Zamrud Si Sultan

Aku tekad untuk melangkahkan kaki menjelajah ke bumi yang kaya dengan sejarah itu. Sejarah yang bertaut dengan sejarah bumi kelahiranku sendiri. Lama sudah aku tanamkan niat bahawa suatu saat nanti, aku hendak menikmati dengan rasa dan indera segenap keistimewaan yang sering disebut-sebut ramai. Tidak dapat tidak, bagi tujuan menyingkap keindahan tamadun yang terbina di bumi itu, ada tiga aspek penting iaitu bahasa, pemikiran dan kebudayaan. Teristimewa, Rasulullah S.A.W menyebutkan tentang pembukaan salah satu daripada kotanya oleh sebaik-baik raja yang disokong dan dibantu sebaik-baik tentera. Tidak sabar untuk menyaksikan tapak-tapak bagi kerajaan Turki Uthmaniyyah, dari seni binaanya yang terzahir hinggalah memecahkan rahsia di balik simbol menemukan sisi batin sebagai dasar yang mencetuskan luaran. Aku fikir pasti panjang sekali daftar nama-nama para pemimpin yang hebat dan adil, para ulama’ serta tokoh-tokoh ilmuwan yang lahir.

Turki. 13 April 2015. Hari Isnin. Selamat tiba di bumi Turki. Dari Lapangan Terbang Esenboga Ankara, aku terus menuju ke tempat penginapan. Hotel Etop Mola amat berdekatan dengan sebuah stesen metro. Mudahlah untuk berpindah kota nanti. Sempat aku menziarahi makam Maulana Jalaluddin Rumi di Konya dan juga ke Perpustakaan Nasional sekembalinya di Ankara.

16 April 2015. Hari Khamis yang cukup indah dengan sinaran mentari memancar di balik awanan yang berombak di langit. Kuperhatikan beburung yang hinggap di sebuah arca besi yang amat tinggi tiba-tiba kesemuanya, tinggi dan jauh. Berhampiran, tiga ekor kucing beraneka warna pula kelihatan sibuk di jalanan sepertinya sedang bersungguh-sungguh meninggalkan jarak yang sejauh-jauhnya dari si pengejar. Bunga-bunga tulip begitu meriah menyambut pengunjung dataran bersebelahan sebuah bangunan yang merupakan destinasiku yang ingin dituju. Ada yang merah, oren, kuning dan juga ungu.

Saat kaki kananku memijak permaidani kelabu nan tebal, terasa sejuknya alat penghawa dingin dan tentu sekali rak-rak buku baris demi baris kini terzahir di depan mataku. Aku berjalan sambil mengamati tajuk-tajuk buku yang tersusun rapi. Jari-jemari ini hanya menunjuk pada judul-judul yang termasuk senarai kegemaran dan cuma mengambil serta membelek beberapa naskhah buku berkenaan sejarah Turki Uthmaniyyah dalam kaitannya dengan Aceh ataupun negeri-negeri di kawasan kita ini serta manuskrip-manuskrip ataupun teks awal dalam hubungannya dengan ilmu tentang jiwa manusia, istilahnya ilmu al-nafs, dan juga sains biologi terutamanya fisiologi. Buku yang kulitnya berwarna merah menarik perhatianku. Mauduknya berkisar bahasa dan sifat-sifat serta fakulti-fakulti yang ada pada diri setiap manusia. Nutq adalah… Booooooommmmm!!!

Aku membuka kedua-dua mataku, perlahan-lahan. Terasa sakit yang amat di kepala. Waktu itu, aku berada di sebuah hospital di Turki. Diringkaskan cerita, meskipun aku selamat kembali ke tanah airku, diri ini seakan-akan terkapai-kapai di tengah lautan. Tiada pulau kelihatan. Hanya berpaut pada sebatang kayu buat alat pelampung. Tiga bulan telah berlalu, ingatanku masih belum pulih sepenuhnya. Sebuah pencarian mestilah diusahakan dengan penuh kesungguhan dan keazaman yang teguh, tiada mengalami perubahan. Ihsan, cuba kau bayangkan. Setiap saat kita pasti berbahasa. Pelbagai bentuk dan cara. Pertuturan. Penulisan. Pendengaran. Munajat dan doa. Zikir. Solat. Membaca. Al-Quran. Hadith Nabi S.A.W. Ada yang hanya dibisikkan di hati, ada yang diungkapkan melalui lisan dan ada juga yang dizahirkan dalam bentuk perkataan melalui karya penulisan.

Bicara hati. Bicara lisan, lidah. Kedua-dua cara ini memerlukan kata. Akal mengikat makna dan menzahirkan pemikirannya dalam bentuk patah-patah perkataan. Satu kata dikaitkan dengan kata lainnya, lahirlah sebuah makna atau perolehan yang baru. Kita mendengar bunyi dan kita juga mendengar perkataan. Apakah perbezaan di antara bunyi dengan perkataan? Bunyi boleh membawa tanda atau alamat kepada sesuatu. Siren. Loceng. Sebaliknya, perkataan mengandungi makna untuk difahami. Difahami makhluk Allah yang namanya manusia, insan. Haiwan mengeluarkan bunyian. Kucing mengiau, anjing menyalak, kambing mengembek, burung berkicau dan singa mengaum. Mungkinkah dengan aku mendalami bahasa, ingatanku akan kembali? Sekejap, tentang burung dan kucing. Apakah ada sebarang hubungan dengan pengalamanku di Turki?

Apa yang mereka katakan, jujur sukar untukku menerima selagi mana aku masih belum mampu mengingati pengalaman indah mahupun pahit yang pernah aku lalui. Kenangan dan kisah di balik tabir pertemuanku dengan setiap seorang daripada mereka turut lenyap. Aku berharap semoga dapatlah diriku ini menerima kembali sejarah yang paling penting dalam perjalanan hidupku. Sekurang-kurangnya, yang terpenting dan peristiwa-peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam pada diriku.

Proses mengingati kembali siapa diriku ini serta meraih semangat untuk bangkit demi menjalani sisa-modal waktu bakal ditempuhi dengan dua pendekatan. Pertama, usaha menggali yang lama melalui gambar-gambar serta meneliti setiap penulisanku sama ada bentuk akademik, santai mahupun cerpen yang pernah dihasilkan dahulu. Ya, benar. Kemajuan teknologi memudahkan penggalian ini kerana aku boleh mendapat akses di media sosial. Akan tetapi, tidak cukup sekadar itu, tahap kedua adalah memulakan sesuatu yang baharu. Bermonolog dalam menafsirkan serta menembusi tembok-tembok kata menjejaki makna, bahasa dalaman yang mencetuskan suatu karya penulisan. Diriku ini sebenarnya siapa?

“Mithaq adalah pokok dan punca bagi faham diin dan merupakan dasar asasi bagi agamaku. Facebook 6 Julai 2012. Berikut sedikit huraiannya. Mithaq, di sini merujuk kepada perjanjian antara tiap-tiap diri dengan Sang Pencipta. Setiap dari kita kenal diri sebagai hamba-Nya serta kenal juga diri-diri yang akrab dengan kita. Ditanya-Nya: ‘Alastu Birabbikum: Bukankah Aku Tuhan kamu?’ Dijawab olehku dan kita semua: ‘Balaa Shahidnaa: Ya, kami menyaksikan!’ Apa sahaja ibadah yang dikerjakan di dunia ini mengingatkan kita tentang perjanjian asali tersebut. Cuba renungkan tiga kata kunci ini: mithaq, insan dan bahasa. Di alam Alastu, jawapan setiap insan yakni ‘Balaa Shahidnaa’ adalah bahasa diri yang terulung. Nyata sekali terdapat kekudusan pada bahasa, terutama sekali bahasa Arab, bahasa Kalamullah, bahasa Kitabullah. Melalui bahasa, insan sentiasa terhubung dengan perjanjian dengan Tuhan-Nya. Lebih tinggi maknanya, lebih tinggilah nilainya. Martabat sesuatu bahasa ditinggikan disebabkan isi yang dikandungkannya. Pasti apa yang didengari dan dibaca ingin juga difahami. Surat dari seseorang yang istimewa, akan diusahakan agar faham. Tanpa faham bagaimana mungkin dapat diberikan balasan ataupun jawapan yang sewajarnya? Bahasa, insan dan mithaq.”

“Ilmu dan maklumat adalah dua perkara yang berbeza. Facebook 9 Oktober 2013. Berikut sedikit huraiannya. Seorang murid yang membaca ‘sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lainnya’ dan mampu menjawab jika ditanya ‘Siapakah sebaik-baik manusia?’ serta berhenti di tahap tersebut tiadalah sama dengan murid yang kedua. Murid yang seorang lagi tahu ayat tersebut, aktif dalam memahamkan dirinya akan kepentingan menjadi sebaik-baik manusia serta memikirkan manfaat apakah yang dirinya mampu kongsikan dan sumbangkan lalu tekad melaksanakannya dengan sesempurna mungkin. Tiga kata kunci: ilmu, makna dan amal. Diri yang berakal lagi aktif dalam memikirkan, merenungkan, menimbangkan, menyusun pemikiran dan membuat kesimpulan bagi sesuatu perkara hinggalah tiba pada makna yang dicari-cari itu. Dengan rahmat-Nya, makna yang dipohonkan, tiba pada diri. Ilmu itu disusuli pula dengan amal yang moga-moga bersih zahir-batin hinggalah pengalaman beramal itu meninggalkan kesan transformatif bagi si diri. Ilmu, makna, amal.”

“Kebahagiaan juga ada hairaki, kemuncaknya adalah melihat wajah-Nya di akhirat kelak. Facebook 18 September 2014. Berikut sedikit huraiannya. Di dalam kitab panduan kita, Hari Akhir juga disebut sebagai Yaum al-Hasrah ertinya Hari Penyesalan. Menyesal kerana tika hidup di dunia ini berada dalam kelalaian, tiada menginsafi amal perbuatan sama ada selari dengan penyaksian dan perjanjian yang telah dibuat, ataupun sebaliknya. Menyesal kerana tika hidup di dunia ini tiada dicari makna kebahagiaan serta kenalpasti hairakinya. Menyesal kerana tika hidup di dunia ini tidak bersungguh dalam mempersiapkan diri untuk berjumpa dengan kekasih-kekasih yang diharap dapat bertemu di sana nanti. Menyesal kerana tiada yakin akan pertemuan dengan-Nya dengan kerugian dan penyesalan yang amat dahsyat. Tiga kata kunci: yakin, perjanjian dan kebahagiaan.”

Inilah kisah Zamrud si Sultan. Kezamrudan pada mata pena dan kebeningan serta kesucian hati sebagai sultan yang adil bagi kerajaan diri. Kezamrudan terselindung di sebalik dakwat. Kesultanan ada pada penulis, memerintah namun tunduk kepada Sultan segala sultan-sultan. Begitulah pedekatan kedua yang aku maksudkan di awal tadi. Menggali perkongsian yang pernah ditulis di laman Facebook, dihuraikan sedikit lalu dihidangkan sebagai sebuah monolog dengan teknik audio-visual yang memang disengajakan simple sahaja hasilnya. Kemudian, aku memuatnaikkan karya digital bersiri tersebut ke laman Youtube. Suara, kata dan makna. Moga-moga dengan perkongsian dan usaha kecilku ini, Allah membantuku dan memberi petunjuk kepadaku tentang siapakah diriku yang sebenar. Mudah-mudahan tiada aspek yang melampaui batas di dalamnya kerana aku amat mengkagumi Rasulullah SAW, diutus dengan jawaami’ul kalim. Sedikit bicara namun mendalam lagi luas maknanya. Tidak ada yang sia-sia. Tidak ada yang tiada memberi manfaat.

Insan adalah hayawan al-naatiq. Makhluk ciptaan-Nya yang diberi bentuk yang sebaik-baiknya dan yang hidup lagi berakal, berfikir, menyusun perkataan dalam corak yang bermakna. Istilah nutq merujuk kepada fakulti yang dikurniakan-Nya hanya kepada insan, Bani Adam. Sekejap, nutq? Keratan itu! Aku mesti cari keratan akhbar itu!

Pada 16 April 2015, 12.35 tengah hari waktu tempatan, satu gempa bumi yang kuat telah melanda bahagian timur Turki. Gempa yang berukuran 7.3 skala richter itu telah mengorbankan 37 nyawa dan mengakibatkan kecederaan kira-kira 93 orang. Antara kawasan yang turut terjejas adalah Ankara. Seorang warganegara tempatan mengalami kecederaan ekoran gegaran tersebut. Muhammad Ihsan Bin Mukhlis, 27 tahun, yang berada di Turki untuk bercuti telah dijumpai di bawah timbunan rak-rak serta buku-buku di Perpustakaan Nasional, Ankara. Keadaannya stabil namun doktor mengesahkan bahawa beliau berkemungkinan mengalami hilang ingatan setelah episod terhempap rak-rak buku semasa percutiannya di sana. Berita Harian, 17 April 2015.

Aku sedang memegang buku berkulit merah berkenaan daya nutq yang ada pada insan. Kucing dan burung yang seakan tidak keruan itu sebenarnya tahu apa yang bakal berlaku. Alam Alastu, faham ilmu dan faham kebahagiaan adalah mutiara-mutiara berharga yang dihadiahkan-Nya beberapa tahun yang lalu. Syukur alhamdulillah, tempat-tempat dan insan-insan yang banyak membimbing walaupun masih belum begitu jelas, sudah dapatku membayangkan wajah, suara dan intipati perkongsian serta syarahan mereka.

Cerpen… Keabadian Nikmat! Di manakah cerpen tersebut? Cuba dicari di laman Google.

Kali pertamaku ke sana, tidak dapat ke perpustakaan kerana di luar waktu pejabat. Waktu itu hujan rintik-rintik. Kali kedua tidak berkesempatan ke bilik manuskrip. Selang beberapa tahun, bukan hanya kawasan kampus, perpustakaan serta bilik manuskrip turut dikunjungi dan dimanfaatkan khazanah yang tersedia untuk dikaji para penyelidik, guru dan mahasiswa. Bukan itu sahaja, malah institut antarabangsa itu kini memainkan peranannya selari dengan tujuannya diasaskan. Tarikh 4 Oktober 2019 merupakan kenangan terindah kerana direzkikan-Nya berada di Dewan Utama mendengarkan syarahan mengenai buku terbarunya berkaitan akidah. Institut tersebut sudah pun dikembalikan kepada Pengasas sekaligus Direktor pertamanya. Dengan bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa ilmiah, para pelajar peringkat pos-siswazah dari serata dunia mendaftarkan diri. Kembali memainkan lakonan lama, meninggikan agama dan maruah bangsa. Di manakah tempat terindah? (Cerpen ‘Keabadian Nikmat’).

Alhamdulillah Ya Allah… visi, misi dan aspirasiku yang aku tetapkan lapan tahun yang lalu, kian nyata di pandangan akalku serta gerak hatiku ini membisikkan jalan yang mengarahkan diriku kepada peranan dan tanggungjawab yang harus digalas. Monolog Zamrud Si Sultan bakal diterbitkan dua minggu sekali di samping diri ini menjadi siswa buat kali kedua.

Teknologi, cerpen dan makna.
Firasat, kerohanian dan komunikasi.
Salah satu karamah Sayyidina Umar al-Khattab R.A adalah komunikasi jarak jauhnya dengan ketua pasukan, menyampaikan keberadaan dan posisi musuh.

Kini, jika ada yang bertanya ‘Ada apa dengan bahasa?’ dapatlah dikenalpasti istilah-istilah kuncinya dalam menghuraikan dan menghubungkaitkan. Nutq, mithaq, insan.

Sedarlah aku bahawa dalam kecenderungan mengkaji-memahami hakikat diri ini ataupun jawapan kepada ‘Siapakah diriku ini?’ boleh diringkaskan kepada sebuah tajuk:
“Zamrud Si Sultan: Nutq sebagai Penghubung Insan dan Al-Khaaliq”


TENTANG PENULIS:
Siti Aisyah Jamil berkelulusan Sarjana Muda dalam Sains Biologi. Kini, beliau seorang pendidik separuh masa. Gemar mengkaji, berbincang dan memerhati.


Karya ini menerima Hadiah Utama untuk Sayembara Cerpen Nyala bulan Mei 2018 yang bertemakan “Surat. Diari. Monolog.”


 

Sila kongsi dengan rakan-rakan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *