Ulasan Sayembara Cerpen Nyala Bertemakan “Kembara”

Ulasan Sayembara Cerpen Nyala Bertemakan “Kembara”

TEMA ‘KEMBARA’ yang menjadi pilihan bagi Sayembara Cerpen Nyala Januari 2018 membuka ruang luas kepada para penulis meneroka kepelbagaian idea yang jika dimanfaatkan dengan kreativiti segar berupaya diolah menjadi cerpen-cerpen yang menarik dan menghiburkan.

Membaca karya-karya atau pandangan-pandangan penulis genre pengembaraan/perjalanan yang terkemuka seperti Shirin Hausee, Paul Edward Theroux dan Josep Conrad, antaranya, pasti banyak membantu memperkaya idea dan pengalaman. Shirin Housee, misalnya, menulis: “Perjalanan membuka banyak kemungkinan kepada kita: sama ada perjalanan itu sering membuat kita bertanyakan sesuatu yang kita tempuhi, atau pengalaman dari perjalanan itu sendiri menjadi satu-satunya bahan untuk kita membina identiti.” Joseph Conrad pula mengaku dia sebenarnya takut dengan perjalanan, tetapi menerima hakikat betapa rasa takut itulah yang menguatkan lagi persepsinya terhadap kehidupan. Kata Conrad, “Saya takut, lantaran itulah saya wujud; lebih saya berasa takut, lebih saya berasa saya wujud.”

Membaca jumlah 19 penyertaan yang perlu dinilai, saya mendapati ada kesegaran minat daripada para penulis yang menyertai sayembara kali ini untuk mengongsi idea dalam bentuk cereka, genre cerpen. Semoga minat ini dapat terus dipupuk dan dibangunkan menerusi usaha-usaha yang sesuai dan berterusan.

Rata-rata mereka cuba menterjemahkan tema ‘kembara’ dalam pelbagai bentuk pengembaraan: jasmaniah dan kerohanian, sendirian dan kelompokan. Penceritaan pengalaman pengembaraan itu pula dibuat sama ada berupa rakaman peribadi masing-masing penulis atau pemerhatian mereka, termasuk imaginasi terhadap apa yang dilihat, dirasa atau dikhayalkan. Begitupun, garapan idea ‘kembara’ itu masih kurang terserlah dalam cerita yang dibentangkan dalam kebanyakan cerpen.

Walaupun terdapat kesegaran mengongsi idea-idea berkaitan dengan tema ‘kembara’ itu, bukan semua penulis berjaya mengenengahkannya menerusi cerpen masing-masing. Kesannya, kebanyakan idea-idea yang walaupun cukup, kurang berupaya dipersembahkan menjadi cerpen-cerpen yang menarik dan menghiburkan.

Idea ialah isi kepada cerpen. Idea yang baik, walaupun biasa, boleh menjadi menarik dengan bantuan termasuk, antaranya, pemakaian bahasa, susunan jalan cerita, gaya penceritaan dan daya kreativiti penulis memainkan emosi pembaca untuk tergugah menerima dan terhibur dengan cerpen yang terhasil daripadanya.

Saya mendapati, umumnya, pemakaian bahasa pada sebahagian besar cerpen yang menyertainya sebagai sederhana. Fungsi bahasa perlu membantu sesebuah cerpen itu lancar dibaca dan mudah difahami. Bahasa juga mempengaruhi ‘mood’ dan emosi pembaca, seperti membuatnya tersenyum, marah atau berasa terkejut. Sebahagian besar penulis menampakkan usaha memanfaatkan fungsi bahasa ini.

Bagaimanapun, ada juga penulis yang kurang mengawal aspek pilihan kata (diksi), manakala ada juga terlalu membunga-bungakannya tanpa perlu. Inilah antara punca yang menyebabkan sesebuah cerpen itu kurang lancar dan kurang menarik dinikmati.

Terdapat penulis yang lupa bahawa cerpen adalah cereka lalu menulis cerpen yang lebih menderetkan pemaparan perincian fakta menjadikan cerpennya seolah-olah satu dokumen sejarah. Memanglah fakta sebenar atau sejarah berguna untuk dipakai sebagai sumber cerita, tetapi kerana cerpen adalah cereka, ia perlu dibumbui dengan imaginasi yang kreatif dari penulis.

Sebahagian cerpen terlalu dipasakkan dengan sebanyak-banyak isi (cerita) yang menyebabkan ceritanya kehilangan tumpuan. Tidak semestinya isi yang banyak menandakan cerpen yang baik, sedangkan yang perlu ialah cerita yang meyakinkan, dan menghiburkan!

Dan cerpen menjadi menarik apabila bersulamkan jalan cerita yang menyeronokkan. Cerpen begini selalunya berjaya dalam membuat pendedahan peristiwa menerusi jalinan sebab-akibat. Jalinan cerita itu berupaya membuat pembaca bersama mengongsi perasaan atau emosinya dengan kepelbagaian rasa (tenang, gelisah, cemas, reda) sepanjang dia menikmati cereka yang dibacanya. Menerusinya cerpen itu melibatkan pembaca untuk turut sama mengongsi keprihatinannya, bahkan mungkin memikirkan penghuraiannya. Misalnya cerita penderitaan nasib anak terbuang tidak cukup dengan pemaparan setiap layanan buruk yang diterimanya. Perlu dibangunkan persoalan kenapa nasibnya jadi begitu, apa cabaran hidupnya, bagaimana dia menanganinya, kesudahannya apa?

MAAROF SALLEH
31 Januari 2018


MAAROF SALLEH pernah berkhidmat sebagai guru di pelbagai peringkat, ketua MUIS, zamil kanan ISEAS dan penulis tamu di JBMNUS. Sebagai penulis, minat utamanya menulis esei ehwal semasa. Kini sebagai pesara, Maarof menulis cerpen dan sajak. Karyanya pernah menang Hadiah Persuratan (cerpen dan esei) dan Anugerah Pena Emas. Beberapa bukunya juga telah diterbitkan.


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial