Misteri, Mistik & Magis: 3M Yang Memagari Rumah Rekaan Di Atas Pentas Realiti

Misteri, Mistik & Magis: 3M Yang Memagari Rumah Rekaan Di Atas Pentas Realiti

Ulasan Tunjuk Langit oleh Farihan Bahron

Acap kali seusai menikmati sesebuah karya fiksyen yang berjaya mencetuskan katarsis, lantas memuaskan deria akal dan hati, kita terpanggil dan beriya-iya benar untuk berkongsikan pengalaman sedemikian bersama rakan-rakan sekeliling. Namun, selaku penerbit, pengatur huruf dan pereka kulit buku bagi novel Tunjuk Langit, ada secubit keraguan yang menyelinap masuk ke lubuk perasaan saya, tertanya-tanya sama ada ulasan ini akan menyendeng dan lebih miring ke arah yang baik-baik sahaja.

Jawapannya, ya. Mungkin juga tidak. Secara telus, tujuan saya merangkaikan ulasan ini memanglah sebagai acah-acah iklan demi mempromosikan buku, (sekiranya terlajak laris, alhamdulillah, syukur), namun perspektif ini turut dilorongkan daripada pengalaman sebagai seorang pembaca tegar. Justeru, saya berharap agar rumusan ringkas ini dapat merangsang sekelumit minat daripada anda untuk cuba-cuba menjamah hidangan yang disajikan oleh penulisnya, iaitu, Jamal Ismail, 67 tahun, seorang mantan pengarah drama dan dokumentari yang kini lebih giat berkecimpung dalam arena kesusasteraan setempat.

Novel Tunjuk Langit mengisahkan sekumpulan warga emas yang meniti hari-hari senja mereka di Rumah Kebajikan Tunjuk Langit. Nama rumah itu dipetik daripada pokok tunjuk langit yang tumbuh di sekitar sebuah kawasan di Choa Chu Kang. Meskipun rumah ini sekadar rekaan semata-mata, namun paparan latar jelas melantunkan realiti kehidupan di kota Singa ini. Apabila rumah tersebut terpaksa ditutup atas sebab kurang pendanaan, para penghuninya sendiri berikhtiar untuk meneruskan operasi agar satu-satunya tempat berteduh pada fasa terakhir hidup mereka tidak musnah.

Cerita bermula dengan mengenalkan beberapa penghuni utama di rumah yang diuruskan oleh sebuah institusi swasta. Lima orang lelaki berkumpulan yang sering mencetus perilaku lucu dan keanak-anakan sehingga digelarkan ‘Gang Bozo’ oleh superintenden Encik Arshad: Jimmy, seorang yang berpengaruh besar dalam pengurusan rumah tersebut meskipun terpaksa bergantung kepada kerusi roda, Freddie, rakan baik Jimmy sejak usia muda lagi, si Maniam yang gagap, Kasim dan akhir sekali Habeb, seorang mantan jurutera penerbangan yang dipanggil ‘Cikgu’.

‘Gang Bozo’ turut dibantu dengan watak-watak penyokong seperti Ellie, Radha dan Teja. Mereka bertiga dinamakan ‘Charlie’s Angels’, kononnya diilhamkan daripada tiga wanita cantik serba boleh dalam siri televisyen dan filem yang popular satu dewasa dulu, namun dalam sulit, turut diberikan julukan ‘The Golden Girls’, serasi dengan usia dan penampilan mereka yang sebenar.

M1: MISTERI
Watak Habeb, selaku protagonis dalam cerita ini agak berbeza sedikit berbanding dengan empat rakannya yang lain dalam kumpulan ‘Gang Bozo’. Jimmy, Freddie, Maniam dan Kasim, kesemuanya pernah bersahabat dan mereka dikumpulkan semula di rumah kebajikan itu atas rekomendasi seseorang. Namun, kemasukan Habeb sebagai seorang yang berada di luar lingkaran sosial mereka menimbulkan banyak tanda tanya, lebih-lebih lagi apabila Habeb juga dilukiskan sebagai seorang pesara yang mungkin mengalami penyakit lupa atau demensia. Apakah perhubungan Habeb dan pengasas rumah kebajikan tersebut sehingga mendapat layanan istimewa? Adakah Habeb pernah beristeri dan beranak-pinak? Siapakah yang menghantar Habeb ke rumah Tunjuk Langit itu? Persoalan demi persoalan dirungkai secara bertahap-tahap sepanjang buku setebal 344 halaman ini.

M2: MISTIK
Watak Habeb juga sering diselubungi dengan rentetan peristiwa yang bersifat aneh dan mungkin dianggap mistik oleh sesetengah pembaca. Apabila Habeb menyeludup Maniam keluar dari rumah kebajikan itu untuk menyaksikan pementasan cucunya, Leela, di Perpustakaan Daerah Jurong, mereka disambut pulang dengan suatu petanda buruk di luar jangkaan masing-masing. Habeb turut diserlahkan sebagai seorang yang mampu membaca gerak hati orang lain dengan fikiran yang terbuka. Pada akhir bab 61, pembaca juga dapat mengesan ‘keanehan’ Habeb apabila dia sekonyong-konyong mampu melunturkan sekumpulan samseng di perkarangan Masjid Hajah Fatimah yang ingin memukul Salim, seorang anak muda yang terjebak dengan kancah jenayah, hanya dengan serantai laungan istimewanya.

M3: MAGIS
Terdapat beberapa adegan dalam novel ini yang menongkah arus logik. Contohnya, sewaktu para penghuni rumah Tunjuk Langit membuat lawatan ke zoo negara, Radha tiba-tiba terpisah daripada rombongan utama dan terus hilang daripada pandangan. Seorang wanita yang renta dan kurang bertenaga itu kemudian dijumpai di dalam kandang orang utan sambil menggendong salah seekor anak haiwan itu. Insiden ini tidak dijernihkan sepenuhnya, namun, Radha sendiri percaya yang dia secara magis dimasukkan ke dalam kandang yang dikawal ketat itu. Habeb, sebagai pendukung plot dalam novel ini juga selalu dihubungkaitkan dengan peristiwa luar biasa, terutama sekali pada akhir cerita yang mana dia ‘diangkat’ ke angkasa dengan kuasa enjin yang dibinanya sendiri dengan peralatan usang. Bagaimanakah Habeb boleh terbang? Apakah ada kuasa ghaib yang membuat dirinya terapung-apung di udara selama berhari-hari? Segala-galanya bakal dihuraikan pada akhir cerita.

Secara umum, alur penceritaan dalam novel ini mudah digarap oleh pembaca, meskipun ada kalanya ia tidak bergerak secara kronologi, kadang mengilas balik untuk mengimbas peristiwa silam, kadang mengimbau khayalan dan kadang bergerak laju meluncur ke hadapan. Salah satu keprihatinan yang disampaikan kepada penulis sebelum penerbitan buku ini adalah penggunaan dialog yang bercampur-aduk antara Melayu dengan Inggeris yang dikhuatiri akan merencatkan pembacaan. Namun, kami akhirnya bersetuju untuk mengekalkan teknik perbualan sedemikian untuk mencerminkan unsur realisme dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di Singapura.

Jamal Ismail, selaku mantan pengarah drama televisyen dan filem, amat mahir dalam melahirkan adegan-adegan yang ‘melekat’ dalam layar minda pembaca. Beliau juga amat teliti dalam membina nada yang pelbagai dengan penyisipan audio yang secara semula jadi bersipongang sewaktu menelusuri perjalanan hidup watak-watak dalam novel ini. Sepanjang pembacaan, saya bermula dengan geli-geleman, kemudian geli hati, disusuli dengan perasaan ihsan diseduh dengan kesedihan dan dilengkapi dengan kelegaan.

Akhir kata, saya berharap agar anda tercuit jua untuk memiliki novel Tunjuk Langit yang berharga $18 ini bukan sahaja sebagai pengisi masa senggang, malahan untuk menyelami keadaan sosial pada zaman sekarang. Selaku penerbit, saya juga ingin menambat hati anda dengan sedutan cerita dalam bab 34 hingga bab 36 – iaitu antara adegan ‘melekat’ dalam mana Gang Bozo dan Charlie’s Angels berlumba kerusi roda pada tengah malam.

Ketiga-tiga bab ini boleh dibaca dalam bentuk digital secara percuma di pautan berikut:

Klik di sini => Sedutan novel Tunjuk Langit

Semoga terhibur!

Sila kongsi dengan rakan-rakan:
error

Farihan Bahron

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial