Pantun Melayu Secara Umum

Pantun Melayu Secara Umum

Pantun adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman lagi. Mengikut sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, pantun wujud sejak zaman masyarakat Melayu tidak tahu membaca tidak tahu membaca dan menulis lagi. Pantun dilahirkan sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan menyindir, berjenaka, berhibur dan memberi nasihat.

Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun meliputi unsur dalaman dan apek luaran serta struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur-unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia bagi masyarakat Melayu. Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada konkrit atau abstrak.

Menurut Za’aba pula, pantun merupakan puisi Melayu yang tertua dan asalnya kepunyaan masyarakat Melayu. Sebelum orang Melayu tahu tentang surat menyurat, mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri. Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkaitan. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara perminangan dan perkahwinan, nyanyian dan upacara adat. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.

Secara ringkas, pantun Melayu dapat didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (Kamus Dewan : 813) atau sajak pendek. Setiap rangkap biasanya empat baris dan dua baris. Bagi pantun yang popular, bentuknya terdiri daripada empat baris iaitu, dua baris pembayang dan dua baris maksud. Walaupun hari demi hari dunia kini telah dihiasi dengan arus kemodenan, namun pantun masih relevan pada masa kini dan masyarakat masih mengekalkan tradisi pantun Melayu dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis pernikahan, peminangan dan dalam majlis rasmi seperti di jabatan-jabatan pemerintah ataupun swasta untuk tujuan persaraan, hari penganugerahan, hari guru, hari anugerah cemerlang dan sebagainya. Masyarakat hari ini masih sayangkan pantun Melayu yang dianggap sebagai khazanah Melayu yang begitu berharga dan sukar dilupakan. Walaupun pantun telah sekian lama wujud semasa nenek moyang kita tetapi ia masih sesuai digunakan.

Pantun Melayu diciptakan sebelum manusia tahu membaca dan menulis lagi, namun ayat-ayat yang digunakan amat sesuai dan menarik untuk dijadikan sebagai penghibur hati sindiran, pujian, kebanggaan, marah, benci dan sebagainya. Namun apa yang diluahkan tidak secara terus menerus sebaliknya berlapik dan bersimbolik bertujuan untuk menjaga hati dan perasaan. Mungkin inilah antara tradisi pantun sentiasa relevan dan diwarisi satu generasi ke generasi yang seterusnya.

Dalam Pantun Melayu pula dapat dilihat keunikannya tersendiri termasuklah pada karangan struktur ayatnya yang berangkap serta menggunakan bahasa yang indah dan sebuah pantun wujud dalam satu rangkap yang sempurna dari segi maknanya. Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan satu lagi bahagian maksud. Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua adalah pembayang, manakala baris tiga dan empat adalah maksud. Setiap baris dalam pantun mempunyai 4 hingga 5 perkataan dan setiap baris dalam pantun juga mempunyai 8 hingga 12 suku kata. Antara contoh pantun dapat dilihat antara 2-8 baris termasuklah:

Pantun Dua Baris
Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan binasa.

Pantun Empat Kerat
Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Sebenarnya Pantun Melayu mempunyai maksud yang mendalam agar pembaca dapat berfikir dan menghayati sendiri maksud tersirat dan tersurat yang cuba disampaikan oleh pengarang. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu lama sebelum orang-orang Melayu menciptakan pantun untuk melahirkan berbagai-bagai bentuk perasaan. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan rasa kesedihan, namun apa yang disampaikan tidak secara langsung atau terus sebaliknya menggunakan pelbagainya menggunakan pelbagai kiasan dan simbolik bagi tujuan menjaga hati dan perasaab seseorang. Jika pembaca tidak menghayati dan memahami secara mendalam serta menghayati tidak mungkin dapat menyelami perasaan terhadap sesuatu yang cuba disampaikan oleh pengarang. Di sini dapat kita katakan bahawa pantun Melayu dapat melahirkan seseorang yang bijak dalam berfikir.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial