Peranan Penceritaan Dalang dan Dagang

Peranan Penceritaan Dalang dan Dagang

Sesebuah karya pasti mempunyai keistimewaannya tersendiri. Terutamanya, karya sastera tradisional yang disampaikan oleh tukang cerita yang dikenali sebagai dalang dan dalang. Kedua-dua tukang cerita ini mempunyai peranan tersendiri dalam menyampaikan cerita kepada khalayak. Dengan kata lain, dalang merupakan tukang cerita yang berpengetahuan dalam menyampaikan sesebuah cerita dalam persembahan secara lisan, manakala dagang pula merujuk kepada tukang cerita yang bersifat keberaksaraan. Yakni bermaksud, dagang merujuk kepada tukang cerita kepada khalayaknya melalui budaya penulisan atau karangan.

Peranan Dalang

Dalang mempunyai peranan untuk memulihkan keharmonian perasaan atau hati pembaca mahupun khalayak. Perkara ini dapat dikaitkan dengan karya-karya yang sampaikan oleh dagang adalah bersifat ringan atau bertujuan menghiburkan hati. Karya-karya yang disampaikan oleh dalang berada pada kedudukan yang paling bawah sfera fungsional dalam sistem kesusasteraan Melayu.

Hal ini demikian kerana, karya sedemikian bersifat untuk mengalpakan, mengasyikkan, menduka-larakan, memanjang-manjangkan dan mengenangkan bukannya mengingat atau mengulang-mengulang sebagai peringatan.

Karya-karya sedemikian disebut sebagai “soothing” atau menglipur larakan melalui keindahan, lebih-lebih lagi dalang sering kali dikaitkan dengan wayang, ilusi, khayalan dan seterusnya akan menyebabkan kelupaan dan kelalaian. Keindahan dalam karya yang disampaikan oleh dalang merupakan keindahan mengakibatkan jiwa khalayak akan berasa kagum, kestabilan emosi dan adakalanya pembaca atau khalayak akan menaruh rindu dan dendam.

Rasa seperti ini merupakan suatu proses yang disebut sebagai cartharsis iaitu suatu pengalaman lerai emosi yang melegakan kerana dalang menyediakan dunia sastera yang indah-indah telah merangsang deria mereka.

Dengan kata lain, salah satu kesan disebut oleh Frued sebagai Psiko-therapeutik yang memunculkan oleh seni iaitu, pendengar atau pembaca (pesakit jiwa) daripada tekanan perasaan yang berlebih-lebihan. Contohnya, melalui gambaran dan imej-imej yang indah, menakjubkan dan mengasyikkan adalah semata-mata bertujuan menyeronokkan deria, menghilangkan kerisauan, duka nestapa dan perasaan kecewa. Hal ini dapat diredakan dengan pemerian terperinci tentang hiasan anak-anak raja, rupa paras, taman-taman, majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya.

Peranan Dagang

Berlainan pula dengan peranan penceritaan dagang yang menyampaikan karya-karya bersifat “commeratif” yakni bertujuan mengingati. Dalam menyampaikan sesebuah cerita, dagang sering kali menggelarkan dirinya sebagai fakir, gharib dan musafir.

Karya-karya sastera Melayu yang disampaikan oleh dagang adalah di kedudukan yang tertinggi dalam sfera fungsional iaitu berada pada hierarki ketiga dan kedua. Karya-karya ini tergolong dalam karya yang baik atau juga disebut sebagai-karya “beneficial” yang bersifat mendidik kerohanian dan memberi faedah kerana sering mengingat, mengulang, menjadi cermin pada cermin.

Dalam sistem kesusasteraan Melayu, sastera yang membentuk penyempurnaan kerohanian adalah terdiri daripada karya-karya keagamaan dan tasawuf. Fungsi karya sebegini berhubungkait dengan konsep dalaman diri supaya dapat mendidik kerohanian pembaca. Tambahan pula, golongan karya tersebut terlalu dekat dengan al-Qur’an bagi meletakkan peranan dagang dalam menyampaikan cerita adalah berada di tempat yang istimewa berbanding dalang.

Selain mendidik hati nurani, peranan dagang dalam penceritaan juga bertujuan menajamkan akal budi pembaca mahupun pendengar.

Menurut tradisi Islam, manusia adalah makhluk yang berakal sejak dilahirkan namun akalnya dalam potensi sahaja. Tambahan pula, akal dapat diibaratkan sebagai lilin yang belum diberi rupa.

Manusia dapat didewasakan dan dididik sebagai manusia sosial dengan perasaan dan fikiran halus iaitu sebagai makhluk yang beradab berdasarkan karya-karya yang disampaikan oleh dagang pada peringkat kedua tertinggi. Contoh karya-karya yang tergolong dalam sfera faedah adalah terdiri daripada dua bahagian iaitu sebagai cermin dan sejarah. Karya-karya yang terdiri sebagai cermin seperti buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara. Khasnya, nasihat-nasihat ringkas raja-raja yang biasa ditulis dalam bentuk prosa dan puisi seperti Taj as-Salatin, Bustan as-salatin dan lain-lain. Genre yang terdiri sebagai karya cermin adalah meliputi hikayat-hikayat berbingkai dan syair-syair yang berkaitan dengan etika, sindiran dan alegori.

Peranan dagang dan dalang mempunyai perbezaan yang ketara kerana dagang bertujuan mendidik hati nurani dan menajamkan akal budi khalayak mahupun pembaca manakala dalang pula semata-mata untuk menghiburkan hati.

Walau bagaimanapun, peranan penceritaan dalang juga boleh dianggap bertujuan memberi kebaikan kerana dapat mengubat penyakit jiwa khalayak yang tidak tenteram walaupun karya-karyanya berada pada peringat yang paling bawah.


Ingin membaca cerita-cerita daripada dalang dan dagang moden? Layari UnggunCreative.com untuk kumpulan cerpen dan novel hasil karya penglipur Singapura!


 

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial