Ulasan Penilai Oleh Hamed Ismail

Ulasan Penilai Oleh Hamed Ismail

Saya amat teruja apabila membaca kesemua 14 buah cerpen yang turut serta dalam sayembara cerpen ini. Cerpen-cerpen tersebut telah menampakkan sikap kesungguhan penulis untuk menghasilkan karya yang baik di samping berinovasi dan tidak kurang juga yang kreatif dalam teknik penulisannya. Hal ini merupakan titik mula yang baik sebelum berkarya. Sesebuah cerpen amat bergantung pada cerita yang baik. Cerita yang baik amat bergantung pada penguasaan bahasa dan keindahannya. Selalunya, cerita yang baik itu didukung oleh struktur (binaan cerita) yang kukuh, sama ada ia bersifat konvensional atau eksperimental.

Hanya 10 markah diperuntukkan untuk cerpen yang menepati tema. Oleh itu, cerpen yang baik tapi tidak berlandaskan tema yang dikehendaki oleh pihak penganjur masih berupaya untuk dinilai selagi aspek lain dan kesatuan dalam melahirkan karya masih kuat. Begitu juga cerpen yang masih memperkatakan tentang isu-isu yang agak klise tapi berjaya menerima perhatian yang saksama kerana penulis memberikan pendekatan dan sudut pandangan yang segar dan menarik. Namun begitu, terdapat juga cerpen yang cuba masukkan tema secara paksa dan terang-terangan, seolah-olah khuatir pengadil tidak nampak tema yang dimaksudkan. Sesebuah cerpen itu cukup mengutarakan semangat atau roh Takut Dilambung Ombak bukan sekadar menulis perumpamaan dalam cerpen. Jika penulis berjaya menyelitkan peribahasa ini secara bersahaja, tepat dan tidak memaksa, ia boleh dianggap cerpen yang berjaya mengikuti landasan tema yang dikehendaki.

Saya juga amat tertarik tentang usaha beberapa penulis yang menghasilkan karya yang bersifat futuristik tapi bernafaskan dystopia seperti “Penduduk Tembok” dan “Pasca Hangnadisme”. “Penduduk Tembok” berpotensi menjadi pilihan utama tapi pembinaan watak di akhir cerita agak longgar. “Pasca Hangnadisme” juga baik kerana cuba menyerapkan unsur-unsur legenda dan mitos dalam penceritaan yang moden. Tapi penulis kurang cermat kerana membiarkan dirinya terjerumus dalam kekeliruan plot dan naratif.

“Duta Nestapa” memberikan tema yang non-konvensional dalam bentuk satira politik sambil meminjam konsep Ali Baba dan 40 Tempayan. Cerpen “Nostradamusesque” bertemakan kemalangan (misadventure) tapi pembinaan cerita dan watak cukup kukuh dan tidak ada plot sampingan dan naratif yang tersasar.

Hanya cerpen “Meranggah Bahagia Di Tebing Hati” dan “Khazanah Yang Tersimpan” bertemakan falsafah Islam (tasauf). Cerpen “Meranggah Bahagia Di Tebing Hati” mengitar semula isu perkahwinan campur disamping menyindir sikap manusia yang dilahirkan Islam tapi tidak benar-benar menghayati ajaran agamanya. Ia dianyam dalam tema percintaan yang berakhir dengan kegagalan kerana masing-masing watak utama menemukan kebahagiaan yang di luar pilihan mereka sendiri.

Cerpen “Khazanah Yang Tersimpan” adalah mirip cerpen rencana yang penuh dengan hujah-hujah dan tukilan kata-kata ulama’ bagai tak terbendung niat penulis hendak berdakwah dalam ilmu yang yang dibincangkan. Malang sekali, penulis turut masuk campur dalam pemikiran setiap watak yang dicipta. Seharusnya seorang penulis tidak menulis tentang kepandaiannya tapi tentang kebenaran cerita yang hendak disampaikan. Ini mencakupi kesatuan yang jitu dalam stuktur, pembinaan cerita dan keindahan. Cerpen yang terlalu banyak pesanan dan tidak ada keindahan akan terjerumus ke kategori cerpen propaganda (dakwah).

Cerpen “Baju” memperkatakan dunia gengsterism (pakai baju) dalam sesetengah kalangan masyarakat remaja Melayu. Ia merupakan satu-satunya cerpen yang bersifat lokal dan berpijak di dunia hari ini. Penulisan yang diselitkan dengan humor ini membuatkan cerpen ini tidak menagih simpati daripada pembaca tapi cukup meninggalkan kesan kepada khalayak pembaca.

Cerpen yang baik harus meninggalkan kesan pemikiran, kehidupan dan kemanusiaan.

Kesemuanya terdapat 7 buah cerpen yang saya anggap baik dan mendapat markah lebih daripada 70%. Empat cerpen mendapat markah lebih 60% dan hanya tiga buah cerpen yang mendapat markah kurang dari 60%.


HAMED ISMAIL pernah bekerja sebagai penyelia skrip drama di Eaglevision dan Pembaca di Kementeriaan Kebudayaan. Beliau mula menulis sejak awal tahun 70an dan kini telah memenangi beberapa anugerah untuk puisi, cerpen dan skrip drama.


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:
error

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial