Pendam

Bingit! Bingit! OK, sudah mula dah. Haish! Dalam kelas ini juga kau nak buat hal. Tolonglah. Qasha. Bawa bertenang… tarik nafas… tarik nafas. Ah! Suara video ini makin kuat pula! Henti! Henti! Jangan bergaduh! Diam! Aku cakap diam!

Jangan mula bergigil, Qasha. Kesat air mata kau tu. Nanti orang lain nampak! Pensel. Mana pensel aku ni? OK, bawa bertenang Qasha.

Astaghfirullahalazim. Itu cuma video sahaja. Tidak sama dengan apa yang berlaku pada kau. Kau tak kenal pun wanita dan lelaki yang bergaduh di dalam video tu… Bising! Kuatnya jeritan lelaki itu. Diam!

Luahkan Qasha, luahkan Qasha. Ingat pesan kaunselor. Tarik nafas, fokus… fikirkan, engkau ada di mana sekarang? Apa yang engkau sedang lakukan? Apa yang kaudengar di sekeliling kau? Apa yang kaubau? Apa yang kaulihat? Apa yang sedang berlaku? Jangan ikutkan perasaan.

Pensel! Ambil pensel cepat! Luahkan! Conteng! Conteng di kertaskau ini, conteng sampai engkau puas. Kawal emosi tu. Jangan takut! Tak ada orang akan perasan. Pensyarah sudah pun padamkan lampu kelas ni. Gelap. Tiada orang akan nampak kalau engkau menangis sekali pun.

OK, Qasha. Lukis. Lukis dan tenangkan fikirankau yang berserabut tu. Kak Lin. Kak Lin duduk di sebelah aku, bukan? Haruskah aku beritahu dia yang darah gemuruhku sudah datang kembali. Ini semua gara-gara penyakit kecelaruan keresahan aku.

Kenapa? Kenapa harus aku hidup begini? Cukuplah, Qasha. Jangan biarkan peristiwa yang lepas terus menghantui diri kau. Lihat! Apa yang dah jadi pada engkau sekarang ni? Tengok! Apa yang engkau dah buat pada diri kau. Hidup dalam ketakutan, keresahan dan kemurungan. Cukup Qasha, cukup.

Tetapi… ini semua bukan salah aku. Bukan kehendak aku! Aku cuba lepaskan semua ini. Aku cuba lupakan dan teruskan hidup ini. Tidak semudah itu hendak buang dan campakkan ke tepi perasaan yang entah apa-apa ini. Sesuatu yang harusku sentiasa pendam dan hidup bersama sejak bertahun-tahun yang lalu. Suatu episod yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan sentiasa berlaku pada masa akan datang. Bukan sesuatu yang aku harapkan tetapi sesuatu yang pasti untuk orang yang macam aku. Aku harus hentikan semua ini. Aku letih… aku harus melawan perasaan ini.

Kak Lin… tolehlah pada aku. Aku takut, Kak Lin. Video ni. Bising. Kuat sangat dalam otak aku. Berdengung dibuatnya.

Aku lihat mereka–kedua-dua orang tuaku. Aku lihat mereka berdiri di hadapanku. Berperang mulut! Muka berang! Darah! Darah! Kulit di bahagian telapak tanganku yang terkopek akibat tercalar terkena cerpihan kaca yang bertaburan di atas lantai saatku cuba meredakan keadaan. Ianya berlaku pada saat aku cuba ‘menyelamatkan’ keadaan.

Apa yang aku dapat? Tiada orang yang peduli. Suaraku bagai ditenggelami suara lantang mereka yang cukup buat menyengat kuping telinga. Aku ditolak ke tepi, seperti anak patung yang tidak bernyawa, yang langsung tidak berharga. Parut yang masih lagi segar di telapak tanganku, masih lagi bernanah di hati. Hati ini bagaikan dicarik-carik, ditikam dan ditampal semula. Argh!

Kak Lin! Pandanglah ke arah sini. Kak Lin seorang yang tahu semua cerita ni. Kak Lin seorang yang tahu penyakit Qasha ni. Kawan-kawan sekelas tak tahu keadaan sebenar aku. Mereka tidak perlu tahu pun. Tidak penting.

Qasha takut. Qasha takut sangat. Tangan Qasha sudah mula menggeletar. Badan Qasha sudah mula bergigil kesejukan. Kak Lin… sudah sudahlah tu tengok video yang ditayangkan pensyarah tu. Toleh ke arah Qasha. Berbual dengan Qasha. Setidak-tidaknya buat Qasha berbual sebelum terlambat…  sebelum Qasha hilang suara. Ketakutan. Kalau sudah hilang suara Qasha, berjam-jam baru datang kembali. Ini semua tidak lucu. Kak Lin! Tolong Qasha! Jangan biarkan Qasha menanggung semua ini seorang diri.

Patutkah aku panggil dia sahaja? Ish, nanti mengganggu konsentrasi dia pula. Nanti dia pula yang terlebih risau bila tengok keadaan aku. Tidak perlu…

Apa?! Video yang ditayangkan cikgu ni akan berakhir dalam masa 6 minit lagi? Aku tahulah ini modul mengenai “Kepentingan Sokongan Keluarga Terhadap Pembesaran Kanak-kanak.” Tak payahlah sampai nak tayangkan video keretakan rumahtangga. Aduh! Kacau ah!

Ya Allah tolonglah… tenangkan hatiku ini. Nanti orang nampak. Aku tak nak buat orang risau. Tetapi, aku betul-betul tak tahan pendam perasaan ini. Darah gemuruh ni. Aku harus lari. Aku harus tinggalkan tempat ini.

Beberapa cecair jernih mula bertakung di kelopak mata. Berdengung pula telinga. Aku sudah tidak boleh berfikir, seperti ada awan-awan yang mengaburi pemikiranku. Aku terbatuk-batuk kecil, seperti ada sesuatu yang tersumbat di dalam kerongkong. Otak ini tidak terkecuali. Ia bagaikan lupa akan fungsinya. Aku pun kurang pasti samada aku masih lagi bernafas ataupun tidak. Aku tidak sedar akan degupan jantungku yang pada mulanya berdentam-dentum menggongcang seluruh rongga, kini berdegup sepi dan terlalu perlahan.

Tangan mula menggeletar. Sejuk. Darah yang sepatutnya mengalir ke seluruh badan bagaikan membeku. Terhenti salurannya. Kedua tanganku terasa dingin, jauh beza dengan suhu di dahi yang terlalu panas. Bekalan oksigen bagikan terhenti dan tidak sampai ke otak. Mataku hampir tertutup. Aku hampir tertidur…

Qasha! Jangan! Bukan sekarang. Bangun! Kau tak boleh pengsan di sini. Lari! Kau harus keluar dari sini sekarang. Haish! Aku dah tak tahan. Mana telefon bimbit aku ni?

Aku meraba-raba, cuba mencari telefon dalam gelap. Aku segara bangun dari tempat duduk, meletakkan telefon bimbit pada kuping telinga konon-kononnya sedang menjawab panggilan lalu bergegas ke luar bilik darjah. Cecair hangat yang tadinya bertakung, jatuh berlinangan membasahi pipi. Aku lari ke arah tandas dan menguncikan pintu. Aku mengurungkan diri di dalamnya entah berapa lama. Jauh, jauh daripada mahluk dipanggil manusia.

Aku penat… aku penat sangat. Nangis Qasha, nangis. Kalau itu yang boleh buat kaurasa tenang, luahkan. Sudah sudahlah tu kaupendamkan semuanya selama ini. Tengok kesannya sekarang. Kaujuga yang susah. Penyakit ini makan dirikau sendiri. Ianya sudah menjejaskan kesihatankau.

Ibu…  Ayah… Qasha rindu keluarga kita. Qasha rindu kamu berdua. Perpisahan ini menyakitkan. Sudah bertahun-tahun ianya terjadi. Qasha cuba untuk kuatkan diri. Qasha cuba untuk menerima semua ini dengan ikhlas dan dengan hati yang terbuka.

Qasha sedar, ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya milik Allah. Ternyata, Qasha lemah. Qasha boleh sahaja sembunyikan kesedihan Qasha, memilih untuk meneruskan hidup dengan melakukan perkara-perkara yang membuat Qasha bahagia dan menjadi orang yang sentiasa bersyukur dengan Qasha miliki sekarang ni. Tetapi, Qasha tidak boleh menipu pada diri sendiri dan menyembunyikan hakikat bahawa Qasha sakit. Qasha terpaksa hidup dalam ketakutan.

Qasha tidak pernah menyalahkan sesiapa. Ini semua dugaan untuk Qasha. Qasha yakin pasti akan hikmahnya. Walau apapun yang terjadi, Qasha akan sentiasa memaafkan ibu dan ayah sebagaimana Qasha mengharapkan keampunan dan kemaafan atas segala kesilapan yang Qasha pernah lakukan sepanjang hidup Qasha. Qasha sayang kedua-duanya. Apalah sangat penderitaan yang harus ditanggung jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang kedua-duanya telah lakukan untuk membesarkan kita. Qasha berjanji Qasha tidak akan menjadikan peristiwa silam penghalang untuk Qasha kejar cita-cita Qasha.

Pensyarah Qasha pernah berpesan apabila Qasha berdepan dengan episod sebegini tiga bulan lalu, “Apa yang terjadi antara kedua-dua ibu bapa kamu, bukanlah salah kamu. Mereka sudah dewasa, biarlah mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri. Qasha harus membantu diri Qasha. Tiada siapa yang dapat membantu kita sekiranya kita tidak membantu diri kita sendiri. Awak asyik memikirkan dan menjaga perasaan orang lain. Sekarang ini, masanya untuk awak memikirkan diri awak sendiri. Penyakit atau gangguan emosi awak ini jangan dibiarkan sarat. Boleh merbahayakan diri awak. Lakukan sesuatu. Bantu diri awak. Cikgu tahu awak kuat. Memang bukan mudah tetapi awak harus cuba.”

Terus menerus aku bermonolog dalaman dan mengimbas kembali pelbagai senario di fikiran, demi memujuk hati. Aku mencapai telefon bimbit untuk melihat tarikh yang ditetapkan untuk sesi kaunselingku yang seterusnya. Aku tersenyum kecil, setidak-tidaknya aku tahu walaupun sukar, aku telah membuat keputusan untuk berusaha membantu diriku ini.

Aku keluar daripada tandas. Sehingga sudah terduduk di atas lantai dibuatnya. Air mata dikesat. Aku membasuh wajah lalu mengelapnya kering supaya hilang semua bukti bagi menunjukkan bahawa aku telah menangis. Kemerahan di hidung sudah tidak kelihatan lagi, yang tinggal hanya mata yang sedikit bengkak.

Ahhh! Tak kisah ah! Tak akan ada orang perasaan pun. Aku harus ke kelas sekarang. Sudah hampir lima belas minit aku di sini. Nanti pensyarah perasan pula aku tak ada. Harap-harap video itu dah habis. OK, Qasha. Masa untuk senyum. Rileks. Semuanya akan baik-baik sahaja.

Aku membuka pintu lalu melabuhkan kembali punggung di tempat dudukku. Jelas kelihatan bibit-bibit kebimbangan pada riak wajah Kak Lin. Dia meletakkan tapak tangan kirinya di atas tanganku dan mengurut-urut sedikit. Dia cuba mengukirkan sekuntum senyuman buat menenangkan diri aku. Aku tahu dia tahu.

Sekurang-kurangnya, aku tahu aku dianugerahkan seorang insan yang matang dan memahami untuk menjenguk-jengukkan aku semasa aku di sekolah. Allah itu Maha Adil. Aku tidak boleh menyembunyikan masalah aku daripadanya kerana aku tahu dia dapat merasakan saat-saat aku sedang bermasalah.

Inilah cerita yang mengisahkan suara hati seorang watak yang harus hidup dengan kemurungan dan hidup dalam keresahan terutama sekali pada saat-saat terjadinya sesuatu yang mencetuskan gangguan emosi dan mental. Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Laut mana yang tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan. Setiap manusia itu pasti akan diuji dengan pelbagai cabaran tetapi bukanlah di luar kemampuannya.

Kalau kita jatuh tersungkur sekalipun dan rasa terlalu lemah, itulah saat kita menyedari bahawa dunia ini hanya sementara. Apakah makna kebahagiaan yang hakiki? Rasa bahagia yang dipinjamkan tidaklah bersifat kekal. Penderitaan seseorang itu bukanlah buat selama-lamanya. Sebagai manusia, kita mengharapkan yang terbaik. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal.

Memang kita tidak memilih untuk ditimpa suatu kesusahan. Tetapi, cara kita yang kita ambil untuk menangani dan berdepan dengan masalah tersebut dapat mengubah nasib diri kita.

Misalnya, sekiranya kita memilih untuk bersikap optimistik, maka kita dapat menggarap pengajaran daripada sesuatu yang terjadi. Sekiranya kita tergesa-gesa melakukan keputusan dan tindakan mengikut emosi, besar kemungkinan ia akan membawa kepada kemudaratan dan penyesalan. Maka cekal, sabar dan tabahlah wahai diri agar menjadi manusia yang berjaya dan bahagia dunia akhirat. Sesungguhnya, Allah bersama orang yang sentiasa bersabar.


TENTANG PENULIS:

Nur Qaisurah Binte Wahab ialah seorang pendidik yang sedang bekerja sambil belajar. Seorang pelajar Al-Zuhri separuh masa dan sedang mengambil kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang juga minat mengajar. Karya kreatif dijadikan cara untuk meluahkan perasaan, bermuhasabah diri dan juga bertujuan untuk dijadikan pengajaran.


Karya ini menerima Hadiah Sagu Hati untuk Sayembara Cerpen Nyala bulan Mei 2018 yang bertemakan “Surat. Diari. Monolog.”


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *