Ulasan Penilai oleh Mohamed Naguib Ngadnan

Ulasan Penilai oleh Mohamed Naguib Ngadnan

Bismillahirahmanirahim.

Dalam memperkatakan tentang sesebuah hasil penulisan kreatif – karya cerpen, dalam konteks sayembara ini – saya menilai mutu karya berlandaskan formula B.A.I.K. Izinkan saya huraikan dahulu kaedah ini:

B – Bahasa yang mantap. Penguasaan bahasa tetap menjadi faktor paling penting dalam pengkaryaan sastera. Seorang penulis perlu sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan asas dalam bahasa yang digunakan supaya maksud cerita dapat disampaikan dengan jelas kepada para pembaca. Tanda baca perlu sempurna; struktur ayat tidak janggal; kosakata juga sebaiknya tuntas. Pengetahuan berbahasa turut akan melahirkan nyawa karya itu, baik yang bersifat puitis, seram, lucu, dan sebagainya.

A – Aturan isi yang kemas. Cerita yang dibaca tidak akan boleh sama dengan cerita yang ditonton. Maka itu, setiap rentetan peristiwa (sequence of events), dan peredaran latar dari satu babak ke babak yang lain perlu punyai ikatan yang kuat dan munasabah. Setiap ayat, perenggan, babak dan adegan perlu elok jalinannya. Apabila teknik imbas kembali atau imbas muka digunakan, penulis perlu semak kesinambungannya untuk mengelak dari sebarang kegenjotan plot.

I – Imaginasi yang kreatif. Saya melihat daya imaginasi sebagai pakaian bagi karya kreatif. Tanpa pakaian ini, sebuah karya kreatif akan berdiri sebagai satu laporan atau catatan sahaja. Dengan dihiasi daya imaginasi dan kreativiti, maka mesej atau isu yang ingin disampaikan seorang penulis dalam karyanya akan kelihatan lebih lengkap, senonoh, elok dan lebih berwarna-warni. Karya yang baik juga akan menampakkan penggunaan imaginasi yang segar dan tidak klise. Maka itu, jangan sia-siakan poetica licentia yang diletakkan ke dalam tangan penulis.

K – Kesan yang mendalam. Terakhir sekali, tetapi sama pentingnya ialah kesan yang terasa selepas pembaca meninggalkan karya itu: dari segi mesej, pengajaran, kerelevanan isu, olahan cerita, mahupun watak-watak yang seakan-akan benar-benar wujud. Apakah kesan aftertaste karya itu akan menggerakkan pembaca untuk bertindak, berfikir, bermuhasabah, bertukar fikiran dan persepsi? Adakah karya berjaya melahirkan keinsafan, kesyukuran, kemarahan, kesedaran, kekesalan… juga harapan? Sesebuah karya yang ulung akan tetap dirasai lama selepas ayat terakhirnya terbaca.

__________________

Apabila saya terbaca tema sayembara bulan Februari ini – [ K O T A K ] – beberapa idea datang bersinggah dalam fikiran. Ada yang mudah, yang mengambil kira kotak sebagai sesuatu objek nyata; ada pula yang dari perspektif lebih abstrak. Yang pasti, tema kali ini memungkinkan begitu banyak tafsiran yang sekaligus dapat membayangkan daya kreativiti dan proses pemikiran para peserta.

Saya membaca kesemua sembilan karya cerpen dengan terbuka hati, dan terhibur dengan kepelbagaian jenis cerita yang dibentangkan, serta isu-isu yang disentuh. Ada mengenai masalah yang dihadapi manusia dari kaca mata kelompok sejagat, sebuah kampung, sebuah kaum, dalam satu syarikat, keluarga mahupun individu. Dari sudut isu pula, saya lihat isu pencemaran, pemberhentian kerja, pendidikan, pembulian, kesempitan pemikiran hinggalah isu teknologi yang semakin menapak dalam kehidupan harian manusia.

Syabas kepada semua penulis kerana berani menulis dan menyampaikan cerita dan isu-isu yang mungkin sudah lama menggeletek minda dan perasaan. Secara keseluruhan, kesemua cerpen mengandungi cerita yang bertepatan dengan tema [ K O T A K ]. Kupasan dan tafsirannya berbeza-beza dan ini yang membezakan kekuatan skop sesebuah cerpen dengan cerpen yang lain.

Antara lain, kita disajikan dengan kisah cinta-misteri pemuda yang dibantu seorang gadis bergaun putih, sebuah keluarga bawah tanah yang hidup mereka dikotakkan fikiran sempit, perbincangan ketua-ketua kampung untuk menangani masalah anak-anak muda, perbualan antara pesakit dan doktor istimewa mengenai keruncingan yang dihadapinya, cerpen bersifat Sains Fiksyen tentang pembunuhan di lombong, upacara dan kepercayaan turun-temurun untuk memulihkan penyakit ganjil, peristiwa sekitar keputusan untuk memberhentikan tenaga pekerja di sebuah syarikat, sebuah penerokaan ke alam fantasi yang mencelikkan watak kepada watak-watak mitos Yunani dan kisah mengenai cabaran-cabaran pasangan yang mempunyai anak istimewa.

Saya lihat banyak daripada cerpen-cerpen ini berpotensi untuk menjadi sebuah karya yang lebih baik, sekiranya beberapa kelemahan dapat diatasi. Pertama, dari segi bahasa. Penulis perlu lebih kemas dengan perkara-perkara asas seperti nahu dan nuansa bahasa, ejaan, imbuhan dan tanda baca. Kelemahan dari segi bahasa akan menjejas pembacaan – dan penghayatan – cerita oleh para pembaca. Disarankan juga di sini untuk berjinak-jinak dengan lenggok indah berbahasa, sama ada dengan menggunakan peribahasa yang sedia ada atau menggubah frasa-frasa berbunga sendiri.

Kedua, cerpen akan lebih mudah diikuti dengan susunan yang teratur. Maka itu, penulis boleh menyediakan draf aturan plot yang asas dan kemudian pastikan susunan yang terbaik untuk pertama: pemahaman mudah buat pembaca, dan kedua: meninggalkan impak paling berkesan apabila dibaca. Sebuah cerita yang mudah boleh menjadi karya lebih baik dengan adanya penyusunan yang baik.

Penulis perlu faham bahawa di atas kertas atau di skrin komputer, dunia itu menunggu dibina oleh kekuatan imaginasinya. Setiap yang dicoret atau ditaip akan menjadi maujud dalam cerita penulis. Maka itu, perlulah penulis berani bereksperimentasi dengan dunia baharu – baik dalam garis masa yang berbeza; mahupun zaman, benua, realiti, juga dimensi yang lain. Isu-isu yang diketengahkan boleh sahaja serupa dengan apa yang ada di realiti kita, tetapi latar yang berbeza sedikit boleh meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

Dan yang terakhir, karya sastera ulung akan mengandungi sesuatu kesan yang mendalam dan mendukung amanah yang berat. Penulis perlu sendiri pastikan apakah peranan penulisan mereka: untuk menghibur, menggembirakan, mencetuskan pemikiran, mengubah persepsi, menganjak paradigma, atau mencetus evolusi juga revolusi perspektif masyarakat.

Di sini, saya dengan rendah hatinya berharap bahawa dengan adanya sayembara seperti yang dianjurkan Unggun Creative ini, lebih ramai penulis baharu dapat menonjolkan bakat dan berkongsi cerita-cerita mereka kepada khalayak pembaca. Buat mereka yang berjaya bulan ini, tahniah saya ucapkan dan terus menulis. Buat mereka yang belum berjaya, terus menulis dan tahniah saya ucapkan.

Alhamdulillah. Selepas meneliti kesemua sembilan karya cerpen, pilihan saya adalah seperti berikut.

Pemenang Utama : Kotak Peraga
Saguhati #1 : Curi Tulang
Saguhati #2 : KOCAK. Kotak Jaring Labah-Labah
Saguhati #3 : Penerimaan

__________________

Ulasan Terperinci

Anggota Jawatankuasa Kesatuan Orang Tua Anjung Ketapang
B – Penulis ternyata seorang yang memiliki kekuatan berbahasa. Ayat-ayat mudah dibaca dengan lenggokan dan rentak yang kemas diwujudkan. Maksud cerita juga keseluruhannya berjaya disampaikan penulis. Namun, terdapat beberapa kesilapan ejaan yang ketara yang menggenjotkan pembacaan.
A – Cerpen ini bermula dengan pengenalan latar belakang terperinci ahli-ahli AJK KOTAK, kemudian agenda utama mesyuarat mereka kali ini (prestasi para pelajar yang merosot), sebab berlakunya masalah ini (antaranya, bas yang tidak dapat ke kawasan pendalaman kampung), beberapa saranan yang diajukan ahli-ahli, bersama rasionalnya. Awal bahagian cerpen ini membayangkan rentetan yang kemas; malangnya, yang sama tidak dapat dikatakan tentang babak-babak selanjutnya. Pelbagai idea yang cuba diketengahkan hingga menjejas kelancaran cerita.
I – Pelukisan suatu isu kontemporari (kelakonan para pelajar) di dalam latar kontemporari (kampung) mungkin tidak menonjolkan daya imaginasi yang begitu ketara. Malah, cerpen seolah-olah menceritakan sesuatu yang benar-benar berlaku. Namun, dengan adanya watak-watak berwarna-warni dan hidup perbualan mereka, penulis sudah menampakkan daya kreatif yang sukar dikuasai calang-calang penulis.
K – Walaupun isu yang dibentang penulis agak genting, sayangnya, kupasan untuk menghuraikan isu ini kurang gigitannya, dan agak lari daripada mesej serius yang dibayangkan masalah kemerosotan prestasi pelajar. Kesan yang ketara ialah watak-watak yang punyai agenda sendiri, dan perbualan sewaktu sesi AJK yang amat hidup.

Kotak Katik
B – Cerpen ini kurang mantap dari segi bahasa. Terdapat banyak kesilapan bahasa termasuk kesilapan ejaan (yang paling ketara, watak utama ‘Pakar psikaitrik’ dan bukan ‘pakar psikiatri’ atau ‘pakar sakit jiwa’), penggunaan antara ‘ialah’ dan ‘adalah’, beberapa imbuhan dan tanda baca. Memandangkan cerpen berlatarkan dunia futuristik dan berlandaskan teknologi baharu, penggunaan beberapa istilah Inggeris masih dapat diterima.
A – Dari bahagian awal hingga ke bahagian akhir, cerpen didominasikan perbualan dua hala antara dua watak utama. Adegan aksinya amat sedikit sekali, hingga menjadikan pembacaan cerpen ini lebih bermirip pembacaan skrip. Penulis cuba – dan hanya kadangkala sahaja berjaya – untuk menyelitkan adegan-adegan aksi di luar perbualan itu, tetapi adegan-adegan ini juga singkat untuk dihayati sepenuhnya.
I – Tidak dinafikan latar yang dipilih penulis memerlukan daya imaginasi yang amat kreatif, dan penulis berjaya menyelitkan beberapa konsep baharu yang bersifat futuristik. Antaranya, bidang-bidang pekerjaan yang dilaksanakan tenaga pekerja robot, teknologi pada sistem keselamatan, dan kemampuan golongan robot yang melebihi manusia.
K – Cerpen sebenarnya mengemukakan premis yang menjanjikan satu cerita yang baik; satu pembahasan yang boleh dibawa lebih mendalam dari aspek etika dan hak manusia (sebagai contoh) antara dua watak utama. Isu yang diutarakan juga bersifat sejagat lebih-lebih lagi apabila dunia sedang mula menerima teknologi automasi dan teknologi A.I. Seperkara lagi, sesuatu yang perlu dielakkan ialah penutup cerpen yang bersifat simplistik: watak (dibayangkan) membunuh diri.

Curi Tulang
B – Cerpen yang amat kemas ditulis, dengan bahasa yang baik lagi indah. Penguasaan bahasa penulis juga memampukan pelukisan babak-babak dan adegan-adegan yang berpelbagai – yang penuh ketegangan, kesedihan, perasaan iri hati, tanda tanya, dan penutup yang diselitkan kejutan realistik. Penulis berjaya menyampaikan sebuah cerita yang mudah, namun yang tetap dapat mengusik pemikiran pembaca.
A – Jalinan babak-babak dikawal dengan kemas oleh penulis, yang berjaya mengimbangi kesemua bahagian tanpa menonjolkan mana-mana satu peristiwa. Cerpen dibaca dengan kelancaran yang menyenangkan. Selain ini, dialog-dialog yang menggerakkan cerita diselitkan di tempat-tempat sesuai. Tiada kegenjotan yang ketara sehinggalah pembaca dibawa menghayati penutup yang cukup memuaskan.
I – Dari segi imaginasi, kekuatan cerpen ini terletak pada isu hangat yang berlaku kini, mengenai dilema yang dihadapi syarikat-syarikat penerbitan, dan suasana tenaga pekerja yang diberhentikan kerja. Penulis dengan cermat menyirat istilah ‘anjakan paradigma’ (yang merupakan kupasan tema pertama) dan ini kemudiannya diiringi dengan masalah-masalah beberapa watak yang cuba keluar daripada keadaan kehidupan yang meruncingkan (kupasan tema kedua).
K – Cerpen ini meninggalkan kesan yang mendalam tentang hakikat yang berlaku pada masa kini, cabaran-cabaran yang dihadapi golongan yang diberhentikan kerja, desas-desus dan perasaan yang menguasai mereka yang terjejas. Selain itu, turut digambarkan ialah keadaan atau isu masyarakat golongan pendapatan rendah yang seringkali kita terlepas pandang.

Kampung Kotak
B – Penulis berani berkesperimentasi dengan permainan bahasa. Idea dan konsep visual dikaitkan dengan konsep visual yang lain. Sebagai contoh, peribahasa ‘bagai katak di bawah tempurung’ menjadi ilham nama Kampung Tempurung, dan sekaligus menggambarkan watak Tok Mat, ketua daerah kampung tersebut, yang berfikiran sempit. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kegenjotan pada bahasa seperti penggunaan istilah-istilah bahasa pasar, kesilapan ejaan dan struktur ayat yang janggal yang sedikit menjejas kelancaran cerpen.
A – Satu perkara ketara yang membezakan cerpen ini daripada cerpen-cerpen yang lain adalah dari segi pembahagiannya (penyusunan isi). Cerpen telah dibahagikan kepada empat bahagian utama, dengan setiap bahagian berperanan untuk mendukung isi-isi yang berbeza (Bahagian 1: Mengenai Kampung Tempurung dan perwatakan Tok Mat dan Mak Bedah; Bahagian 2: Pandangan Mak Bedah terhadap calon pasangan anak-anak mereka; Bahagian 3: Keadaan cucu Tok Mat dan Mak Bedah yang ‘istimewa’, dan perangai keluarganya yang salahkan orang lain atas keadaan ini; Bahagian 4: Beban Tok Mat untuk menjaga nama, status dan gaya hidup keluarganya, dengan bekerja sebagai seorang ‘pengutip kotak’.) Bahagian-bahagian ini kurang kemas dikaitkan menjadi satu unit yang kukuh, maka itu menyebabkan keseluruhan isi cerpen kelihatan terpisah-pisah dan terputus-putus.
I – Saya senangi dengan permulaan cerpen yang membayangkan daya imaginasi penulis yang tinggi; kebolehan penulis bermain dengan konsep visual (peribahasa) dan kaitannya dengan dunia Kampung Tempurung, kemudian pelukisan ringkas tentang bagaimana Kampung Tempurung ini juga terletak di bawah tanah. Saya mengharapkan perkembangan dunia bawah tanah ini dibincangan dengan lebih lanjut lagi dengan penceritaan masyarakat ini yang mencari jalan keluar daripada takuk yang lama menuju satu pembaharuan.
K – Dari segi kesan, dua babak yang agak menonjol: pertama, pelukisan dan kaitan konsep visual pada perenggan-perenggan awal; dan kedua, pendedahan bahawa Tok Mat perlu menyara hidup sebagai seorang ‘pengutip kotak’. Ini sekaligus mengajak pembaca kembali ke tema sayembara dengan cara yang berkesan / ironis. Bahagian lain – baik dari segi watak / perwatakan, jalan cerita, konflik dan isu – boleh lebih lagi dikembangkan.

KOCAK Kotak Jaring Labah-Labah
B – Bahasa yang digunakan dalam cerpen ini amat baik, malah hampir sempurna susunannya. Setiap perkara yang ingin disampaikan – termasuk kejadian aneh yang berlaku kepada penulis, hingga upacara penuh ritual, hinggalah mesej di akhir cerpen – kesemuanya elok sahaja cara penyampaiannya. Dialognya tidak banyak, tetapi cukup untuk membangkitkan babak-babak mencemaskan dan suasana mistik yang bersesuaian dengan keperluan babak dan adegan.
A – Cerpen menggunakan teknik imbas kembali secara mudah lagi berkesan. Bermula dengan adegan memancing perhatian pembaca, penulis hanya mendedahkan peristiwa yang menjadi sebab adegan itu hampir di penghujung cerpen. Setiap babak digambarkan dengan penuh terperinci sehingga pembaca seakan-akan ‘melihat’ apa yang berlaku di hadapan mata sendiri. Begitu berkesan penjiwaan pada setiap ayat sehingga boleh juga terbayang bau-bauan yang mungkin dapat dihidu pada upacara-upacara yang diceritakan!
I – Daya imaginasi penulis mungkin lebih kepada olahan cerita yang amat jelas atau vivid gambarannya. Jalan cerita sesuatu yang agak biasa, namun kepakaran penulis meneliti dan menyampaikan suatu upacara secara terperinci amat dikagumi; ketelitian begini boleh – antara lain – merakam lalu melestarikan sesuatu aspek budaya melalui penulisan.
K – Kesan paling ketara ialah gambaran upacara ritualistik yang amat terperinci. Adegan ini serba sedikit dapat memberikan pengetahuan kepada pembaca tentang apa yang berlaku pada upacara-upacara sebegini. Penulis turut halus memberi teguran bahawa masih ada dalam masyarakat kita yang mengamalkan mahupun mempercayai amalan-amalan turun-temurun begini. Selain itu, penyisipan ayat Al-Quran turut membawa pembaca kembali kepada jalan tauhid sekiranya menghadapi kesukaran dan ujian dalam kehidupan.

Kotak Pandora Arissa
B – Bahasa yang digunakan mudah difahami dengan ayat-ayat yang kadangkala janggal susunannya. Memandangkan cerpen ini digerakkan banyak perbincangan dan dialog, bahasa pasar / percakapan banyak digunakan. Ini kadangkala menjejas nada keseluruhan cerpen, dan sekiranya boleh, perlu dikurangkan. Selain ini, ada juga kesilapan pada ejaan dan penggunaan imbuhan; dan ayat-ayat yang ada ketinggalan perkataannya.
A – Aturan jalan cerita mudah, disusun secara kronologi (mengikut masa). Babak pertama di butik, babak kedua (mungkin) di bilik penulis dengan kotak Pandora, babak ketiga di hutan fantasi dan yang terakhir di rumah sendiri pada lewat petang. Kesinambungan antara babak-babak ini boleh lebih diperhalusi. Contohnya, babak kedua bermula dengan ‘Pada suatu hari…’; babak ketiga pula dengan ‘Tiba-tiba sahaja dengan sekelip mata…’ dan babak keempat dengan ‘Tiba-tiba sahaja… / Rupa-rupanya…’ Susunan begini boleh menjejas kelancaran sesebuah cerita itu.
I – Kecekapan penulis dengan permainan konsep jelas terpantul di bahagian awal cerpen apabila penulis menggunakan butik Pandora (yang menjual aksesori dan barang kemas) sebagai latar awal. Dari ‘kotak’ fizikal dalam babak ini, penulis beralih ke ‘kotak Pandora’ yang masyhur dalam mitos Yunani. Kotak ini mula berbual dengannya. Maka di sini, imaginasi penulis menerawang ke alam fantasi pula, dengan adanya pelbagai maklumat tentang watak-watak mitos Yunani yang dikongsi dengan dirinya, sehinggalah babak penulis diselamatkan.
K – Secara keseluruhan, saya berpendapat penulis tidak menggunakan bahan sumber dengan seelok-elok potensinya. Sayang sebenarnya kerana watak-watak mitos Yunani boleh menjadi bidang ilmu segar dan pengetahuan baharu bagi khalayak pembaca cerpen Melayu. Ini mungkin akan lebih berjaya sekiranya watak-watak ini (atau dipilih satu atau dua sahaja) dihidupkan menjadi penggerak cerita, dan berinteraksi dengan watak utama, Arissa. Watak-watak yang hanya diceritakan terasa bagaikan isi laporan atau kuliah semata-mata. Maka itu, kesannya kurang dirasai. Selain itu, (kebanyakan) cerpen yang diakhiri dengan pendedahan ‘oh, itu semua hanya mimpi sahaja’ akan mewujudkan satu anti-climax yang memperlekehkan kesemua yang disampaikan.

Kotak Peraga
B – Cerpen ini menampakkan penguasaan bahasa penulis yang tuntas dalam menggerakkan cerita. Walaupun ceritanya mengandungi banyak latar, maklumat dan aksi, penulis mampu untuk mengawal bahasanya sehingga plot bergerak dengan lancar. Bahagian-bahagian dialog juga diselitkan pada babak-babak sesuai untuk menggerakkan cerita ke hadapan
A – Dari segi aturan pula, cerpen ini mudah difahami kerana susunannya yang baik. Bermula dengan adegan di lombong, penulis perkenalkan pembaca kepada watak Rais, pekerjaannya dan suasana dunia sekeliling. Kemudian, satu penemuan memulakan babak-babak yang mendebarkan cerpen. Penulis cermat mendedahkan satu konspirasi melalui perbualan Rais dengan watak seorang tua, dan kemudian menerusi dialog antara Si Pengarah dan Si Mandur. Bahagian terakhir cerpen amat menarik, dan merupakan penutup yang memuaskan lagi berkesan.
I – Penulis ternyata mahir dalam ketukangannya. Cerpen ini mengetengahkan daya imaginasi penulis yang tinggi. Permulaan cerpen melakarkan satu dunia (Bumi) pada masa hadapan dystopian apabila pencemaran sudah meragut permukaan planet. Penduduk-penduduk perlu tinggal di kota di bawah tanah dengan industri perlombongan menjadi industri penting untuk menjana kuasa elektrik. Dunia yang dilakar penulis – walaupun sering juga ditonton di layar perak – begiti teliti digambarkan melalui penulisan; bukan sesuatu yang mudah. Pada akhir cerpen, penulis membentangkan satu kejutan yang amat menarik tentang hakikat sebenar kota dan kewujudan watak-watak di Bumi.
K – Cerpen ini akan membuat pembaca berfikir akan isu-isu yang dibentang penulis. Pertama, mengenai pencemaran alam yang kian berleluasa di luar kawalan, angkara tindakan kurang bijak manusia juga. Kedua, tentang maksud kewujudan dan peranan manusia di muka bumi. Persoalan eksistential ini diwarnakan lagi dengan babak terakhir apabila dibayangkan spesies manusia dijaga dan dipantau golongan makhluk asing (“Jika spesies manusia dibenarkan keluar daripada kotak, mereka akan membinasakan lagi planet ini!”) Dan ketiga, penggunaan nama watak misteri ‘Dusta’ turut membangkitkan satu persoalan: Adakah penulis cuba menyampaikan sesuatu mesej cryptic melalui permainan kata / simbolisme ini?

Realiti Dalam Bayangan
B – Secara keseluruhannya, bahasa yang digunakan dalam cerpen baik dengan sedikit kesilapan pada ejaan, imbuhan dan tanda baca. Paling ketara ialah penggunaan M huruf besar bagi perkataan Mawar (bunga Mawar), yang menjadi salah satu penggerak cerita. Penulis berjaya menceritakan satu cereka yang lancar dan mudah difahami.
A – Aturan jalan cerita mengikut kronologi, dan mudah diikuti tanpa masalah. Saya berpendapat bahawa bahagian epilog (pendedahan apa yang sebenarnya berlaku di temasya dan di restoran makanan segera McDonald’s) tidak perlu dijelaskan kerana klimaks cerpen sudah tercapai, dan tiada perlu lagi meleretkan cerita. Cerpen mungkin cukup berkesan dengan babak terakhir terus: aroma bunga mawar yang menyelinap di luar pintu rumah Shahril.
I – Penulis punyai daya imaginasi yang baik untuk melakarkan suatu cereka yang teratur, dan mudah difahami. Unsur-unsur jenayah, misteri dan lucu yang diselit cekap ditulis berlatarkan suatu suasana yang rapat dengan pembaca, terutama para pembaca remaja (minat dalam fotografi, bibit-bibit alam percintaan, isu pembulian, unsur misteri, latar McDonald’s). Walau bagaimanapun, buat pembaca yang tajam penghayatannya, kejutan pada akhir cerita sudah dapat dilihat pada dua babak (‘Shahril mula perasan orang di sekelilingnya semuanya sedang memandangnya’ di taman temasya dan kemudian, ‘Shahril sedar ramai orang sedang melihat mereka berbual termasuk beberapa pekerja di situ, namun tidak dia pedulikan’ di restoran McDonald’s.) Terdapat juga kegenjotan dari segi isi, dua bahagian yang sukar diterima akal: pertama, pembunuh yang meninggalkan senjata jenayah (sebilah parang) tertanam bersama jasad mangsa; dan kedua, Inspektor Ahmad, (bapa kepada Azhari kawan Shahril) walaupun tidak mendapat penjelasan yang meyakinkan (‘Sejujurnya, dia tidak begitu setuju dengan operasi petang ini. Tiada objektif dan sumber yang memberinya informasi ini juga belum tentu boleh dipercayai’), tetap mengarah siasatan itu dijalankan.
K – Cerpen ini mendukung banyak aspek yang saya kira akan lebih baik sekiranya diberi tumpuan, dan bukan disentuh sekali lalu sahaja. Isu pembulian, sebagai contoh, sekiranya dikembangkan akan mungkin dapat menjayakan lagi cerpen. Lagipun, penulis sudah mengetengahkan satu perbincangan yang baik tentang masalah ini melalui babak di McDonald’s. Begitu juga dengan unsur misteri cerpen, akan lebih berjaya sekiranya dibiarkan dengan penutup penuh impak, tanpa diadakan bahagian epilog tadi.

Penerimaan
B – Bahasa yang digunakan dalam cerpen kemas keseluruhannya. Terdapat sedikit kesilapan dari segi ejaan dan imbuhan. Penulis juga berjaya menyampaikan satu cerita yang mudah dan jelas difahami menggunakan ayat-ayat pelbagai rencam. Dialog kelihatan kuat dari segi nada dan pantulan perwatakan; syabas!
A – Aturan jalan cerita dikawal dengan baik. Bermula dengan babak penuh ketegangan di tengah-tengah pasar malam bulan Ramadan, penulis bijak memancing perhatian pembaca. Pembaca tertanya-tanya siapa watak yang menghadapi kesukaran bernafas itu, dan apakah sebab dia berkeadaan begitu. Tanda tanya ini terjawab di bahagian seterusnya, siapakah watak itu sebenarnya dan kemudian diceritakan pula pandangan dan perasaan ibu bapanya terhadap keadaannya. Cerpen melalui beberapa perbualan tegang, dan kemuncaknya adalah apabila berlakunya perubahan dalam kehidupan watak-watak utama lantaran satu keputusan yang diambil. Saya tertarik juga dengan naik-turunnya perasaan yang dibentang penulis, terutama pada bahagian akhir. Watak Yana melalui kesukaran dan cabaran menghadapi masa hadapan dengan anak istimewanya, dan kemudian pembaca dikejutkan pula dengan perkembangan positif yang berlaku kepada anaknya.
I – Dari sudut imaginasi, penulis mempunyai penghayatan yang mendalam terhadap watak-watak dalam cerpen. Cara penulis berkongsi perspektif daripada kaca mata watak anak itu, kemudian ibu dan juga bapanya, menunjukkan bagaimana watak-watak ini menghadapi keadaan yang sukar ini. Perbualan suami isteri turut membayangkan emosi dan pemikiran watak-watak. Konflik yang diketengahkan rapat dengan pengalaman dan cabaran pasangan yang mempunyai anak istimewa
K – Cerpen berjaya menyingkap dunia yang mungkin jarang-jarang diketahui khalayak umum tentang kehidupan dan cabaran yang dihadapi pasangan yang mempunyai anak istimewa. Dari sudut emosi, psikologi dan pemikiran watak-watak, penulis dengan kemas menggambarkan kesukaran-kesukaran yang perlu ditempuhi. Cerpen mencetuskan satu anjakan paradigma buat pembaca (dan sekaligus, masyarakat umumnya juga) untuk cuba memahami dan menerima bahawa bukan semua dilahirkan serupa. Di akhir cerpen, babak yang memancarkan sinar harapan amat baik sebagai penutup cerita penuh melodramatik.

__________________

Mohamed Naguib Ngadnan mula menulis sejak usia remaja di Sekolah Menengah Tanjong Katong.

Beliau penerima dua Anugerah Persuratan: pada tahun 1999 dengan cerpen bertajuk “Satu Perjalanan” (Penghargaan), dan pada tahun 2013 dengan sajak bertajuk “Kita Yang Dijilat Gincu Peluru”. Beliau juga peserta finalis untuk Peraduan Menulis Cerpen Mencari Kristal anjuran BH dan NAC.

Karya-karya beliau pernah diterbitkan Berita Harian / Berita Minggu, jurnal akademik Aktivis dan majalah Tunas Cipta, selain dimuatkan dalam antologi-antologi Penawar dan Gerimis Di Kota Pelangi.

Empat buah cerpen beliau turut dimuatkan dalam antologi Tanjong Katong Airnya Biru terbitan Unggun Creative, yang dilancarkan pada awal bulan Mac 2018.

Selain menulis, Mohamed Naguib gemar mengumpul Batmobile dan Bumblebee, di samping bergiat dalam seni lukisan ambigram.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:
error

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial