Peti Surat

Khas buatmu yang Ira sayangi,

Sudah bertahun warkah yang ditulis dikoyak-robekkan sehabis dilakarkan kerana tidak mungkin dibaca. Sudah bertahun juga harapan agar warkah yang ditulis disampaikan kepadamu tetapi keadaan sering menghalang, akhirnya disorok semula dalam kumpulan puluhan warkah yang Ira tulis. Sudah bertahun, sejak Ira mula belajar menulis. Belajar menulis karangan daripada Cikgu Saleha. Dibimbing pula oleh Cikgu Mohammad. Tapi warkah karangan itu, tetap tidak akan disampaikan. Namun, kali ini mungkin warkah terakhir yang akan Ira lakarkan, dapat Ira sampaikan. Belum terfikir caranya untuk menyampaikan warkah ini, mungkin melalui pos laju, mungkin juga Ira akan lampirkan dalam e-mel khas atau sekadar diletakkan di ruang maya dengan harapan dapat dibaca oleh sang penulis mimpi. Mungkin… masih lagi dengan jawapan yang tiada penghujung noktahnya. Sebenarnya setelah sekian lama, ternyata perit untuk menulis lagi, sangkaan Ira meleset, Ira ingatkan sudah tidak perlu menulis warkah ghaib ini lagi. Ternyata Ira salah. Kegembiraan Ira hanya sementara. Allah swt pinjamkan sebulan sahaja. Selepas ini warkah yang Ira tulis tidak akan ada arah tuju. Hanya doa yang dapat Ira panjatkan.

Untuk 1 Syawal,

Serupa hari ini, suasana Ramadan seperti ini yang mendorong Ira untuk menulis warkah pertama suatu ketika dahulu. Waktu itu, Ira kecil lagi, Ira ikutkan perasaan. Apabila ramai warga dunia beragama Islam menangis kerana hilangnya Ramadan, hilangnya bulan yang mulia, tutupnya pintu langit syurga, lain pula bagi diri ini, Ira menangis tetapi tangisan Ira kerana tidak suka datangnya Syawal. Ini bermakna Ira terpaksa berdepan dengan keluarga baharu Ira. Setiap kali Ira ke sana, Ira rasa tidak diingini, Ira rasa janggal. Kalau boleh setiap 1 Syawal, Ira ingin ghaib dalam dunia lain, dimakan atmosfera marcapada. Ira rasa kekok. Sindrom anak tiri. Kalau boleh setiap kata-kata yang perlu diluahkan setiap 1 Syawal ingin Ira sampaikan dalam warkah yang Ira tulis. Baca sahaja. Tidak perlu Ira luahkan suara, tidak perlu Ira leraikan tangisan, baca sahaja, semuanya sudah Ira tulis dalam warkah itu. Tapi disorok juga warkah itu akhirnya. Namun, 1 Syawal kali ini akan berlainan. Tiada lagi perasaan itu, berubah hala sejak detik itu. Sejak detik Allah swt turunkan ‘Izrail. Sekuat mana Ira inginkan 1 Syawal yang dahulu datang kembali, ia tidak akan datang semula. 1 Syawal yang Ira benci itulah yang Ira dambakan kini.

Hari Lahir ke-8,

Warkah Ira pada hari itu, Ira tulis seusai acara ulangtahun Ira yang ke-8. Sarat benar fikiran Ira dengan pelbagai rasa, Ira gembira, Ira hendak ucapkan terima kasih kerana hadir. Ira sebenarnya tak sangka hari lahir Ira akan disambut hari itu. Ira ingat lagi masa itu Ira baru pulang dari kelas agama. Baju kurung coklat tertera lencara Pertapis masih Ira kenakan. Ira sambut hari lahir dengan baju kurung kelas agama Pertapis. Tidak ada gaun mewah yang Ira kenakan, tidak ada gaun kembang beropol seperti birthday girl yang lain tapi Ira ingin mengucapkan terima kasih kerana hadir masa itu. Kerana tersenyum gembira ketika mengabadikan gambar dengan Ira. Gambar itu ada Ira simpan cermat. Tapi Ira kelihatan kekok dalam gambar itu, sebab Ira segan, kita jarang berjumpa apatah lagi mengambil gambar bersama. Selepas semua orang pulang, Ira tulis warkah itu untuk ucapkan terima kasih kerana berikan Ira hadiah. Walaupun Ira kekok dan hanya berbual sepatah dua kata tapi hati Ira gembira sangat dengan hadiah yang diberi. Ira rasa special sangat kerana orang yang Ira sayang dapat hadirkan diri. Tapi warkah itu sekali lagi Ira sorok, bodoh sebab tulis surat yang tak akan dihantar.

Kalkulator Casio,

Dalam banyak warkah yang Ira tulis, Ira jarang ucapkan terima kasih. Hari itu Ira girang. Ira tidak akan ketinggalan lagi sewaktu kelas Matematik. Seringkali di dalam kelas, Ira dimarahi kerana terpaksa meminjam kalkulator kawan-kawan bersebelahan. Kali ini, Ira akan punyai kalkulator sendiri. Ira ingat lagi kita pergi bersama ke kedai yang menjual jam dan pelbagai alat elektronik. Ada dijual kalkulator di situ. Jenama yang Ira inginkan. Casio FC-100V. Masa itu, harganya $36. Ira tahu mungkin pada masa itu, kalkulator itu agak mahal. Mungkin berbulan wang lebihan yang disimpan untuk membelikan Ira kalkulator itu. Tapi Ira bahagia. Dalam warkah itu ada Ira nyatakan betapa girang rasanya bila Ira dapat sama-sama bersaing dengan rakan yang lain, Ira dapat menunjukkan Ira juga boleh lulus ujian Matematik sebab Ira sudah punyai kalkulator peribadi. Tak perlu lagi Ira dimarahi, tak perlu lagi Ira diketuk dengan pembaris kerana Ira terpaksa meminjam kalkulator orang lain. Mr Lai dulu suka ketuk kepala Ira. Tetapi Ira tak berani beritahu sesiapa. Ira malu dengan rakan-rakan sekelas. Seperti biasa, Ira sangat berharap warkah itu dapat Ira hantar tetapi Ira tidak berani. Sekadar tinggal harapan semata.

Pagar di padang,

Saat itu, Ira ingat, Ira sangat harapkan semua orang yang Ira sayang dapat hadir menyaksikan aksi sukan di sekolah. Sudah beberapa tahun sejak Ira mula dipilih mewakili Red House, Ira dipilih untuk bertanding dalam acara larian pecut 100 meter dan 200 meter. Namun, kali ini, Ira sangat inginkan semua orang dapat lihat Ira berjuang, dapat lihat pantasnya larian Ira, dapat sama-sama bergembira bila Ira dapat meraih tempat pertama dalam acara itu. Mungkin kerana kali itu, kali terakhir Ira akan menyertai acara larian sebelum melangkah ke sekolah menengah. Ira lakarkan warkah untuk menjemput semua agar hadir melihat Ira bertanding. Warkah itu, masih Ira simpan, tapi apa yang peliknya, Ira nampak siapa yang hadir waktu itu. Mungkin dalam diam, warkah itu bersuara menyampaikan hasrat Ira melalui mimpi. Walaupun hanya mengendap, menyorok di sebalik pagar hijau yang mengelilingi padang. Ira nampak. Ira gembira sebab Ira tahu, ketika Ira naik ke podium tangga pertama, wajahmu dengan tawa gembira dapat Ira lihat walaupun dari jauh. Mata yang sepet mengecil dek panahan matahari berserta senyuman itu takkan Ira lupa. Terima kasih kerana hadir. Terima kasih kerana bersorak dari jauh. Kejayaan Ira merupakan kejayaan mereka yang datang bersama memberi sokongan.

Birthday Adik,

Buat pertama kalinya, Ira gembira sebab Ira dijemput untuk hadir semasa adik menyambut ulangtahunnya yang pertama. Adik cantik. Walaupun berlainan ibu, tapi nama kita seakan serupa. Mungkin masa itu, adik tak kenal Ira, tapi Ira gembira. Ira dapat dokong adik. Waktu itu, warkah yang Ira lakarkan sekadar tertera, “Thank you for the invitation, Happy Birthday Adik. You are very pretty.” Serupa juga dengan warkah yang lainnya, kali ini, lakaran warkah itu turut terkumpul dalam peti surat berkunci yang Ira beli di kedai buku di sekolah. Ira malu kalau ada sesiapa yang terjumpa segala surat-surat yang Ira tulis. Segala warkah yang tidak dapat dihantar, segalanya yang Ira tulis ibarat shiok-sendiri yang tidak mungkin dibaca oleh penerima. Ira kini mengerti, hanya dengan menulis dan meluahkan segala isi hati Ira melalui warkah sahajalah yang dapat Ira lakukan. Hanya cara ini dapat Ira luahkan perasaan yang terpendam. Mungkin segala yang tersurat di dalam warkah itu akan disampaikan oleh sang penulis mimpi. Lega.

Runsing,

Semakin Ira dewasa, keadaan semakin tegang, keadaan bertambah bercelaru. Pernah sekali sewaktu Ira lakarkan warkah untukmu, Ira menangis teresak-esak, habis dakwat biru dilumuri air mata. Kembang jadinya sebahagian kertas yang Ira gunakan. Ira perlu mengerti, mengapa Ira dijadikan bahan pertelingkahan. Ira sudah meningkat dewasa, tapi mengapa isu nafkah Ira masih dipertikaikan. Ira tidak minta semua ini berlaku. Kerana Ira akhirnya semua orang tidak bertegur sapa. Sehinggakan Ira sudah tidak dibenarkan berjumpa dengan adik-adik Ira. Adik-adik Ira sendiri tidak berani untuk berjumpa dengan Ira. Ira ingin hidup bahagia seperti orang lain. Ira tidak mahu rasa janggal setiap kali tibanya 1 Syawal. Ira ingin perasaan ikhlas disayangi oleh orang yang jujur menyayangi Ira. Masa itu, Ira nekad, tidak ke mana segala warkah yang Ira tulis. Akhirnya Ira berhenti. Ira berhenti menulis kerana setelah sekian lama, kehadiran Ira masih diperkotak-katikkan, adanya Ira dalam dunia ini masih dibincangkan dan dinilai melalui jumlah nafkah yang tak seberapa. Cukuplah segala yang Ira lalui sejak kecil. Ira penat turun naik mahkamah bila Ira sendiri tidak mengerti mengapa Ira perlu lakukan sedemikian. Ira malu bila disoal oleh pegawai mahkamah, seakan Ira calon yang bersalah yang perlu bersemuka dengan hakim tua berjanggut putih. Ira nekad tidak mahu menulis lagi. Kali ini, melalui warkah ini, Ira ingin sangat perasaan Ira diketahui. Ira harap warkah akhir ini akan meleraikan segala perasaan yang Ira pendam setelah sekian lama.

Bergembiralah untuk Ira,

Rupanya rajuk Ira tidak dapat dikekang. Ira hanya akan rasa lega sehabis melakarkan warkah untuk menyampaikan perasaan Ira pada ketika itu. Ira tahu, Ira pernah berhenti menulis, sudah lama Ira tidak menulis sejak keputusan mahkamah ditetapkan dulu, tetapi kali ini berbeza. Kebahagiaan ini ingin Ira kongsi bersama. Setelah sekian lama, Ira berjuang untuk berjaya dalam pelajaran. Walaupun diri Ira ditolak-tarik sejak kecil, kedudukan Ira diperbualkan dek nafkah yang diberi, namun Ira tetap ingin membuktikan kepada semua orang. Anak kecil yang tidak disangka dapat berdikari tanpa kasih sayang yang padu, akhirnya berjaya. Seorang kenalan keluarga pernah berkata, “Tak sangka eh, dia menjadi, dia berjaya pula tu?” Bagi Ira, kata-kata sindiran biadap itu hanya keluar dari mulut orang yang iri hati dengan kejayaan orang lain. Mulalah dinilai siapa yang perlu berjaya. Ira dididik sejak kecil oleh datuk agar terus maju, usah hiraukan kata-kata orang. Justeru, Ira ingin terus maju dalam pelajaran. Ira ingin semua yang menyayangi Ira bangga dengan kejayaan Ira. Mungkin dengan kehilangan yang Ira rasa inilah yang menjadi sebab utama Ira ingin buktikan Ira boleh berjaya seperti anak-anak lain. Tetapi yang utama sekali, Ira berpegang kepada kata-kata ini, “Kejayaan seorang anak merupakan berkat doa kedua orang tuanya.” Sekurang-kurangnya Ira masih dapat menikmati ganjaran daripada doa itu. Terima kasih kerana doakan kesejahteraan Ira walaupun dari jauh.

Akhir sekeping warkah,

Malam itu, Ira mendapat panggilan. Ira diberitahu agar cepat ke rumah sakit. Ada yang menantikan Ira di Unit Jagaan Rapi hospital tersebut. Ira nekad malam itu. Ira perlu datang kerana mungkin itu kali terakhir Ira bertemu denganmu. Hati Ira luluh apabila melihat keadaan pesakit di depan mata, penuh dengan segala jenis tiub untuk pastikan pernafasan yang sempurna. Ira tidak nafikan masa itu, Ira hampir putus asa. Ira sedih. Ira berdoa agar sekurang-kurangnya Allah swt memberikan Ira sedikit masa untuk bersamamu. Ternyata, Allah swt menyayangi Ira. DIA berikan Ira ruang, genap sebulan Ira diberikan masa untuk menjaga dan mendampingimu di rumah sakit. Ira berulang-alik hampir setiap hari dari tempat kerja ke rumah sakit. Inilah kali pertama, Ira dapat berjumpa, berbual dan saling berkongsi cerita seperti anak-anak lain. Inilah kali pertama, Ira dapat berjumpa denganmu tanpa menyorok, tanpa bersembunyi, berjumpa lebih daripada sekali seminggu. Hampir tiap-tiap hari Ira sempat melihatmu tersenyum, sehinggakan doktor mengatakan pesakitnya ini hanya ingin bekerjasama jika Ira hadir di depan mata. Mungkin sekadar hendak bermanja dan pastikan Ira datang menjenguk. Ira sedih, terharu sangat. Namun, seperti Ira katakan, Allah swt memberikan Ira cukup sebulan untuk mendampingimu sebelum dibawa pulang kerahmatullah, sebelum ‘Izrail menjalankan tugasnya.

Abah,

Terimalah warkah berangkai ini, yang Ira susun agar Ira tidak lupa detik-detik penting yang ingin disampaikan dulu. Warkah ini rupanya, warkah terakhir yang Ira lakarkan pada malam pengkebumian Abah. Oleh kerana Allah swt ambil Abah semula, mana mungkin Abah akan membaca segala isi hati Ira melalui warkah-warkah ini lagi. Dahulunya, warkah-warkah yang Ira tulis, disimpan di dalam peti surat yang diharapkan disampaikan oleh sang penulis mimpi, tetapi kali ini berbeza. Ira sampaikan segala hasrat melalui doa agar Abah tenang di sana, agar Abah diletakkan disamping para anbia dan orang-orang yang beriman. Orang yang mendoakan kesejahteraan Ira sudah berkurangan, sudah tidak lengkap. Namun, Ira berterima kasih kerana Allah swt berikan Ira sebulan untuk menjalankan tugas Ira sebagai anak.

Kini Ira pula yang harus panjatkan doa setiap kali Ira teringatkan Abah. Mana mungkin Ira menghantar warkah ini melalui pos laju ke alam yang tidak beralamat. Walaupun Ira berhenti menulis, Abah tahukan Ira sayang Abah. Sayang sangat.

Ikhlas dariku,
Ira Melyna.

Ya Allah, ampunilah kedua-dua orang tuaku yang masih hidup ataupun yang telah bersamamu. Ampunilah mereka dengan keampunan yang menyeluruh yang dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang lampau dan perbuatan buruk yang terus menerus mereke lakukan. Maafkanlah segala kekurangan mereka dalam mengabdikan kepada-Mu kerana mengutamakan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Sekian.


TENTANG PENULIS:
Erna Salamun, seorang guru Bahasa Melayu di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, meminati bidang penulisan sejak di bangku sekolah dan semakin meminati bidang ini ketika di Universiti Malaya di bawah asuhan Dr. Samsudin Othman. Hasil cerpen pertama yang diterbitkan di Berita Harian, “Bintang Di Langit” pada tahun 2009 disediakan sewaktu menuntut di Universiti Malaya. Beliau sangat berharap dapat sama-sama membangkitkan bidang penulisan dan menjadi contoh kepada anak-anak didik agar dapat memajukan genre penulisan sastera Melayu.


Karya ini menerima Hadiah Sagu Hati untuk Sayembara Cerpen Nyala bulan Mei 2018 yang bertemakan “Surat. Diari. Monolog.”


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *