Ulasan Pengadil Sayembara Cerpen Nyala Bertemakan Rahsia

Ulasan Pengadil Sayembara Cerpen Nyala Bertemakan Rahsia

Senjata bagi seorang pengarang ialah bahasa. Seperti sebilah pisau, semakin tajam matanya, semakin mudah digunakan.

Namun penggunaannya kenalah tepat. Jika tidak, ketajaman itu tidak bermanfaat kerana memotong, membentuk, mengukir, membelah, menghiris dan meracik adalah peranannya. Contohnya, sebilah pisau tajam tidak mungkin mampu menebang sebatang pokok sebesar pemeluk. Seseorang memerlukan kapak atau parang yang tajam pula untuk kegunaan itu.

Demikian juga dengan ketukangan sebuah karya kreatif. Selain aspek idea penceritaan, pembinaan plot, sudut pandangan dan perwatakan; penguasaan bahasa pengucapan, perbendaharaan kata dan penggunaannya yang tepat menjadi sangat penting kepada seorang pengarang. Seluruh hasrat hati, wawasan, ketajaman minda, kesedaran kepada kehidupan dan persekitaran tidak mungkin mampu disampaikan dengan baik jika aspek-aspek tadi tidak dikuasai sepenuhnya.

Hal ini jelas terkandung dalam 15 buah cerpen yang menyertai Sayembara Cerpen Nyala bertemakan RAHSIA yang dinilai.

Walaupun tanpa nama dan pengenalan, penilai dapat merasakan jurang yang ketara antara seorang tukang (penulis) yang mahir dengan yang mahu mencuba. Antara mapan dengan yang menjanjikan. Lebih mudah dan menyeronokkan apabila pihak penganjur, Unggun Creative menjuruskan kepada tema berkisar rahsia. Di luar lingkungan itu, batal.

Namun hampir separuh (7 buah cerpen) menjadi kurang memikat apabila penguasaan bahasa pengucapan, perbendaharaan kata dan penggunaannya yang tepat tidak dapat dijelmakan dengan baik. Hal ini tidak bererti bahawa para penulis ini telah gagal menonjolkan tema rahsia mengikut tuntutan penganjur. Malah sebuah cerpen berjudul “Aisha R” sangat menguja dan memberikan inspirasi. Penulis menunjukkan potensi besar berkarya kerana pemilihan subjek yang biasa menjadi luar biasa dan merangsang perasaaan serta pemikiran di hujung cerita.

Sastera kita memerlukan tema dan pendekatan cerita seperti ini untuk ke hadapan.

Lapan buah cerpen pula menunjukkan potensi kerahsiaan yang baik. Dari kekuatan menyerlahkan Faktor X hingga ke isu asli yang segar, rata-rata para penulis ini tidak syak lagi telah memahiri ketukangan mereka.

Sebuah cerpen “Jerangkung dalam Almari” (terjemahan langsung daripada ‘skeleton in the closet‘), mengangkat judul yang tidak dekat dengan pemikiran Melayu telah menonjolkan Faktor X (Umph!) dalam karyanya. Keberanian penulis mengungkapkan isu transgender, walaupun bukan sesuatu yang baharu, namun kemahirannya merahsiakan isu tersebut melalui watak-watak pilihan hingga ke hujung cerita perlu diberikan pujian.

“Kelikir di Hamparan Pasir” ialah contoh sebuah cerpen yang direka khas untuk memenuhi kriteria pertandingan tuntutan penganjur. Dalam merahsiakan cerita, penulisnya telah mengukir dengan elok setiap aspek pembikinan sebuah cerita pendek yang menggigit dan meruntun hingga ke hujung cerita dengan penuh kejutan. Pengakhiran yang mendedahkan seluruh rahsia yang terpendam daripada ayat pertama cerita.

Sementara dua buah lagi cerpen telah menghidangkan isu yang asli dan segar. Cerpen “Keabadian Nikmat” ialah contoh sebuah karya sastera yang dihasilkan daripada suatu ketekunan menyelidik isu dengan cermat. Kadang-kadang terasa pula karya ini terlalu baik untuk masuk bertanding kerana kemampuannya yang menyelerakan minda.

Cerpen-cerpen Melayu Singapura mutakhir perlu mengalu-alukan karya matang dan sangat relevan seperti ini.

Tidak kurang pentingnya mengungkap aspek-aspek kehidupan moden yang dikuasai teknologi masa kini seperti yang telah dihidangkan dalam cerpen “Blok 468”. Keunikan cerpen ini adalah ia menyampaikan sebuah pesanan ringkas yang sangat bernilai, kemanusiaan tetap menjadi faktor utama dalam mengharungi kehidupan moden yang serba mencabar.

Ucapan syabas dan terus berkarya kepada semua peserta.

Salam takzim
Jamal Ismail


Biodata:
Jamal Ismail ialah seorang penulis dan pengarah yang pernah memenangi beberapa anugerah di dalam dan luar negara. Beliau mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang sastera dan penyiaran. Antara genre yang beliau ceburi, termasuklah skrip drama pentas, radio dan TV, skrinario filem, puisi, kritikan sastera, cerita pendek dan novel. Karya-karya beliau boleh dinikmati melalui kumpulan cerpennya, Yang Kekucingan (2016) dan antologi cerpen sempena SingLit 2017, Catatan Perjalanan. Kumpulan cerpennya yang terbaru bakal berada di pasaran tidak lama lagi di bawah terbitan Unggun Creative.


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial