Sastera Rakyat dan Ciri-Cirinya

Sastera Rakyat dan Ciri-Cirinya

Sastera rakyat atau Folk literature bermaksud satu bentuk kesusasteraan yang lahir dalam kalangan masyarakat Melayu zaman silam yang dikenali sebagai masyarakat tradisional. Sastera ini adalah milik rakyat yang hidup dalam kelompok dan bekerjasama. Pelbagai definisi tentang sastera rakyat yang diberikan oleh sarjana Timur dan Barat.

Sastera rakyat dalam bahasa Inggeris disebut sebagai folklore, folktale, Folk Verbal, Folk life, Folk culture dan sebagainya. Sastera rakyat mempunyai istilah yang amat terbatas dan merujuk kepada cerita-cerita lisan dari golongan tua untuk menidurkan anak-anak mereka. Folk ditujukan kepada komuniti iaitu masyarakat luar bandar yang mengamalkan cara hidup tradisional. Lore pula bermaksud suatu bahan yang dikongsikan bersama.

Hal ini merujuk sesebuah masyarakat di lokasi yang berbeza namun berkongsi bahan (sastera rakyat) yang sama. Negara-Negara UNESCO menggunakan istilah sastera rakyat sebagai folklife. Pada dasarnya istilah Folklore bermula dengan popular antiquities tetapi telah digantikan dengan folklore oleh John Thoms pada pertengahan abad yang lalu. Folklore atau sastera rakyat yang wujud di serata dunia termasuk di negara-negara primitif seperti negara-negara Non-Literature iaitu Afrika, Oceania dan juga Asia.

Folklore juga wujud dalam kalangan penduduk bandar yang literate dan sophisticated. Menurut William Thom, Folklore adalah tradisi lisan yang terbahagi kepada dua iaitu folktale dan folk performance. Folk bermaksud sekumpulan masyarakat yang berkongsi nilai yang sama. Lore bermaksud bahan material yang dimiliki oleh masyarakat seperti cerita lipur lara, mitos, legenda manakala performances adalah seperti Mak yong, Menora, Wayang Kulit, Main Puteri dan banyak lagi.

Menurut Francis Zee Utley, Folklore adalah cerita lisan bukan tulisan. Beliau menegaskan folklore bukan sains tetapi berhubung dengan ilmu sains dan puisi rakyat. Sastera dan sains adalah bidang berbeza, namun kedua-duanya berhubung kait dengan ilmu. Menurut Wolfram, sastera rakyat telah dibahagikan kepada dua (2) pengertian iaitu folklore yang bermaksud oral tradition atau tradisi lisan atau tradisi budaya. Walau bentuk apa-apa yang wujud, setiap masyarakat di seluruh dunia mempunyai sastera rakyat atau folklore iaitu hasil seni pengucapan yang terdapat dalam sesuatu budaya masyarakat tersebut.

Sastera rakyat mempunyai beberapa ciri-ciri tertentu:

1). Pengucapan yang teratur
Salah satu ciri umum sastera rakyat adalah melalui penyampaian. Cara sastera rakyat di sampaikan adalah melalui lisan iaitu dari pertuturan yang teratur dan tersusun. Sastera rakyat disampaikan dengan menggunakan bahasa yang baik, indah dan jelas menggambarkan sesuatu perkara. Contohnya, dalam sastera rakyat khusus cerita lipur lara, tukang cerita akan menggunakan pengucapan yang teratur.

Buktinya dapat dilihat pada Hikayat Malim Dewa (hlm: 32):
“ Al-Kisah, maka tersebutlah pula sebuah negeri, namanya Kuala Medan Baik, yang memerintah negeri itu, seorang namanya laksamana. Maka ada ia beranak seorang perempuan, dinamakan Tuan Puteri Gondan Gentasari, terlalulah amat elok rupanya, hitam manis, agong sederhana, sedang panjang lampai tubuhnya….”.

Petikan ini menjelaskan tukang cerita menggunakan pengucapan yang teratur dalam pemerian tantang kerajaan Kuala Medan Baik dan rupa paras dan identiti Tuan Puteri Gondan Gentasari yang sangat cantik dan menjadi idaman Tunku Gombang Malim.

2). Penyebaran melalui lisan
Sastera rakyat juga disebarkan melalui lisan iaitu melalui percakapan dari mulut ke mulut. Teknik penyebaran ini menjadi tradisi dalam menyebarkan sastera rakyat kerana rata-rata masyarakat dahulu kala adalah dalam kalangan yang buta huruf, iaitu tidak tahu membaca dan menulis. Melalui penyebaran melalui lisan ini telah menyebabkan berlakunya tokok tambah dalam sesebuah sastera rakyat.

3). Nilai dan tema yang tersendiri
Sastera rakyat mempunyai nilai dan tema tersendiri. Setiap tema dan plot memiliki unsur yang tersendiri dan tersirat dengan maksud-maksud tertentu.

4). Plot berunsur tradisi
Sastera rakyat juga mempunyai plot yang mengikut kronologi, tradisi dan tempatan. Tiada sebarang pematahan plot yang berlaku dalam sastera rakyat, khususnya dalam cerita lipur lara. Permulaan cerita mesti bermula dengan kelahiran wira, pengembaraan, peperangan, kejayaan dan perkahwinan. Begitu juga dengan sastera rakyat yang berbentuk berangkap, misalnya syair, gurindam dan pantun juga mempunyai struktur mengikut tradisi tersendiri.

5). Mengikut konvensi
Konvensi yang dimaksudkan ini merupakan suatu proses penciptaan sesebuah karya yang tergolong dalam sastera rakyat. Ini bermaksud setiap kelahiran karya sastera rakyat mesti memenuhi kehendak masyarakat. Contohnya, dalam cerita rakyat watak wira dan wirawati mestilah mempunyai ciri-ciri fizikal yang baik, manakala penjahat mesti digambarkan seburuk-buruknya. Begitu juga dengan pengakhiran sesebuah cerita mestilah dimenangi oleh wira dan kekalahan menyebelahi oleh penjahat.

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial