“Waad” Pencetus Konsep Daulat dan Derhaka

“Waad” Pencetus Konsep Daulat dan Derhaka

Sebelum kemasukan Islam ke Nusantara, alam pentadbiran Melayu telah dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu-Buddha yang meletakkan kedudukan raja sebagai Tuhan atau Deva. Raja dalam konteks ini telah diumpamakan sebagai ketua yang tertinggi kerana dipercayai berasal daripada keturunan deva atau devi. Golongan raja telah menduduki hierarki yang teratas berasaskan kepada konsep “Devaraja” iaitu raja dianggap sebagai bayangan dewa Vishnu dan dewa Siva.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1989:141) kedudukan raja sebagai “Devaraja” bukan sahaja ditarafkan sebagai ketua dalam institusi pentadbiran malah berperanan juga sebagai ketua kepada dewa-dewa Hindu dan mempunyai kewibawaan untuk menjaga hubungan antara satu sama lain. Raja yang mempunyai kedudukan sebagai “Devaraja” disebut “god king” dan “god kingship” yang sangat berkuasa di seluruh alam (Herman Kulke, 1978:1-4).

Konsep Devaraja

Konsep “Devaraja” dalam konteks ini telah diterima pakai oleh penganut ajaran Hindu dan sah dari kaca mata kepercayaan Hindu. Sewaktu zaman pemerintahan Hindu, seseorang raja dipercayai mempunyai “sakral” iaitu bersifat luar biasa dan mempunyai unsur-unsur magis yang boleh mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang raja yang suci, di samping memiliki “shakti” iaitu kekuatan, kepahlawanan, keberanian dan kemahiran luar biasa. Keistimewaan ini diperolehi melalui “samadhi” iaitu pertapaan dan pemujaan alat senjata kepunyaan raja.

Walau bagaimanapun konsep kepercayaan yang berasaskan raja sebagai “Devaraja” telah berubah dalam sistem pentadbiran Melayu setelah menerima kemasukan Islam secara tidak langsung. Konsep kepercayaan terhadap “Devaraja” secara perlahan-lahan telah diubah kepada raja sebagai wakil Allah di muka bumi dan memegang amanat untuk menjalankan urusan pentadbiran secara Islam.

Begitu juga dengan konsep sakral dan shakti telah ditukarkan kepada konsep daulat dan derhaka iaitu bermula dengan waad antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun dalam Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu telah mengangkat raja sebagai wakil Tuhan yang berdaulat mengikut persepsi dan pemikiran masyarakat Melayu.

Berdasarkan Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu, sewaktu peristiwa perjanjian ini berlangsung, Seri Teri Buana iaitu raja negeri Palembang berduka kerana segan menyuarakan hasratnya untuk memperisterikan anak Demang Lebar Daun, Raden Ratna Cendera Puri. Walaupun baginda sebelum ini telah beberapa kali beristeri tetapi wanita yang dikahwininya telah diserang penyakit “kedal” iaitu sejenis penyakit kulit sebaik sahaja beradu semalaman.

Kewujudan pengkelasan dua golongan pemerintah dan diperintah seperti yang dinyatakan bermula daripada tradisi kepercayaan dan kesetiaan (waad) antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. Kepercayaan terhadap konsep ini telah menarik perhatian para sarjana seperti R.O Winstedt, R. J Wilkinson, Ali Ahmad, Noriah Taslim dan ramai lagi bersependapat bahawa waad membentuk kerangka atau tulang belakang keseluruhan penulisan Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu (2013: 29-10).

Konsep Bersultan dan Berhamba

Waad juga mewujudkan konsep bersultan dan berhamba dalam masyarakat Melayu beraja yang sekali gus membentuk konsep pemimpin-pengikut dalam pengertian pada zaman sekarang. Jika diperhalusi, perjanjian ini telah mengikat kedua-dua belah pihak khususnya pihak Demang Lebar Daun (hamba rakyat) untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh mengakibatkan ‘derhaka’. Manakala, Seri Teri Buana pula mewakili Raja perlu bijak memainkan peranan sebagai pemerintah dan menunjukkan sifat yang baik kepada masyarakat. Perlakuan seorang raja perlu diseimbangkan dengan keperibadian dirinya sebagai seorang ketua pemimpin yang amat dihormati oleh rakyatnya. Begitu juga halnya dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat keseluruhannya perlu sedia mengikut titah dan memperhambakan diri kepada raja.

Seandainya didapati kedua-dua pihak iaitu raja atau rakyat telah melanggar waad seperti raja bertindak zalim dan rakyat menderhaka, maka kedua-dua pihak tersebut akan menerima balasan seperti mana telah dimeterai bahawa rakyat akan “dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah kaki ke atas” dan pihak raja pula akan menerima akibat dibinasakan Allah negeri dan takhta kerajaannya. Berdasarkan perjanjian ini, ternyata ketaatan rakyat kepada raja dan sikap adil raja kepada rakyat merupakan suatu aturan yang dituntut dalam sistem pemerintahan supaya dapat menjaga hubungan dan kebajikan antara satu sama lain.

Binaan Tembok

Menurut R. J Wilkinson (1932: 81), perjanjian atau waad yang dinyatakan dalam Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu membuktikan bahawa pemerintahan kerajaan Melayu lama tidak bersifat monarki mutlak. Hal ini bermaksud pihak raja dan rakyat mempunyai hak kebebasan yang teratur kerana mereka tidak boleh membuat sesuatu perkara sesuka hati. Umpamanya, seseorang raja telah dibataskan supaya tidak bertindak menjatuhkan hukuman sesuka hati sebelum diperiksa kebenarannya, sama juga halnya dengan rakyat yang perlu mematuhi segala perintah raja selagi perintah tersebut tidak mencabuli hak mereka (Josselin de Jong, 1965: 19-20).

Oleh yang demikian, dapat dijelaskan bahawa waad ialah salah satu cara untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan dalam negeri serta memupuk sifat kepimpinan seorang raja dan sifat taat setia rakyat kepada raja.

Selain daripada peristiwa persetiaan waad, terdapat juga peristiwa yang berlaku akibat perlanggaran waad yang menunjukkan bahawa tingkah laku raja dan rakyat sangat mempengaruhi berlakunya sesuatu kejadian itu. Dalam pada itu, setelah bermulanya lafaz persetiaan waad, maka berlangsunglah corak pemerintahan di Alam Melayu berlandaskan konsep daulat dan derhaka mengikut kepercayaan dan pemikiran masyarakat Melayu melalui peredaran zaman.


Ingin menyokong usaha para penulis Singapura? Ayuh, layari UnggunCreative.com sekarang!


Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial