Perbezaan Haiku Jepun dengan Pantun Melayu Secara Ringkas

Perbezaan Haiku Jepun dengan Pantun Melayu Secara Ringkas

Haiku dan Pantun mempunyai perbezaan, antaranya, Haiku Jepun tidak mempunyai rima yang sama malah menitikberatkan suku kata bagi setiap baris. Bentuk Haiku menjurus kepada menyatakan sesuatu dengan bait yang pendek, kemas sambil memberi peluang kepada pembaca untuk menghayati maksudnya secara peribadi. Satu rangkap Haiku ditulis dalam tiga frasa. Dalam Bahasa Jepun ketiga-tiga frasa ini ditulis dalam satu baris menegak. Namun, bila ditulis dalam Bahasa Melayu atau Inggeris kebiasaannya satu rangkap Haiku ditulis dalam tiga baris. Selain itu, jika dilihat pada tema, haiku kebiasaannya merujuk kepada alam semula jadi atau alam sekitar.

Unsur Alam Dalam Haiku

Alam menjadi unsur penting dalam Haiku, di samping peristiwa-peristiwa khas. Sensitif terhadap gerak, bunyi, rasa, warna, bau, bentuk, cuaca dan jelmaan pelbagai unsur alam itu akan menghantar isyarat tertentu kepada pemerhati yang peka. Penulis Haiku memberi fokus kepada unsur-unsur sedemikian, daripada itu hadirlah di dalam Haiku itu kigo atau kata musim.

Namun terdapat dalam Haiku Jepun ungkapan-ungkapan Sakura, Salju, Kupu-kupu, Padi, Katak, Cengkerik, Taufan, Pic dan Plum. Perkataan-perkataan ini disebut Kigo.

Kehadiran unsur-unsur alam yang banyak dalam Haiku berfungsi sebagai pelengkap untuk menjadikan Haiku yang bermutu. Kata-kata penunjukan ini berperanan sebagai penanda waktu ketika Haiku dicipta. Penulisan waktu itu tidak harus terang-terangan ditulisnya, terkadang disamarkan dengan perumpamaan-perumpamaan. Sesuatu pendapat atau pesanan mahupun untuk meniupkan semangat tidak disampaikan secara terang-terangan. Kalau ada pun komen atau pendapat, ianya berbentuk tersirat.

Perkara yang hendak diceritakan pun hanyalah yang berada di persekitaran yang biasa. Namun, ia juga sesuai untuk menggambarkan perilaku insan. Bagaimanapun, seperti yang ditetapkan oleh peraturan Haiku, ia sekadar penceritaan tanpa komen. Haiku juga biasanya menceritakan tentang tema-tema yang sangat sederhana dan mudah difahami kerana menggunakan imej-imej yang nyata. Ungkapannya tidak perlu dijelaskan tetapi tidak pula kabur. Maksudnya tidak dizahirkan secara langsung tetapi dibiarkan untuk diandaikan oleh pembaca atau pendengar.

Unsur Rima Dalam Pantun

Pantun Melayu mempunyai rima berbanding Haiku Jepun. Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah dan akhir pada tiap-tiap baris. Rima yang baik mempunyai bunyi sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan baris pertama maksud dan begitulah seterusnya. Rima pantun yang baik iailah ab, ab, dan adakalanya muncul rima a, a, a, a. Sekuntum pantun akan wujud dalam satu rangkap yang sempurna dari segi maknanya. Setiap rangkap pantun terbahagi kepada dua bahagian iaitu pembayang dan maksud.

Bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua disebut sebagai pembayang, manakala baris tiga dan empat disebut sebagai maksud. Bagi pantun dua kerat pula, baris pertama itu pembayang dan baris kedua disebut sebagai maksud. Rima atau bunyi akhir di hujung baris adalah sama dan sejajar. Sehubungan itu, tema pada pantun Melayu yang digunakan pelbagai rencam kerana orang-orang Melayu melahirkan bermacam-macam bentuk perasaan. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, berjenaka, menyindir dan menyatakan kesedihan.

Daillie (1988) mengatakan bahawa pantun menggambarkan kehidupan dan alam orang Melayu – seumpamanya dalam sebutir pasir di dalamnya terdapat semua unsur kehidupan orang Melayu yang meliputi tanah, kebun, rumah, ladang, sawah, hutan, gunung, pepohon dan lain-lain.

Kesemua ini menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu yang amat akrab dengan alam sekeliling dan alam yang terbentang dijadikan seperti guru. Begitu juga dengan Haiku Jepun yang mempunyai tema yang tersendiri namun suku katanya lebih ekonomis berbanding dengan Pantun Melayu. Kekuatan penggunaan unsur-unsur alam melambangkan maksud yang sedalam-dalamnya kerana menyentuh tentang keagamaan dan semangat semula jadi.

Kesopanan Dan Keagamaan

Sifat pantun yang banyak memperlihatkan kesopanan dan adab pemakainya dalam meluahkan perasaan amat menarik untuk dibincangkan. Jangkauan akal fikiran yang merenung dan mencerna segala bentuk kehidupan dalam lagu dan irama pantun melambangkan pesona jiwa dan kehalusan minda masyarakat Melayu menjaga aib muka dan juga sebagai satu senjata untuk menangkis sebarang perbuatan secara lembut dan harmonis. Perkara-perkara seperti inilah yang perlu dijaga dan dikekalkan dalam jiwa masyarakat Melayu supaya kesopanan dan kelembutan yang selama ini menjadi amalan akan terus berkekalan dalam jiwa generasi hari ini.


Dapatkan buku-buku puisi Melayu karangan penulis-penulis Singapura di lelaman UnggunCreative.com!


Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial