Realisme Magis: Bacaan Secara Umum

Realisme Magis: Bacaan Secara Umum

Realisme Magis bermula daripada kebudayaan masyarakat Amerika Latin dan menjadi satu manifestasi nasionalisme budaya masyarakat tersebut. Terutamanya, penulis-penulis Amerika Latin yang memperjuangkan nasionalisme budaya menerusi genre cereka di samping mencampuradukkan antara unsur-unsur tradisi popular atau magis dengan pameran eksperimental identiti Eropah.

Contohnya, penulisan prolog novel yang kedua oleh Carpetier bertajuk “The Kingdom Of This World” pada tahun 1994. Melalui penulisan sedemikian, beliau memperkenalkan satu konsep “Lo real Maravilloso” atau “Marvillous”. Pada dasarnya, istilah realisme magis telah dicipta oleh pengkritik seni yang berbangsa Jerman iaitu Franz Roh menerusi bukunya yang bertajuk After Expressionism: Magis Realisme: Problems Of The Newest European Painting pada tahun 1925. Melalui istilah ini, beliau telah menjelaskan realisme magis merupakan pandangan magis berdasarkan realiti di samping mendedahkan unsur-unsur misteri yang terselindung dalam kehidupan seharian.

Selain pandangan Roh dalam mentakrifkan realisme magis, terdapat juga pandangan sasterawan Melayu iaitu Shahnon Ahmad. Menurut Shahnon Ahmad, istilah realisme magis merupakan dua gabungan kata iaitu realism dan magis. Realisme yang bermula awal abad ke-19 dan digunakan dalam bentuk prosa untuk menggambarkan ilusi kehidupan yang mencakupi para watak, peristiwa dan semua perihal yang ditanggapi oleh pancaindera umum (realiti). Seterusnya, unsur-unsur realisme dijalinkan dengan unsur-unsur fantasi, mitos dan lagenda atau telah diolah kembali (dieksploitasi). Melalui gabungan kedua-dua unsur ini, maka wujudlah aliran realisme magis yang menjadi trademark di dalam sesebuah karya sastera tertentu.

Walaupun terdapat pelbagai pentakrifan realisme magis oleh tokoh-tokoh tersebut, sama ada tokoh itu berbangsa asing mahupun Melayu. Namun, Sejarah Melayu merupakan satu karya yang mempunyai persoalan realisme magis dan dapat dilihat melalui episod dan peristiwa-peristiwa tertentu. Antara terdapat dalam peristiwa pengembaraan tiga orang anak Raja Suran ke dunia dengan menaiki lembu putih. Peristiwa kemunculan ketiga-tiga putera tersebut berlaku di Bukit Si Guntang Mahameru. Pengembaraan tersebut terdapat gabungan unsur realisme dengan magis.

Dari segi realisme dapat dilihat melalui bukit Si Guntang Mahameru yang wujud di Palembang. Bukit ini dijadikan sebagai lokasi bersejarah dan dianggap sebagai suci dan keramat. Unsur realisme ini disatukan dengan unsur magis iaitu Bukit Si Guntang Mahameru mengalami unsur yang luar biasa setelah ketiga-tiga puteri itu turun ke bukit tersebut. Misalnya, padi Wan Malini dan Wan Empuk telah bertukar berbuahkan emas, batang menjadi suasa dan tanah di bukit menjadi keemas-emasan.

Sehubungan itu, terdapat unsur-unsur realisme magis yang ditonjolkan dalam karya-karya lain selain daripada Sejarah Melayu. Misalnya, dalam cerita-cerita lipur lara Melayu dan sastera tradisional seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Anggun Che Tunggal dan sebagainya. Persoalan realisme magis yang terdapat dalam sesebuah karya adalah bertujuan menjadikan sesebuah cerita itu menarik dan mengagumkan dalam membentuk perspektif masyarakat Melayu.

Unsur-unsur realisme magis yang diterapkan dalam sesebuah karya juga bertujuan mengangkat darjat raja, pengaktifan sesebuah pembukaan negeri atau kerajaan, kehebatan sesebuah penaklukan, kesucian agama dan sebagainya. Dalam konteks ini, pengarang memainkan peranan yang cukup bijak dalam menggabung kedua-dua unsur ini secara serentak sehinggakan unsur realiti dan fantasi menjadi sebati antara satu sama lain. Mengikut pandangan Muhd Yussoff Hashim, antara karya-karya Melayu di Nusantara, Sejarah Melayu merupakan salah sebuah karya yang dikarang daripada hasil gabungan unsur realisme magis. Persoalan realisme magis yang terdapat dalam Sejarah Melayu membuktikan pengarangnya begitu kreatif di samping memartabatkan budaya penulisan di Alam Melayu.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial