Mega Karya Cinta

Mega Karya Cinta

Akan ku tenun awan gemawan
Menjadi selendang menudungi rambutmu

~ Usman Awang

LANGIT menerang, semakin menyilau garang. Semestinya ia merupakan kesepakatan yang dipersetujui mentari. Bumi kian terbakar secara literal, bergilir-gilir antara kawasan umpama sengaja beradu daya tahan lantas menyerah saat mentari sengaja merenung garang, menyoal siapa yang lebih hebat. Sekalian itu, ia memangsakan makhluk Tuhan yang lain. Ah! Karma apakah ini sehingga semuanya terkait sama?

Mungkin dalangnya tiada lain kecuali si langit juga. Musim kemarau yang meracun kulit-kulit manusia bukan salahnya Sang Suria, juga bukan rimbunnya air di atas maka terciptanya tengkujuh. Bukan salah Pak Kiyai yang kurang usaha, apatah lagi salah Tuan Menteri yang telat taubatnya.

Semuanya salah langit yang tidak mahu berbaik dengan awan.

Begitulah hari itu, dan hari-hari sebelumnya. Langit sengaja bermusuh dengan gemawan yang akhirnya mengecewakan seluruh isi alam. Untunglah anggota yang bernama mulut hanya dikurniakan pada manusia, maka manusia sahajalah yang melahirkan kekesalan. Saling bertanya, adakah semuanya salah mereka? Namun tiada yang mampu menjawab.

Dalam meniti hari-hari kering berbahang kecewa, seorang gadis bernama Tia telah menghabiskan masa dengan melakukan satu perkara. Perkara yang membuang masa, jika dipandang oleh mata-mata yang tidak mengerti. Namun itu sahaja yang mampu dilakukannya bagi memujuk rawan hati. Dia merasa bertanggungjawab untuk mengusahakan sesuatu, demi penduduk bumi di sekitarnya secara am, dan seseorang yang istimewa secara khusus. Agar pahala mereka dikongsi sama, bisik jiwanya.

Tia mundar-mandir di dalam kamar. Lewat jendela, ada terik yang cuba mendobrak teduhan miliknya. Selama berhari-hari ini, Tia rasa tidak lagi bertenaga. Mungkin kerana segala kudratnya telah dihabiskan untuk pekerjaan yang satu itu. Kini, dia hanya ingin menunggu.

Tepat sembilan kali dia berulang-alik dari jendela ke pintu kamar, datang gumpalan awan yang berarak ria. Tia berlari sepantas boleh, lalu siku diletakkan pada kisi jendela. Dia menongkat dagu. Oh! Bayangkan sahaja tingkah seorang puteri raja yang ceria mendengar suara kekasih mendendang rayu di luar istana, itulah gerak langkah Tia. Seraya itu, seukir senyuman lakri di bibir. Maka segeralah pertanyaan terlepas daripada bibir mulusnya, khas ditujukan pada gemawan “Sudah kau selesaikan tugasmu hari ini?”

Awan membalas dengan simpul senyuman yang hanya mampu dimengerti oleh gadis itu sahaja. “Istirehatlah,” balas Tia. “Esok akan kuhantarkan kau lagi kepada mereka, khususnya dia.” Awan yang memahami segera akur lalu bersembunyi, menabung tenaga untuk hari esok. Tia menghantar awan miliknya dengan pandangan paling berharga, yang juga boleh ditafsirkan sebagai satu pandangan terhutang budi. Mungkin awan-awan itu juga memaknakan senyuman sebentar tadi dengan makna yang sama.

Ekor matanya terhenti apabila telefon tangan miliknya berlagu. Di sudut hati yang paling dalam, Tia mengagak bahawa panggilan itu daripada Andy. Dengan sebab itu, lariannya ke arah telefon tangan itu juga ditambah dengan senyuman.

Serasa mahu gugur jantungnya apabila tekaan menjadi benar kali ini. Sejak bila pula dia mampu menilik? Berulang kali dibacanya, tidak dapat dinafikan bahawa ternyata kotak mesej diserikan dengan nama Andy pada layar. Maka makin panjang senyuman, makin berbunga hati gadis molek itu.

Aku mahukan selendangku kembali.- Andy

Sebongkah kejutan menghempap pundak Tia. Mulut, akal serta hatinya terkatup rapat. Perasaan tujuh saat setelah membaca pesanan itu sukar untuk diterjemahkan dengan kekata. Yang penting, kagetnya Tia hinggakan dia terjelopok ke lantai dengan seribu kebersalahan.

Rahsia dalam rahsia apakah yang harus ditanggungnya? Mengapa pula Andy mahukan selendang itu kembali? Kenapa hanya sekarang dia mahukannya kembali? Apa yang patut Tia lakukan? Seribu soalan terus menjengah minda Tia. Namun semuanya tidak mampu dijawab.

Imej selendang itu kembali menjengah ingatan. Serta-merta, raut Andy juga kembali menjelma. Andy yang perkasa, seorang lelaki yang sebenar lelaki. Kegagahannya yang hanya Tia seorang dapat memasti. Tidakkah gagah seorang lelaki berkasih dengan aksara?

Kerana aksara, mereka bertemu. Akhirnya keserasian mereka mengarah pada satu perasaan yang mampu dikongsi sama. Perasaan hadir tanpa diundang, yang kemudian diraikan melalui pandangan mata seribu makna. Cinta.

Pada suatu petang, Tia dapat duduk bersama Andy memandangkan kedai kopi moden kegemaran setiap pasangan bandar yang berkasih itu agak lengang. Andy masih khusyuk menarikan jemarinya dengan perkasa, maka Tia mengambil peluang untuk menyelimutkan suasana romantis pada ruang itu. Dia menghampiri Andy lalu membisikkan bait-bait puisi yang baru sahaja dihafalnya malam kelmarin. Puisi bertajuk ‘Kekasih’ oleh Usman Awang, pemuisi romantis Melayu.

Andy yang terdengar lantunan bait awal segera mematikan jemarinya. Entah kerana dia seorang lelaki yang menghargai puisi atau dia seorang lelaki yang menghormati Tia atau gabungan kedua-duanya menyentuh nubari yang paling dalam, maka dia panahkan mata tepat pada wajah Tia yang sedang berpuisi. Tia juga tidak undur. Sengaja nada bacaannya ditambah pesona, agar mata yang menentangnya terus terkesima. Lebih romantis apabila kedai kopi moden sedang melatarkan irama Besame Mucho yang sayup-sayup kedengaran. Ditambah mentari jingga sedang berpamitan di balik pintu kaca kedai itu. Oh! Apa lagi yang lebih indah bagi seorang pencinta?

Seusai puisi itu dibacakan, kedua-duanya bertukar senyuman. Oh! Itu secalit senyuman yang hanya dinikmati oleh orang yang sedang lemas dalam gelombang kasmaran. “Terima kasih,” ternyata Andy cuba untuk mematikan suasana bebunga pada waktu itu sepantas mungkin. Tia mencebik, sengaja memancing puji. Akhirnya Andy mengalah lalu dipujuk dengan ekor mata yang membelah. Serba salah Tia jadinya.

“Kau tahu,” Andy memulakan bicara. Tia mengesan ada teori baru yang ingin diungkapkan oleh lelaki perkasa itu, namun dibiarkan sahaja. Sememangnya itu adalah permulaan kata bagi setiap teori dan falsafah yang memekar daripada bibir pencintanya.

“Usman Awang seorang pemuisi tipikal, tidak lebih daripada itu.” Lancang Andy menuturkan kata. Tia agak terkejut dengan keberanian Andy. Tidak percaya seorang lelaki pencinta puisi mampu mengatakan sedemikian.

“Apa maksudmu? Bagaimana kau definisikan perkataan tipikal?” Tia langsung bertanya. Sememangnya Andy mahu memancing Tia, sebagaimana yang dilakukan oleh gadis itu pada awal pertemuan mereka. Tia juga sememangnya mudah memagut pancingan lelaki perkasa itu. Ah! Permainan cinta semestinya begini. Jika tidak, tawarlah memori.

“Pemuisi tipikal, seorang penutur kata yang hanya memaniskan bibir, tetapi tiada apa yang dikotakan. Sama ada dia sekadar menenun kekata indah tanpa makna, atau kata-katanya hanya lahir untuk menggula-gulakan jiwa yang mendengar sedangkan dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa.” Tia semakin tertarik dengan kemampuan Andy menyusun kekata seberani itu. “Kau rasa dia telah menghadirkan kerongsang, pakaian malam, selendang dan lampu daripada unsur alam sepertimana yang dikatakan? Jika ya, di mana buktinya semua hal yang ditawarkan oleh lelaki itu sekiranya dia benar-benar menyayangi kekasihnya?”

Tia cuba memberanikan diri untuk menjawab. Dia harus bijak menongkah kata kalau mahu berbicara dengan lelaki di hadapannya ini. “Kau sendiri yang mengatakan, objek-objek itu ialah perkara yang ditawarkan. Maka terjawablah: semua itu cuma tawaran. Bagi pengetahuanmu yang mungkin terlupa, tawaran tidak semestinya dihadirkan. Malah di akhir bait, penyair menyeru agar menghitung mimpi untuk membina sebuah syurga ilusi. Ilusi, Andy! Janganlah diberatkan tuduhanmu pada penyair itu.”

“Dia pasti seorang yang beruntung. Mungkin kekasihnya seorang realis sepertimu, Tia?” Walaupun ada benarnya kekata Andy, ia tetap terasa pedih juga di telinga Tia. Entah mengapa, dia merasa menyesal kerana membacakan puisi itu kepada kekasihnya.

“Itu merupakan satu tuduhan atasku. Baiklah, jika sedemikian, apa yang mampu kau tawarkan padaku? Kau sendiri tidak mampu mencipta puisi sehebat itu!” Ada nada marah yang dilahirkan oleh Tia. Andy tersenyum nakal. Usikannya kali ini ternyata ada silapnya. Tia yang sudah letih bekerja seharian pasti tidak bermaya untuk bersenda hatta di hadapannya ialah orang yang disayangi.

Andy hanya tersenyum kecil. Tiba-tiba, dia merenggangkan sandarnya lalu mendekati wajah Tia. “Kau yang sudah mengenaliku pasti tahu bahawa aku bukan penyair tipikal sebegitu,” sengaja dia bisikkan begitu pada telinga Tia. Moga-moga tersentuh hati gadis milik hatinya.

Ternyata pujukan itu tidak menjadi. Tia masih mencuka dan Andy segera mencari cara yang terbaik yang boleh difikirkan.

Andy menarik nafas lalu dilontarkan kekata, “Beri aku tempoh. Akan aku hadirkan sehelai selendang daripada gemawan.”

Hakikatnya, Tia sudah terpujuk dengan kekusutan rupa Andy yang serba salah kerana mengecilkan hatinya. Hati perempuan memang pelik. Hanya itu sahaja sudah cukup menggembirakan. Tentang tawaran Andy, Tia tidak mahu ketawa, jauh sekali memperkecilkan. Dia tahu bahawa Andy seorang lelaki yang luar biasa, pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan atau dibuktikan. Dengan itu, Tia berani mempertaruhkan bahagianya pada Andy, lelaki yang memungkinkan segalanya.

“Mengapa selendang? Aku mahukan hamparan untuk katilku terlebih dahulu,” sengaja Tia menyakat. Reaksi daripada Andy sengaja dinantikan. “Jika kau benar mahu membukti.”

Andy menyimpan senyum. Lubuk jiwanya sudah bersorak sorai. Itu ialah kemenangan buat dirinya yang hampir kalah pada rajuk Tia sebentar tadi. “Kau tahu mengapa aku dahulukan selendang? Kerana aku mahu melihat sendiri hasil seniku dipadankan dengan hasil seni Tuhan yang paling indah,” Ah! Gombal, detik hati Tia.

Maka petang itu menjadi memori yang melucukan buat pasangan itu. Sengaja Tia senyapkan perkara itu buat beberapa waktu. Untuk dia mengulang lagi, dia seolah-olah menggenggam harapan. Mengulang tentang hal itu juga memperkukuhkan tuduhan Andy bahawa Tia seorang realis kerana memaksa untuk menghadirkan usikan manja lelaki itu. Bukankah dia sendiri yang mengingatkan Andy tentang syurga ilusi yang dibayangkan oleh Usman Awang? Jika dia menuntut selendang itu, pasti dia akan ditertawakan oleh Andy seperti petang itu. Ah! Memalukan.

Andy juga nampaknya terus diam. Mungkin benar niatnya hanya sengaja mengusik. Maka cerita berkenaan puisi Kekasih terus menyepi.

Hinggalah tiba pada suatu saat. Sekali lagi, kedai kopi moden itu jadi saksi. Andy menyerahkan sehelai selendang buat Tia. Hampir putus asa juga Tia bersoal tentang apakah maksud selendang itu. Mahu katakan ia sebagai galakan untuk Tia berhijab, Tia sememangnya sudah menunaikan kewajipan muslimah itu. Pada waktu itu, Tia sudah benar-benar melupakan tentang selendang tenunan gemawan yang dijanjikan Andy.

“Sudah aku katakan, aku bukan seorang penyair tipikal. Aku membukti apa yang pernah aku suratkan. Oh, dalam hal ini, bukan aku yang suratkan melainkan aku cuba mengotakan janji penyair lain. Bukankah itu bermakna aku lebih hebat?” Andy makin suka mengusik sejak pertemuan itu.
Tia kehabisan kata. Mahu memuji, mungkin pujian tidak layak untuk diserahkan kepada lelaki yang berjaya mendobrak realiti itu. Gadis itu juga semakin akur bahawa dia seorang realis kerana tidak pernah menyangka bahawa Andy mampu menghadirkan selendang daripada gemawan, khas untuk dirinya. Mahu sekali Tia bertanyakan bagaimana boleh gemawan itu ditenun sehingga menghasilkan sebuah selendang. Namun untuk bertanya lebih jauh, Tia tidak berani. Lelaki perkasa juga ada masa marahnya.

Maka selendang itu bukti cinta mereka berdua. Selendang itu ialah imej fizikal sebuah cinta. Betapa manisnya sebuah cinta jika ditransliterasikan kepada sesuatu imej, bisik hati mereka yang semakin serasi. Lebih manis lagi apabila selendang itu sememangnya diperbuat daripada gumpalan gemawan. Ah, istimewanya tidak terungkap.

Namun betapa sedihnya apabila segala memori yang dibina serta diperkuatkan dengan tenunan selendang itu tidak menemukan pengakhiran yang sewajarnya. Tidak seperti cerita yang sentiasa dibingkiskan dalam dongeng pari-pari, cerita cinta Tia dan Andy berselang ketika mereka dalam proses mengecap percaya satu sama lain. Maka mereka juga, seperti sebilangan besar pasangan di dunia, memutuskan untuk berkelana sendiri dalam mencari bahagia yang tidak mampu ditawarkan masing-masing.

Namun Tia kekal menyimpan selendang itu. Sebagai tanda bahawa dia pernah bercinta walau hanya berminggu-minggu sahaja tingkat usianya. Selendang itu terlalu bernilai baginya. Hasil tangan Andy itu ialah harapan bahawa suatu hari nanti, selendang itu juga dapat menudungi kepala mereka berdua ketika berlari dari rintik problema lalu bertemulah teduhan bahagia. Oh! Bunga harapan terus memekar dalam nubarinya.

Pada saat seluruh isi alam merintih ketiadaan awan dan hujan yang meredupkan bumi sejak beberapa ketika ini, Tia damai dalam pelukan selendang Andy. Selendang yang tercipta hasil tenunan awan.
Namun salah langit yang tidak mahu berbaik dengan awan.

Alangkah pilu hati Tia apabila selendang yang menyulam seribu harapan itu terpaksa dikorbankan apabila musim kemarau tidak mahu mengalah. Pada hari itu, Tia teringat akan Andy. Pasti lelaki itu sedang lara dibungkus terik Suria, seperti khalifah-khalifah Tuhan yang lain. Tia risau akan kesejahteraan lelaki perkasa itu. Maka dengan berat hati dan airmata yang berlinang, dia melerai setiap utas benang kekapas yang ada pada selendang itu. Dia punya satu tujuan.

Benang-benang yang kembali menjadi kelompok gemawan setelah diurai, tidak tumpah samanya seperti gula kapas. Dengan kesungguhan, dapatlah Tia segumpal awan yang cukup untuk memayungi seorang hamba Tuhan. Tia berpuas hati.

Maka sejak saat itu, dia kerap mengirim gumpalan awan, yang semakin hari semakin menurut perintah, kepada kasih pertamanya. Gemawan itu juga yang bertanggungjawab membalas jasa Tia yang mengembalikan penciptaannya dengan mengutus khabar Andy.

Namun ketika ini, dia sungguh buntu. Apa yang harus dikatakan kepada Andy saat lelaki itu mahukan selendang itu semula? Untuk apa sehingga itu mahunya? Bagaimana jika Andy tahu bahawa setiap hari, Tia telah mengembalikan selendang itu kepadanya? Dan jika ditenun semula gemawan itu, bagaimana pula nasib Andy mengharungi hari-hari disimbah cahaya? Ah! Tia buntu.

Tiba-tiba, Tia tersenyum sendiri. Ternyata Andy masih mengetahui bahawa selendang sebagai tanda harapan itu masih dalam simpanannya, sementara Andy yang menginginkannya kembali menunjukkan lelaki itu masih ingat tentang selendang itu. Atau mungkin Andy sengaja menyebut tentang selendang itu kembali, agar Tia sedar tentang tujuan utama penciptaan selendang itu oleh Andy: agar mereka saling melindungi walaupun perantaranya tidak dapat dicapai tangan.


TENTANG PENULIS:

Siti Aisyah Binte Mohamed Salim juga dikenali dengan nama pena, Chempaka Aizim. Beliau telah meraih ijazah SarjanaMuda dengan Kepujian (Cemerlang) (2010) dan Sarjana Persuratan (2014) dalam jurusan Persuratan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang lebih selesa menulis dengan gaya eksperimental telah menggabungkan unsur agama, budaya dan isu-isu semasa dalam kebanyakan karyanya. Cerpen-cerpennya pernah memenangi beberapa anugerah seperti ‘Anugerah Noktah Putih’ (2006), ‘Anugerah Persuratan’ kategori cerpen (2013), dan ‘Hadiah Penyebutan Berhormat (2013) dan tempat ketiga (2015) dalam Anugerah Pena Emas’. Pada tahun 2015, beliau dilantik sebagai Duta Bahasa oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura sempena kempen Bulan Bahasa. Pada tahun berikutnya pula, cerpennya yang berjudul ‘Per(anti) Mimpi 1.0’ telah diadaptasi ke filem bertajuk ‘Utter 2016: One Hour to Daylight’ sempena Pesta Penulis Singapura 2016.


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial