Bentuk Kepengarangan Baru

Bentuk Kepengarangan Baru

Secara umumnya, bentuk kepengarangan jenis baru merupakan bentuk penulisan atau penghasilan karya-karya sastera yang tidak lagi terikat kepada norma-norma dan konvensi sastera lama. Daya cipta pengarang dalam bentuk kepengarangan ini amat bebas dalam menghasilkan penulisan mereka yang tersendiri berdasarkan idea, perasaan, pengalaman, kesedaran dan sebagainya.

Oleh yang demikian, disebabkan seorang pengarang itu bebas mengekspresikan diri mereka dalam melahirkan sesebuah karya, secara tidak langsung wujudnya jurang pemisahan di antara pengarang dengan masyarakatnya. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya pemecahan budaya participatory yang merupakan karya-karya yang dihasilkan itu bukan lagi milik bersama atau hak kolektif. Sehubungan itu, hasil kepengarangan ini tidak lagi terikat untuk membicarakan tentang kolektif dan hal-hal berkaitan dengan golongan istana, dewa-dewi dan cerita-cerita-cerita dongeng tetapi pengkaryaan dihasilkan adalah berbentuk peribadi dan perkara-perkara realiti.

Bentuk kepengarangan ini bersifat sedemikian dan secara tidak langsung telah meletakkan pengarang-pengarang tergolong dalam bentuk kepengarangan jenis baru ini sebagai pengarang-pengarang individual. Hasil-hasil yang dikarang bukan lagi membincangkan isi-isi yang sudah diketahui oleh kolektif atau disebut sebagai “kontrak naratif” tetapi mengandungi isi-isi yang berkaitan dengan pernyataan keinginan, perasaan, reaksi dan protes pengarang terhadap sesuatu. Dengan itu, muncul genre baru yang memberi fokus kepada riwayat diri pengarang sama ada karya itu berbentuk kritikan mahupun tidak. Kemunculan genre tersebut merupakan sesuatu yang baru dalam dunia kesusasteraan sebelum abad ke-19.

Menurut Ismail Hussien (1974: 5-6), bentuk kepengarangan jenis baru boleh membawa erti sebagai bentuk penulisan yang mengalami proses perubahan bertentangan dengan bentuk kepengarangan jenis lama. Bentuk kepengarangan jenis baru ini telah melanggar atau melalui proses penyimpangan dengan mencetuskan rombakan konvensi dan tradisi. Dengan kata lain, bentuk penulisan tersebut boleh dilabelkan sebagai “proses peleburan nilai-nilai feudal”. Proses peleburan dan rombakan nilai-nilai feudal merupakan sifat-sifat kepengarangan jenis baru untuk meletakkan setiap bentuk karya dihasilkan begitu bebas dan berautonomi untuk membicarakan sesuatu perkara. Pengarang-pengarang yang melahirkan bentuk kepengarangan jenis baru ini telah dipengaruhi oleh idea-idea beracuan dari Barat dan segala persepsi Barat terhadap bangsa Melayu dianggap sebagai bangsa tidak bertamadun dan mempengaruhi pemikiran pengarang-pengarang tersebut.

Pengarang-pengarang tersebut amat berani dan yakin pada kebolehan mereka untuk melahirkan sesebuah karya yang tidak lagi bergantung pada sistem politik tradisional dan peraturan penulisan sastera Melayu dipertahankan oleh masyarakat Melayu sebelum kedatangan Barat ke alam Melayu. Hal ini amat bertentangan dengan bentuk kepengarangan jenis lama yang mana bentuk kepengarangan ini hanya dibelenggui konvensi dan bersifat stereotaip. Dalam konteks ini, penghasilan sesebuah karya dikawal oleh institusi pemerintahan lebih-lebih lagi, pengarang yang wujud dalam situasi tersebut ialah pengarang istana.

Disebabkan aktiviti kepengarangan dikawal oleh golongan penaung, maka secara tidak langsung hasil kepengarangan haruslah memperlihatkan kepatuhan yang dikehendaki masyarakatnya. Segala hasil kepengarangan bukanlah hak individu pengarang tetapi milik kolektif. Setiap pengarang istana amat terikat dengan tradisi untuk memulakan mukadimah dalam teks-teksnya. Kaedah ini bertujuan menggambarkan bahawa diri mereka telah membawa tradisi di samping untuk menyatakan bahawa hasil sesebuah kepengarangan bukan lahir daripada kemutlakan seseorang pengarang, tetapi berhubung kait dengan sumber pada masa lampau. Sehubungan itu, bentuk kepengarangan jenis lama amat terikat kepada ketulenan yang diperuntukkan oleh masyarakat dan zamannya. Walau bagaimanapun, bentuk kepengarangan jenis baru tidaklah menenggelamkan stail kepengarangan tradisional dalam kesusasteraan Melayu. Antara contoh-contoh sastera yang memperlihatkan ciri-ciri bentuk kepengarangan jenis baru adalah karya-karya yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi dan Ahmad Rijaluddin.

Penghasilan oleh kedua-dua pengarang ini telah memberikan sumbangan yang besar dalam pemodenan sastera Melayu terutamanya, dalam memperkenalkan genre baru yang tidak lagi mengikut konvensi dan bersifat stereotaip seperti munculnya karya-karya yang berbentuk autobiografi, biografi, travelog, memoir, dan sebagainya. Kemunculan jenis kepengarangan baru datang bersama-sama Barat telah mempengaruhi pemikiran golongan pengarang tersebut. Positifnya, bentuk kepengarangan baru ini telah memberi ruang kepada golongan pengarang untuk menunjukkan bakat mereka berdasarkan karya-karya yang dihasilkan oleh mereka.


Jangan lupa untuk menjengah pelbagai bentuk kepengarangan baru di gerai buku online kami!


 

Kalam Jiwa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social Share Buttons and Icons powered by Ultimatelysocial