Ulasan Pengadil

Ulasan Pengadil

Ada pendapat menyatakan bahawa Kafkaesque adalah apabila anda memasuki dunia nyata dalam mana semua corak kawalan anda, semua pelan anda, keseluruhan cara anda telah mengubah tingkah laku anda sendiri, mula jatuh berkecai, apabila anda mendapati diri anda menentang gaya yang tidak meminjamkan dirinya dengan cara anda merasai dunia.

Kamu tidak berhenti, kamu tidak berbaring dan mati, apa yang kamu lakukan adalah berjuang melawannya dengan semua peralatan kamu, dengan apa sahaja yang kamu miliki, tetapi tentu saja kamu tidak berpeluang. Itu Kafkaesque.

Namun istilah “Kafkaesque” digunakan untuk menggambarkan konsep dan situasi yang mengingatkan karya Franz Kafka yang berjudul Der Process (The Trial) dan “Die Verwandlung” (The Metamorphosis). Unsur-unsur Kafkaesque sering muncul dalam karya-karya berbentuk eksistensialis, tetapi istilah ini telah melangkaui alam kesusasteraan kepada kejadian kehidupan dan situasi yang tidak rumit, aneh, atau tidak logik atau absurd.

Dalam Metamorfosis, Kafka menggambarkan betapa egonya manusia sekalipun itu berada dalam lingkungan keluarga sendiri. Ketika Gregor berubah wujud, begitu cepat keluarganya melupakan jasa Gregor yang telah menjadi tulang punggung perekonomian keluarganya. Gregor kini dianggapnya sebagai parasit dalam keluarga, padahal sebelumnya keluarga Gregorlah yang menjadi parasit dalam hidup Gregor.

Kafka juga berbicara mengenai bagaimana kedekatan dan cinta daripada orang-orang yang kita sayangi boleh berubah ketika kita mengalami ‘perubahan’. Memang Kafka memberikan contoh ekstrem dengan mengubah Gregor menjadi binatang. Namun dalam kenyataannya mungkin suatu saat kita mengalami perubahan dalam kehidupan yang diakibatkan kerana kehilangan pekerjaan, kegagalan dalam karier, kejatuhan dalam dosa, dan lain-lain. Hal itulah yang membuat kita menjadi seperti Gregor. Daripada orang yang diperlukan, diharapkan, dan tiba-tiba menjadi orang yang diasingkan, dibenci, kerana tak lagi sesuai dengan harapan orang-orang yang sebelumnya mengasihi kita.

Sembilan penulis menggunakan teks Metamorfosis sebagai sandaran naratif namun tidak ramai yang benar-benar menyelami hakikat teks tersebut. Dalam novel tersebut, Kafka mementingkan keadaan psikologi yang dialami oleh protagonis (Gregor) jika dibandingkan mengapa kejadian aneh itu berlaku. Manusia sering mementingkan diri sendiri. Gregor disisihkan walaupun pada awal kehidupan dialah yang menjadi nadi penggerak ekonomi keluarga dan dengan mudah dia disisihkan. Dalam kejadian transformasi atau perubahan (kejatuhan) yang berlaku, mungkin kehilangan pekerjaan, kecacatan, dan sebagainya, manusia yang pada awalnya menumpang hidup tiba-tiba berubah dan akan menyisihkan dan meninggalkan tanpa sikap belas kasihan.

Cerpen “Kebangkitan” mengisahkan tentang seorang anak muda yang berjaya dengan kerjayanya. Sering bertukar menjadi sebuah sejadah yang diberikan kepada ibunya. Ibunya banyak berkorban untuknya tetapi dia tidak mengingatkan langsung ibunya yang akhirnya meninggal di atas sejadah. Zaki kemalangan kapal terbang dan pulih kemudian menyesal di atas perbuatannya yang tidak mengingatkan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Di sini cerpenis memperkenalkan unsur-unsur Zaki “jatuh” atau bertukar tetapi tiada memberi impak terhadap pengorbanannya selama ini yang sepatutnya dia tunjukkan terhadap ibunya dan kesan terhadap “pertukaran” menjadi sehelai sejadah.

Cerpen “Senja” – kisah Zaman (Zam) sedang mencari-cari dan mencipta alamnya sendiri dan telah mencipta Wulan daripada lendir-lendir keghairahannya. Zam kemudian bertukar menjadi seekor binatang yang hanyir. Cerpen ini tidak menggambarkan pergolakan jiwa yang dialami oleh protagonis yang melibatkan orang-orang di sekelilingnya.

Cerpen “Ulat Bulu” mengisahkan transformasi seorang Prof (Zamri) menjadi seekor ulat bulu dan kemudian bertukar menjadi kepompong. Cerpen juga kurang memberi kesan walaupun unsur-unsur metamorphosis berlaku tetapi tiada memberi kesan kepada watak-watak yang ada.

Cerpen “Mati Kutu” pula mengisahkan pemilihan wakil rakyat yang bertukar menjadi KUTU dan mati akibat Anaphylaxis. Dia berjaya di dalam pilihan raya tetapi tidak mengotai janji-janjinya. Transformasi menjadi seekor kutu berselang seling sebagai wakil rakyat. Dia mati di tandas kerana gigitan kutu. Bahasanya bercampur-baur dengan bahasa Inggeris yang terlalu keras. Impak terhadap watak-watak yang lain sungguh berkesan dan alur cerita serta tanggungjawab protoganis sering dipertikaikan. Cerpenis menggunakan bahasa Inggeris yang dikira tidak sesuai dan kasar mengakibatkan kecacatan dalam cerpen tersebut.

Cerpen “Peluang Kedua” melihat kisah penyesalan seorang gadis bernama Naura tidak sedarkan diri dan berdepan dengan halusinasi akibat terlanjur dan diberi peluang kedua.

“Aku Bukan Charlie” mengisahkan perihal seorang anak remaja, berbadan sasa bekerja di kelab malam sebagai bouncer. Suatu perkelahian dan pembunuhan berlaku. Ibunya berpendapat bahawa mangsa bukan anaknya. Si bouncer tersebut telah bertukar menjadi seekor tikus Belanda dan disimpan di dalam sangkar. Transformasi sebagai seekor tikus Belanda telah menyusahkan ibunya tercari-cari.

“#Qiara@Tiara” kisah menarik mengenai dua gadis kembar yang mana kembar tuanya, Tiara bertukar menjadi sepohon bongsai semasa hari persandingan. “Kejatuhannya” membuat kembarnya Qiara menggantikan tempatnya sebagai pengantin perempuan dengan Hisham. Sikap Qiara sememangnya tidak pernah berubah walaupun kembarnya sudah bertukar sifat malah semakin membenci. Kebenciannya akhirnya memakan dirinya sendiri kerana perkahwinannya dengan Hisham tidak bahagia malah sebaliknya. Transformasi tersebut, juga telah menghilangkan rasa cinta dan kasih sayang yang diberikan oleh Tiara terhadap kembarnya dan akhirnya beliau dibuang.

“Sebatang Titi, Seorang Jurureka dan Sebuah Tawaran Istimewa” mengisahkan seorang jurureka, Qabir yang telah membuat perjanjian dengan Syaitan. Dia “terperangkap” diperhambakan oleh Syaitan dan perlu membuat program untuk menipu umatnya. Dia terpedaya sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Isterinya bersangka buruk terhadap Qabir dan mungkin sudah tidak mengendahkan rumah tangga dan Syazlin menderita dan bunuh diri. Qabir bunuh diri untuk bertemu dengan Syaitan untuk menuntut perjanjiannya.

Cerpen ke-9 “Paling Sempurna” pula mengisahkan seekor khinzir yang ingin menjadi makhluk yang sempurna yang akhirnya memusnahkan keluarganya sendiri.

Dua buah cerpen lagi menggunakan pendekatan yang berkaitan dengan sistem kucar-kacir menguasai seseorang yang selalunya dalam lingkungan yang nyata dan mysterious yang membangkitkan perasaan tidak faham, kekeliruan, dan tidak berdaya. Watak-watak dalam suasana Kafkaesque sering tidak mempunyai tindakan yang jelas untuk melarikan diri dari birokrasi yang keadaan labirin.

Cerpen “Denda” – mengisahkan Protagonis berdepan dengan sistem birokrasi yang menyusahkan orang dan membuat Norman menghadapi tekanan jiwa yang keterlaluan akibat terjerat hutang tailong. Beliau akhirnya mati dibunuh. Alur cerita yang menarik dengan kacau-bilau yang dihadapi oleh protagonis akibat sistem birokrasi yang tidak menentu dan kucar-kacir. Dan akhir sekali, cerpen berjudul “Sepetang di Biro Rakyat Berkeperluan” mengisahkan seorang bekas tukang masak, Kasmon, yang pergi ke pejabat untuk mendapatkan pekerjaan. Birokrasi yang tidak menentu yang menyusahkan orang. Bahasa penulis kurang kemas dan terdapat beberapa ejaan yang salah.

Saya berpendapat bahawa cerpen-cerpen dalam senarai ini adalah pemenang:

Pertama: #Qiara@Tiara

Sagu hati:

1. “Sebatang Titi, Seorang Jurureka dan Sebuah Tawaran Istimewa”

2. “Denda”

3. “Mati Kutu”

Dr Subari bin Sukaini, dilahirkan pada 14 Disember 1948 dan memperolehi ijazah Doktor Falsafah (Surat Melayu) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Charles Sturt University, Australia, Diploma Pascasiswazah dalam Pentadbiran Perniagaan United Kingdom. Seorang penulis yang menggunakan nama pena “Basuki Sastro” dalam penulisan kreatif. Novelnya Tanya Mariah memenangi hadiah sagu hati dalam “Sayembara Novel Watan II” pada tahun 2004. Beliau menulis di dalam kesemua genre – puisi, cerpen, novel dan esei. Beliau pernah menjadi juri dalam “Anugerah Persuratan” yang dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura pada tahun 2009 dan 2011. Beliau juga merupakan salah satu pengasas terbentuknya kumpulan kelab membaca “Ilham Pustaka” pada April 2017. Beliau kini merupakan editor kanan Kreatif Hands & Associates, sebuah syarikat penerbitan.

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial