Bengkel Kesusasteraan Mendekati Antologi Karya Pahlawan Panggung

Bengkel Kesusasteraan Mendekati Antologi Karya Pahlawan Panggung

Menghayati dan mengenali karya-karya dalam teks sastera GCE peringkat O

Sepanjang bulan Februari hingga Mac 2019, pihak Unggun Creative telah berkerjasama dengan Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD) dari Kementerian Pendidikan Singapura untuk menganjurkan empat sesi berasingan bagi para guru dan pelajar yang mengambil subjek Sastera Melayu pada peringkat O. Keempat-empat sesi ini turut disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan.

Sesi pertama untuk para guru dikendalikan oleh Cikgu Muslim Hanafiah yang membentangkan kaedah pengajaran yang sesuai untuk para pelajar menjalin keakraban dengan puisi, cerpen dan prosa tradisional dalam antologi karya Pahlawan Panggung.

Puan Rasiah Halil dan Dr Noridah Kamari pula menyusuli seminggu selepas itu dengan mengendalikan sesi kedua bagi para guru. Puan Rasiah yang menulis puisi, “Kepada Pohon Tak Bernama”, turut menceritakan kisah dan pengalaman beliau sewaktu menghasilkan rangkaian kata-kata itu di Universiti Nasional Singapura.

Dr Noridah, juga antara penulis yang terpilih untuk pembukuan antologi ini dengan sajak beliau, “Manuskrip”, mengimbau kembali denai kenangan sewaktu bertempuh dengan pelbagai dugaan untuk mengkaji manuskrip Melayu di negara-negara Barat.

Sesi ketiga yang dikhaskan bagi para pelajar pula menyaksikan empat penulis Singapura yang diundang untuk menyampaikan secebis latar dan pemikiran di sebalik penghasilan cerpen-cerpen mereka.

Cikgu Suratman Markasan, dengan karya beliau “Pahlawan Panggung”, Encik Jamal Ismail yang menulis cerpen “Nyanyuk”, Cikgu Maimunah Kemat yang tampil dengan cerita “Kudrat” dan akhir sekali Encik Farihan Bahron dengan cerpennya, “Bintang Dua Belas” menggunakan kesempatan ini untuk berkongsi sudut pandangan masing-masing bersama para pelajar.

Sesi yang keempat dan terakhir pula dikendalikan oleh Cikgu Muslim Hanafiah, juga selaku penulis jemputan bagi Panduan Guru dan Panduan Pelajar untuk antologi ini. Selama dua jam, para pelajar didedahkan dengan pendekatan mengenali teks sastera melalui watak dan perwatakan, teknik plot, gaya bahasa dan lain-lain.

Dengan membaca serta memahami karya-karya yang dimuatkan dalam antologi karya Pahlawan Panggung ini, para pelajar berpeluang untuk menghargai karya sastera daripada konteks yang berbeza, bersikap terbuka dan menghargai perspektif yang berlainan tentang sesuatu isu.


Sila kongsi dengan rakan-rakan:
error

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial