Ulasan Ringkas Cerpen-cerpen Bertemakan ‘Hidup Bagaikan Lagu’

Ulasan Ringkas Cerpen-cerpen Bertemakan ‘Hidup Bagaikan Lagu’

Sebuah cerpen merupakan dunianya tersendiri. Terdapat tema, idea, watak, dialog, latar, klimaks, penggunaan bahasa dan cara pengolahan yang menjadikan sesebuah cerpen bermakna. Cerpen yang baik boleh menarik minat kita untuk terus membaca karya tersebut dan ia kadangkala begitu hidup dan mengesankan kita. Ia bukan pula sesuatu yang mendatar atau seperti catatan diari yang hambar.

Seorang penulis, baik menulis cerpen, novel, puisi dan sebagainya, seharusnya menguasai bahasa yang digunakannya. Dia harus tahu secara dasar nahu bahasa tersebut, ejaan yang betul serta beberapa tanda baca. Sebuah cerpen Melayu tidak harus diserabuti terlalu banyak bahasa bukan Melayu, misalnya bahasa Inggeris atau Arab atau dialek tertentu, melainkan jika jalan cerita cerpen tersebut memerlukan penggunaan bahasa-bahasa tambahan itu.

Cerpen juga memerlukan kajian tetapi kajian ini tidak pula bermakna penulis harus membutirkan segala yang telah dikaji atau pengetahuannya mengenai sesuatu, pada tempat yang tidak sesuai. Kajian atau pengetahuannya terhadap sesuatu itu kadangkala disisipkan secara tidak sengaja dan bukan pula dijadikan bagai longgokan fakta yang tidak diperlukan. Yang penting bukan setakat kajian yang dibuat atau pengetahuannya terhadap sesuatu yang dikemukakan tetapi bagaimana penulis itu mencerna dan mengadun pengetahuan itu sesuai dengan jalan ceritanya.

Selain idea-idea yang baik, kekuatan seorang penulis itu terletak pada penggunaan bahasanya. Terdapat kecuaian beberapa orang peserta peraduan cerpen kali ini menekuni hal sebegini. Terdapat ejaan-ejaan yang salah, misalnya ‘seksa’ dieja ‘siksa’, ‘helo’ dieja ‘hello’, ‘taasub’ dieja ‘taksub’, ‘hadis’ dieja ‘hadith’, ‘teriakan’ dieja ‘teriakkan’, ‘teksi’ dieja ‘taxi’, ‘muzik’ dieja ‘musik’, ‘halwa’ dieja ‘halua’ dan sebagainya. Terdapat frasa yang janggal misalnya ‘dari stesen bas yang kami jumpa’, ‘mengambil bas pulang’ dan lain-lain, yang ternyata merupakan frasa terjemahan bahasa Inggeris.

Terdapat juga kecelaruan bahasa atau tanda baca yang lain. Ada yang menyambung perkataan-perkataan yang tidak harus disambung atau sebaliknya misalnya ‘dirumah’ (di rumah), ‘kerumah’ (ke rumah) , ‘kalau lah’ (kalaulah), ‘dicintaiNya’ (dicintai-Nya) dan sebagainya. Ada pula yang bercelaru dalam penggunaan kata ganti diri – bila seharusnya menggunakan ‘dia’, ‘beliau’, ‘saya’, ‘aku’, ‘kamu’ dan lain-lain. Dan apabila berdoa kepada Tuhan, adalah janggal apabila disebut begini: ‘Ya Allah hamba memohon agar Tuhan memilihkan mana yang baik..’ (seharusnya ‘Engkau’). Dan terdapat juga peserta peraduan cerpen ini yang kurang arif mengenai penggunaan dialog atau petikan dalam perbualan.

Cerpen-cerpen yang disertakan dalam peraduan cerpen kali ini menyelongkar beberapa persoalan yang berpusar pada dunia peribadi – kisah cinta, putus cinta, rumah tangga dan pelbagai masalahnya serta cinta Ilahi. Ada cerpen ditulis terlalu mendatar dan ada juga yang disaluti misteri. Terjemahan tema yang diberi, ‘Hidup Bagaikan Lagu’ sering diandaikan dengan adanya sebuah lagu yang mendasari cerpen yang dikemukakan. Sebilangan cerpen memasukkan unsur melodramatik yang menyebabkan olahan cerpen-cerpen tersebut tidak sebaiknya.

Namun, terdapat juga cerpen-cerpen yang ditulis dengan baik, lancar dan penggunaan bahasa yang digunakan menarik minat kita. Sekadar contoh:

‘Tika sudah besar sedikit, Amirul akan diperlengkapkan dengan kemahiran asas seorang anak lelaki. Akan diajar tentang bisanya penangan lepu. Akan diajar agar tahu membezakan duri dengan patin. Sembilang dengan keli. Ikan laut dengan ikan darat. Haron akan mengajar cara menentukan arus. Agar kolek tidak hanyut. Tidak punah dilapah ribut. Zubaidah pula akan mengajar asas berzanji. Harakat perlu betul. Tajwid tak boleh sasul. Kena tahu pangkal dengung. Jangan tersekat di balik hidung. Kelak, jika mahir, akan diajar taranum. Tapi asasnya pada Amirul. Tidak perlu terburu-buru. Bertatih dahulu sebelum berlonjak. Melilit dahulu baru memanjat.’

Sebuah cerpen adalah gabungan pelbagai perkara yang harus dihadami dan diserlahkan oleh seorang penulis cerpen. Semoga peserta peraduan cerpen kali ini dan mereka yang berminat dalam bidang penulisan cerpen akan lebih menekuni perkara-perkara yang membina sesebuah cerpen agar karya-karya yang dihasilkan akan semakin hidup, berbobot, menarik dan mengesankan pembaca, insya-Allah.

Rasiah Halil
Penerima Anugerah Tun Seri Lanang 2017


 

Nyala

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial