Ulasan Penilai

Ulasan Penilai

Lazimnya cerpen dihasilkan atas dorongan dari dalam diri penulis. Apakah sebenarnya yang mahu dilahirkan untuk dibaca atau dinikmati pembaca? Apakah tujuannya dan dengan cara bagaimana ia akan disampaikan? Soalan terakhir itulah yang akan menghasilkan bentuk.

Makanya, penganjur Sayembara Cerpen Nyala bulan Mei 2018 menghendaki peserta menuliskan sebuah cerpen dalam bentuk surat, diari atau monolog.

Surat tanpa mesej atau maksud itu ibarat kita berjalan-jalan tanpa tujuan atau kita sekadar bercerita semahunya dengan apa saja yang terlintas ketika menulis. Apabila kita mengaitkan surat sebagai sebuah cerpen, maka ia tertakluk kepada kemahuan cerpen itu sendiri. Maksudnya ia harus mendukung ciri-ciri cerpen.

Begitu juga dengan diari atau catatan harian. Diari sebagai cerpen seharusnya tidak melonggokkan segalanya termasuk yang remeh-temeh. Sebaliknya, penulis harus bijak memilih yang perlu dan berkesinambungan sehingga membina sebuah cerita.

Sementara monolog pula, menurut definisi sasteranya, adalah pertuturan panjang seorang watak pada dirinya sendiri ataupun kepada pendengar atau pembacanya.

Terapan unsur-unsur ini yang cuba dikesani daripada 12 buah karya yang menyertai dan telah diberikan pihak penganjur sayembara kepada saya untuk membuat penilaian dan pemilihan.

Daripada kesemua itu terdapat 2 pucuk surat, 3 lembar diari dan 7 buah monolog.

Keseluruhannya boleh dikatakan dapat memenuhi syarat minimum sayembara tersebut dan peserta dapat melahirkan karya dengan penggunaan bahasa yang baik. Oleh kerana tiada penentuan tema bererti peserta bebas mengutarakan tema pilihan masing-masing, markah bagi tema diberikan penuh untuk semua karya untuk mencapai jumlah peratusannya.

Daripada pembacaan/penghayatan, didapati cara menurunkan ide dengan lebih kreatif lebih mudah melalui bentuk monolog. Dapatan ini berdasarkan penyertaan yang menulis monolog lebih daripada separuh. Mungkin juga kerana keselesaan penulis meletakkan dirinya sebagai watak utama pencerita menerusi sudut pandangan orang pertama.

Kerencaman tema yang diutarakan untuk mengongsi perasaan dan fikiran kepada orang lain memberi gambaran penulis-penulis kita tidak kekurangan daya ilham dalam penulisan.

Sebuah cerpen monolog yang saya rasakan berbeza sekali daripada yang lain ialah Zamrud si Sultan. Dengan penceritaan yang lancar, monolog yang berlatarkan bumi Turki ini dapat menarik perhatian pembaca dengan saluran ilmu bantu yang disisipkan dalam monolog ini. Sebenarnya ia merupakan interteks yang menghubungkan pengalaman masa lalu watak untuk mengingati kembali dalam pencarian dirinya yang hilang ingatan akibat bencana gempa yang menimpanya.

Sebuah lagi monolog yang meruntun perasaan daripada lelehan penderitaan watak yang merajuk diri ke bumi Aotearoa (New Zealand) iaitu Cinta Aotearoa. Penceritaan yang dilakukan dalam monolog ini begitu mantap berlangsung dalam menyatukan sebab dan akibat yang membentuk sebuah cerpen.

Begitu juga dengan Pendam, sebuah monolog yang ditulis oleh watak, seorang mahasiswi, yang mengalami kemurungan dan hidup dalam keresahan sebagai kesan psikologi dengan gangguan emosi dan mental. Satu pengalaman yang direntangkan oleh watak memberi gambaran yang jelas penderitaan yang dihadapi ketika detik gangguan itu terjadi. Cerpen ini kemas dengan penghantaran cerita yang meyakinkan.

Sebuah cerpen dalam bentuk surat yang menyertai sayembara ini berjaya membuat pembaca merasakan kesebatian ceritanya dengan diri penyuratnya berjudul Peti Surat. Peti surat merupakan suatu rentetan peristiwa yang dialami oleh watak sebagai seorang anak yang terpisah daripada ayahnya sejak kecil lagi. Namun rasa kasih dan sayang terhadap ayahnya terus tersemat sehingga ayahnya meninggal dunia.

Surat-surat yang ditulis untuk tatapan ayahnya, sejak usianya masih kecil, tidak pernah dikirimkan. Namun, watak menyatakan semua itu di dalam surat terakhir buat ayahnya walaupun tidak akan dapat dibaca lagi. Kelebihan cerpen ini adalah susunan cerita di dalam suratnya yang kemas menuju ke puncak cerita.

Semoga ulasan ini dapat memberi manfaat kepada para peserta dan pembaca umumnya dan tahniah kepada mereka yang berjaya.


BIODATA PENILAI:
Rohman Munasip pernah memenangi Hadiah Sastera, Anugerah Pesuratan 2001 dan 2011 dalam bidang Cerpen dan Skrip Drama Radio. Karya-karya skrip drama radio beliau pernah diterbitkan dalam buku Cinta Seorang Sasterawan. Beliau sering menulis ulasan cerpen di akhbar tempatan.

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial