Pulau

Pulau

Pulau itu sudah lama terkenal dengan pasirnya yang putih halus mulus. Air laut yang datang bersinggah di persisiran pantainya mengikut alunan ombak tenang bagai kucupan lembut seorang kekasih di dahi pasangannya. Dibawanya pula bisikan kata-kata romantis dalam bentuk bayu yang sepoi-sepoi bahasa. Ayat-ayat cinta itu mampu sahaja melemahkan dan menggagahkan pada detik yang sama. Kata-kata yang nakal berhembusan manja di cuping sesiapa sahaja yang bertandang sejenak, mengantukkan longlai, asyik membelai, hingga layu terungkai segenap rahsia alam.

Di pulau ini, hari-harinya bercahaya kekuning-kuningan penuh keriangan dan harapan; dan kehangatan mendakap tubuh seperti selimut pelindung dari saat-saat dingin. Dan malamnya, aduhai, malam-malamnya ibarat permainan mistik panggung Bima Sakti di layar angkasa, dengan bintang-bintangnya yang berselang-seli berkelipan, dengan pameran penerbangan parabola komet-komet bak bunga apinya yang meletus-letus di sudut Syurga. Semuanya umpama temasya alam untuk menghiburkan dan menyakat Sang Puteri Purnama yang malu tersipu.

Syurga di Bumi. Itulah gambaran paling sesuai yang dijudulkan untuk pulau ini. Tiada sengketa mahupun cacian, tiada hasad mahupun tohmahan. Rezeki ada melimpah-limpah: di sebalik belukar mahupun lantai hutan, di sungai juga di lautan atau terjuntai berimbun di hujung dahan pohonan. Pepohon kelapa (nama saintifik: Cocos nucifera) yang memagari pantai saujana mata memandang ditemani pula dengan pepohon bakau (nama saintifik: Rhizophora mucronata) di sebelah selatan. Sama-sama memayungi setiap makhluk yang berlalu-lalang, tekun mencari rezeki harian.

Air laut yang bersih jernih di pulau ini pula menjadi tempat permainan anak-anak kecil, yang seronok berendam nyaman apabila matahari memanjat tinggi di pundak langit, dan menjadi tempat mereka mengenali satu sama lain, tidak kira umur, kasta atau bangsa. Hamparan laut turut membawa makanan yang enak-enak dan sihat-sihat; pelbagai haiwan lautan seperti ikan dan rumpai menjadi kegemaran ramai. Alangkah gembiranya segenap penduduk pulau ini, kesemuanya bersyukur akan lukisan penuh aman sentosa tempat kediaman mereka.

Walaupun berbeza, bangsa Singa Laut (nama saintifik: Otariinae) dan Anjing Laut (nama saintifik: Phocidae) hidup dalam suasana penuh rukun dan harmoni. Kedua-dua bangsa utama di pulau itu tahu akan perbezaan mereka: Singa Laut bangsa para pemimpin yang gagah, amanah dan lantang berani menegur mana-mana kepincangan dan kebathilan yang mereka lihat. Sementara Anjing Laut disayangi sebagai bangsa pendamping setia dan para pekerja penuh dedikasi. Setiap penduduk tahu akan kekuatan dan kepakaran bangsa masing-masing bak peribahasa kuat burung kerana sayap, kuat ketam kerana sepit. Dengan penuh pengertian, sikap hormat, tolak ansur dan kasih sayang yang wujud antara kededua bangsa utama ini, kehidupan di pulau itu sememangnya serba indah hendaknya. Beginilah keadaannya berkurun-kurun lamanya.

__________________

Ada yang menyalahkan generasi muda yang tidak melestarikan amalan dan budaya masyarakat lama. Ada juga yang menuding jari ke arah ledakan gunung berapi di bawah lautan, yang mengakibatkan penggeseran antara dua piring tektonik. Tiada kurangnya yang menyalahkan ketibaan El Nino, nama ganjil di pulau yang terletak hampir dengan garisan Khatulistiwa itu. Yang penting, semua setuju bahawa satu perubahan sedang mula berlaku di bawah arus tenang kehidupan penduduk pulau itu.

Semenjak hari itu, maka mulalah proses penghakisan nilai-nilai luhur yang dijadikan pedoman penduduk pulau itu. Seperti tebing dan cerun di tepi laut yang mula menjunam ke lautan. Ditelan ombak membadai.

__________________

“Apa itu?” Wuf mendekati kolam air cetek di antara bongkah-bongkah batu, yang hanya kelmarin masih terpasak di atas bukit di belakangnya. Dia memerhatikan pergerakan kecil di dalam kolam itu. Anak muda dari bangsa Anjing Laut itu tidak pernah melihat haiwan-haiwan berkulit lutsinar begitu. Pergerakan haiwan-haiwan itu ganjil sungguh, bagai menjentik-jentik menggeliat dari satu penjuru kolam ke penjuru yang lain. Wuf memerhatikan, hairan dan geli, untuk beberapa seketika sebelum memaling memanggil Roaw, teman sepermainannya.

Roaw menerpa ke sisi Wuf, yang masih menatap asyik adegan yang bermain di kolam air itu. Roaw turut terpukau dengan apa yang dilihat di hadapannya. Kulit lutsinar haiwan-haiwan itu bagai memantulkan percikan pelangi ke dalam mata mereka berdua. Anak mata Roaw terbeliak; ada satu perasaan yang jelas terlahir dalam sanubari Roaw kini, sesuatu yang tidak pernah dilihat Wuf sebelum ini: Ketakutan. Roaw – anak muda dari bangsa Singa Laut gagah – sedang ketakutan!

“A… ada u… udang di sebalik ba… batu,” gugupnya, “… itu tanda se… sesuatu yang bu… buruk akan berla… laku.” Roaw tidak pernah gugup mahupun gagap dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya, itu yang diketahui Wuf. Udang-udang (nama saintifik: Fenneropenaeus indicus) itu pembawa berita celaka! Ada suatu kepelikan yang sedang berlaku; ada suatu kuasa aneh yang sedang menular ke serata pulau mereka!

Wuf dan Roaw segera membuka langkah pulang ke keluarga masing-masing. Mereka dibungkus kebimbangan yang nyata.

Pada malam itu, setelah berita tentang penemuan udang-udang itu mula disebarkan di kalangan keluarga – dan kemudian jiran tetangga mereka – suasana pulau itu menjadi tegang. Udara yang dihirup seakan-akan lebih berat dan lembab. Paru-paru mereka sebak dek ketakutan dan ketidakpastian. Setiap tarik dan hembus pernafasan mereka terkawal, setiap pergerakan mereka cermat. Takut-takut tersinggung pula entiti misteri yang dalam senyapnya sedang menebarkan sayap hitamnya membalut kewujudan mereka di pulau itu. Tidak pernah bangsa-bangsa Anjing Laut dan Singa Laut berasa sebegitu bimbang selama ini.

Pada malam itu, bintang-bintang bersorok entah di mana, terperuk. Sang Puteri Purnama pula berkurung di kamarnya, merajuk. Angkasa malam hanyalah hamparan tebal hitam pekat membawa satu ketidaksenangan, satu kegelisahan yang mula meresap ke semua pelosok pulau itu. Pada malam itu, mergastua pulau itu dibisukan suatu kuasa gelap.

__________________

Wuf bangun awal dan seperti biasa, pergi meneroka persisiran pantai. Selalunya, dia akan mencari rumpai-rumpai segar untuk dimakan sebagai pembuka selera. Kemudian ke lubuk kecil di sebelah sana pula untuk menangkap ikan-ikan kecil (nama saintifik: Gobiidae) dan siput-siput (nama saintifik: Gibberula marinae) sebagai jamuan sarapan paginya. Tidak pula pada pagi itu; rerumpai dan ikan-ikan dan siput-siput tidak kelihatan. Suasana pada pagi itu berbeza sekali. Matahari yang selalunya sudah mula bersinar hangat seakan-akan dikulum cahayanya. Langit bergerutu mendung kelabu. Sekawan burung camar laut (nama saintifik: Laridae) yang pada pagi-pagi lainnya akan riang berceloteh tidak kelihatan di udara. Di hadapan Wuf, seekor ketam (nama saintifik: Brachyura) sedang mengarah anaknya berjalan betul. Ya, pelik benar!

Air laut tempat penawar kemurungan pula kini tidak berombak, hanya cermin berlapuk yang dibiarkan terdampar hingga ke ufuk sana. Pasir putih pantai mula – dengan perlahan-lahan – menghitam. Wuf memperlahankan langkahnya dan berhati-hati mendekati tepi air. Bayang-bayang kelabu dilihatnya hanyut dari sebelah kanan ke kirinya, mengkafani semua yang terhampar di hadapannya. Di atasnya, bebola api suram dan muram ditelan sebuah sfera hitam. Gerhana penuh melanda seluruh pulau itu.

Shwossh!

Dalam sekelip mata, sebelah sirip hadapan Wuf disambar satu terkaman tajam. Wuf meraung keperitan, satu jeritan menyayat hati yang bergema dibawa molekul udara ke seluruh pulau itu. Kocakan air menghitam pekat di sekelilingnya di bawah cahaya suram gerhana bulan. Di mana letak sirip hadapannya hanya senanosaat tadi kini suatu kekosongan yang berpercikan cecair pekat. Kelihatan selayar sirip kelabu datang menuju kembali ke arahnya.  Anak mata Wuf membesar, dan pada detik itu, Wuf tahu dia akan menemui ajalnya. Gelap.

__________________

Wuf membuka kelopak matanya. Masih gelap. Kedengaran hingar-bingar di sekelilingnya. Pasir di bawah tubuhnya terasa melekit akibat peluh, tangisan dan darahnya. Sirip kanannya sudah tiada lagi.

“Kalau bukan kau, siapa lagi?” jerit Bhak, bapa saudara Wuf. Antara sedar dan tidak, Wuf terbayang kelibat Roaw menunduk akur di hadapan Bhak dan beberapa ekor anjing laut yang lain. Roaw membisu sahaja menerima herdikan dan tuduhan-tuduhan melulu Bhak.

“Sudah beratusan tahun kita hidup di pulau ini, tidak pernah bangsa Anjing Laut diserang! Hari ini, Bhak nampak mulut kau berlumuran darah sebelah Wuf. Tiada sesiapa lagi di sini kecuali engkau, Roaw!” Haff kini pula melenting marah, tersembur-sembur sisa-sisa rumpai dari celah giginya.

“Sa… saya hanya cu… cuba menarik Wuf ke pan… pantai,” Roaw cuba menjelaskan keadaan.

“Cuba menarik Wuf hingga tersiat siripnya? Atau memang sudah lama kau cari peluang membunuh anak buah bangsa Anjing Laut?” tuduhan Bhak berterusan, “Roaw, kau tidaklah perlu berdalih lagi. Memang pada hakikatnya, bangsa Singa Laut sudah lama ingin menghancurkan bangsa Anjing Laut!”

Beberapa penduduk lain pulau itu sudah tercegat di hujung pantai, di mana pasir bertemu semak-samun. Beberapa ekor kancil (nama saintifik: Tragulidae), sepasang anak penyu katung (nama saintifik: Eretmochelys imbricata), seekor biawak (nama saintifik: Varanus salvator), tapir (nama saintifik: Acrocodia indica) dan tenggiling (nama saintifik: Manis javanica) memasang telinga sahaja menyaksikan perbalahan yang semakin meruncing itu. Mereka tidak faham bagaimana kehidupan di pulau yang seolah-olah serba sempurna boleh meletus menjadi sebuah peperangan saudara dalam detik tersingkat.

Adakah peristiwa ini lantaran dalang yang melihat rakus dari sebalik tirai? Adakah pula diakibatkan perasaan lama terpendam tidak tercurai? Pada tika itu, tiada yang pasti. Yang pasti, seluruh pantai sudah dibungkus dalam umbra gerhana.

Roaw masih menunduk. Tetapi tidak lagi ketakutan. Otot-otot di siripnya semakin mengeras. Urat-uratnya sudah menegang. Darah sudah tentu menderu-deru berpandukan adrenalin yang ingin sahaja meledak bertindak. Sabar… Sabar… Belum masanya…

“Lama aku perhatikan bangsa engkau!” Bhak menengking, “Bangsa yang nampak sahaja baik, sopan-santun, bertamadun… tetapi sayang, aku nampak juga hati-hati hitam sebalik topeng-topeng engkau! Yang sengaja memperbodoh-bodohkan bangsa Anjing Laut, memperlakukan kami macam hamba-hamba bangsa Singa Laut…”

Roaw, yang sememangnya anak muda dari bangsa Singa Laut, memiliki ketangkasan dan kepahlawanan dalam DNAnya. Dia terus menerpa ke hadapan dan mencakar leher Bhak dengan kuku-kuku tajamnya. Bhak tersentak. Haff juga. Darah terpancut keluar dari leher Bhak.

“… Tidak lagi!” laung Bhak sambil menghayunkan siripnya ke arah Roaw. Dia cepat mengelak, dan cuba melarikan diri. Haff sempat menepisnya hingga dia tersungkur, tersembam ke pasir putih. Suara-suara bangsa Anjing Laut semakin tinggi.

“Keadilan! Keadilan! Keadilan!”

Semak-samun di hujung pantai tiba-tiba berkocakan. Semua kepala menoleh ke sana.

“Biadab!” Geraul, ketua bangsa Singa Laut, mengaum buas dari sebalik sebatang pohon kelapa. Dia berlari menggunakan keempat-empat siripnya dan merempuhkan badan beratnya ke tubuh Bhak. Bhak tergolek jatuh di atas pasir pantai, tercungap-cungap.

Geraul berdiri gagah meninggi di sisi tubuh Bhak. Taringnya berkilau kelabu di bawah cahaya malap.

“Engkau dengar sini!” Geraul mengaum, melihat wajah-wajah bangsa Anjing Laut di sekelilingnya, “Bangsa Anjing Laut, engkau sekalian dengar sini! Engkau mahukan keadilan, tetapi dengan mudah engkau menuduh si anak muda ini tanpa bukti! Dan kerana kebencian engkau, seluruh bangsa Singa Laut telah kau calitkan dengan tohmahan dan andaian yang cetek!”

Kemarahan Haff memuncak apabila mendengar kata-kata pedas Geraul. Egonya sudah tercabar. Matanya mengerling ke tubuh kecil Roaw yang masih meronta-ronta cuba berdiri di hadapannya. Mata Roaw memandang mata Wuf yang berlinangan air.

“Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api… Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api,” diungkapnya Roaw nasihat datuk moyangnya apabila dikaburi kemarahan.

Wuf terkumat-kamit mantra yang sama, kata-kata keramat yang diajar oleh penduduk-penduduk lama pulau tersebut. Pedoman kesejahteraan pulau itu.

“Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api… Air yang dingin juga yang dapat memadamkan api.” Tetapi sayang, suara rasional si anak-anak muda itu tidak dihiraukan langsung oleh yang lain.

“Beginikah balasan engkau kepada anak muda yang ingin membantu? Engkau ingin keadilan? Ini Keadilan!” Tanpa berfikir panjang lagi, Geraul terus menusuk Bhak di tengkuknya dengan taringnya. Rahang Wuf terjatuh lemah, ternganga tiada perkataan. Wuf melihat bapa saudaranya menggeliat melawan keperitan untuk seketika sebelum kaku berhenti bernafas.

“Bangsa Anjing Laut mesti balas dendam!” Haff melaung liar, dan merebahkan badan besarnya di atas tubuh kecil Roaw, menghempapnya sehingga anak Singa Laut itu pula tidak bernyawa.

Wuf pengsan, dia sudah kehilangan banyak darah.

Dari sebalik pohon-pohon kelapa, kelihatan puluhan bentuk-bentuk samar daripada kededua bangsa bergegas ke pantai untuk mempertahankan hak dan maruah bangsa masing-masing. Udara lembab yang berligar di pulau itu diisi laungan dan raungan, herdikan dan tohmahan. Sejarah sudah berubah.

Di bawah gerhana bulan yang berpancar malap, percikan-percikan cecair pekat kelihatan mengalir ke pasir pantai yang mula menghitam.

__________________

Tidak jauh dari pantai di mana berlakunya pertempuran berdarah pertama antara dua bangsa utama itu, satu lagi pertarungan sedang berlaku di bawah permukaan air laut. Bangsa Jerung Putih (nama saintifik: Carcharodon carcharias) dan bangsa Jerung Kepala Tukul (nama saintifik: Sphyrnidae) sedang bertarung untuk penguasaan pulau tersebut. Mereka tahu bangsa mana yang menang, mereka akan dianugerahkan dengan rezeki dan sumber makanan yang lumayan: Anjing Laut dan Singa Laut.

__________________

Beberapa kurun berlalu…

“Beritahu beta, nama apakah pulau itu?”

Belum sempat pertanyaan anak raja itu terjawab, satu dentuman kuat dari langit mendung menggoncangkan perahu yang dinaikinya bersama tujuh orang anak kapal. Tiba-tiba, gumpalan-gumpalan awan gelap tebal mengisi ruang angkasa. Angin bertiupan dengan kencangnya dan ombak bergelora ganas. Anak-anak panah hujan mula jatuh menikam semua di bawah.

Beberapa orang anak kapal sedaya-upaya cuba mencedok air yang mula mengisi perahu mereka. Namun, taufan tidak masih reda, malah mula lebih menggila.

Anak raja itu berdiri di tengah-tengah perahu dan menanggalkan mahkotanya. Air hujan berterusan menombak tubuhnya yang basah kuyup. Lapisan-lapisan air mengalir tidak putus-putus di muka anak raja itu. Dia menggigil kesejukan. Dengan sejuta perasaan masih berkecamuk di lubuk hatinya, anak raja itu mencampakkan mahkotanya di lautan dalam.

Suasana kembali aman. Pulau berpasir putih itu seolah-olah memanggil-manggil perahu itu; arus tenang bagaikan menolak perahu ke arah pantai pulau tersebut. Pulau ibarat syurga di Bumi: aman, tenteram, sentosa dan damai.

Tidak jauh dari perahu itu, seekor Jerung Harimau (nama saintifik: Galeocerdo cuvier) mengikut perkembangan rombongan di-Raja ini.

Tidak mungkin sejarah akan berulang lagi. Tidak mungkin.


 

TENTANG PENULIS:

Mohamed Naguib bin Ngadnan mula menulis sejak usia remaja di Sekolah Menengah Tanjong Katong. Beliau penerima dua Anugerah Persuratan: pada tahun 1999 dengan cerpen bertajuk Satu Perjalanan (Penghargaan), dan pada tahun 2013 dengan sajak bertajuk Kita Yang Dijilat Gincu Peluru. Beliau juga peserta finalis untuk Peraduan Menulis Cerpen Mencari Kristal 2016 anjuran Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC). Antologi cerpen terbarunya, Tanjong Katong Airnya Biru, yang dihasilkan bersama tiga rakan penulis kini boleh didapatkan di laman UnggunCreative.com.


Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Save

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial