang perlu disangkal lagi. Apabila arahan itu datang dari mulut Pak Karto sendiri, mereka lazimnya akan tunduk di bawah telunjuk dan akur mengikut arahan orang yang amat disegani itu. Apakan tidak. Ini bab hidup dan mati. Jika diberi pilihan antara hidup dengan mati, tak ada siapa yang akan pilih mati.

Namun, hampir kesemua penduduk Tanjong Perlak itu bergantung pada laut. Mereka nelayan. Laut itu punca rezeki. Tiada laut, mereka juga bakal berhadapan dengan mati. Tiada siapa yang pernah bercucuk tanam. Tanam petai jantan. Tanam manggis. Tanam peria katak. Itu bukan bidang mereka.

Tapi kalau disuruh cari pumpun, cari telur belangkas, cari lubuk jenahak, cari lubang ketam nipah, ukir dayung, buat bento, pasang jaring, bawa kolek ikut arus masuk, cari bolos-bolos, kejar alu-alu, tampal lubang perahu, beritahu bila laut mati, bila boleh sauk mengkerong buat umpan, bila masa gelama mengawan, bila musim belanak merajuk, itu semua mereka tahu. Bahkan mereka lebih daripada tahu. Itu dah sebati dalam darah daging mereka.

Maka jika ditanya jika mereka ingin kekal, pasti mereka akan kekal. Siapa yang mahu pindah? Pindah nanti kena buat rumah baru. Kena pecah tanah, pacak tiang seri, tumbang pokok, ketam perdu. Itu baru sikit. Rumah nak bentuk yang mana? Bumbung panjang? Rumah serambi? Gajah menyusu? Kemudian nak cari jiran sesuai lagi. Maklumlah, pintu depan menyambut tamu, pintu belakang menutup malu. Apakah jiran baru dapat menutup malu? Lepas itu kena cari sumber air. Paling tidak korek telaga. Ini semua makan masa. Perah tenaga.

Selepas itu, apabila rumah dah siap, isi dah lengkap, mereka nak hidup berbekal apa? Siapa yang boleh pikul perahu keluar masuk hutan? Nak belajar bercucuk tanam? Berguru kepada siapa? Berguru kepalang ajar, kelak kelopak gugur ke bumi. Tangan dah kasar dek penangan air garam. Jari dah kematu tarik sauh di tengah laut. Nak berjinak tanam petai? Kalau tanah becak? Nak tuai padi? Sambil tunggu padi menguning, keluarga nak makan apa?

“Arwah Tok Gajah pernah bagitahu aku. Waktu tu dia dah uzur. Aku kecil lagi. Dia cakap, tiba detik tiga hari tiga malam hujan turun tanpa henti, ketika air mati surut habis, dan terasa gegaran dari perut bumi, itu petanda. Petanda yang ombak besar akan datang. Dan ini bukan ombak yang membaham tongkang Cina zaman bapa aku dulu. Ombak ini jauh lebih besar. Jauh lebih ganas. Ombak ini tidak mengenal kawan. Ombak ini akan menikam bumi; menjunam dari aras tinggi, dua kali lebih tinggi daripada pucuk pokok kelapa. Dia cakap, apabila ombak itu datang menghempas, semua akan mati. Semua.”

Ramai mata terbeliak. Namun masih tidak berganjak. Ada masih berfikir. Sebab itu tidak beralih. Pak Karto merenung wajah mereka. Sekali tenung, sudah tahu bisikan hati. Sekilas ikan di laut.

“Terserah. Esok aku akan bergerak. Naik ke Gunung Tukya. Siapa nak ikut, ikut. Siapa yang rasa dirinya berani nak cuba lawan ombak, tinggal.”

“Maaf saya, Pak Karto. Bukan kita tidak mahu pergi. Cuma, kehidupan kita dari dulu, dari masa bapa kita, dari zaman datuk nenek kita, sudah bertapak di Tanjong Perlak. Di tepi laut. Puas dibalun ribut. Jenuh ditakik ombak. Kita dapat bertahan,” kata Ayub.

Ramai mengangguk.

“Tapi itu dulu. Kali ini, ombak yang datang itu lahir dari perut bumi. Muntah dari laut dalam. Sama tinggi dengan dua batang pokok kelapa!”

“Saya pula risau. Apa kita nak buat di atas gunung tu nanti?” tanya Pak Cha, penghulu kampung itu.

“Entah. Yang aku tahu, kalau kita kekal di sini, kita mati. Ombak tu jahat. Aku tak berani.”

Dengan itu, Pak Karto masuk ke dalam. Orang ramai mula keluar satu per satu, pulang ke teratak masing-masing. Berat hati mereka. Namun, mereka tidak berani mencuba nasib. Bersabung nyawa. Ini bukan main keleret, andai kalah dipiat telinga, diincang kuda. Ini cagaran jauh berbeza. Pertaruh nyawa. Maka mereka pun mulalah membungkus mana yang perlu. Baju barang sehelai, duit barang segenggam, makan barang sehidang, milik barang secupak. Yang selainnya ditinggalkan. Tak cukup tangan.

Tepat detik sinar mentari menerobos celah-celah rimbunan, Pak Karto memulakan perjalanannya mendaki Tukya. Ramai juga yang mengikut. Ada yang cuba membawa ayam; dipikul di dalam bakul. Bising, namun mudah dipunggah. Ada pula yang membawa kambing; leher dijerut tali. Namun kambing tetap kambing – degil enggan mendengar kata. Apatah lagi perlu diheret mendaki Tukya.

Separuh jalan mendaki Tukya, mereka semua berhenti. Sambil mencuri nafas, mereka melihat Kampung Perlak. Masih ada pergerakan sedikit di sana sini. Tiga, empat keluarga mengambil keputusan untuk tidak ikut serta. Mereka yakin mereka akan selamat. Mereka yakin rumah mereka kuat. Mereka yakin ombak yang datang itu tidak sebegitu hebat. Dari aras pertengahan Gunung Tukya, mereka dapat lihat rumah-rumah mereka. Rumah-rumah yang menyimpan seribu kenangan. Sejuta impian. Mereka sekadar mengeluh. Tidak ada apa yang mampu dilakukan. Mentimun menyenggol durian, tetap luka separuh badan. Sejenak kemudian, mereka meneruskan pendakian. Setibanya di depan Gua Lipan, Pak Karto bersuara.

“Sini boleh. Kita ada kurang lebih 17 keluarga. Tempat ni luas. Boleh tampung 12 rumah. Lagi tiga boleh pilih atas sikit. Lagi dua, yang belum ada anak-anak tu, pergilah bahagian depan. Kalau dah pilih tempat sesuai, letak semua barang. Nampak denai tu? Kalau ikut denai depan tu, ada banyak cengal, jati. Meranti pun ada. Ikut suka masing-masing. Aku sarankan, kita rehat dulu. Esok pagi-pagi kita mula menebang. Jangan takut. Pokok banyak. Ingat. Kalau dah pilih pokok, cabut dengan teras, dengan akar sekali. Pastikan jangan tebang pokok sebelah-sebelah. Bagi dia peluang hidup. Tumbuh baru. Dah, semua pergi rehat.”

Selepas itu, masing-masing mula mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan tapak. Orang-orang perempuan mula menyiapkan bahan dan ramuan untuk masak. Malam itu, mereka ingin masak beramai-ramai. Menang tangan, kerja jadi mudah. Kembong masak pindang, ikan sepat goreng, pucuk ubi rebus balas dengan sambal belacan. Selepas makan, pasti mata terkulai layu.

Esoknya, belum sempat embun jantan kering, ramai yang dah mula menebang. Pak Cha menghampiri Pak Karto.

“Ada yang tanya, lepas ombak tu datang, lama-lama nanti, mesti air surut balik. Jadi buat apa kita nak terus tinggal sini?”

“Sebab, di sinilah nanti akan jadi tepi laut. Bawah tu nanti semua air. Ini bukan sebarang ombak. Ombak ni naik terus. Tak ada kenal erti surut,” jelas Pak Karto sambil merenung ke arah Kampung Perlak, tanpa menoleh dan melihat muka Pak Cha. Pak Cha pun beredar dari situ dan sambung menebang.

Malam itu, kawasan rumah masing-masing nampak lebih jelas. Masing-masing dah tentukan tapak rumah sendiri. Sewaktu orang lelaki sibuk menebang, orang perempuan pula membersihkan tapak. Rumpai dipagut. Lalang dicabut. Malam itu semua kepenatan. Lena cepat bertandang. Cuma keadaan di situ dingin. Berbeza dengan keadaan di bawah.

Keesokannya, kerja jalan terus. Akan tetapi, ada yang dah mula berungut. Ada yang kata sudah masuk hari ketiga. Tak nampak apa bencana. Tak terlihat sebarang petaka. Namun tiada sesiapa yang berani bersuara. Mungkin malam kelak ketika bersama, dapatlah diaju kepada Pak Karto.

Hadir malam, beberapa anak muda menghampiri Pak Karto.

“Pak Karto, kami nak bertanya. Saya kira dah tiga hari. Kudin cakap, kalau ikut hari buang ancak, dah masuk hari yang keempat.”

“Jadi?”

“Jadi, kami tak nampak apa-apa pun?”

“Entah.”

Mereka terperanjat. Mereka semua berpenat lelah berpindah-randah atas nasihat Pak Karto, dan jawapan ‘entah’ tidak memadai. Semakin ramai yang mengelilingi Pak Karto.

“Apa yang entah?”

“Kenapa tiba-tiba aja entah?”

“Manalah aku tahu bila ombak tu nak datang.”

“Kalau tak tahu, kenapa suruh kami pindah?”

“Ini sudah tiga hari! Langsung tak ada apa-apa yang terjadi!”

“Pak Karto jangan nak main-mainkan kami!”

Ramai yang mula menengking. Ramai yang mula menjerit. Pak Karto yang sedari tadi duduk sambil menghisap rokok gulungnya berdiri perlahan. Orang ramai masih membuat bising. Pak Karto merenung ke arah Kampung Perlak. Dia langsung tidak menghiraukan jeritan orang ramai di situ. Matanya beralih pula pada laut. Malam itu, bulan yang samar-samar berselindung di balik Pulau Sekupang nun jauh di sana sedang mengambang penuh. Tiba-tiba, bulan menghilang. Pulau Sekupang juga turut hilang.

“Cakap lagi. Sambung lagi. Nak sangat, kan? Ni, dia datang,” bisik Pak Karto.

Satu per satu mereka berhenti berbual. Malam bertambah kelam apabila mereka sedar sinar rembulan telah dibaham. Dan dalam kegelapan malam itu, mereka dapat lihat bentuk awan gelap yang seperti menggulung masuk menuju ke arah mereka.

“Awan apa tu?” tanya Lamin.

“Itu bukan awan,” jelas Pak Karto.

Ketika itu, kedengaran pekikan dari Kampung Perlak. Akan tetapi sekejap sahaja. Selepas itu, segalanya senyap, ditelan selimut ngeri. Benarlah kata Pak Karto. Benarlah ramalan Tok Gajah.

Ombak tinggi yang amat dahsyat itu pun menghempas lereng Tukya. Semua menjerit ketakutan. Bertempiaran mereka berlari mencari tempat perlindungan. Pak Karto tidak berlari. Matanya membesar. Dia teringat kata-kata Tok Gajah.

“Aduh…”

Selepas alun kembali tenang dan berhenti mengganas, air laut kini berada pada paras tujuh depa dari tapak perumahan mereka. Orang ramai yang bersembunyi keluar lalu berlonjak kegirangan. Budak-budak melompat kesukaan. Semua bergembira. Semua kecuali Pak Karto. Pak Karto sedang melihat kawasan laut yang baru terbentuk. Kampung Perlak, hutan lipur, dan segala apa yang ada di kawasan bawah sudah ditenggelami air laut. Namun bukan itu yang sedang Pak Karto fikirkan.

Mael, cucu Wak Suib menghampiri Pak Karto.

“Tuk. Kenapa, Tuk?”

Pak Karto pusing perlahan lalu mencangkung.

“Tok Gajah cakap semua akan mati.”

“Yalah, yang tak ikut kita dah mati. Mati lemas.”

“Tidak.”

“Apa yang tidak?”

“Tok Gajah cakap semua…”

Ketika itu, tanah bergegar dengan kuat. Perayaan kecil yang berlangsung sebelum itu terhenti dengan serta-merta.

“Ajal..”

Pak Karto tak sempat menghabiskan apa yang ingin disampaikan. Ketika itu, tanah di bawah kaki mereka runtuh – menelan sesiapa sahaja yang berdiri di atas. Puncak Gunung Tukya pula jatuh menyembah, menghempap sesiapa yang sedang berpaut.

Sejenak kemudian, keadaan menjadi sepi. Tok Gajah tidak berbohong.


TENTANG PENULIS:
Suzanne Ho ialah seorang penulis bebas yang gemar melancong. Beliau gemar membaca buku Alfred Hitchcock dan mencuba resipi masakan yang baru.


Karya ini ialah Juara Sayembara Cerpen Nyala (April 2018) yang bertemakan ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’. Penulis akan menerima hadiah wang tunai $250 SGD beserta dengan beg ‘tote’ eksklusif ATAU kemeja-T peribahasa ini.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *