Perkembangan Drama Kanak-Kanak: Satu Tinjauan Ringkas

Perkembangan Drama Kanak-Kanak: Satu Tinjauan Ringkas

Sesebuah karya pasti mempunyai keistimewaan yang tersendiri, khususnya karya drama yang merupakan sebuah genre yang amat unik berbanding genre lain dalam dunia kesusasteraan. Genre ini dikatakan amat unik kerana bukan sahaja menjadi bahan bacaan tetapi juga dapat dipentaskan dan dipersembahkan. Tambahan pula, drama mempunyai ciri-ciri tertentu untuk memperlihatkan sesebuah karya itu tergolong sebagai drama.

Ciri-ciri drama adalah seperti kisah yang terdapat dalam drama berhubung kait dengan kehidupan realiti manusia, isu-isu yang timbul dalam drama adalah membicarakan tentang permasalahan manusia, mempunyai babak serta dialog. Dialog-dialog daripada watak-watak merupakan perkara yang paling penting dalam sesebuah drama. Hal ini demikian kerana, sesebuah plot dihidupkan dialog-dialog tersebut dari permulaan cerita sehingga akhirnya walaupun diselang-seli dengan pemerian peristiwa (Mana Sikana, 1989:8-15).

Secara konseptualnya, perkataan drama adalah bermaksud “gerak” yang berasal dari negara Yunani atau dengan lebih tepat “gerak” itu menunjukkan bahawa drama merupakan gerak seni yang mengandungi unsur-unsur keindahan dan menghiburkan. Dalam konteks yang jelas, drama merupakan genre yang mempunyai identiti menarik malah kemunculannya dalam kesusasteraan telah berkembang dari masa ke masa. Bahkan kemunculan drama bukan sahaja berkembang di Barat malah juga negara-negara Timur.

Kewujudan drama di negara Malaysia bukanlah sesuatu yang pelik pada pengetahuan masyarakatnya. Tambahan pula, drama yang wujud dalam negara tersebut mempunyai pelbagai jenis dan dikategorikan mengikut peringkat umur. Terdapat pengelasan drama yang dipanggil sebagai drama dewasa dan drama kanak-kanak. Walaupun kedua-dua pengelasan ini drama ini dalam genre drama tetapi kedua-dua kategori ini mempunyai identiti sendiri lazimnya drama kanak-kanak.

Drama kanak-kanak merupakan buku-buku drama untuk kanak-kanak malah ia juga sesuai untuk dibaca dan diminati oleh golongan dewasa. Di Malaysia, drama kanak-kanak dipercayai telah wujud pada awal abad ke-20 selepas drama-drama di Barat berkembang meluas, drama-drama tersebut telah disadur, diterjemahkan oleh PKM (Persatuan Kanak-kanak Malaysia) malahan turut dipentaskan serta disiarkan di kaca televisyen serta di corong-corong radio.

Drama kanak-kanak masih mendapat perhatian walaupun telah hasilkan dengan pelbagai tema, motif, gaya dan stail mengikut perkembangan zaman dan tahun. Bermula pada tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an dan sehingga kini. Setelah berkembangnya drama kanak-kanak pada awal abad ke-20 maka, pada tahun 1950-an drama kanak-kanak terus lagi bernafas walaupun drama kanak-kanak yang diterbitkan dan dibukukan adalah daripada hasil terjemahan drama Barat oleh para penterjemah tempatan. Misalnya, pada tahun 1957 karya klasik Inggeris yang popular bertajuk “Macbeth” oleh Shakespeare telah diterjemahkan oleh Hussien Ahmad ke dalam bahasa Melayu penerbitan Syarikat Saudara Sinaran Berhad (Hadijah Rahmat, 2006:27).

Seterusnya, perkembangan drama kanak-kanak menjadi lebih mantap pada tahun 1960-an. Hal ini demikian kerana, para penulis tempatan telah mula menceburi bidang penulisan drama kanak-kanak dan bergiat menghasilkan drama. Keadaan ini adalah berbeza pada tahun sebelumnya kerana penghasilan sesebuah drama kanak-kanak hanya diambil daripada drama negara lain-lain seperti England, Russia, Indonesia, Singapura dan lain-lain. Tambahan pula, pada ketika ini terdapatnya kesedaran daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk bekerjasama dalam mempertingkatkan lagi taraf drama kanak-kanak di Malaysia. Pihak DBP telah menjadikan buku-buku drama kanak-kanak sebagai keperluan di sekolah-sekolah rendah kerana drama-drama sedemikian dapat membantu perkembangan pendidikan kanak-kanak.

Selain itu, pihak DBP juga telah melancarkan program peraduan menulis drama kanak-kanak yang terbuka kepada semua pihak. Peraduan penulisan ini dibahagikan kepada bahagian iaitu, cerita lakonan untuk kanak-kanak sekolah rendah dan cerita lakonan untuk kanak-kanak sekolah rendah dan cerita lakonan untuk orang-orang muda peringkat sekolah menengah. Begitu juga dengan syarikat penerbitan lain khususnya, Syarikat Saudara Sinar yang turut serta menganjurkan peraduan tersebut akan serta menganjurkan peraduan tersebut akan terbitkan dan menjadi bahan bacaan untuk dipasarkan atau bahan-bacaan keperluan di sekolah. Contohnya, drama bertajuk “Mari Berlakon I” dan “Mari Berlakon II” merupakan hasil daripada peraduan penulisan drama yang telah dianjurkan oleh pihak DBP yang memenangi peraduan tersebut telah dibukukan dan diterbitkan pada 1967 dan menjadi bahan bacaan yang penting.

Pada masa kini terdapat juga drama kanak-kanak yang berbentuk antologi iaitu pengumpulan berbagai-bagai jenis drama dibukukan dalam satu buku. Buku drama sebegini mengandungi pelbagai jenis cerita misalnya, terdapat cerita yang berunsurkan kemanusiaan, kekeluargaan, hiburan dan lain-lain. Disebabkan terdapat pelbagai cerita maka terdapat pelbagai tema yang diutarakan kepada para pembaca. Contoh drama kanak-kanak berbentuk antologi adalah drama “Panggong Kanak-Kanak” dalam siri pertama adalah disesuaikan sebagai bacaan kanak-kanak berumur sepuluh tahun manakala siri kedua dan ketiga adalah untuk kanak-kanak darjah lima dan enam (Amir Hamzah, 1967: iii). Berdasarkan siri yang disesuaikan mengikut usia kanak-kanak adalah secara tidak langsung drama antologi tersebut mempunyai identiti yang tersendiri.

Dalam drama “Panggong Kanak-Kanak Yang Pertama” terdapat cerita yang menarik dan berunsur teladan sesuai dengan tajuknya seperti “Lili Kucing Suzi”, “Siapa Bercakap Bohong I dan II”, “Buat Baik Dibalas Baik”. Dalam drama ini unsur teladan digambarkan pada watak Yusuf yang begitu sombong dan enggan memberi sedikit makanan kepada orang tua meminta bekalannya untuk pergi berkelah, namun begitu Yusuf telah mendapat kerana sikapnya kurang ajar dan tidak menghormati orang tua. Hal ini dapat dibuktikan melalui gambaran sedemikian:

“Orang Tua: Kalau awak beri sedikit makanan itu kepada datok, datok akan beri awak satu bungkusan”.
:(Dia mengeluarkan satu bungkus dari bakul buruknya bungkusan itu pun buruk juga)
: Nah! Ambillah barang ini. Datok beri barang ini kepada awak
Yusof (ketawa): Ha, ha, ha. Bungkusan buruk yang datok beri pada saya?
Ha, ha, ha! Saya tak mahu menerima bungkusan buruk
itu…
Orang Tua : Mengapa? Mengapa awak ini?
Yusuf: Tolong saya, datok!..” (Zainuddin Lapoh, 1967:113-132).

Berdasarkan gambaran dialog di atas adalah jelas menggambar bahawa drama demikian sesuai untuk kanak-kanak berusia sepuluh tahun dan tambahan pula unsur plot, watak, latar dan bahasa dalam drama ini adalah mudah dan jelas (Julia Unggai, 2000:15). Begitu juga dengan drama “Panggong Kanak-kanak” yang kedua dan ketiga yang bersesuaian dengan kanak-kanak berumur sebelas dan dua belas tahun adalah lebih bersifat mencabar sedikit berbanding siri drama sebelumnya.

Hal ini kerana, kanak-kanak yang berumur sedemikian dari segi pemikiran yang sedikit matang, mereka adalah lebih gemar membaca drama-drama yang berkisarkan kehidupan realiti manusia dan tentang kehebatan seseorang manusia yang sentiasa bersifat baik. Contoh drama yang bersifat menggambarkan kehidupan realiti manusia yang mencabar dalam drama “Panggong Kanak-Kanak” siri kedua dan ketiga adalah drama ialah “Biar Puteh Tulang”, dan “Kerja Baik Jangan ditangguh” (Yahya Samah, 1967:21-32).

Kedua-dua drama ini mempunyai tema kemanusiaan dan menggambarkan kehidupan manusia yang terpaksa menghadapi cabaran hidup dan sikap manusia dalam kehidupan. Oleh yang demikian, drama seperti ini memang sesuai untuk kanak yang berumur 11-12 tahun kerana bahasa, plot, watak dan latar dalam tersebut lebih complete sedikit.

Pada tahun 1970-an drama kanak-kanak di Malaysia telah mempamerkan wajah drama yang berbentuk muzikal. Drama seperti ini mempunyai kelainan kerana unsur-unsur yang terdapat dalam drama berbentuk demikian bersifat longgar berbanding drama tahun sebelumnya. Peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam drama muzikal telah diselang-selikan dengan nyanyian lagu atau bersifat seni menghiburkan.

Keadaan ini secara tidak langsung, dapat menjelaskan bahawa drama sebelum tahun 1970-an. Contohnya, drama muzikal yang bertajuk “Lagu Tiga Kupang” yang telah wujud pada 1970-an dan dicipta oleh Abdul Aziz Abas. Berdasarkan drama ini, adalah jelas terdapat unsur-unsur drama yang mengalami pembaharuan dan perubahan. Terutamanya, dari segi tujuannya adalah bersifat menghiburkan para pembaca kerana setiap perjalanan plot sering kali diselitkan dengan unsur hiburan seperti unsur tarian, nyanyian lagu muzik. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan dialog gambaran berikut:

“Tompok: (menyanyi)
Lagu tiga kupang,
Saku penuh padi,
Emas ekor burung,
Masak di-kuali,
Bila sudah masak,
Burong nyanyi saja,
Tentu sedap makan,
Beri pada raja,
Raja dalam rumah,
Buat kira2;
Suri dalam dapor,
Makan roti gula,

Arahan: Masa Tompok menyanyi2 dan menari Orang Angkasa cuba ikut menarik sama. Tetapi chara dia menari terlalu ganji, yang boleh menyebabkan penonton ketawa, melihatkan gerak-geri-nya yang ganjil itu (Abdul Aziz Abas, 1970:117-118)”.

Berdasarkan gambaran ini adalah jelas bahawa sifat yang ada pada drama muzikal ini bertujuan untuk menghiburkan, maka dengan itu drama sebegini lebih menarik jika dipentaskan dan dipersembahkan mengikut rentak lakonan. Tambahan pula, bahagian depan drama ini juga terdapatnya paparan bahan untuk pementasan seperti alatan-alatan pentas, pakaian, tarian, lampu dan paparan watak-watak dan peranan. Di samping itu, watak-watak yang terdapat dalam drama tersebut adalah watak-watak yang luar biasa dan penuh dengan kelucuan. Contohnya, watak binatang seperti kucing dan raja Tikus boleh berkomunikasi dengan manusia tambahan pula, kemunculan watak Orang Angkasa yang lebih menarik perhatian kanak-kanak.

Oleh yang demikian, drama berbentuk muzikal ini amat sesuai dibaca atau dilakonkan oleh watak kanak-kanak kerana dapat menggelikan pembaca atau penonton dan juga kanak-kanak tersebut. Walaupun dalam drama ini berbentuk muzikal yang mempunyai unsur peristiwa yang diselang-selikan dengan nyanyian dan muzik tetapi unsur watak, latar dan plot masih terikat kepada tahun sebelumnya. Keadaan ini kerana, plot dalam drama ini masih mengikut kronologi iaitu bermula dengan permulaan, perkembangan, klimaks dan peleraian. Dari segi wataknya pula, adalah terdiri daripada watak yang tidak ramai dan watak jahat akan dibalas dengan pembalasan yang setimpal, watak baik akan mendapat kemenangan sehingga akhir cerita manakala latarnya pula adalah berlatarkan dunia yang nyata (Abdul Aziz Abas, 1970:1-63).

Keadaan ini adalah berbeza dengan perkembangan drama kanak-kanak pada tahun 1980-an yang lebih bersifat Complete kerana lebih menekankan kepada isu-isu permasalahan yang dihadapi oleh manusia. Oleh yang demikian, disebabkan drama pada masa ini menekankan perkara-perkara yang melibatkan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling. Hal ini dapat dibuktikan melalui drama-drama yang terdapat dalam antologi “Lagu Anak Perawan”. Drama-drama yang terdapat dalam antologi ini merupakan drama yang dikumpulkan bersama-sama puisi moden, tradisional dan diterbitkan pada tahun 1980-an.

Penerbitan antologi ini adalah memenuhi keperluan bacaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Rendah yang berusia sekitar umur tiga belas tahun hingga lima belas tahun. Salah satu drama yang menekankan isu-isu permasalahan kehidupan manusia ialah “Kasih Tidak Terbeli” (Rahim Syam, 1980: 56). Dalam drama ini terdapat gambaran yang menyentuh emosi kerana peristiwa dalam drama tersebut telah menimbulkan persoalan yang berkaitan dengan kemiskinan, peperangan, keganasan walaupun temanya membawa unsur kasih sayang.

Oleh itu, memang jelas bahawa drama ini amat sesuai untuk bacaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Rendah kerana peristiwa tersebut lebih mencabar minda dan emosi yang mendalam lebih-lebih lagi, plot yang terdapat dalam drama ini amat complete walaupun berbentuk kronologi. Hal ini kerana, plot tersebut menyebabkan klimaks yang begitu suspens sehingga mengganggu dan menyentuh emosi pembaca. Begitu juga dengan bahasanya yang padat dan panjang, keadaan ini menyebabkan pembaca haruslah terdiri daripada golongan yang mahir dalam pembacaan agar dapat memahami maksud. Bukti bahasa yang padat dan padat dalam ini adalah seperti berikut:

“Tempat: Di perkampungan setinggan. Satu keluarga Melayu, ibu
dengan anaknya, tinggal di sebuah rumah yang dibuat
daripada papan yang tidak berguna yang diperoleh daripada
papan kilang majikannya. Begitu juga perabot rumah itu yang
diperbuat daripada papan yang tidak berguna, dipaku menjadi
meja, kerusi dan pangkin tempat tidur. Di suatu sudut rumah
itu terdapat cermin kecil yang telah retak, radio lama rumah
itu terdapat cermin kecil yang telah retak, radio lama, sikat
yang sudah patah giginya dan bedak jenis murahan.
Masa: Suatu hari, kira-kira jam 9.00 pagi
IBU: Hassan, kau jangan berani bermain di luar rumah. Ibu takut
kejadian yang berlaku di luar sana. Mana tahu kampung
kita mungkin akan diganggu oleh penjahat-penjahat itu.
HASSAN: Jangan bimbang…(Rahim Syam, 1980: 56)”.

Di samping itu, dengan adanya drama ini adalah jelas bahawa perkembangan drama kanak-kanak ke arah yang lebih luas kerana telah melahirkan drama kanak-kanak di peringkat Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Oleh itu, berdasarkan drama-drama yang terdapat dalam antologi tersebut sedikit sebanyak dapat menggambarkan stail drama 80-an. Berdasarkan perkembangan drama kanak-kanak mengikut tahun-tahun tersebut, pada tahun 1990-an hingga sekarang juga drama kanak-kanak telah berkembang pesat. Hal ini kerana, terdapat beberapa bentuk drama yang berwajah baru muncul seiringan dengan zaman negara Malaysia mencapai pemodenan.

Disebabkan beriringan ke arah mencapai zaman pemodenan, drama kanak-kanak pada ketika ini dan seterusnya telah melahirkan drama kanak-kanak yang berbentuk tradisional dan moden. Kelahiran kedua-dua bentuk drama kanak-kanak ini dapat menggambarkan bahawa drama kanak-kanak juga mempunyai pelbagai bentuk bukan hanya terdapat pada dewasa.

Oleh yang demikian juga, kewujudan drama berbentuk tradisional dan moden adalah memudahkan kanak-kanak mengenali sesebuah drama tersebut lebih-lebih lagi terdapat lukisan gambar hitam putih yang menarik perhatian kanak-kanak. Antaranya, drama kanak-kanak yang berbentuk tradisional adalah merupakan drama yang mengandungi cerita-cerita rakyat dan mudah dikenali. Hal ini kerana, cerita-cerita tersebut sering kali diceritakan oleh nenek moyang mahupun ibu-bapa kepada cucu-cucu dan anak-anak mereka. Namun begitu, cerita-cerita seperti ini pada masa dahulu adalah disampaikan oleh tukang-tukang cerita kepada masyarakat melalui lisan (Liaw Yock Fang, 1975:1).

Walau bagaimanapun, cerita ini telah dibentuk menjadi sebuah drama dan mempunyai ciri-ciri tersendiri tambahan pula menjadi bahan bacaan di Sekolah Rendah. Sebagai contoh drama kanak-kanak yang berbentuk tradisional yang wujud pada tahun 1990-an ialah drama antologi “Drama Klasik: Untuk Tahun Enam”. Dalam drama ini terdapat beberapa jenis drama bertajuk “Pak Belang dan Pak Kura” (Jamaluddin Othman, 1990: 5). Kisah dalam drama ini adalah merupakan kisah binatang harimau yang dikatakan kuat telah mati kerana kebodohannya sedangkan dirinya sentiasa memandang rendah terhadap kura-kura. Walau bagaimanapun, drama ini sebenarnya ingin menyampaikan teladan kepada kanak-kanak secara simbolik dengan menggunakan watak-watak binatang.

Perkara ini adalah berbeza dengan drama kanak-kanak berbentuk moden yang lebih kepada hiburan semata-mata. Namun begitu, tidaklah dikatakan drama tersebut seratus peratus berbentuk hiburan malah terdapat juga unsur-unsur teladan. Drama kanak-kanak yang berbentuk moden merupakan drama yang mengandungi unsur-unsur moden. Unsur-unsur moden tersebut mengakibatkan kanak-kanak akan berfikir dengan lebih jauh dan berimaginasi.

Contohnya, drama “Mimpi Yang Amat Menyeramkan” yang terdapat dalam antologi “Drama Moden: Untuk Tahun Lima”. Dalam drama ini kanak-kanak akan didedahkan dengan unsur yang luar biasa ada keluarbiasaan itu terdiri dari segi watak, latar dan sebagainya (Jamaludin Otman, 1990: 5-11). Unsur keluarbiasaan yang jelas dalam drama ini adalah watak raksasa yang ingin memakan watak manusia. Jika difikirkan secara logik, raksasa merupakan makhluk yang tidak pernah dilihat oleh manusia tetapi, dalam drama ini kanak-kanak akan cuba menggambarkan rupa bentuk raksasa dan berfikir lebih jauh.

Walau bagaimanapun, tema yang terdapat dalam kedua-dua bentuk drama ini adalah masih membawa tema kemanusiaan walaupun drama kanak-kanak berbentuk moden lebih bersifat hiburan. Di samping itu, bahasa yang terdapat dalam kedua-dua bentuk drama ini adalah ringkas dan mudah kerana untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang berusia sebelas dan dua belas tahun.

Pada tahun 1994 dan 1998, perkembangan drama kanak-kanak menjadi lebih menarik perhatian kanak-kanak kerana pada tahun tersebut drama kanak-kanak lebih bercorak kreatif. Hal ini disebabkan terdapatnya gambar ilustrasi yang berwarna-warni dalam sesebuah drama. Bukan itu sahaja, drama kanak-kanak pada tahap ini adalah berbentuk sketsa lakonan dan teater inovatif.

Drama sebegini telah menarik kanak-kanak untuk terus membaca dan berhibur seterusnya membawa kanak-kanak ke dalam peristiwa yang digambarkan. Contoh drama yang berbentuk Sketsa lakonan yang lahir pada tahun 90-an adalah “Budi Serumpun”. Drama ini bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak kerana terdapatnya gambar ilustrasi malah tulisan yang menjadi dialog turut diwarnai. Tujuan ini, adalah untuk mengelakkan kanak-kanak supaya tidak jemu untuk membaca (Aliah Ahmad, 1994: 1-27).

Begitu juga dengan drama siri teater Inovatif yang bertajuk “Merak Yang Sombong” yang mengandungi sedikit sebanyak mempunyai unsur-unsur penarik dalam drama tersebut seperti drama sketsa lakonan “Budi Serumpun” lebih-lebih lagi kedua-dua drama ini memberi teladan walaupun tidak berbentuk antologi (Rosliana Mohd. Yusuf & Siti Zawiyah Zakaria, 1998: 3-64) Sifat-sifat dan ciri-ciri drama kanak-kanak yang terdapat pada tahun 1990-an terus berkembang sehingga kini.

Kesimpulannya, perkembangan drama kanak-kanak telah mengalami perubahan dari satu tempoh ke satu tempoh yang lain. Perubahan yang ditonjolkan dalam sebuah drama itu mengikut tempoh tertentu telah memberi satu tanda kepada dunia kesusasteraan bahawa dunia drama kanak-kanak akan terus berkembang menjadi sebuah genre yang penting dan setaraf dengan genre lain.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial