Tanggapan Sosiologi Terhadap Sastera Secara Ringkas

Tanggapan Sosiologi Terhadap Sastera Secara Ringkas

Secara amnya, sosiologi dan sastera merupakan aliran yang berbeza. Hal ini kerana, sosiologi merupakan aliran yang membawa wacana berasaskan kebenaran, pembuktian, saintifik dan keobjektifan melalui fakta-fakta pengkajian sosial masyarakat. Sastera pula adalah yang mencetuskan imaginasi, afektif dan tidak terikat dengan hukuman salah benar. Walaupun kedua-dua aliran ini mempunyai perbezaan, namun tulisan ini cuba mengetengahkan tanggapan sosiologi terhadap karya sastera.

Bidang sosiologi menganggap karya sastera sebagai “Mimesis” iaitu peniruan semula kehidupan atau peniruan alam semula yang berkaitan dengan pandangan Plato pada 3000 tahun dahulu. Namun begitu, peniruan ini bukanlah peniruan secara terus seperti tanggapan Plato, tetapi peniruan ini mengakibatkan pengaliran semula secara bermanfaat dan lebih indah daripada yang sebenarnya.

Sastera adalah bersifat subjektif dan terpengaruh dengan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya proses meditasi (pengubahsuaian), lebih-lebih lagi sesebuah karya sastera yang dihasilkan daripada gambaran kehidupan masyarakat dan ada kalanya bersifat realiti yang begitu menarik dan lebih buruk daripada keadaan yang sebenar. Keadaan ini adalah disebabkan pelahiran semula yang diadunkan dengan kreativiti imaginasi serta terpisah beberapa kali dalam melahirkan semula karya sastera yang sama seperti yang diutarakan oleh Aristotle.

Contohnya dapat dilihat pada karya sastera novel Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad yang menggambarkan kehidupan masyarakat di Banggul Derdap yang begitu miskin akibat serangan perosak serta bencana Alam terhadap pertanian yang diusahakan oleh masyarakat tersebut. Dalam novel tersebut, Shahnon mengetengahkan masalah dan penderitaan yang oleh keluarga Lahuma adalah suatu realiti yang dilalui oleh masyarakat tersebut. Watak seperti Lahuma dan keluarganya mungkin tidak wujud dalam masyarakat tersebut dan hanya wujud dalam karya itu sahaja. Pengetahuan keadaan permasalahan ini oleh pengarang seperti Shahnon memang dilalui oleh belia dan dipengaruhi oleh budaya masyarakatnya. Berhubung dengan hal sedemikian memang tidak teragak-agak untuk menolak aliran romantis yang menyatakan bahawa kelahiran sesebuah karya adalah tertumpu pada kebijaksanaan pengarang atau “genius individu”.

Selain itu, kelahiran karya sastera adalah melalui gambaran kehidupan masyarakat walaupun tidak sepenuhnya. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa karya sastera amat rapat dengan masyarakat. Lazimnya, pengarang-pengarang karya adalah hidup di tengah-tengah masyarakat atau merupakan ahli masyarakat yang sering terdedah dengan persekitaran dan budaya masyarakat tersebut. Keadaan ini menyebabkan karya sastera membicarakan aspek-aspek yang berhubung kait dengan masyarakat seperti ekonomi, sosial, politik, kepercayaan dan pendidikan.

Kebiasaannya, karya sastera menyentuh tentang sistem sosial masyarakat iaitu, hubungan masyarakat dalam menjalani kehidupan, sikap masyarakat menilai sesuatu, permasalahan dalam kehidupan masyarakat dan sekali gus menjadikan pengarang sebagai wakil untuk menyuarakan suara khalayak. Dengan itu, pengarang telah memuntahkan suara khalayak tersebut ke dalam bentuk penulisan. Keterlibatan sastera dalam hal-hal sedemikian menyebabkan karya sastera telah diangkat menjadi dokumen yang bernilai oleh sosiologi sebagai “Dokumen Budaya”. Hal ini berbeza dengan dokumen-dokumen lain kerana mempunyai pertalian dengan budaya masyarakat dan sering mengalami perubahan.

Karya sastera juga dianggap oleh sosiologi sebagai dokumen budaya kerana karya tersebut menyediakan maklumat tentang norma-norma kehidupan masyarakat dan memberi pengetahuan kepada pembaca berdasarkan perincian nilai-nilai moral yang diterapkan ke dalam karya-karya sastera agar para pembaca berfikiran luas.

Sehubungan itu, sosiologi juga menganggap karya sastera tidak lahir dalam kekosongan. Karya sastera merupakan dokumentasi yang merangkumi dunia emosi atau dengan kata lain “Structure Of Feeling” yang menyentuh nilai-nilai intrinsik yang bersangkut paut dengan dunia kejiwaan manusia dalam menjalani kehidupan.

Teknologi penyampaian sastera memerlukan penghayatan mendalam sehingga memberi kesan yang mudah untuk mencengkam dan pemikiran pembaca, sehinggakan mereka sukar melupai pengalaman melibatkan dunia emosi mereka. Keterlibatan sastera dalam dunia emosi masyarakat menjadikan karya kesusasteraan lebih bermanfaat seperti mana kata yang diperkatakan oleh Hough bahawa nilai-nilai intrinsik adalah penghayatan kepada manusia yang bersifat menyeluruh.

Karya sastera yang menyentuh deria kejiwaan adalah lebih menitikberatkan emosi melalui gaya penceritaan (naratif) dan gaya bahasa yang digunakan serta fakta-fakta terus dicairkan dengan adunan imaginasi.Kaedah ini menyebabkan pembaca mudah tersentuh emosi mereka lebih-lebih lagi bahasa yang digunakan dalam karya adalah retorik untuk melemahkan atau memupuk emosi masyarakat terhadap sesuatu yang diutarakan. Dari itu, lahirlah rangsangan emosi seperti marah, bimbang, kagum, sedih dan sebagainya.

Tanggapan sosiologi terhadap karya sastera memang tidak dapat dinafikan bahawa sastera masih bermanfaat, khususnya kepada masyarakat. Sastera juga dapat ditempatkan kepada status yang istimewa kerana masih lagi mampu menjadi ilmu disiplin bantu walaupun terdapat beberapa faktor yang telah mencacatkan sebagai ilmu bermutu.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial